KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Friday, December 23, 2011

WAWANCARA SIRI PERTAMA - TIMBALAN PENGERUSI KEADILAN PAHANG MENGUPAS ISU POLITIK PAHANG

Pahang dikatakan oleh sebuah badan selidik, adalah salah satu negeri yang bakal ditawan oleh PR di dalam PRU ke 13 nanti. Kita sedia maklum, di Pahang hampir kesemua Parlimen mempunyai penempatan Felda, kecuali di Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota yang mana para Peneroka adalah aset kepada Umno/Bn selama ini. Begitu juga dengan beberapa penempatan kem tentera yang membekalkan mereka dengan Undi Pos.

Keadilan Pahang sememangnya telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU ke 13 dan kunjungan Ketua Umum ke Pahang yang kerap dalam tahun ini menunjukkan bukti bahawa beliau tidak memandang rendah kebolehan kita menawan negeri ini.
Blogger PKR Pahang telah mengadakan wawancara khas dengan Timbalan Pengerusi Keadilan Negeri Pahang, Sdr Ahmad Nizam Abd Hamid yang juga Ketua Cabang Temerloh bagi membicarakan beberapa isu politik semasa di negeri ini.  

Wawancara ini akan disiarkan di dalam dua siri.  Wawancara dengan beberapa pimpinan Keadilan Negeri Pahang juga akan disiarkan dari masa ke semasa.

Wawancara Siri Pertama

Sdr Ahmad Nizam Abd Hamid, Timb Pengerusi Keadilan Pahang/Ketua Cabang Temerloh


Soalan: Selaku Timbalan Pengerusi MPN, pada pandangan Sdr adakah PR mampu untuk menawan negeri ini?

Jawaban:  Rakan saya YB Tuan Syed Hamid Syed Mohamed, ADUN Semantan dari PAS baru-baru ini memberitahu SINAR yang PR tidak mampu untuk menawan Pahang. Sementara saya menghormati pandangan beliau, namun pada masa yang sama saya optimis bahawa PR punya peluang yang amat cerah untuk membuat ‘upset’ di negeri Pahang. Saya kira bukanlah impian kosong malah bukan suatu yang mustahil untuk dapat menawan negeri Pahang.  Pada masa yang sama kita juga mengakui bahawa ianya bukan tugas mudah,’herculean tasks’ namun saya tetap optimis.

Soalan: Mengapa Sdr mempunyai keyakinan sedemikian?

Jawaban:  Suatu perkara yang perlu difahami bahawa pada pilihanraya kali ini PR lebih bersedia berbanding dengan pilihanraya-pilihanraya yang lalu.  KEADILAN Pahang sendiri saya lihat dari segi jentera, prasarana, strategi lebih kukuh, ampuh dan teratur.  Saya melihat pendekatan-pendekatan baru dalam pilihanraya yang tidak lagi bersifat tradisional atau konservatif telah mula diperkenalkan kepada pimpinan dan jentera melalui kursus-kursus, bengkel dan seminar.  Ertinya, pendekatan baru yang (jika saya boleh gunakan istilah ‘saintifiks’) yang saya kira memberikan pendekatan baru dan bersepadu didalam menghadapi pilihanraya.

Pun begitu, saya mengakui bahawa kekuatan jentera hanya menjadi sebahagian daripada kekuatan.  Manakala sisi lain yang saya lihat ialah penerimaan rakyat kepada program-program PR di seluruh Negeri Pahang yang merangkumi kesemua segmen masyarakat dan bukan sahaja terhad kepada orang Melayu sahaja.  Saya ambil contoh, tawaran Buku Jingga yang benar-benar mampu menangkap imaginasi pengundi sehinggakan Perdana Menteri sendiri pun “menciplak” beberapa idea daripada buku tersebut.

Kita juga selama ini melihat kalangan pengundi Felda sebagai cabaran tetapi kebelakangan ini dengan usaha giat rakan-rakan daripada Biro Masyarakat Felda KEADILAN dan ANAK, PAS saya melihat sedikit banyak mitos Felda sebagai deposit tetap BN kian terungkai.  Sudah timbul kesedaran mendalam di kalangan warga Felda bahawa PR lebih serius, lebih konsisten untuk memperjuangkan nasib dan hak mereka.  Harus diingat bahawa negeri Pahang ini mempunyai paling banyak tanah rancangan Felda di mana mereka ini mempunyai jumlah pengundi yang besar.

