KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Monday, December 26, 2011

WAWANCARA SIRI DUA - HAJI SUHAIMI MENGULAS ISU POLITIK DI PAHANG

 
Wawancara Siri Pertama bersama Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, merangkap Naib Pengerusi 1 MPN Pahang dan Ketua Cabang K.Krau, Tuan Hj Suhaimi Said telah disiarkan di SINI (Klik).  

Berikut adalah Wawancara Siri Kedua, di mana beliau akan mengupas beberapa isu politik semasa khususnya di Negeri Pahang ini. Wawancara ini dibuat tanpa sebarang edit/ubahsuai. Mudah-mudahan dapat dikongsi untuk kebaikan bersama.

--------------------------------------------------------------------------------------
 
Soalan: Bagaimana Tuan melihat persediaan dan harapan Pakatan Rakyat, terutamanya Keadilan sendiri di Negeri Pahang ini di dalam menghadapi PRU ke 13 nanti?
Saya nampak bahawa persediaan Keadilan di Negeri Pahang ini untuk berhadapan dengan Pilihanraya adalah jauh lebih baik daripada PRU-12 di tahun 2008.

Kalau di PRU-12 itu, Keadilan hanya menumpang kepada jentera PAS kecuali Kuantan, kini Keadilan sendiri sudah wujud jentera sendiri. Sehingga ke peringkat ini, Keadilan sudah berjaya menyediakan PACABAnya sendiri serta sukarelawan-sukarelawan yang akan menggerakkan kerja-kerja kempen di peringkat akar umbi.

Harapan untuk Keadilan memenangi beberapa kawasan Parlimen dan DUN yang ditandingi adalah jauh lebih cerah daripada 2008, tetapi kemenangan sebenarnya lebih bergantung kepada pimpinan Cabang yang boleh memberikan tumpuan yang lebih serius kepada kerja parti, kerja massa dan kerja-kerja turun padang; bukan sekadar kerja-kerja ceramah yang hanya boleh dijadikan sebagai usaha saikologi daripada kerja-kerja boleh menarik pengundi-pengundi.

Soalan: Selain dari program ceramah yang lazimnya kita adakan bagi menarik sokongan masyarakat, apakah kaedah lain yang Tuan fikirkan tidak kurang pentingnya bagi mendapatkan sokongan?
Kerja-kerja ceramah akan menjadi berkesan jika kerja-kerja itu didahului dengan kerja-kerja turun padang dengan setiap rumah di dalam kawasan ceramah itu mendapat edaran jemputan ceramah serta risalah-risalah parti.

Tidak ada makna jika ada ceramah besar-besaran yang dihadiri oleh ribuan orang jika ribuan itu sebenarnya datang dari seluruh pelusuk Negeri Pahang sedangkan penduduk tempatan hanya segelintir sahaja yang hadir. Kita kena belajar dari pengalaman yang bertahun-tahun dengan kehadiran ceramah berpuluh ribu tetapi semasa Pilihanraya undi PR tidak berubah bahkan ada di sesetengah tempat mengalami kemerosotan undi.

Soalan: Di samping gerak kerja yang Tuan sebutkan tadi, kerjasama padu di kalangan parti di dalam PR juga amat penting. Pada pandangan Tuan, setakat ini adakah kerjasama di antara parti di dalam PR khususnya di Negeri Pahang sekarang berada di dalam keadaan baik?
Saya kira hubungan di antara parti-parti PR di Negeri Pahang ini adalah jauh lebih baik dari sebelum ini, tetapi masih perlu diperbaiki lagi. Tetapi untuk diperbaiki kerjasama itu, Keadilan perlu menunjukkan kekuatan bukan sahaja dari segi keanggotaan yang ramai dan organisasi yang kompak tetapi kesungguhan pimpinannya di peringkat Cabang untuk turun padang dengan lebih meyakinkan. Jika tidak, parti-parti lain di dalam PR masih mengatakan bahawa Keadilan hanya bergantung kepada jentera mereka.

Soalan: Maksud Tuan?

Sejak 2008 dahulu, mari kita lihat di setiap Cabang. Sudahkah ranting-ranting bertambah? Sudahkah anggota-anggota bertambah? Cabang kita aktif atau pun tidak? Atau hanya bermain dengan saikologi khususnya apabila pemimpin besar turun memberikan ceramah seperti kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim dan kita dapati ribuan manusia hadir, manakala apabila pemimpin-pemimpin Cabang sahaja yang turun, kehadirannya hanyalah puluhan manusia sahaja.

