KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Sunday, December 25, 2011

WAWANCARA KHAS SIRI PERTAMA BERSAMA PENGERUSI BIRO MASYARAKAT FELDA DAN ORANG ASAL PKR/NAIB PENGERUSI 1 MPN/KETUA CABANG K.KRAU TUAN HJ SUHAIMI SAID

Tuan Haji Suhaimi Said

Soalan: Boleh Tuan ceritakan serba sedikit latar belakang Cabang Kuala Krau serta penglibatan Tuan di dalam arena politik?

Parti Keadilan Rakyat Cabang Kuala Krau adalah sebuah organisasi yang termuda di Negeri Pahang. Di dalam Pilihanraya Umum ke-12 dulu, PKR Cabang Kuala Krau masih belum berdaftar dan hanya berdaftar setelah PRU-12.

Saya menyertai semula PKR ini pada tahun 2007 di Cabang Temerloh. Penyertaan saya adalah hasil dari ajakan Sdr Anwar Ibrahim yang mengadakan Ceramah di Sungai Gau, Temerloh. Saya pada waktu itu adalah ahli UMNO dengan jawatan selaku Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Temerloh. 
 
Soalan:  Bagaimana asalnya tergerak di hati Tuan untuk menyertai Keadilan, sedangkan ketika itu Umno dilihat lebih kuat serta boleh menjamin kerjaya politik Tuan?

Sdr Ahmad Nizam telah menyampaikan pesanan daripada Dr Syed Husin Ali yang mengatakan bahawa "Amat tidak sesuai Suhaimi itu berada dalam UMNO kerana jiwanya tak selari dengan UMNO."   Akhirnya, diaturkan suatu perjumpaan dengan Dr Syed Husin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN, pada waktu itu di rumah Sdr Ahmad Nizam, Naib ketua PKR Cabang Temerloh pada waktu itu.  Saya dan 20 orang yang lain menyerahkan Borang kemasukan menjadi Anggota KEADILAN.  
 
Soalan:  Dikhabarkan Tuan asalnya dari Cabang Temerloh, tetapi bertukar ke K.Krau.  Boleh Tuan ceritakan serba sedikit puncanya?
 
Oleh kerana saya kurang selesa dengan sikap rakan-rakan di Temerloh yang menerima seorang rasis membentangkan kertas kerja di suatu perjumpaan PKR Cabang Temerloh dan pandangan rasis itu diterima oleh sebahagian daripada Jawatankuasanya, maka Sdr Sanusi Haji Abas, Timbalan Ketua PKR Cabang Temerloh telah memperotes dan meletakkan jawatan selaku Timbalan Ketua, dan saya mengambil langkah lain untuk membuka Cabang baru di Kuala Krau yang tidak mempunyai walaupun seorang pun anggota parti. 
 
Soalan:  Bagaimana awalnya Tuan menggerakkan Cabang K.Krau ketika itu?

Saya mengajak Sdr Razak Hussain, sekarang ini Timbalan Ketua PKR Cabang Kuala Krau, menjalankan kerja-kerja di Kuala Krau. Saya juga turut dibantu oleh seorang pemuda bernama Suhaimi Abdullah yang mempunyai hubungan tertentu dengan Orang Asal Kuala Krau.

Setiap minggu kami menyediakan lebih kurang 5000 edaran dan kami bertiga membuat kerja rumah ke rumah ke setiap rumah di kawasan DUN Jenderak. Kerja-kerja itu mendapat pandangan dari masyarakat setempat.

Pada waktu itu sehinggalah ke Pilihanraya Umum ke-12, PKR Cabang Kuala krau masih tidak mempunyai ranting-ranting dan keanggotaan kami tidak melebihi 50 orang dan kami telah menubuhkan Jawatankuasa Cabang dan di penghujung tahun 2007 kami telah menjemput Dr Syed Husin Ali merasmikan Jawatankuasa Penaja PKR Cabang Kuala Krau. Dr Syed telah hadir bersama-sama dengan Sdri Latifah Koya.

Soalan:  Bagaimana bermulanya Tuan boleh terlibat dan rapat dengan masyarakat Orang Asal?
 
Kami meneruskan kerja-kerja pengedaran dari rumah ke rumah. Melalui Sdr Suhaimi Abdullah, saya dapat berkenalan dengan beberapa orang Orang Asal, dan melalui perkenalan itu saya memulakan gerak kerja di perkampongan Orang Asal dengan tempat tumpuan asalnya di Kg Lubok Wong.

