KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Tuesday, September 30, 2014

DEMI TUANKU, PKR BERUNDUR SELANGKAH DEMI SERIBU LANGKAH KE PUTRAJAYA

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mahu mengulas mengenai titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Jumaat lalu yang menyalahkan PKR dalam krisis Selangor.  "Itu pendapat peribadi Tuanku, dengan penuh hormat, saya tak mahu berdebat dengan hal itu," kata beliau kepada wartawan selepas memberi syarahan bertajuk “Memerangi Ekstrimis” di Universiti Selangor (Unisel) di Shah Alam hari ini.

Ternyata kenyataan bijak dan penuh bertanggungjawab dari Anwar menjadikan pihak yang ingin melihat PR khususnya PKR bertelagah dengan Istana tidak berjaya.  Hakikatnya kita berada di landasan yang tepat dan betul apabila kita menangani isu MB Selangor ini dan terbukti di dalam PKR langsung tidak timbul masalah untuk menentukan pengganti Tan Seri Khalid Ibrahim yang dipecat, bahkan langkah kita mendapat sokongan padu dari DAP apabila kita menamakan calon tunggal iaitu Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah sebagai MB Selangor.  Namun setelah kita sampai ke tahap di mana kita perlu membuat dua pilihan samada untuk terus mempertahankan Azizah yang mendapat majoriti sokongan sebagai MB dan meneruskan krisis dengan Istana atau kita menghormati pilihan Istana untuk memilih Azmin?

Akhirnya di atas kematangan politik Anwar dan rakan-rakan dari PR, Azizah secara sukarela berundur bahkan meminta agar parti memberikan mandat baru kepada pilihan Tuanku iaitu Azmin.  Azmin perlu diberikan mandat oleh parti kerana kita tidak mahu Azmin juga menolak pilihan Tuanku disebabkan tiada mandat atau kepercayaan dari parti.  Pengorbanan yang besar dari Azizah khususnya dan PKR, amnya untuk menjaga nama baik istana.  Kepercayaan ini haruslah dibalas oleh Azmin selaku MB Selangor yang baru dengan menunjukkan prestasi kerja yang tinggi dan menjaga amanah rakyat sebaik mungkin sejajar dengan manifesto PR yang kita janjikan di dalam PRU 13 yang lalu.

Terbukti tuduhan mereka yang menyatakan PKR dan DAP akan menderhaka kepada Tuanku sekiranya Azizah tidak dipilih ternyata meleset.  Kita masih mempunyai rasa hormat yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan.  Sehubungan itu, kita juga berharap agar Istana juga mempunyai perasaan yang sama kepada kita apabila membicarakan isu ini.  Kita tidak mahu krisis MB Selangor ini berterusan dan kita memilih untuk berundur selangkah bagi kita meneruskan seribu langkah lagi selepas ini yang mana kemuncaknya adalah merealisasikan objektif "Kajang Move" iaitu ke Putrajaya, InsyaAllah.


Saturday, September 27, 2014

BANYAK TUGAS MENANTI AZMIN SELEPAS INI - ANWAR

Lima isu tertangguh menjadi misi pertama buat menteri besar baharu, Mohamed Azmin Ali sebaik sahaja beliau menpengerusikan mesyuarat Exco Selangor pertama pada Rabu depan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, empat perkara tersebut yang telah diputuskan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu dipertimbangkan semula demi kepedulian terhadap rakyat dan menjana pendapatan negeri.

"Kita nasihatkan menteri besar dan exco yang baharu ini supaya menurunkan elaun mereka pada kadar yang munasabah, kenaikan itu wajar tapi tidak perlu mendadak.

"Pemindahan dana pendidikan tidak pernah berlaku sebelum ini dan saya mohon menteri besar membawanya pada sidang Dun Selangor nanti," katanya pada sidang media, di ibu pejabat PKR, di sini, lewat petang tadi.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang itu juga mahu Azmin mengkaji semula beberapa perjanjian yang dibuat oleh kepimpinan Abdul Khalid kerana dikatakan berat sebelah dan menguntungkan pihak tertentu sahaja.