Begitu juga dengan isu Lynas, menjadi faktor penting yang kita lihat sangat membantu.  Selain dari itu ialah kegagalan kerajaan BN Pahang untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang yang mana sudah 12 tahun bajet negeri defisit.  Pada masa yang sama kita akui masih banyak hambatan yang boleh membantut hasrat PR untuk menawan negeri Pahang.  
Saya melihat ini daripada beberapa sisi.  Pertama, tentunya keluhan sekian lama iaitu penyampaian maklumat yang terhad kerana ketiadaan akses kepada media arus perdana.  Kedua, penggunaan jentera dan apparatus pemerintah seperti KEMAS, JASA dan lain-lain lagi yang digembeling sebegitu rupa untuk kepentingan politik BN.  Yang ketiga, ialah parti-parti dalam PR masih lagi tidak boleh dikatakan benar-benar mantap dan bergerak dalam satu wadah.

Soalan: Sehingga kini, bagaimana tahap kerjasama di antara PR di seluruh negeri Pahang dan kerjasama semua peringkat pimpinan Keadilan sendiri? Mohon huraikan bagaimana kerjasama sesama PR dan semua pimpinan di dalam Keadilan ini boleh dipertingkatkan.
Jawaban: Pada keseluruhanya kerjasama terjalin dengan baik di antara parti-parti di dalam PR. Sama ada di peringkat pimpinan negeri mahupun di peringkat Cabang.  Malah di peringkat negeri kita telah menubuhkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Pahang yang sepanjang tahun 2011 ini telah bertemu dan bermesyuarat secara formal beberapa kali.  Manakala perhubungan secara informal itu saya kira berjalan pada setiap masa.

Saya suka menyebut di sini bahawa saya belum lagi melihat pakatan ini sebagai pakatan yang benar-benar utuh, ada pihak yang menyebut bahawa PR ini sebagai gabungan yang bersifat perkongsian pintar atau ‘smart partnership’, namun saya melihat tahap perhubungan atau tahap kerjasama PR ini sebagai ‘friendly competitor’ yakni kita bersaing merebut kerusi melawan musuh yang sama iaitu BN di dalam suasana tolak ansur.  Manakala impian saya ialah untuk melihat PR benar-benar menjadi ‘A force to be reckoned with’ yang berjalan sederap kaki, yang bergerak dengan satu hati ,bantu membantu dan mengembeleng seluruh kekuatan bersama.

Semua ini sangat kondusif untuk dicapai kerana pimpinan PR Pahang terdiri dari mereka yang telus dan memahami keperluan bagi menghadapi musuh yang sama iaitu BN.  Cumanya prasyarat utama ialah kita perlu mula berfikir, merencana dan bertindak atas semangat PR serta meninggalkan pemikiran yang bersifat “keakuan”.  Begitu juga mentaliti ‘big brother’ tidak perlu wujud kerana saya pnuya keyakinan semua komponen PR mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Ertinya kita perlu ‘compliment each other’ atau salin lengkap melangkapi dan saya fikir ini yang mahu dilihat oleh rakyat bagi menampakkan keyakinan mereka.

Soalan: Di dalam jangkaan Sdr secara peribadi, berapakah kerusi Dun dan Parlimen di negeri ini yang Keadilan mempunyai harapan cerah untuk dimenangi? Bagaimana peluang di Parlimen Temerloh dan Dun? 
Jawaban: Saya percaya berdasarkan kepada kekuatan dan sambutan daripada rakyat tidak ada apa yang mustahil akan berlaku pada PRU 13 nanti. Manakala bagi Temerloh saya punya keyakinan besar bukan sahaja PR dapat mengekalkan Dun Semantan malah kita mampu untuk menawan Parlimen Temerloh serta dua Dun lain iaitu Lanchang dan Mentakab.

Soalan: Difahamkan senarai calon-calon Keadilan hampir 100% telah dimuktamadkan bagi semua kerusi Dun. Faktor calon yang bagaimanakah yang Sdr fikir patut parti utamakan untuk dipilih nanti?
Jawaban: Saya membuat sedikit pembetulan di sini bahawa soal calon diputuskan secara tuntas oleh pimpinan parti. Yang berlaku ialah beberapa nama telah diangkat ke Pusat untuk diputuskan oleh pimpinan.

Tentunya kali ini pemilihan calon adalah lebih ketat dan berbagai faktor perlu diambil kira berdasarkan pengalaman yang berlaku di mana ada yang melompat dan keluar parti.  Kepada saya peribadi syarat utama ialah komitmen untuk berkhidmat unruk rakyat, amanah,  akhlak yang baik dan setia kepada perjuangan parti selain populariti harus dijadikan syarat utama.