Ranting PKR Kg Lubok Wong merupakan yang pertama dapat ditubuhkan di DUN Jenderak. Berita penubuhan ini merebak ke kampong-kampong lain dan ruang yang terbuka kepada PKR Cabang Kuala Krau adalah semasa kawasan ini dilanda banjir. Kami menyampaikan bantuan-bantuan seperlunya seperti beras, ikan sardin, garam, gula, minyak masak, teh, kopi, dan tepung.

Wujudlah kemesraan diantara saya dengan masyarakat Orang Asal di sepuluh buah kampong yang didiami mereka.  Perjuangan PKR menuntut hak tanah untuk Orang Asal dijadikan usul utama di dalam kerja saya di perkampongan Orang Asal.

Soalan:  Apakah masalah utama yang Tuan dapat lihat di penempatan Orang Asal ini?
Orang Asal di perkampongan disini sudah kehilangan hak keatas tanah kerana kawasan tanah adat dan tanah rayau yang selama ini menjadi kebanggaan mereka dan tempat mereka mencari rezeki bukan sahaja sudah diceroboh dan mulai dimiliki oleh kaum lain.  Gazet Tanah Orang Asal pun sudah ditarik balik oleh Kerajaan dan digantikan dengan Rezab Perhilitan, menjadikan suatu kesalahan jenayah untuk Orang Asal di sini mencari rezeki di hutan sekeliling kawasan kampong mereka.  
 
Kejadian menangkap Orang Asal yang terlibat menebang kayu untuk mendirikan rumah mereka di sini menjadi pencetus kepada kemarahan mereka, dan mereka menjemput saya untuk memperjuangkan nasib mereka yang dihimpit oleh kekangan peraturan yang didatangkan oleh Kerajaan.

Soalan:  Bagaimana seterusnya perkembangan dan sambutan terhadap Keadilan di K.Krau selepas awal penubuhannya?
Dari satu kampong ke satu kampong yang lain, PKR Cabang Kuala Krau berjaya menapakkan kakinya. Kami telah menubuhkan Ranting yang kedua di Kg Pian, kemudian di Kg Pasu diikuti dengan Kg Penderas, Kg Terbol, merebak ke Kg Berdut, Kg Rekoh, Kg Mendoi, Kg Seboi dan Kg Paya Pelong. 
 
Hingga kini keanggotaan PKR Kuala Krau di kalangan Orang Asal sudah melebihi 600 anggota, dan pengaruh ini turut merebak ke Kg Paya Mengkuang di Cabang Temerloh dan Kg Sg Mai di Jerantut. Penduduk Kg Paya Mengkuang dan Kg Sg Mai adalah juga dari kaum Jahut, sama dengan penduduk perkampongan di Kuala Krau.

Soalan:  Bagaimana gerak kerja dilakukan?

Gerak kerja kami di perkampongan Orang Melayu dibantu oleh rakan-rakan dari Kuala Lipis dan Lanchang. Setiap minggu kami mengadakan edaran di kampong-kampong Orang Melayu dan di kawasan Rancangan Felda. Sebelum PRU-12, penduduk di Felda Jenderak Selatan telah menubuhkan Bilik Gerakan di kedai MARA, di sana ianya di ketuai oleh Sdr Nawi Ralit dan gerak kerja kami di Felda Jenderak Utara menumpang di Markas PAS.

Kerja rumah ke rumah dengan menyampaikan risalah menjadi kerja utama kami memandangkan bahawa tenaga kerja di kalangan Orang Melayu belum begitu meluas.  Akhirnya, kami berjaya menubuhkan Bilik Gerakan di persimpangan Kg Jenderak untuk masyarakat Kg Jenderak dan Kg Dato Shariff Ahmad dan kami berjaya menubuhkan sebuah Ranting merangkumi kedua-dua buah kampong itu.

Soalan:  Selain dari masyarakat Melayu dan Orang Asal, bagaimana pula Tuan boleh mendapatkan sokongan dari kalangan masyarakat India di sekitar K.Krau?

Masyarakat Orang India di Ladang Sg Tekal mulai menghubungi kami apabila Setiausaha Parti Gerakan di situ Sdr Balasubramaniam menghubungi kami untuk majlis penerangan. Pekerja-pekerja di estet itu menjadi golongan yang terbiar kerana mereka tidak mempunyai rumah atau tanah, dan walaupun mereka sudah ditemu-duga untuk mendapakan tanah Felcra (saham), tetapi yang dapat hanyalah pemimpin-pemimpin MIC Kuala Krau sahaja.

Mereka mendapat tawaran tanah tol dari Pejabat Tanah Temerloh tetapi tanah sekangkang kera itu diberikan syarat tidak boleh didirikan rumah sedangkan bayaran tol yang dikenakan amatlah tinggi di luar kemampuan mereka.