"Saya sokong penuh supaya Azmin menyemak semula kelulusan projek kontroversi lebuh raya bertingkat Kinrara-Damansara (Kidex) yang memberi manfaat kepada kroni tertentu.

"Saya juga sokong Azmin menyemak semula kelulusan tanah yang tidak mengikut proses termasuk perjanjian penstrukturan semula industri air Selangor," katanya.

Mengulas lanjut, Anwar mendakwa ketika Abdul Khalid menjadi menteri besar, beliau tidak pernah bermesyuarat walaupun sekali dengan ahli Jawatankuasa Mengenai Penstrukturan Air Selangor yang ditubuhkan Majlis Pimpinan PR pada awal tahun ini.

"Keputusan Majlis Pimpinan PR setahun lalu yang dihadiri oleh tiga-tiga pemimpin PR adalah untuk bersama Abdul Khalid memberi pandangan dan nasihat mengenai perjanjian air.

"Jawatankuasa itu diwakili ketiga-tiga parti iaitu Dr Dzulkefly Ahmad (Pas), Tony Pua (DAP) dan Rafizi Ramli (PKR), namun belum ada satu mesyuarat pun semasa menteri besar lepas," katanya lagi.- SH

Tuesday, September 23, 2014

AZMIN, MB SELANGOR YANG BARU - TAHNIAH DARI KEADILAN PAHANG

Sepanjang kemelut atau krisis MB Selangor beberapa bulan yang lalu, KEADILAN Pahang sentiasa konsisten dan komited dengan keputusan parti.  Bermulanya episod "Kajang Move" yang kami faham objektifnya amat penting untuk kita mula bergerak lebih aktif menuju ke Putrajaya, selepas itu peristiwa malang yang menimpa bekas MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat oleh parti, KEADILAN Pahang sentiasa berdiri teguh di bawah kepimpinan parti.

Kami percaya kesemua yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya terutama di dalam krisis MB Selangor ini.  Di dalam menghadapi saat-saat sukar sedemikian, kami merasakan tidak wajar membiarkan Ketua Umum dan Presiden menghadapinya bersendirian apatah lagi apabila di'usik' oleh rakan-rakan di dalam PR sendiri.  Hikmahnya kita sedikit sebanyak boleh menilai erti budi dan ketaatan serta setiakawan sebenar disaat kita menghadapi ujian.

KEADILAN Pahang berpendapat, perbezaan pandangan di antara pimpinan dan ahli di semua peringkat tidak seharusnya menjauhkan kita dari parti reformasi ini.  Mustahil untuk kita mendapat pemimpin yang disokong dan disukai seratus peratus dari ahli-ahli, tetapi apabila kita meletakkan keutamaan parti jauh berada di hadapan dari kepentingan individu maka kita boleh bersatu hati.  Kami percaya segala kritikan kepada pemimpin dan parti itu adalah kerana mereka terlalu sayang kepada parti ini.  

Tahniah dari KEADILAN Pahang buat Timbalan Presiden, YB Azmin Ali yang telah diberi amanah oleh Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Selangor untuk ditabalkan menjadi MB Selangor berkuatkuasa hari ini (23/9/14).  Syabas juga kepada Ketua Umum, Presiden dan semua Ahli MPP serta Adun-Adun PR di Selangor yang selama ini begitu bersabar dengan karenah dan ujian dari berbagai pihak.  Presiden jelas tenang dan kelihatan begitu ikhlas untuk menyelesaikan kemelut ini meskipun beliau adalah calon tunggal yang dicadangkan oleh PR.  Sokongan Ketua Umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan juga Presiden, Datin Seri Dr Wan Azizah kepada Timbalan Presiden, Azmin Ali seharusnya dijadikan penyuntik semangat buat beliau untuk terus berbakti kepada rakyat Selangor amnya dan parti, khasnya.

KEADILAN Pahang sentiasa mendoakan agar MB Selangor yang baru ini akan dapat meningkatkan lagi prestasi Selangor sebagai sebuah negeri termaju dan dihormati.  Kami sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama yang diperlukan demi kebaikan parti.  Musibah yang menimpa sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran dan muhasabah bersama untuk kita jadikan panduan agar kesilapan lalu tidak berulang lagi.

