KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Friday, July 25, 2014

Felda Nafi Duit Raya, 20 Peneroka Buat Laporan Polis


 
Seramai 20 orang peneroka Felda dari Gugusan Bera dan Rompin membuat laporan Polis di IPD Kuantan kerana dinafikan wang dividen FGV dan saguhati hari raya yang berjumlah hampir seribu ringgit.

Mereka adalah sebahagian daripada lebih seribu orang peneroka seluruh negara yang tidak dibayar sebagaimana sepatutnya, meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataannya pada 6 Julai 2014 lalu menyebut dengan jelas bahawa seramai 112,635 orang peneroka layak menerimanya.

 
 
Menurut Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, tindakan Felda atas alasan peneroka menyaman Felda kerana isu Kadar Perahan (KPG) dan lain-lain adalah tidak berasas dan zalim.

"Ia bertentangan dengan hak asasi dan Perlembagaan Negara yang membenarkan setiap warganegara mendapatkan haknya mengikut saluran undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Mazlan, usaha para peneroka Felda membuat laporan polis adalah wajar setelah pihak Felda bertegas enggan membayar saguhati Hari raya dan dividen FGV seperti mana sepatutnya.

"Bukan sahaja enggan berunding, peneroka dihamburkan kata-kata yang amat mengguris perasaan.
"Saya telah membuat perbincangan dengan team peguam Anak dan setelah meneliti kes ini, ada asas yang kuat untuk mengambil tindakan terhadap pengurusan Felda," katanya.

 
 
Bagi tujuan membantu peneroka mendapatkan wang berkenaan, Anak menubuhkan satu taskforce diketuai Pengerusi Ngo Anak Pahang Yohanis Ahmad untuk mengumpul semua maklumat peneroka seperti yang dikehendaki peguam. Beliau boleh di hubungi seperti di talian hp 0133039913.

"Sikap berdendam Felda nampaknya tidak reda walaupun dalam bulan ramadhan. Justeru, langkah membuat laporan polis dan tindakan undang2 terpaksa dilakukan kerana itulah pilihan yang ada," katanya.

Felda sebelum ini, mengumumkan 'durian runtuh' kepada peneroka Felda sempena Aidilfitri menerusi pembayaran dividen saham individu dan dividen tabung amanah daripada FGV.

Namun, Felda memaklumkan bahawa para peneroka yang terlibat dalam kes saman agensi itu tidak akan dibayar duit raya dan dividen FGV. - HARAKAHDAILY

Wednesday, July 23, 2014

Langkah Kajang Tepat, Walau Saya Derita – Anwar







KUALA LUMPUR 22 JULAI: Selepas 15 tahun dan teruji dalam empat pilihan raya umum, Parti KEADILAN Rakyat membuktikan bahawa kehadirannya dalam arena politik Malaysia bukan omongan kosong tetapi wadah yang mewakili suara golongan marhaen yang terus ditindas kerajaan Umno-BN.

Selain ditindas pelbagai isu yang melingkari KEADILAN juga menarik perhatian khalayak untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Kemelut politik di Selangor dan juga kekecohan pemilihan parti sering menjadi modal kepada media arus perdana untuk menyerang KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

Bagi mendapat informasi tepat editorial Suara Keadilan (SK) yang diketuai Ketua Pengarang Najib Hashim menemubual Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di ibu pejabat KEADILAN.

SK
Bagaimana Datuk Seri melihat hubungan Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke13 lalu, adakah kelemahan sudah diperbaiki untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 yang akan datang?

DSAI  
Kita tumpu agenda bersama dari semasa ke semasa, tugas saya dan pimpinan adalah untuk kembali fokus kepada kerangka besar perjuangan Pakatan Rakyat dan jana perubahan yang kita sepakat.

Kalau tidak, kita diheret oleh hal-hal yang sengaja dibesarkan untuk menimbulkan ketegangan. Daripada Allah, Injil, hudud dan perbalahan persaingan dalam parti. Dalam pemilihan parti mana-mana pun ada pertelingkan tetapi oleh kerana kita ini pembangkang dan media dikuasai pemerintah ia digembar gemburkan.

Kalau saya nak sentuh sikit mengenai parti, kita tegas jawatankuasa pemilihan tegas tetapi orang mahu tindakan. Ada bukti boleh bertindak, tidak ada bukti tidak boleh bertindak.

Keduanya, atas gerombolan-gerombolan gangster yang terlibat. Mereka ini bukan ahli, kita pecat tak boleh, kita buat laporan polis, polis bongkar habis masalah kita pula.

Tetapi tentu ada beberapa kelemahan dari segi anggota, dari segi mengangkut pengundi-pengundi yang kita rasa walaupun tidak melanggar peraturan tetapi tidak melihatkan suatu hasrat perubahan parti reformasi.

SK  
Situasi ini mencetuskan pandangan rakyat di bawah bahawa parti KEADILAN bermasalah dan tidak stabil. Jadi macam mana rakyat nak meletak harapan pada satu organisasi yang tak stabil?

DSAI
Sebagai contoh, kalau lihat ketakstabilan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, yang pertama pimpinan Cina baru saja dibawa ke kabinet.