Soalan: Difahamkan terdapat juga calon-calon yang melobi untuk diangkat sebagai calon dan tidak kurang juga ada yang mohon untuk tidak dicalonkan. Adakah keadaan ini mendatangkan masalah kepada parti?
Jawaban: Ketua Umum DSAI telah memberikan amaran kepada individu yang bertindak sebegini.  Budaya melobi untuk menjadi calon bukanlah budaya KEADILAN dan kerana itu saya tidak langsung bersetuju jika sekiranya lobi melobi ini dijadikan amalan.

Di negeri Pahang, kita belum menerima maklumat tentang ada individu yang melobi untuk menjadi calon seperti yang berlaku di Selangor.  Jika ada kes yang sama berlaku di Pahang kita akan tangani satu persatu (case by case).

Soalan: Apakah nasihat Sdr kepada calon-calon yang tidak terpilih sebagai calon di dalam PRU nanti?
Jawaban: Perjalanan dan perjuangan politik bukannya dititiknoktahkan dengan menjadi calon semata-mata.  Namun perjuangan politik tentunya bukan sekadar menuntut untuk berkorban dan setia malah sebagai pelaku politik kita juga dituntut untuk berkepala dingin dan berjiwa besar.

Jadi nasihat dan peringatan saya ialah bukan sekadar bersabar malah lebih daripada itu, wajib turun membantu dengan sepenuh hati calon-calon yang dipilh dengan jiwa besar.  Tentunya juga seruan saya agar jangan khianat dan menjadi gunting dalam lipatan.

Soalan: Sekarang kita tumpukan kepada Parlimen Temerloh yang mana Sdr sebagai Ketua Cabang Temerloh. Setakat ini, adakah Sdr berpuashati dengan kemajuan dan gerak kerja parti di Temerloh? 
Jawaban: Saya masih belum berpuashati dengan tempo gerakerja setakat hari ini kerana masih ada ruang–ruang yang tidak dieksploitasi sepenuhnya.  Saya tidak berani seperti sesetengah pemimpin yang lain yang mengistiharkan bahawa mereka sudah bersedia sepenuhnya.

Pun begitu, saya boleh nyatakan bahawa Cabang Temerloh di dalam menghadapi pilihanraya kali ini jauh lebih bersedia daripada 2008 daripada segi jentera, prasarana dan gerakkerja.  Saya mempunyai pasukan yang kuat dan benar-benar komited kepada perjuangan parti selain kita dapat mendakap semua segmen masyarakat berbilang kaum di dalam parti.  Dengan pasukan yang kuat, komitmen dan semangat juang yang tinggi seluruh pimpinan Cabang Temerloh, saya kira inilah yang menjadi asset kekuatan teras bagi menghadapi PRU13.

Soalan: Ada pendapat yang menyebut kerjasama di antara Keadilan dan PAS di Parlimen Temerloh agak dingin. Benarkah dakwaan itu, dan jika benar mengapa ianya terjadi?
Jawaban: KEADILAN Temerloh tidak pernah pada sebarang masa tidak memberikan kerjasama kepada PAS malah program-program kita, kita sentiasa mengundang pimpinan PAS setempat untuk turut serta.  Malah menjadi cita-cita utama saya untuk terus memantapkan PR Temerloh kepada suatu tingkat yang unggul.  Hakikat yang mahu tidak mahu yang harus dihadam oleh semua pelaku politik dalam PR bahawa kita wajib bersama di dalam menghadapi musuh yang sama dan hakikat sejarah
politik tanahair menunjukkan tanpa kesatuan di kalangan parti-parti opposisi hampir mustahil ‘To wrestle BN from the power.’

Soalan: Ada yang mendakwa beberapa program ceramah dan aktiviti di Temerloh dilihat seperti berasingan dan jarang diadakan program bersama dengan PAS. Boleh Sdr jelaskan?
Jawaban: Memang kebelakangan ini banyak program PAS tidak mengundang penyertaan KEADILAN.  Saya tidak mempunyai jawaban yang konkrit cumanya seperti yang disinggung di atas bahawa KEADILAN –PAS –DAP adalah ‘friendly competitor’ jadi ada kemungkinan mereka mempunyai perencanaan taktiks dan strategi mereka tersendiri tanpa penglibatan kita.
Kepada saya bukanlah menjadi satu hal yang harus diperbesarkan kerana itu adalah dalam lingkungan budi bicara pimpinan Pas sendiri yang tentunya sebagai sebuah parti yang paling lama di dalam PR mereka mempunyai congakkan sendiri bagi menawan hati rakyat serta menggamit imaginasi rakyat bagi berpihak kepada PR.
Saya ingin menegaskan bahawa secara peribadi pimpinan Pas Temerloh adalah rakan karib dan sahabat saya dan bagi pihak parti juga kita tidak menganggap adanya perselisihan atau konflik di antara PAS dan KEADILAN. Kerana itulah kita sentiasa berjiwa besar di dalam perjuangan bersama PR.