Tahniah dan Syabas !!




Isteri Azmin, Shamsidar Taharin menyambut kepulangan Azmin di kediaman mereka 
di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Isnin.

PETALING JAYA: Bakal Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali berterima kasih kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebulat suara menyokong pelantikan beliau selepas mendapat perkenan Sultan Selangor untuk memegang jawatan itu.

Beliau berkata, pilihan Sultan Sharafuddin Idris Shah itu mendapat sokongan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan pimpinan parti yang lain.

 
"Saya berterima kasih kepada presiden parti, (Datuk Seri Dr Wan Azizah) dan semua rakan-rakan pimpinan kerana parti telah sebulat suara menerima saya sebagai calon (pilihan Sultan Selangor)," katanya kepada pemberita di pekarangan ibu pejabat PKR di sini, malam Isnin.

Pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu berkuatkuasa Selasa itu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ditanya adakah ia bermaksud parti merestui pemilihan beliau itu, Azmin hanya berkata: "Parti telah sebulat suara."

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa bersyukur atas pelantikan jawatan itu selepas mendapat perkenan baginda.

"Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T pada petang ini sekitar jam 3 petang, saya telah menerima sepucuk surat dari Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor (Datuk Mohamad Munir Bani), yang memaklumkan bahawa Sultan Selangor telah memperkenankan pelantikan saya sebagai Menteri Besar Selangor mulai 23 September ini.

"Dalam surat yang sama, saya diminta untuk menghadiri majlis angkat sumpah esok pada pukul 10 pagi esok (Selasa) di Istana Alam Shah, Klang," katanya.

Menurut Azmin, beliau telah memaklumkan mengenai pelantikan itu dalam perjumpaan dengan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkembangan terakhir berhubung perkara itu.

Tambahnya, satu mesyuarat Biro Politik tergempar diadakan pada petang Isnin, disusuli dengan perjumpaan semua Adun daripada PKR, dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.

Ditanya apakah sebab-sebab pihak Istana menolak Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar baharu, Azmin berkata, perkara itu tidak dinyatakan kepada beliau.

PKR dan DAP sebelum ini hanya mengemukakan satu nama iaitu Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar untuk diserahkan kepada Sultan Selangor bagi mendapatkan perkenan baginda, manakala, PAS menyerahkan tiga nama calon.

Sebanyak tiga nama disenarai pendek dan telah menghadap Sultan Selangor dan 'ditemuduga' secara berasingan pada minggu lalu.

Selain Azmin, dua lagi calon ialah Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi. / -mstar-

Wednesday, September 17, 2014

Ucapan Anwar Ibrahim pada sesi perasmian Persidangan Ulama Antarabangsa di Istanbul 20 Ogos 2014

ANWAR IBRAHIM: ULAMA DAN IMPAK KEPADA UMMAH.


Ucapan Tahniah kepada Presiden Erdogan

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang sekarang telah dinobatkan sebagai bakal Presiden, Tayyip Recep Erdogan ke atas kemenangan cemerlang melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Party) pada pilihanraya presiden baru-baru ini.

Buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Turki, pilihanraya seumpama itu diadakan (bagi melantik Presiden secara terus) dan ini menunjukkan betapa besar impak positif ke arah reformasi politik dan demokrasi. Saya yakin Turki telah mengambil langkah ke hadapan yang agong dengan membuktikan tanpa keraguan lagi bahawa demokrasi, kebebasan dan keadilan bukan saja serasi dengan Islam, bahkan amat penting demi kemajuan dan kesejahteraan ummah.

Peranan al Qaradawi sebagai 'Alim Mithali

Saya ingin mengambil peluang ini bagi menyatakan penghargaan tertinggi kepada al Fadhil Shaykh Dr Yusuf al-Qaradawi yang bukan saja merupakan autoriti terkemuka fiqh di dunia, tetapi bagi saya, beliau adalah seorang pejuang keadilan dan kebebasan pada ertikata Islam sebenarnya.