Dalam parti (BN) macam auto-pilot masing-masing keluar kenyataan ikut kehendak mereka dalam memperkatakan sesuatu isu, melanggar tatasusila, melanggar hukum. Itupun tidak terkawal.

Ini berbeda dalam Pakatan Rakyat walaupun ada beberapa isu yang saya bangkitkan tadi, ia tidak menjejaskan hubungan kita.

Hubungan akrab dan tekad kita berkorban, bangun tidak ada tolak ansur soal media bebas, negara hukum, lawan korupsi ataupun tuntukan ekonomi dan mengurangkan ketaksamaan antara golongan orang kaya dan miskin.

Tetapi biasa kita kadang-kadang diheret dalam isu-isu peribadi dan kepentingan kelompok. Sebab itu pimpinan Pakatan Rakyat harus diperingatkan bahawa ada agenda kerangka besar yang sudah disepakati. Saya yakin persepsi ini akan akan berubah.

Ada orang menegur saya, dia kata ‘Anwar tidak melakukan yang sewajarnya untuk memberikan kepimpinan’. Ia tidak mudah sebab pertamanya kita dapati pembangkang yang mampu hanya menarik dengan cara memujuk bukan ada kuasa.

Keduanya dalam beberapa isu saya kelihatan tegas dan kurang disenangi pemerintah tetapi inilah harapan rakyat. Saya perlu tegas dalam isu yang melibatkan kaum, agama, ekonomi, kemiskinan dan pencukaian kerana perkara ini sudah sampai ke tahap tidak terkendali oleh Barisan Nasional.

SK
Kekecohan dalam pemilihan KEADILAN, bagaimana hendak menangani persepsi ini?

DSAI
Kita lihat fakta bahawa memang benar ada petugas-petugas Jawatan Kuasa Pemilihan Parti(JPP) diperingkat bawahan yang tidak amanah, malah ada yang dipecat bukan sahaja dari jawatan juga anggota(KEADILAN).

Tapi JPP itu sendiri tetap berwibawa sebab dia dengar semua maklumat. Orang mengharapkan tindakan diambil tetapi tindakan hanya diambil jika ada fakta yang jelas bukan ikut sentimen.. Tapi setakat saya lihat JPP tegas dan bila dilapor memang ada tindakan.

Ini berbeda dengan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR). SPR, dia bersekongkol dengan penipuan. Kita akui sebaik sahaja ada bukti penipuan mesyuarat semula, atau disingkirkan atau dilarang dari pegang jawatan.

Dan orang yang menang atau pegang jawatan belum jamin dia akan kekal disitu sebab kalau ada bukti-bukti kita akan gantung. Saya tidak peduli. Saya berikan satu ketegasan yang tidak tolak ansur.

Kita mengharungi liku-liku reformasi ini kerana rakyat, penyokong-penyokong inginkan perubahan. Jadi sekiranya pimpinan termasuklah kalau yang menang pun terbukti tercalar rekod dan penipuan tidak ada ruang.

Saya bagi tahu, ada orang ingat oleh kerana dia ketua cabang, dia automatik akan jadi ahli majlis. Saya akan bagitahu menteri besar ataupun kerajaan negeri itu bukan pertimbangan. Dia menang kalau caranya dipertikai, rekodnya tidak baik ataupun ada kecenderungan mengumpul kekayaan melalui jawatan kita tidak akan mengizinkan.

SK
Rata-rata masyarakat Melayu terutama di luar bandar melihat Pakatan Rakyat, khususnya KEADILAN dilihat lebih pro kepada bukan Melayu. Timbul persepsi KEADILAN menyisihkan hak-hak orang Melayu?

DSAI
Isunya mudah Umno mempamerkan mereka itu seolah-olah memonopoli isu Melayu. Saya nak jelaskan ini tidak benar. Kalau betul pun dia pro Melayu kenapa harta Melayu diangkut untuk memperkayakan kelompok kuasa tertentu.

Kalau betul dia(Umno) pro Melayu kenapa tanah rizab Melayu tergadai. Kalau benar betul Melayu kenapa anak-anak Melayu dibeban dengan hutang untuk belajar di universiti berbeda dengan pendirian kita.

Yang keduanya, berjuang hak Melayu dalam masa sama kita tidak harus mengizinkan ketidakadilan dan menekan hak orang lain.

Dakwaan kita hanya menjaga kepentingan ekonomi bukan Melayu sahaja tidak benar. Contoh dari segi bahasa, ekonomi, kemiskinan, soal akhlak, soal dakwah itu saya perjuangkan. Ini hal-hal yang dekat dengan Islam dan Melayu.

Ini berbeda dengan slogan wasatiyah dan sebagainya yang digunakan pemerintah. Jadi kita kena bezakan. Ia ambil masa sedikit, betul! sebab masyarakat umum juga mungkin terpukau dengan slogan dan mungkin pengaruh dengan sogokan media dan wang.

Tapi ia tidak pernah berkesan dalam jangka masa panjang bila masyarakat itu terdedah dengan maklumat.

SK
Boleh komen sikit berkenaan trend pengundi Cina yang agak merosot terhadap Pakatan Rakyat dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini?

