Sepanjang Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, jelas tiada yang istimewa dapat dilihat melainkan rata-rata pemimpin Umno yang berucap meluahkan rasa gementar mereka untuk menghadapi PRU ke 13 tidak beberapa lama lagi.
Awal mula ucapan Muhyiddin sewaktu berucap merasmikan Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno serentak, sudah cukup menggambarkan Umno kini amat tertekan dengan kebangkitan rakyat yang luar biasa sekarang ini. Maka, timbullah berbagai ungkapan seperti "PRU kali ini adalah menentukan hidup dan matinya Umno".
Apabila bermulanya persidangan, daripada awal ucapan dasar Presiden sehinggalah ucapan penggulungan, tiada apa yang diperolehi untuk menafaatkan orang-orang Melayu kecuali ucapan mereka adalah maki hamun dan membuat fitnah sesama Melayu. Daripada pemimpin nombor satu mereka sehinggalah ucapan para pencacai di bawah, kesemuanya berucap di dalam rentak yang sama. Mereka memaki hamun pemimpin PAS, PKR dan DAP. Mereka menuduh PAS parti ajaran sesat, tetapi mereka lupa Umno telah beberapa kali `melutut dan menyembah' kaki PAS agar bersatu dengan Umno. Mengapa Umno mahu bersatu dengan parti `ajaran sesat' ini? Ertinya, Umno memang kaki fitnah dan jenis parti yang tidak tahu malu.
Ucapan rasis dari beberapa pemimpin Umno terhadap DAP juga memperlihatkan Umno begitu tertekan dengan sokongan kaum Cina terhadap Pakatan Rakyat. Maka, dibawa semula irama 13 Mei 69. Begitulah jijiknya Umno berpolitik sehingga tidak memperdulikan keharmonian negara ini asalkan mereka dapat menduduki Putrajaya sehingga kiamat. Apa perjuangan untuk negara dan bangsa yang diketengahkan oleh Umno sepanjang perhimpunan kali ini? Jawapannya, Zero. Perjuangan untuk agama jauh sekali, cuma sekadar memetik beberapa ayat Al-Quran dan Hadith yang dibacanya pun agak pelik bunyinya. Mengapa tidak pelik, parti yang terang-terang menolak hukum Islam menggunakan ayat Al-Quran?
Shahrizat hanya berani `berkokok' di dalam PWTC sahaja.... |
Isu Feedlot (NFC)? Tiada siapa yang mahu membahaskan isu ini dengan panjang lebar. Kebetulan, Timbalan Ketua Polis Negara pun mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan awal didapati tiada berlaku pecah amanah di dalam isu NFC. Mengapa siasatan belum selesai sudah diumumkan? Pengumuman pula sewaktu persidangan Umno? Apakah kesemua perwakilan Umno tidak tahu langsung tentang isu ini? Amat malang sekali.
Berhujan di luar khemah |
Malam tadi, sehari selepas Umno mengumpulkan segala usaha dan tenaga mereka memaki hamun dan membuat fitnah terhadap Pakatan Rakyat, bertempat di Shah Alam suatu perhimpunan RAPAT telah diadakan oleh Pakatan Rakyat. Lebih dari 5,000 orang hadir malam tadi walaupun hujan turun dan khemah-khemah yang disediakan tidak mampu menampung jumlah kehadiran.
Memenuhi ruang luar dan dalam khemah |
Pemidato hebat malam tadi terdiri dari DS Anwar Ibrahim, Tuan Guru Hj Hadi Awang, Tuan Guru Nik Aziz dan juga Lim Kit Siang. Turut berucap adalah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan MB Selangor.
Tekun mendengar penerangan yang diberikan |
Segala hujah Umno sewaktu Perhimpunan Agung mereka telah dijawab sekaligus oleh pimpinan Pakatan Rakyat. DS Anwar mencabar Umno untuk terus mara ke Selangor, dan Pakatan Rakyat akan mara ke Putrajaya. Beliau juga memberi ingatan kepada Umno, samada beliau dipenjarakan atau tidak, rakyat tetap akan bangkit untuk menumbangkan Umno/Bn. Presiden PAS pula menjawab tuduhan kononnya PAS diperkudakan oleh DAP. Beliau menyindir Umno dengan menyatakan lebih baik di`perkuda'kan dari `diperlembukan' kerana kuda digunakan untuk berjuang tetapi lembu untuk disembelih. Lim Kit Siang pula, secara tegasnya menyebut bahawa DAP tetap menyokong Islam sebagai agama rasmi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Tuduhan bahawa DAP anti Islam hanyalah tuduhan jahat Umno yang mereka sendiri gagal buktikan.
Jelas, perhimpunan RAPAT malam tadi telah menambahkan tekanan buat Umno. Serang balas Pakatan Rakyat yang cepat dan pantas menjadikan segala yang diucapkan oleh pemimpin-pemimpin Umno di PWTC selama beberapa hari yang lalu tidak lagi berguna dan menjadi hampas belaka.
Foto Ihsan: Milo Suam
No comments:
Post a Comment