Beliau berhadapan dengan kezaliman, layanan buruk dan ketidakadilan berterusan daripada kuasa-kuasa samada dari negara asalnya dan negara-negara Arab lain. Beliau juga sering dihadapkan serangan secara sistematik ke atas watak dan peribadinya oleh Barat. Namun, Shaykh al-Qaradawi beriltizam dan istiqamah dengan pegangannya bahawa jika kita benar-benar tulus ikhlas berjuang untuk keamanan dan keadilan demi Islam, sesungguhnya kita hanya perlu takut kepada Allah s.w.t.

Kita amat berterima kasih ke atas sumbangan gigihnya untuk mengangkat martabat dan peranan ulama dalam dunia yang serba pantas berubah, dan di dalam proses itu telah menolong menggerakkan wacana Islam, Shari'ah dan keadilan ke suatu tahap yang bergema dan seiring dengan idealisme baru dan aspirasi generasi terkini.

Ulama dan Keadilan

Sepanjang sejarah tamadun Islam, ulama telah berperanan dan menduduki tempat yang penting bagi mencorakkan dan menentukan peristiwa yang menzahirkan impak secara langsung kepada ummah. Di dalam proses itu, mereka menyumbang besar kepada perubahan politik dan sosio-ekonomik dalam masyarakat Islam, ada yang untuk kebaikan dan ada pula yang sebaliknya.

Suatu ciri utama peranan ulama terdahulu dan yang masih berterusan adalah hubungan dan interaksi mereka dengan pihak berkuasa. Sejauh mana pengaruh mereka bergantung banyak kepada betapa rapat dan keakraban dengan pihak berkuasa.

Sejarah juga menunjukkan kemaraan atau kejatuhan ulama berada di tangan kerajaan yang memerintah. Kita semua tahu bahawa di bawah pemerintahan Mustafa Kemal pengaruh ulama di Turki hampir pupus.

Di Syria di bawah regim Ba'ath Hafiz al-Asad, para Islamis dibunuh berama-ramai dan keanggotaan di dalam jamaah Ikhwan al Muslimin dihukum sebagai jenayah berat dan dijatuhkan hukuman bunuh. Nasib yang sama ditimpa ke atas Ikhwan dan para ulama yang kuat menentang regim sekular dan diktator Mesir di bawah Gamal Abdel Nasser dan Anwar el-Sadat.

Ini sangat berbeda dengan Turki hari ini, di mana ulama mengambil semula tempat mereka dengan terhormat dan menyumbang aktif dalam wacana nasional bagi menggerakkan ummah kepada aras yang lebih tinggi.

Ulama yang tulen dan sejati mendapat penghormatan tertinggi kita kerana mereka berbakti dengan jiwa raga mereka di jalan perjuangan Islam dan keadilan. Mereka tidak takut kecuali kepada Allah s.w.t. Kita sebutkan ulama tulen kerana ada yang digelar 'ulama' atau menganggap diri mereka sebagai 'ulama' tetapi apabila diuji, ternyata bahawa mereka ini lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Allah s.w.t.

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Qur'an 'ali Imran 3:18)

Mereka yang disebutkan sebagai orang-orang berilmu adalah ulama sejati kerana mereka bukan sahaja 'ulul 'ilmi' malah 'qaa-imambilqisti'.

Oleh itu, ulama yang wajar diberi penghormatan yang tinggi adalah mereka, yang berada di atas landasan keadilan, berdiri tegak berhadapan dengan diktatur dan pemimpin yang zalim. Imam Yahya an-Nawawi adalah seorang di kalangan ulama yang benar.

Imam an Nawawi menolak permintaan Sultan al-Zahir Baibars supaya dia mengeluarkan fatwa bagi menyokong dan mengabsahkan penambahan cukai ke atas rakyat jelata untuk membiayai dana peperangan Sultan menentang puak Mongol. Sementara ulama lain menurut titah perintah Sultan, namun Imam an-Nawawi enggan dan memberitahu Sultan berkenaan bahawa Sultan memiliki hamba sahaya lelaki dan wanita di mana ada sejumlah emas dan barang kemas yang boleh dibelanjakan untuk membiayai dana yang diperlukan sebelum dikenakan cukai ke atas rakyat.