Soalan: Bagaimana hubungan Tuan samada selaku Naib Pengerusi MPN atau Ketua Cabang dengan pimpinan-pimpinan lain di dalam parti?
Saya sebenarnya tidak ada perbalahan secara peribadi dengan mana-mana pemimpin Cabang. Yang aktif adalah rakan karib saya dan yang tidak aktif akan saya sentiasa tegur. Saya yakin dengan teori perpaduan-kritik diri-perpaduan, dan juga teori kritik dan kritik diri. Saya sanggup mengkritik dan saya sanggup kena kritik. Saya tidak suka kepada mana-mana pemimpin yang hanya pandai mengkritik tetapi tidak sanggup menerima kritik. Ada juga pemimpin yang cuba bersikap hipokrit yang secara terbuka sanggup dikritik tetapi tidak memperbetulkan apa yang dikritik.

Mungkin ada yang menghadapi "cultural shock" dengan sikap saya. Bagi saya, kritik-kritik diri-perpaduan ini saya telah belajar dari perjuangan PRM/PSRM yang menjadikan teori itu sebagai pegangan anggota-anggotanya dan pemimpin-pemimpinnya.

Soalan: Tidakkah terlalu banyak mengkritik boleh menimbulkan suasana yang tidak baik buat parti?
Saya mengkritik untuk kemajuan parti tetapi teori krtik ini jika tidak difahami boleh membawa kepada perpecahan, dan saya mengkritik pun adalah di bidang-bidang yang wajar sahaja iaitu di bidang yang sudah sepatutnya disempurnakan tetapi tidak disempurnakan.

Pergerakan rakyat yang menolak teori kritik-kritik diri-perpaduan-kemajuan akan terjebak kepada pimpinan yang ego dan tidak boleh ditegur dan akhirnya membawa kelemahan kepada parti.

Soalan: Benarkah seperti dakwaan sebuah portal, Keadilan di Pahang masih mempunyai `team' atau puak bermula dari Pemilihan Pimpinan peringkat Pusat yang lalu? Maksud saya, masih terdapat puak Azmin Ali dan puak Zaid Ibrahim walaupun Zaid kini tidak berada di dalam parti?

Memang betul bahawa semasa Pemilihan Pimpinan Pusat yang lalu, hanya saya, Sdr Haji Abas dan Sdr Zakaria sahaja yang memihak kepada Azmin Ali, dan lain-lain Cabang memihak kepada Zaid Ibrahim. Dari segi Cabang-Cabang di Pahang, majoritinya menyokong Zaid, tetapi dari segi undinya Azmin Ali mendahului jumlah undi yang besar di Pahang.

Saya memang bersungguh-sungguh untuk memenangkan Azmin Ali menjadi Timbalan Presiden pada waktu itu, dan rakan-rakan saya yang lain juga bersungguh-sungguh memberikan sokongan kepada Zaid Ibrahim. Bagi saya sokongan yang berbeza itu tidaklah bermakna wujudnya perpecahan di dalam parti kerana pada waktu itu Zaid Ibrahim adalah anggota parti, maka terserah kepada anggota-anggota parti untuk mengundi samada Sdr Azmin, Zaid Ibrahim atau Mustafa Kamal Ayub.

Soalan: Ini bermakna tiada berlaku perpecahan sejurus pemilihan tersebut? Bagaimana pula anggapan sesetengah pihak yang mendakwa kononnya penyokong-penyokong Azmin mendapat layanan istimewa dan sebaliknya kepada mereka yang pernah menyokong Zaid Ibrahim?

Saya sangat bergembira kerana selepas selesai pemilihan itu pimpinan Pahang telah kembali bersatu. Dan saya juga gembira kerana Sdr Azmin Ali tidak membeza-bezakan di antara Cabang-Cabang yang menyokongnya dengan Cabang-Cabang yang tidak menyokongnya.

Saya selaku penyokong kuat Azmin Ali tidak pula mendapat apa-apa keistimewaan daripada beliau. Sejak beliau menang selaku Timbalan Presiden beliau belum pernah membuat sebarang lawatan ke Kuala Krau bahkan beliau sudah pun melawat Cabang-Cabang yang memberikan sokongan kepada Zaid Ibrahim di Pahang ini.

Soalan: Mungkin mereka beranggapan sedemikian kerana Tuan dan beberapa orang yang menyokong Azmin kini mendapat kedudukan di MPP?

Ada juga sesetengah pihak di Pahang mempersoalkan kedudukan saya dan Haji Abas kerana kami dilantik sebagai Anggota MPP. Saya adalah Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR manakala Haji Abas adalah Pengerusi Biro Pendidikan.

Semua Pengerusi Biro di dalam Keadilan duduk di dalam MPP. Haji Abas adalah seorang bekas pendidik dan menjadi bekas Pegawai Pendidikan di Kementerian Pelajaran dan beliau adalah layak menjadi Pengerusi Biro Pendidikan. Saya tidak tahu samada saya ini layak atau pun tidak menduduki Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, tetapi jika ada mana-mana pihak yang memberikan tumpuan utamanya kepada masyarakat Felda dan Orang Asal melebihi daripada apa yang saya berikan tumpuan, saya lebih rela tidak dilantik sebagai Pengerusi Biro ini.