DSAI
Kalau lihat Kajang, calonnya Melayu undinya masih tinggi 75 persen cukup tinggi. Ramai yang tidak baliki mengundi dan beranggapan kita(Pakatan Rakyat) akan menang, tidak terdesak sebelum pilihan raya umum lalu.

Begitu juga DAP di Teluk Intan, saya tidak fikir ada yang harus dibimbangkan penduduk Cina, Melayu dan India di bandar yang terdedah dengan maklumat dan media alternatif yang selalunya beri pilihan yang terbaik.

Atas pada 60 peratus itu cukup tinggi, cuma masalah kita yang lebih besar adalah keupayaan kita menembusi kawasan pedalaman yang tidak punyai media alternatif.

SK
Apa strategi untuk kawasan pedalaman sebab kita disekat akses seluruh media?

DSAI
Kita akan turun. Sebab itu saya pesan kepada calon-calon terutama jawatan besar, saya nak tengok dia kerja sekuat selepas pemilihan. Kadang-kadang ada kelihatan idealisma ataupun dorongan jawatan itu cukup kuat hingga dia boleh bekerja begitu gigih tapi tidak membina kekuatan parti.

Jadi saya akan melihat pastikan orang yang gigih dari segi dana,tenaga dan jentera membina kekuatan untuk merebut jawatan harus konsisten, tuntas dengan langkah mereka dan akan membina kekuatan parti dan untuk menerobos ke kawasan yang kita anggap lemah selama ini.

SK
Setakat ini bagaimana perancangan langkah Kajang? Rakyat dan orang parti sendiri nak tahu. Pihak SK menerima penggilan ahli parti bertanya apa perkembangan? Bila nak tukar? Siapa nak naik?

DSAI
Langkah Kajang itu memang satu langkah untuk mengangkat keupayaan Selangor sebagai menjadi pencetus kepada perubahan dan Umno tahu benda itu, maka diguna mahkamah untuk menyekat kemenangan saya.

Langkah Kajang itu rasionalnya jelas sama ada Anwar bertapak di situ atau tidak. Kedua, rasional masih kekal harus ada komitmen dari semua pihak. Sebab itu saya kata, saya bagi nasihat tidak wajar untuk bantahan-bantahan dikeluarkan di luar.

Kita ada salurannya dan keputusan sudah dibuat. Langkah Kajang itu keputusan untuk membawa perubahan. Tidak ada makna untuk dijadikan sebagai untuk menyerang satu sama lain.

Tapi sebaliknya orang yang menganggap jawatan itu sebagai jawatan tetap untuk peribadi,tidak! Agenda yang penting itu agenda perjuangan. Kita buat sebaik yang mampu, saya rasa saya buat yang mampu. Saya fikir saya boleh dan sekarang saya disekat, baik orang lain jalan.

SK
Jadi maksud Datuk Seri, kejayaan langkah Kajang itu ditentukan kejayaan menukar MB?

DSAI
Saya sebut mengangkat perubahan MB walaupun kita tengok kadang-kadang dalam parti mungkin ada ekstrim menolak unsur kebaikan yang telah dia (MB) lakukan.

Ini bukan soal mempertahankan setengah orang dan nak buang sesetengah orang. Ada yang bersetuju untuk pertahan kerana dia ada bisnes. Orang yang tidak bersetuju pula sebab dia pun nak bisnes juga.

Jadi soal itu bagi saya yang penting soal agenda. Apakah kita harus biarkan keadaan di mana tidak dapat lihat satu kejutan atau satu tarikan baru untuk mengangkat keyakinan?Dia tidak boleh anggarkan begitu.

Kalau kita tengok pengalaman,di Perak dan di Kedah umpamanya mengajar kita kadang-kadang teguran orang ramai kena dengar juga. Ini bukan soal parti sahaja. Ini soal parti yang prihatin dan peka terhadap kegelisahan rakyat.

SK
Ada dateline untuk langkah Kajang?

DSAI
Kita harus segerakan.

SK
Secepat mana harus disegerakan itu?

DSAI
Kalau boleh esoklah (gurau). Ini soal ruang kita harus bincang secara baik di antara sahabat-sahabat bukan bawa kepada serangan. Sebab itu, saya kata bila bawa kepada serangan peribadi ini jadi bahan permusuhan.

Tidak dinafikan Tan Sri Khalid (Ibrahim) sebagai MB, beliau telah meletakkan asas yang baik, kelola kerajaan yang baik.

Tapi saya juga gesa mana-mana pimpinan tidak harus tertakluk kepada orang yang mengepung di sekeliling termasuk saya.

Harus membuka ruang dan kemudian ada menjana perubahan-perubahan baru. Ini sebab mengapa kita memilih strategi langkah Kajang. Dan memang langkah yang cukup baik sebab itu Umno guna semua kelengkapan politik untuk menjahanamkannya kerana dia tahu kesannya.

Mustahil juga mahkamah tertinggi boleh pinda tarikh semata-mata pilihanraya Kajang. Maknanya strategi kita tepat walaupun menjadi mangsa deritanya saya.

SK
Ada juga persepsi masyarakat mengatakan kegagalan langkah Kajang ini berpunca dari KEADILAN sendiri yang terperangkap antara kehendak parti dengan kehendak rakyat.