Kita semua ketahui akibat yang Imam an-Nawawi terpaksa tanggung atas pendirian tegasnya. Sultan menjadi murka dan menghalau Imam an Nawawi keluar daripada kota Damsyik.

Sebagai peringatan, Sultan berkenaan bukanlah calang-calang pemimpin dunia Islam. Dia adalah Sultan pertama dinasti Bahri Mamluk abad ke 13. Dia telah menewaskan tentera Salibiyyin – Crusaders pada tiga pertempuran besar dan dia telah memimpin tentera Islam yang mengalahkan puak Mongol pada pertempuran masyhur di Ain Jalut.

Pada segi governan, Sultan Baibars telah membina prasarana yang baik untuk kemajuan ummah dan memberikan perhatian khusus kepada pembangunan sains dan keilmuan Islam.

Namun Sultan Baibars tetap seorang manusia dan dia tidak maksum. Oleh itu, apabila ujian mendatanginya, Imam an-Nawawi membuat pilihan yang jelas dan tegas.

Mesir

Memerhatikan kepada perkembangan di Mesir, kita tahu bagaimana diktatur seperti Nasser dan Sadat telah bergantung kepada ulama Al Azhar untuk tampil di media kawalan kerajaan bagi melawan dan mengutuk Islamis dan pembangkang demokratik.

Kini, Revolusi 25 Januari telah memberikan peluang keemasan kepada rakyat Mesir untuk mengecapi dan menikmati ertikata kebebasan dan demokrasi. Malangnya, selepas dipilih secara demokratik sebagai Presiden, Dr Morsi tidak pernah diberikan ruang atau peluang bagi membawa Mesir ke aras selanjutnya kerana para pengkhianat revolusi serta musuh kepada kebebasan dan keadilan, giat berkomplot bagi mengembalikan Mesir kepada era kegelapan pra-demokrasi.

Pada 3 Julai tahun lalu, General Al-Sisi, dengan alasan kononnya bertindak atas kehendak rakyat jelata, mengadakan rampasan kuasa tentera. Ulama Timur Tengah dan Dunia Islam mengecam tindakan ini.

Malangnya, Sheikh al Azhar (jika berfatwa mengutuk rampasan kuasa sudah tentu akan memberikan impak besar) bertindak bertentangan dengan menyokong rampasan kuasa tentera. Adakah fatwanya dikeluarkan atas nama kebebasan dan keadilan? Atau adakah ianya di atas mendokong kezaliman dan ketidakadilan?

Sepertimana kita semua ketahui, rampasan kuasa ini diikuti dengan pemerintahan ganas – reign of terror. Beribu-ribu rakyat awam, wanita dan kanak-kanak dibunuh sementara Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan paling memalukan banyak negara-negara Arab berpeluk tubuh membiarkan sahaja pembantaian ini.

Ikhwan al Muslimin diisytiharkan sebagai organisasi teroris dan orang yang berjuang menuntut kebebasan serta demokrasi dihukum bunuh atau di penjarakan seumur hidup. Tiga orang wartawan daripada al-Jazeera telah ditahan tanpa bicara, merengkok dipenjara dan kemudiannya dijatuhkan hukuman berat oleh mahkamah sarkis – kangaroo court.

Gaza

Hakikat Gaza suram dan mengerikan. Sejak Julai 8, 2000 orang rakyat Palestin telah dibunuh dengan kejam oleh kerajaan Israel.

Atas alasan kononnya sebagai tindak balas kepada pelancaran roket-roket Hamas, pasukan bersenjata Israel melakukan fasa baru pembunuhan ramai – genosida yang telah menyebabkan kesengsaraan di luar batasan. Pembunuhan beramai-ramai orang awam Palestin dijalankan sewenang-wenangnya tanpa menghirau kecaman oleh seantero dunia.