Maka untuk menyatakan bahawa saya dan Haji Abas dilantik menjadi anggota MPP kerana peranan kami memenangkan undi Azmin Ali di Pahang semasa pemilihan dulu adalah suatu pandangan yang menjijikkan.

Soalan: Tuan dilihat begitu aktif di dalam Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal. Bagaimana pula dengan prestasi Cabang K.Krau yang Tuan sendiri sebagai ketuanya?
Cabang Kuala Krau merupakan Cabang yang paling aktif di Negeri Pahang. Kini keanggotaanya sudah ramai dan ramai pula yang menganggotainya sekarang ini mempunyai kelayakan yang baik, tidak seperti semasa Cabang ini mula-mula dibuka dahulu.

Ramai yang layak menduduki Jawatankuasa Cabang termasuklah menjadi Ketua Cabang. Saya memang memahukan lebih ramai mereka yang layak berada di Cabang ini agar memudahkan peralihan pertukaran jawatankuasa apabila masanya diperlukan nanti.

Soalan: Bagaimana dengan perhubungan dan kerjasama ahli di Cabang K.Krau?

Saya sememangnya menekankan hubungan yang baik di kalangan anggota-anggota jawatankuasa tetapi kriteria saya adalah kepada mereka yang sanggup melakukan kerja parti dan kerja masyarakat. Saya suka tegur mana-mana jawatankuasa yang tidak berfungsi kerana saya tidak mahu jawatankuasa hanya memegang jawatan tetapi segan melakukan kerja.

Jawatankuasa Keadilan Cabang Kuala Krau sentiasa turun padang. Saya tidak membezakan di antara anggota biasa dengan pimpinan Cabang di dalam menjalankan kerja-kerja parti dan masyarakat. Mana-mana anggota jawatankuasa yang terlalu berat punggung memang sentiasa ditegur, dan jika anggota jawatankuasa itu merupakan jawatankuasa yang dilantik, saya memberikan beberapa kali teguran, dan jika tidak ada perubahan juga, saya akan gantikan dengan anggota yang lain.

Soalan: Difahamkan di Cabang K.Krau kerap berlaku pertukaran Ahli Jawatankuasanya. Mengapa ianya berlaku?

Sebab saya mahu setiap AJK itu aktif dan sentiasa bersemangat. Kepada AJK yang dipilih tidak bolehlah saya tukar-ganti, itu adalah hak anggota, hanya mesyuarat pemilihan MATC sahaja yang boleh menggantikan mereka.

Tetapi pengalaman saya menukarkan seorang Setiausaha Cabang yang tidak aktif telah mendapat tentangan daripada Setiausaha yang digantikan itu kononnya saya menggunakan kuasa veto. Habis keseluruh Negeri Pahang ini beliau jaja saya sebagai Ketua Cabang yang menggunakan kuasa veto menggugurkan beliau.

Soalan: Bagaimana Tuan memperjelaskan dakwaan tersebut?

Saya panggil Jawatankuasa Cabang dan memberikan pandangan bahawa saya mahu menukarkan Setiausaha itu dengan Setiausaha yang baru dan kesemua Jawatankuasa Cabang bersetuju. Dengan persetujuan itu, saya menghantar SMS kepada Setiausaha Cabang yang digantikan itu memberitahunya tentang pertukaran itu dan saya meminta darinya supaya menumpukan kepada tugas yang beliau pegang di dalam Cabang.

Rupa-rupanya, beliau telah menyerang saya dengan menalipon dan menghantar SMS kepada hampir semua Jawatankuasa Cabang bahawa beliau telah digantikan di atas kuasa veto (kuku besi) saya. Saya sangat kecewa dan kerana itu saya panggil semula mesyuarat Jawatankuasa Cabang dan saya pohon Setiausaha yang digantikan itu supaya hadir mesyuarat itu.

Soalan: Mengikut peraturan, jawatan Setiausaha adalah dilantik sendiri oleh Ketua Cabang tanpa memerlukan sokongan atau persetujuan dari sesiapa. Mengapa Tuan harus memanggil Mesyuarat semata-mata isu perlantikan Setiusaha ini?

Di mesyuarat itu saya bentangkan sekali lagi hajat saya menggantikan Setiausaha itu; tetapi Setiausaha itu tidak hadir, dan mesyuarat itu sekali lagi 100% bersetuju dengan perlantikan Setiausaha yang baru.

Sekali lagi Setiausaha yang digantikan itu menyerang saya dengan menyatakan bahawa hanya Orang-Orang Asal sahaja yang bersetuju dengan perlantikan baru itu.