DSAI
Tidak betul, dalam politik juga, kita kadang-kadang perlu akur dengan pandangan sisi yang lain.

Jangan sampai ‘Oh Anwar hebat, pengaruh’ Saya tahu ada kelemahan-kelemahan mungkin tak dapat tembusi tapi kita cuba baiki. Jangan bagi orang puji kita,orang datang ramai,saya pun seronok.

Kita dengar kita tengok apa kelemahan. Saya pun dengan badan-badan pertubuhan Islam bertanya pendapat mereka bagaimana kita perlu memperbaiki. Ia beda kalau tidak saya fikir saya je baik.

Jadi kita dengar apa teguran, apa kelemahan kita, apa yang belum kita lakukan, apa persepsi rakyat.

SK
Konsepnya seorang pemimpin itu dia perlu dengar pandangan orang?

DSAI
Ya, bukannya dalam lingkungan kita sahaja, masalahnya dalam sistem sekarang ini, kita rasa kita dikelilingi ramai pakar yang pakar itu menentukan semuanya.Itu tidak betul.

SK
Maknanya Datuk Seri,tak tolak kemungkinan akan berlaku perubahan peringkat jawatan MB Selangor?

DSAI
Kita buat langkah Kajang itu ke arah perubahan tapi biarlah ada satu suasana perbincangan kerana kita bukan dihantar musuh. Ini hanya strategi terbaik dalam perjuangan.

Orang yang mempertahankan jawatan itu atau nak merebut semua kena fikir ada agenda besar perjuangan yang harus mengatasi itu. Kadang-kadang yang lebih-lebih itu koncu-koncu yang rasa akan dapat habuan. Ini akan merosakkan, sebab itu pertimbangan kita ialah pertimbangan apa yang perlu kita jana perubahan yang boleh memberikan jawapan baik kepada rakyat.

SK
Kalau tengok pemilihan baru-baru ini Tan Sri Khalid kalah peringkat cabang KEADILAN baru-baru ini, pandangan Datuk Seri macam mana?

DSAI
Tentunya itu satu kejutan apabila kita ada jawatan besar,itu asas kita dan kita tewas.Tentunya saya juga pernah sebut bukan soal Kuala Selangor, kekalahan kita di Hulu Selangor di Kuala Selangor.

Saya minta juga Tan Sri melihat bagaimana untuk perbaiki itu. Tapi itu bukan satu ukuran mutlak untuk menolak seorang menteri besar kerana mungkin kita bagi alasan di tempat lain ada juga dukungan di Selangor.

Kita juga tidak harus lupa terhadap peranan PAS dan DAP. Begitu juga saya harus sebut bahawa dalam kempen pilihanraya 2013 lalu, kita juga gunakan rekod kejayaan kerajaan negeri dibawah pimpianan Tan Sri Khalid jadi kita harus ada keseimbangan.

Jadi itu,saya tidak ada mewakili pandangan mana-mana ekstrim terhadap pimpinan.Kita harus melihat kekuatannyanya dan selepas itu melihat bagaimana menjana perubahan berikutnya./KD

Tuesday, July 22, 2014

Najib didesak henti hubungan dagang dengan Israel

Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghentikan hubungan dagang dengan Israel sebagai tanda bantah terhadap rejim itu yang terus menyerang Gaza.

Desakan tersebut berdasarkan laporan yang disusun Suruhanjaya Eropah yang menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke-15 sebagai rakan dagang utama Israel dengan menyumbang kepada 0.8% daripada perdagangan Israel pada tahun 2010.

Manakala laporan daripada Israel’s Central Bureau of Statistics menunjukkan barangan eksport Israel ke Malaysia bernilai $716.4 juta dan barangan import bernilai $93.6 juta.

“Malaysia sehingga ini hanya mengeluarkan kenyataan bantahan mengecam serangan Israel ke atas Gaza, mendesak OIC serta PBB untuk segera menghulurkan bantuan kemanusiaan dan melancarkan tabung kemanusian untuk Gaza di peringkat nasional,

“Namun sehingga ke hari ini belum ada tindakan agresif dari Malaysia untuk mendesak dunia menyekat kekuatan ekonomi Israel yang sudah tentu akan melumpuhkan operasi ketenteraan Israel,

“Malah Malaysia sendiri mempunyai hubungan dagang dengan Israel secara langsung,” katanya.

Jelasnya lagi, kesungguhan negara lain dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin diperlihat apabila menjelang hujung minggu ini lebih banyak negara akan mengadakan himpunan dan demonstrasi besar besaran.

Sehubungan Itu, beliau menggesa agar Najib mendesak Israel untuk menghentikan sebarang bentuk operasi ketenteraan daripada terus menyerang rakyat Palestin.

“Umat Islam di serata dunia telah menunjukkan solidariti tidak berbelah bahagi kepada penduduk Palestin khususnya di Gaza, ribuan berhimpun di United Kingdom, Yaman dan juga di Israel sendiri.

“Turki melalui Perdana Menterinya, Erdogan telah mengumumkan bantuan segera kemanusian yang akan diiringi oleh beberapa buah kapal perang.