Negara Israel disokong oleh kehebatan jentera propagandanya bersubahat dengan kesekongkolan media Barat, telah cuba untuk menjustifikasikan jenayah perang yang dilakukannya dengan memomokan Hamas, yang dipamerkan sebagai organisasi teroris dan memaparkan pengeboman bertubi-tubi Israel ke atas penduduk awam Gaza sebagai tindakan mempertahankan diri.

Pertama, Hamas adalah pertubuhan yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat Palestin. Kedua, baru pada April lalu, Hamas bersatu dengan Fatah dan kumpulan Palestin lain untuk bekerjasama bagi mencapai perdamaian. Mereka menyepakati prinsip asasi bagi perjuangan secara aman, status Israel dan mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui sebelumnya.

Ini bukanlah tindak tanduk pertubuhan teroris. Bekas presiden AS Jimmy Carter memperakukan bahawa ini adalah tindakan sah parti politik, yang mewakili sebahagian besar rakyat Palestin, yang komited kepada perdamaian.

Sebenarnya, Israel telah menolak peluang keemasan bagi mencapai keamanan. Tiada sebarang putar belit dapat membenarkan cara tentera Israel melepaskan bedilan-bedilan bom dan pelancaran peluru-peluru berpandu ke atas Gaza, memusnahkan beribu-ribu rumah dan menjadi 250,000 orang penduduk Palestin menjadi pelarian. Israel juga mengebom masjid-masjid, sekolah-sekolah dan pusat-pusat perlindungan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Adalah jelas sekali siapakah sebenarnya teroris. Adalah terang siapakah sebenarnya yang menjalankan penghapusan etnik. Adalah nyata siapakah sebenarnya yang sedang cuba melenyapkan sebuah bangsa daripada permukaan bumi ini.

Kefanatikan mesti dikutuk

Kini, konflik sektarian di Timur Tengah semakin meledak. Kita menyaksikan pertambahan keganasan dan lebih banyak pembunuhan brutal.

Dengan dokongan pihak luar, kemunculan ISIS dan pengisytiharan khilafah Islam di wilayah utara Iraq dan timur selatan Syria serta kekejaman yang dilakukan di atas nama Islam adalah contoh kelasik betapa kefanatikan agama menjadi buas dan liar.

Walauapapun puncanya, pada kesudahannya, mangsa-mangsa pesta keganasan, pembunuhan dan pertumpahan darah ini adalah orang awam yang lemah, wanita dan kanak-kanak yang tidak dapat mempertahankan diri.

Jihad Sebenar

Konflik-konflik ini mempunyai kesan yang menjangkaui Timur Tengah. Peranan ulama amat penting. Dunia Islam mesti bertindak dengan tuntas. Kekejaman ISIS mesti dikutuk dan dikecam samasekali. Samada di atas nama Sunni atau Syiah atau mazhab lain, pembunuhan sembarangan tidak boleh dibenarkan. Ulama mesti berusaha dengan sesungguhnya untuk mempengaruhi dan membenteras kumpulan-kumpulan ekstremis.

Begitulah juga dengan kumpulan-kumpulan pelampau seperti Boko Haram dan al-Shabab yang terus menyebarkan keganasan dan teror di dunia. Ulama mesti mengutuk mereka dan pertubuhan-pertubuhan ekstrem seumpamanya dan menegaskan bahawa kumpulan-kumpulan ini adalah sebenarnya musuh Islam.

Kumpulan-kumpulan pelampau ini yang gemar mencanangkan label-label hukum Shari'ah dan dawlah Islam, sedang merampas agama Islam bagi membenarkan tindakan mereka yang sesat, gasar dan tidak bertamadun. Bukanlah kesucian atau ma'ruf jika menyembelih orang kerana mereka enggan memeluk agama Islam. Bukanlah jihad jika memperkosa wanita atau menculik gadis-gadis pelajar daripada sekolah atau rumah mereka, dan diperlakukan mereka sebagai barangan tebusan.

Bukanlah khilafah Islam atau dawlah Islam jika dibina atas mazbah pertumpahan darah, keganasan dan kebencian. Inilah ciri-ciri yang dijauhi dan ditolak oleh Islam.