Soalan: Bagaimana pula kerjasama dengan DAP di Temerloh?
Jawaban: Kerjasama dengan DAP berada di tahap yang baik malah kita mengadakan beberapa program bersama seperti ceramah umum mahupun lawatan bertemu rakyat.  Dengan DAP perhubungan yang mesra ini kerana kita dan mereka tidak bertemu di dalam ‘turf’ yang sama selain
sama-sama menyedari keperluan untuk mengembeleng kekuatan bagi menghadapi BN.

Soalan: Terdapat dakwaan bahawa Sdr selaku Ketua Cabang Temerloh dilihat kurang turun ke akar umbi sebaliknya hanya hadir di dalam beberapa program yang Sdr dijemput untuk menyampaikan ceramah sahaja. Adakah ini dakwaan benar? Mohon Sdr jelaskan.

Jawaban: Bukanlah sifat saya sejak dari dulu untuk mengangkat diri saya sendiri kerana yang lebih adil ialah ‘assessment’ yang dibuat oleh orang lain yang tidak berkepentingan.  Dalam isu ini sejak dari dulu kita bergerak turun berjumpa dengan masyarakat atau akar umbi dengan segala batasan yang ada dan semua aktiviti ini tidak kita paparkan di dalam blog atau internet (mungkin ini boleh sahaja dianggap sebagai kelemahan saya).  Jadinya, masa yang terluang termasuk di hujung minggu saya manfaatkan untuk bertemu dengan rakyat bukan sahaja di sekitar Temerloh ini malah di tempat-tempat lain juga.  Pun begitu, sekali lagi saya tidak mendabik dada untuk mengatakan bahawa apa yang dibuat ini sebagai sempurna dan terbaik.  Sahabat-sahabat di dalam parti yang rapat dengan saya tahu tentang aktiviti ini kerana mereka juga turut serta.

Soalan: Bagaimana dengan kerjasama di dalam Cabang Temerloh itu sendiri. Adakah Sdr menghadapi masalah dengan AJK-AJK di Cabang atau bagaimana?

Jawaban: Seperti yang saya singgung di atas, saya bersyukur kerana saya mempunyai suatu pasukan yang sangat komited kepada perjuangan.  Sebagai Ketua Cabang saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana AJK saya. Malah saya membawa pendekatan kepimpinan kolektif di mana semua AJK dianggap sebagai Pimpinan Cabang dan begitu juga di dalam membuat keputusan.  
Adalah menjadi suatu yang yang sangat jarang berlaku untuk saya ‘Impose my will’ kepada AJK saya.  Malah Cabang Temerloh berbangga dengan saudara Man Kadir, Timbalan Ketua Cabang yang sering diundang ke seluruh Negara memberikan ceramah.  Saya sekadar mengingatkan saudara Man Kadir untuk sentiasa membawa nama Cabang Temerloh di dalam semua kegiatan di seluruh negara.  Jadi hal yang semacam ini menjadi nilai tambah kepada kekuatan sedia ada Cabang Temerloh.

Soalan: Apa pendapat Sdr dengan sikap `One Man Show' di dalam parti? Adakah ini berlaku di dalam parti dan apakah sikap ini akan memberi kesan kepada parti?

Jawaban: Mereka yang terjun di dalam politik wajar menjauhkan diri daripada sikap `One man show' ini.  Parti politik tidak boleh digerakkan oleh seorang individu secara berseorangan tetapi menjadi pra syarat ianya harus digerakkan sebagai satu pasukan yang mantap.  Mungkin ada elemen ini di dalam parti yang disebabkan oleh keghairahan individu itu sendiri.  Beliau mungkin mempunyai nawaitu yang baik tetapi niat yang baik harus dikerjakan dengan kebijaksanaan dan dalam hal ini tentunya kerja berpasukan.  Saya ingin tegaskan di sini ialah parti politik punya kewajaran diuruskan secara jamaah.
[Di dalam Wawancara Siri Kedua nanti, Sdr Ahmad Nizam akan memberikan pandangannya terhadap prestasi AMK dan Wanita Keadilan, isu yang melanda MP Temerloh, YB Saifuddin yang kini ditekan oleh Mahasiswa serta beberapa pimpinan Umno agar meletakkan jawatan.  Turut diulas adalah pandangan beliau terhadap kepimpinan PM, Najib Razak.  ]

No comments:

Post a Comment