“Ini merupakan signal jelas kepada Israel bahawa Turki bersungguh besar terhadap isu yang melanda umat Islam Palestin.

“Saya mendesak Perdana Menteri agar dengan segera mendesak Israel hentikan sebarang bentuk operasi ketenteraan atau hadapi potensi boikot besar besaran dari Malaysia..” ujarnya./KD

Saturday, July 19, 2014

TRAGEDI MH 17 - LAKUKAN SIASATAN PENUH, KATA ANWAR



 
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa antarabangsa supaya melakukan siasatan penuh dan bebas ke atas insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di Ukraine.

Dalam kenyataannya, Anwar yang juga ketua umum PKR berkata siasatan tersebut perlu walaupun pihak bertanggungjawab belum dikenal pasti dalam yang dianggap sebagai "pembunuhan beramai-ramai" itu.

 
 
"Kami mengutuk tindakan keganasan ini dan menggesa pihak berkuasa antarabangsa melakukan siasatan penuh dan bebas dan membawa ke muka pengadilan dalang di sebalik pembunuhan beramai-ramai," katanya.

Anggota parlimen Permatang Pauh itu turut merakamkan ucapan takziah buat semua keluarga penumpang dan anak-anak kapal yang terkorban dalam kecelakaan itu.

"Kami berkongsi kedukaan dan kehilangan mereka dan mendoakan mereka tabah mengahrungi ujian ini," katanya.

Dilaporkan seramai 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam pesawat MH17 milik MAS yang terhempas di Ukraine hari ini semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim pula menggesa pihak antarabangsa memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyiasat dan penyelamat sementara pihak yang bersalah harus diheret ke muka pengadilan.

"PKR juga berharap masyarakat antarabangsa khususnya di Rusia dan Ukraine, termasuklah puak pemisah pro-Rusia di kawasan terhempasnya pesawat MH17, akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan penyiasat dan penyelamat antarabangsa," katanya. /MK

Friday, July 18, 2014

Pesawat Penerbangan Malaysia MH17 dengan 295 penumpang dilapor ditembak jatuh di Ukraine ?


Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang membawa 295 penumpang didakwa ditembak ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di sempadan timur Ukraine, malam tadi (waktu tempatan).

Agensi berita Rusia Interfax-Ukraine melaporkan Penasihat Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Herashchenko sebagai berkata, seramai 280 penumpang dan 15 kru maut dalam kejadian itu.



Sementara itu, menurut twitter MAS, pesawat berkenaan terputus hubungan ketika berada di ruang udara Ukraine.

Laporan AFP pula mengatakan pesawat Boeing 777 itu dipercayai ditembak dari darat berhampiran bandar Shaktarsk dalam wilayah pemberontakan Donetsk.

“Pesawat itu hilang daripada radar pada ketinggian 10,000 meter,” kata laporan itu. Laporan turut memetik, kejadian mempunyai kaitan dengan pemberontak dan krisis politik di negara itu.

Berita itu disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selepas menerima laporan dari Ukraine.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam twitter jam 12.06 minit malam tadi berkata:

“Saya terkejut dengan laporan sebuah kapal MH terhempas. Kami melancarkan siasatan serta-merta.”

Reuters melaporkan, wakilnya di kawasan itu mengesahkan melihat serpihan MH17 dan mayat lapor Sinar Harian.

Monday, July 14, 2014

Pakatan Desak Sidang Khas Parlimen Isu Serangan Israel-Palestin

Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat yang bermesyuarat hari ini telah membuat beberapa pendirian, pertama khusus mengenai isu serangan Israel ke atas Palestin yang setakat ini telah mengakibatkan pembunuhan lebih 150 warga Palestin termasuk orang awam dan kanak-kanak.

 
 
Kekejaman Israel ini berlaku dengan sokongan padu Amerika Syarikat. Oleh itu Pakatan Rakyat mendesak Kerajaan Malaysia supaya menghentikan serta-merta kesemua perbincangan mengenai isu Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) dan tidak menandatangani perjanjian tersebut sebagai tanda protes terhadap Amerika Syarikat.

Pakatan Rakyat juga mendesak agar diadakan satu sidang khas Parlimen untuk membincangkan isu serangan ke atas Palestin sebagaimana yang telah dibuat pada Januari 2009, demi mendengar suara rakyat tentang isu ini.

Kerajaan Malaysia juga perlu memanggil semula Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat sebagai tanda protes yang paling jelas mengenai isu ini.

Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat turut membincangkan isu serangan hendap di Pulau Mabul, Sabah yang berlaku pada 12 Julai. Pakatan Rakyat memanjangkan ucapan takziah kepada keluarga Korporal Abd Rajah b Jamuan, anggota Pasukan Polis Marin yang telah terbunuh sewaktu serangan hendap tersebut, dan mendoakan keselamatan Konstabel Zakia Aleip yang dipercayai diculik.

Memandangkan insiden pencerobohan kawasan perairan Sabah di bawah seliaan Esscom semakin meningkat, Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat menggesa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Tetap Dwipartisan Parlimen untuk mengkaji semula keberkesanan Esscomm dan Esszone.

Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat
Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS
Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh merangkap Naib Pengerusi DAP
Chua Tian Chang, Ahli Parlimen Batu merangkap Naib Presiden KEADILAN

14 Julai 2014

Saturday, July 12, 2014

Pengurusan Kes Rayuan Sabitan Kesalahan Liwat Anwar Pada 8 Ogos

 


Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini menetapkan 8 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes bagi tiga rayuan berhubung sabitan kesalahan dan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadap ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) kerana meliwat.

Rayuan berkenaan adalah rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan kesalahan dan menjatuhi hukuman terhadapnya bagi tuduhan meliwat, rayuan Anwar dalam usaha ketiganya untuk mengetepikan peguam Muhammad Shafee Abdullah daripada bertindak sebagai ketua timbalan pendakwa raya dan rayuan balas pendakwa agar Anwar dikenakan hukuman penjara lebih lama.

Pada 3 Mac lepas, Anwar, 67, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan ketiganya untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada bertindak sebagai pendakwa raya.

Perkara itu dikemukakan kepada timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Mohd Izzudin Mohamad di dalam kamarnya hari ini, yang kemudian menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes.

Anwar diwakili peguam Ram Karpal Singh, N. Surendran dan Latheefa Koya, manakala timbalan pendakwa raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria mewakili pendakwa.

Sementara itu, Ram Karpal Singh berkata tarikh yang ditetapkan itu adalah untuk mengisih tiga rayuan berkenaan.

Katanya pihak pembela memaklumkan kepada pendaftar bahawa terdapat isu tertentu yang perlu diselesaikan sebelum tarikh pendengaran rayuan berkenaan ditetapkan.

Sementara itu, Surendran memberitahu media bahawa ada tanda-tanda mahkamah ingin menetapkan rayuan itu didengar pada September.

“Tak perlulah tergesa-gesa secara luar biasa untuk mendengar rayuan ini,” katanya.

Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengubah keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit pangsapuri Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Balia Yusof Wahi menjatuhi hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar, tetapi membenarkan

beliau menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Anwar juga dibenar diikat jamin RM10,000 oleh seorang penjamin. – Bernama / Foto Malaysian Insider

Friday, July 11, 2014

Perbuatan Bung Mokhtar Memalukan

Datuk Bung Mokhtar Radin menonjolkan kebodohan sendiri apabila memuji fahaman Nazi ketika perlawanan Jerman dan Brazil Selasa lalu, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Katanya, perbuatan itu bukan sahaja memalukan, bahkan boleh mengeruhkan hubungan antara Jerman dan Malaysia.

“Kenyataan Bung Mokhtar itu tidak berapa bijak. Kita boleh nampak pemerintahan Najib Razak ini lemah apabila ahli parlimen, atau menteri membuat perkara yang memalukan dan tidak sepatutnya,” ujar Fahmi.

Ahli Parlimen Kinabantangan itu baru-baru ini sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mendoakan pemimpin diktator Jerman yang telah mati, Adolf Hitler ‘panjang umur’ di laman Twitternya.

Ia susulan kemenangan pasukan Jerman yang membelasah pasukan tuan rumah, Brazil 7-1 pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia Selasa lalu.

Menurut Fahmi, tindakan serius perlu diambil terhadap perilaku buruk Bung Mokhtar supaya hubungan antara kedua-dua negara tidak terjejas.

Tambahnya lagi, ini bukan kali pertama Bung Mokhtar mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak berakal seperti itu dan ia turut dilakukan di dalam parlimen.

“Beliau mempunyai kekebalan kerana banyak buat kenyataan sebelum ini, tetapi tindakan disiplin tidak pernah diambil terhadapnya,”

“Dia juga seorang “attention seeker” dan rakyat Malaysia tidak sepatutnya memberi beliau terlalu banyak perhatian sebab orang macam ini tidak sedar (perbuatannya),” katanya./KD

PKR Kutuk Keganasan Israel Di Gaza


 
 
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya serangan zionis terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sewaktu umat Islam kini menjalani ibadah Ramadhan.

Beliau turut kesal dengan sikap pemimpin negara Islam, terutama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam menyatakan bantahan, lapor KedilanDaily K.

“Kita kutuk sekeras-kerasnya dan kita kesal kerana lambatnya negara Islam bertindak malah OIC baru nak bersidang,” katanya.

Sementara itu, DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan rejim zionis Israel yang meneruskan serangannya di Tebing Gaza, serta mendesak masyarakat antarabangsa segera campur tangan bagi menghentikan peningkatan jumlah kematian di sana.

Roket Kini melaporkan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, serangan itu lebih terkutuk memandangkan kepimpinan Hamas sendiri sudah menyeru satu gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran terbaru itu.

Menurut laporan BBC 9 Julai lalu, jurucakap Hamas Osama Hamdan berkata, rundingan gencatan senjata tahun 2012 dapat disambung semula jika Israel menghentikan serangan ke atas wilayah itu dan membebaskan warga Palestin yang ditahan sepanjang dua minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya seruan gencatan senjata Hamas disambut dengan lebih banyak serangan roket daripada Israel, dan diikuti dengan serangan balas daripada Hamas juga.

Oleh itu, ujarnya keadaan kini semakin tidak terkawal dan ramai orang awam, termasuklah kanak-kanak dan wanita menjadi korban.