Ulama mesti memprakarsai jihad yang tulen dan baru bagi menuntut dan menawan semula apa yang telah direbut dan diragut oleh penjenayah dan pembunuh.

Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (surah al-mujaadila 58:11)

(Ucapan Anwar Ibrahim pada sesi perasmian Persidangan Ulama Antarabangsa di Istanbul 20 Ogos 2014 yang disunting dan diterjemah)

Saturday, September 13, 2014

ANWAR SETUJU GST ? NAJIB BERBOHONG LAGI

Tidak jujur dan mengelirukan, itu kata Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Ketua Umum KEADILAN itu bersetuju untuk mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST) pada tahun 1992.

Kata Anwar, beliau telah menyatakan dengan jelas di Parlimen bahawa GST perlu dilakukan dengan cara ‘telus dan cekap’ dan perlu memenuhi beberapa pra-syarat tertentu sebelum melaksanakannya.

“Ini termasuk urus tadbir yang sesuai, ketelusan, tiada ketirisan dan pembaziran, dan mengelakkan daripada berlakunya amalan rasuah.

“Saya juga telah menekankan bahawa GST harus bermula pada tahap yang rendah,” katanya dalam satu kenyataan

Anwar berkata GST tidak dilakukan sehingga sekarang kerana pra-syarat itu tidak dipenuhi.

“Ini pra-syarat yang tidak dipenuhi sebab itulah tidak pernah dilaksanakan semasa saya menjadi Menteri Kewangan,” katanya

Menurut laporan Malaysian Insider pada 10 Sept, Najib berkata Anwar pernah menyatakan hasrat dalam ucapan bajetnya untuk melaksanakan GST pada tahun 1992 namun Anwar berpatah balik dan tidak melaksanakannya./SK

Monday, September 8, 2014

YB CHEAN CHUNG, ADUN SEMAMBU DILANTIK SEBAGAI KETUA PENERANGAN AMK

Senarai Ahli Majlis Pimpinan AMK penggal 2014-2017

Disertakan nama-nama Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia yang terdiri daripada ahli-ahli yang memenangi pemilihan parti serta yang pemegang jawatan lantikan.

 
 
Masih ada jawatan dalam Majlis Pimpinan Angkatan Muda yang belum dilantik dan perlantikan akan dibuat pada masa yang sesuai.

Perlantikan Ketua-Ketua Angkatan Muda KEADILAN Negeri akan dibuat selepas Perlantikan Pengerusi-Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN.

Saya yakin barisan ini menggabungkan pelbagai latar belakang, bakat dan kekuatan KEADILAN sebagai parti pelbagai kaum dan menginginkan pembaharuan budaya politik di Malaysia yang selari dengan cita rasa golongan muda.
 