Alhamdulillah, di dalam Mesyuarat JK Cabang berikutnya beliau hadir mesyuarat, dan di dalam mesyuarat itu saya bacakan peruntukan Perlembagaan PKR berhubungan perlantikan 5 jawatan utama di dalam parti dan juga Jawatankuasa tambahan bahawa Perlembagaan memperuntukkan kuasa kepada Ketua Cabang membuat perlantikan tanpa perlu merujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Cabang.

Saya sengaja membawakan isu perlantikan itu di dalam Mesyuarat JK Cabang agar dapat diambil keputusan bersama. Rupa-rupanya bekas Setiausaha itu tidak pernah membaca Perlembagaan Parti.

Soalan: Adakah Cabang K.Krau mempunyai masalah untuk menyenaraikan calon di dalam PRU akan datang?

Mengenai calon Keadilan untuk DUN Jenderak, saya rujuk kepada Mesyuarat Jawatankuasa Cabang. Walaupun nama saya dicadangkan sebagai calon tunggal untuk parti, saya tidak mahu memperakukan dan saya lebih suka kalau lebih ramai senarai calon dikemukakan kepada Ibu Pejabat Negeri dan seterusnya dibawa ke Pusat supaya dapat dibuat pemilihan oleh Keadilan Pusat.

Soalan: Apakah harapan Tuan kepada mereka yang telah disenaraikan sebagai calon ?

Saya menekankan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa agar mana-mana mereka yang tersenarai itu tidak menjadikan isu jika salah seorang daripada mereka di dalam senarai berkenaan terpilih sebagai calon.

Soalan: Adakah Tuan sendiri jika dicalonkan, bersedia untuk bertanding?

Saya telah berucap didalam MATC yang lepas bahawa saya tidak berhajat untuk menjadi calon, tetapi sanggup membantu calon yang terpilih agar calon Keadilan di DUN Jenderak memperolehi kemenangan.

Saya memberitahu Mesyuarat MPN Pahang bahawa saya memohon agar diri saya tidak disenaraikan di dalam senarai calon. Saya tekankan lagi semasa mesyuarat JPRN di Jengka 4 Maran, dan sekali lagi semasa mesyuarat JPRN di Raub.

Soalan: Mengapa Tuan bertindak sedemikian?

Saya telah berucap di dalam Mesyuarat JPRN Pahang di Raub baru-baru ini, di mana saya tegaskan di dalam ucapan saya lebih kurang, " Saya berharap perjuangan kita biarlah ikhlas, kita berjuang untuk parti dan rakyat, bukan untuk kepentingan diri kita sendiri. Saya adalah anggota MPP, Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pusat, Naib Pengerusi 1 PKR Pahang dan Ketua PKR Cabang Kuala Krau. Ertinya, saya ada jawatan agak tinggi di dalam parti tetapi saya sanggup untuk tidak menjadi calon dan sanggup menyokong calon yang diputuskan oleh pimpiinan parti. Saya berharap tidaklah wujud perebutan di kalangan pimpinan parti untuk menjadi calon. Biarlah pimpinan parti membuat keputusan dan setiap anggota memberikan sokongan," Begitulah di antara isi ucapan saya.

Soalan: Bagaimana pandangan Tuan terhadap calon yang lebih muda?

Sebenarnya saya lebih suka melihat calon-calon yang lebih muda tetapi yang sanggup berkorban untuk parti.

Soalan: Pandangan Tuan pula tentang peluang Keadilan di beberapa kawasan?

Pandangan saya berhubung dengan peluang calon-calon Keadilan menang di dalam PRU-13, adalah berbelah bagi. Ada pimpinan Cabang yang kuat kerja tetapi kawasan yang diwakilinya adalah kawasan yang sangat konserbatif terdiri daripada pengundi-pengundi yang tegar sukar berubah. Mungkin ada pimpinan Cabang yang berat punggung, sukar turun padang, tetapi mewakili kawasan yang selesa dan mudah menang. Ada kemungkinan calon-calon yang rajin buat kerja akan kalah dan calon-calon yang berat punggung akan menang.

Soalan: Nampaknya Tuan seperti yakin ada kawasan yang `mudah menang' tetapi Tuan mungkin merasa kurang puas hati di atas gerak kerja di kawasan tersebut?

Apa-apa pun masa masih boleh digunakan untuk merubah keadaan, khususnya di kawasan-kawasan yang "mudah menang". Amat diharapkan supaya pimpinan mereka terutamanya yang akan menjadi calon sememangnya boleh menang di dalam PRU nanti dengan syarat mereka bertukar menjadi ringan tulang daripada berat punggung!

TAMAT


[Terima kasih kepada Tuan Hj Suhaimi di atas kerjasama dan melapangkan sedikit masa untuk wawancara ini. Selepas ini, tunggu Wawancara Khas seterusnya bersama beberapa pimpinan yang lain]

No comments:

Post a Comment