“Maka kami mengecam tindakan gasar Israel membunuh kanak-kanak dan wanita tidak berdosa. Setakat ini, hanya mereka yang menderita dengan musnahnya rumah dan kehidupan.

“Mengambil kira kehebatan persenjataan Israel, timbul persoalan terhadap kadar serangan balas (konflik kali ini) yang hanya mengorbankan warga Palestin, sedangkan warga Israel terus selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini./Harakahdaily

Wednesday, July 9, 2014

Izzah: Tubuh Badan Bebas, Siasat Radar MH370

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menggesa Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Liow Tiong Lai menubuhkan badan bebas bagi menyiasat kehilangan pesawat MH370.

Beliau menggesa badan siasatan bebas itu dianggotai pakar penyiasatan kemalangan udara daripada seluruh dunia.

 
 
“Walaupun hampir 4 bulan sejak kehilangan MH370, pihak bertanggungjawab masih tidak mempunyai sebarang penjelasan atau teori kukuh yang berlandaskan fakta untuk menjawab soalan yang ditujukan.

“Diharap dengan badan ini, keluarga penumpang akan mendapat jawapan yang dicari serta kredibiliti Malaysia akan diselamatkan,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, insiden ini mendedahkan banyak kelemahan sistem penerbangan awam di negara ini dan salah satu fokus penyiasatan badan ini yang harus diutamakan adalah berkenaan sistem radar penerbangan awam.

Katanya, hingga kini rakyat masih menunggu laporan audit daripada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), mengenai sistem radar Lapangan Terbang Subang yang mengalami kerosakan menyeluruh selama dua jam pada September 2012.

“Sehingga ke hari ini rakyat masih lagi menunggu apakah ICAO Audit tersebut telah dilaksanakan? Apakah jika audit tersebut telah dijalankan dan saranan baikpulih dilakukan, pesawat MH370 tidak akan hilang pada hari ini kerana sistem radar lebih tepat?

“Demi keselamatan rakyat Malaysia dan pengunjung negara kita, saya menyeru menteri menyiasat sistem radar penerbangan awam,” kata Izzah.

Dalam pada itu, Izzah turut menggesa skop dan laporan audit ICAO ke atas keselamatan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dijanjikan timbalan menteri pengangkutan pada 16 Jun lalu didedahkan.

“Skop audit ini masih lagi belum diketahui. Apakah benar audit ini telah dilaksanakan? Jika ya, saya meminta agar Menteri mendedahkan laporan ini dengan segera,” katanya.

Tuesday, July 8, 2014

BERSOLIDARITI PAGI INI (SELASA - 08/7/14) DI MAHKAMAH KUANTAN - AKTIVIS ANTI LYNAS AKAN DIBICARAKAN

Pada 22 Jun 2014 yang lalu, tidak kurang dari 1, 000 orang telah berhimpun di kawasan berhampiran pintu masuk kilang Lynas tersebut bagi menyuarakan bantahan secara aman. Kira-kira 50 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang dilengkapi trak meriam air membuat sekatan kira-kira 300 meter dari pintu masuk loji Lynas itu. Mereka turut diperkuat dengan kehadiran 100 anggota polis beruniform.

Polis telah mengarahkan peserta protes itu supaya bersurai tetapi tidak dipersetujui walaupun Wong Tack berbincang dengan polis selama 30 minit pada jam 3 petang supaya dibenarkan berkumpul di depan loji itu. Kira-kira jam 4.30 petang, Ketua Polis Kuantan Abdul Aziz Salleh memberi tempoh 10 minit kepada mereka untuk bersurai.

Suasana menjadi bertambah panas apabila berlaku tolak menolak antara peserta protes dan anggota polis yang membentuk halangan, menyebabkan dua orang ditangkap. Selepas itu Abdul Aziz mengumumkan masa untuk bersurai telah tamat. "Jika anda tidak mahu bersurai, saya tiada pilihan selain membuat tangkapan," umun beliau sebelum mengarahkan anggota polis membuat tangkapan.



Beberapa peserta protes yang sedang duduk kemudiannya ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuantan. Sekurang-kurangnya 16 peserta protes anti-Lynas ditahan kerana enggan berganjak dari pintu masuk loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Antara mereka yang ditahan termasuk ketua Himpunan Hijau Wong Tack, ahli jawatankuasa pemandu Dr Phua Kia Yaw dan Hew Kuan Yau dari DAP, yang dikenali dengan nama 'Superman'. Turut ditahan ialah aktivis Australia Natalie Lowrey yang mewakili Friends of the Earth untuk menyokong protes tersebut. Yang lain adalah aktivis Ali Akbar Othman, Rafar Ahmad, Steven Ta Weng Seng, Lee Khai Meng, Mr Cheong, Adik Zamri Zanal (SAMM) dan beberapa yang lain.

KEADILAN Negeri Pahang telah mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya cara pihak berkuasa menangani isu ini setelah usaha rakyat untuk mengunakan Parlimen bagi menyuarakan bantahan ditolak mentah-mentah dan himpunan secara aman juga mendapat layanan buruk dari pihak berkuasa.