BIL NAMA JAWATAN
01 NIK NAZMI NIK AHMAD KETUA
02 AFIF BAHARDIN TIMBALAN
03 NOR HIZWAN AHMAD SETIAUSAHA
04 RAYMOND AHUAR NAIB KETUA
05 MOHD RADZLAN JALALUDIN NAIB KETUA
06 SANGETHA JAYAKUMAR NAIB KETUA
07 AHMAD FAHMI MOHAMAED FADZIL NAIB KETUA
08 TAN KAR HING NAIB KETUA
09 LEE CHEAN CHUNG KETUA PENERANGAN
10 AHMAD ZAHID KHALID BENDAHARI
11 ANWAR NEKHAN EXCO
12 FASYARINI AZAHARI EXCO
13 JESTIN RAJ A/L SAVARIMUTHU EXCO
14 ZAFRIL MOHD EUSOFF EXCO
15 MOHD IZAD BUQHARY MOHD KAMRI EXCO
16 THARMENTRA A/L PERIANNAN EXCO
17 TAMIL SELVAN A/L SUPRA MANIAM EXCO
18 MOHD RIDZUAN BASRI EXCO
19 AMMAR BIN GHAZALI EXCO
20 MOHD FARHAN AHMAD KAMAL EXCO
21 LEE LIAN JENG EXCO
22 HALIMAH NASOHA EXCO
23 KUMASERAN A/L ARAMUGAM EXCO
24 MOHD FIRDAUS YUSOFF EXCO
25 MOHD SUKIRMAN MUSTAFA EXCO
26 TANGAH JANSA ANAK SIEL EXCO
27 NAGARAJAN A/L KANIAPPAN EXCO
28 AFZAINIZAM ABDUL RAHMAN EXCO
29 MOHD RAMLY AHMAD EXCO
30 MURNIE HIDAYAH ANUAR EXCO
31 JOHAN ARIF SALIM EXCO & PENGARAH KOMUNIKASI
32 AKMAL NASRULLAH MOHD NASIR EXCO & PENGARAH STRATEGI
34 MELISSA SASIDARAN EXCO & KETUA BIRO PENDIDIKAN POLITIK
33 NOOR AMIN AHMAD EXCO & KETUA BIRO LATIHAN
34 GINIE LIM SIEW LIN EXCO & KETUA BIRO WANITA MUDA
35 FITRI JAMALUDIN KETUA SKUAD
36 EDIKOUP LAKIP SEDIYANTO KETUA BIRO MAHASISWA
37 NOR AFNI MD YUSUFF KETUA BIRO PENDIDIKAN
38 SUM DEK JOE KETUA BIRO ANTARABANGSA / PENGERUSI KELAB PROGRESIF MALAYSIA
39 SYED SHAH SYED OSMAN PENOLONG SETIAUSAHA I
40 HAFIZ ZAIMUDDIN TIMB KETUA BIRO MAHASISWA


NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

Saturday, September 6, 2014

PAS 'BAHARU' ?

Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) mungkin akan menjadi 'PAS baharu' jika pimpinan semasa parti membuat keputusan untuk keluar daripada PKR dan DAP.

Badan itu ditubuhkan oleh ahli-ahli PAS yang dikatakan sejajar dengan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau dikenali sebagai puak Anwarinas.

Kumpulan itu dilaporkan bersedia untuk menyokong PKR dan DAP untuk memastikan Pakatan Rakyat utuh, berikutan percanggahan pendapat PAS dengan sekutu mereka berhubung siapa yang patut dinamakan sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

PKR dan DAP telah bersetuju untuk hanya mengemukakan nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah ke istana, tetapi PAS bertegas mencalonkan tiga nama yang tersendiri.

Mereka juga bimbang PAS boleh membentuk kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional, satu hasrat yang telah disampaikan pada masa lalu oleh beberapa tokoh-tokoh parti.

Senarai pemegang jawatan PasMa untuk 2014-2016 tersebar melalui media sosial pada Jumaat, dengan nama-nama pemimpin PAS yang menonjol disenaraikan sebagai memegang jawatan tertinggi pergerakan itu.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, yang telah dinamakan sebagai salah seorang naib presiden PasMa, bagaimanapun menafikan menjadi sebahagian daripada kumpulan itu.

"Saya bukan seorang pemegang jawatan. Ia adalah senarai yang salah, yang dilakukan oleh kumpulan dalam PAS yang cuba untuk menjatuhkan kami," Khalid mendakwa, sambil menambah beliau tidak mengetahui tentang agenda PasMa.

Kumpulan itu telah didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan di Kedah pada 11 Ogos dengan bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi sebagai presiden.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi tidak bersetuju dengan pembentukan PasMa dengan berkata ia bukan cara untuk menyelesaikan isu-isu dalaman parti.

"Saya tidak melihat kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah dalaman parti dengan membentuk badan yang berasingan atau 'PAS baharu'.

"Ia adalah satu langkah yang terdesak dan akan meningkatkan kekeliruan di kalangan ahli-ahli parti. Ini sudah tentu akan membawa kepada perpecahan yang besar dalam parti," katanya dalam satu posting Facebook.

Sehingga kini, PasMa dikatakan mempunyai lebih daripada 100 ahli yang dilaporkan mengadakan pertemuan pada 31 Ogos di Kelantan untuk membincangkan strategi untuk mendapatkan lebih banyak sokongan di seluruh negara.

Sumber :mStar