Pagi ini (Selasa - 08 Julai 2014), jam 08.30 pagi kesemua mereka yang telah ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah Kuantan, Indera Mahkota. Sehubungan itu, ayuh kita beramai-ramai ke Mahkamah Kuantan untuk memberikan sokongan moral dan bersolidariti bersama mereka yang terlibat.

Saturday, July 5, 2014

Arah ‘Soup Kitchen’ Pindah, Ku Nan Tak Perikemanusiaan

Bulan Ramadhan mengajar kita untuk bersyukur, serta mengingatkan kita terhadap permasalahan yang dihadapi oleh mereka yang tidak bernasib baik. Amalan bersedekah serta memberikan makanan kepada orang yang berpuasa amat digalakkan. “Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. daripada Nabi SAW sabdanya, Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun ,” (Hadith Riwayat Tirmidzi).

Berikutan kenyataan saya sebelum ini, alangkah terkejutnya saya apabila melihat berita utama laman Malay Mail Online yang mengatakan ‘soup kitchen’ yang menyediakan makanan bagi orang gelandangan yang berada dalam ibu negara perlu berpindah sebelum hari Isnin, ataupun berdepan dengan hukuman denda. Beliau juga dipetik sebagai berkata, sebarang NGO dilarang menjalankan aktiviti memberikan makanan kepada orang gelandangan di lingkungan 2km dari Gedung Lot 10.

Tugas pertama yang saya pinta Menteri Wilayah lakukan adalah membaca laporan Jayannath Appudurai dari Centre For Policy Initiatives untuk memahami dimensi kemiskinan yang lebih memperlihatkan keprihatinan realiti semasa. Laporan tersebut menegaskan pada tahun 2009 bahawa; jika kadar kemiskinan negara berdasarkan Poverty Line Income (PLI), diukur kembali menggunakan kaedah “median income” seperti yang dilakukan di UK dan Australia, kos sara hidup sehari akan berubah dari RM5.80 sehari (mengikut PLI sekarang,RM 800 seisi rumah) kepada RM 14.20 sehari. Ini bermakna statistik kemiskinan seisi rumah akan meningkat kepada 33.4% berdasarkan PLI baru RM2000.

Tugas kedua pula adalah supaya Yang Berhormat Datuk Seri Tengku Adnan Mansor kalaupun tidak mampu untuk cuba hidup seperti orang gelandangan sebanyak 3 hari dalam usaha untuk memahami akan kesusahan golongan terpinggir; sekurang-kurangnya hadir sekali bersama dalam sesi sumbangan salah sebuah NGO Soup Kitchen sebelum memberi kata putus. Saya menjemput Yang Berhormat Menteri agar bersama saya dan salah sebuah NGO Soup Kitchen yang akan beroperasi malam esok. Kita harus memiliki empati, lebih lagi sebagai seorang pemimpin.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan. ” Menurut laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sendiri, pengajaran hadith ini ialah “setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.”

Adakah tindakan Yang berhormat Menteri ini bersesuaian dengan semangat Ramadhan yang telah diajar oleh Rasulullah? Sekali lagi saya ingin menggesa Yang Berhormat Datuk Seri Tengku Adnan agar memperbetul kesilapan yang melampau ini.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN

Thursday, July 3, 2014

PEMECATAN YANG TIDAK WAJAR - ANWAR

KENYATAAN MEDIA
UNTUK EDARAN SEGERA
30 JUN 2014


Berita pemecatan serta merta Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel) tidak mengejutkan tetapi tetap mengecewakan dan tidak wajar.

Penyingkiran secara melulu bertujuan memberi amaran kepada semua ahli akademik bahawa kebebasan mereka akan berakhir semata untuk mempertahankan kepentingan UMNO. Dalam pentadbiran yang rakus ini, kebebasan mengkritik adalah hak mutlak kepada mereka sasarannya adalah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat atau mereka yang kritikal terhadap UMNO-BN. Penghukuman yang cukup pantas ini akan menimpa mereka yang menyokong apa-apa pandangan atau pendapat yang kelihatan kritikal terhadap UMNO apatah lagi yang memihak kepada pembangkang.

Nasib yang sama juga telah menimpa pakar ekonomi terkenal Prof Jomo KS, profesor sains politik Prof Dr P. Ramasamy dan pakar perlembagaan dan undang-undang Dr Aziz Bari tidak lama dahulu. Dan hari ini kita lihat ia menimpa Prof Redzuan yang telah terbukti menunjukkan prestasi akademik dengan profesional dalam bidang penyelidikan yang menuntut objektiviti lengkap dan kebebasan.

Amat jelas bahawa keputusan untuk tidak menyambung tempoh Profesor Redzuan sebagai Pengarah UMCedel amat tidak wajar. Beliau sekali lagi menjadi mangsa penguasa angkuh yang enggan melihat sarjana bersikap bebas dan berani.

Saya ingin mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato Seri Idris Jusoh bahawa kuasa pelantikan dan pemecatan bukannya mutlak dan tindakan terbaru ini bukan sahaja melanggar kebebasan akademik malah pengkhianatan terhadap harapan rakyat terhadap peningkatan mutu dan kedudukan institusi pengajian tinggi.

ANWAR IBRAHIM