Akhirnya kami berjaya menubuhkan sebuah ranting di ladang Sg Tekal, dan semasa S. Manickavasagam hadir memberikan ceramah di luar kawasan ladang itu (ceramah tidak dibenarkan di dalam kawasan ladang) sejumlah besar daripada pekerja-pekerja estet itu turut hadir, dan merekalah yang menjadi anggota PKR di estet itu.

Soalan:  Bagaimana pula perkembangan Keadilan K.Krau selepas PRU ke-12?

Selepas PRU-12, sayap PKR di Kuala Krau berkembang lagi dengan berjaya menubuhkan ranting-ranting di Kg Paya Pelong, Kg Gong Halt dan pekan Kuala Krau.  Keanggotaan PKR Cabang Kuala Krau tidaklah begitu besar tetapi dapat mengatasi kebanyakan Cabang di Negeri Pahang.

Soalan:  Boleh Tuan ceritakan sedikit awal penglibatan Tuan dengan Peneroka Felda?

Saya sendiri telah terlibat dengan perjuangan membela nasib peneroka Felda sejak awalan 1980-an lagi. Ia bermula apabila saya kembali ke Temerloh dan melihat Surat Perjanjian di antara Peneroka Felda dengan Felda yang saya dapati amat berat sebelah.

Juga pada awalan tahun 80-an itu, pendapatan peneroka-peneroka Felda amatlah kecil. Mereka mengambil barang makanan mereka di kedai PNF dan pada hari balance (hari gaji) mereka mendapati pendapatan mereka hanyalah sekadar lingkungan RM10.00.

Soalan:  Apa masalahnya dengan Surat Perjanjian di antara para Peneroka dengan Felda yang Tuan dapat merasakan ianya berat sebelah?

Di dalam Surat Perjanjian, mereka tidak berhak untuk mendapatkan Hakmilik secara individu keatas tanah ladang mereka, tetapi setelah mereka berjaya menjelaskan titik pulang modal kepada Felda, Felda akan mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya Kerajaan Negeri mengeluarkan Suratan Hakmilik (geran tanah) kepada mereka didalam bentuk perkongsian seramai 20 orang di atas nama Koperasi. 
 
Saya mendapati syarat ini sangat menjijikkan dan menafikan hak Peneroka Felda memiliki tanah secara bersendirian, dan alangkah penatnya peneroka-peneroka Felda membanting tulang mengeluarkan keringat dan akhirnya tidak boleh memiliki tanah ladang yang mereka kerjakan itu menjadi harta peribadi mereka.

Soalan:  Apakah perkara lain yang dilihat tidak menyebelahi para Peneroka Felda?

Saya dapati bahawa pendapatan peneroka-peneroka Felda telah dipotong dengan berpuluh jenis potongan dari potongan baja, racun, pembangunan, jalan ladang, keceriaan kampong, khairat kematian, dan pelbagai item yang lain sehinggakan keseluruhan pembangunan di sesebuah rancangan Felda itu dikenakan kepada peneroka.

Peneroka Felda tidaklah seperti yang digambarkan bahawa mereka hanya "basuh kaki" sahaja untuk menjadi peneroka Felda. Sebenarnya, apa juga yang disediakan di rancangan itu adalah dikenakan sebagai hutang kepada peneroka dengan setiap daripada mereka dikenakan faedah. Ladang dan tanah kampong serta rumah yang disediakan dikenakan sebagai hutang dan dipotong daripada peneroka daripada pendapatan bulanan mereka.

Soalan:  Kita sering diwar-warkan di dalam media perdana bahawa para Peneroka Felda ini dianggap `anak emas' oleh Kerajaan dengan berbagai keistimewaan yang mereka perolehi.  Apakah Tuan bersetuju?

Saya dapati peneroka Felda sebagai penduduk yang tidak ada keistimewaan langsung, ladang, tanah kampong, rumah, baja, racun, jalan ladang, dan berpuluh jenis item lain dipotong daripada mereka termasuk yuran tahunan UMNO walaupun mereka tidak menjadi ahli berbeza dengan kedudukan orang kampong yang mendapat pelbagai subsidi dari kerajaan.

Soalan:  Apakah perjuangan Tuan terutamanya di dalam membela nasib para peneroka ini?

Saya perjuangkan hak peneroka-peneroka Felda, dan perjuangan itu membawa saya ke serata pelusuk Semenanjung dengan membawa mesej bahawa peneroka-peneroka perlu memiliki geran tanah secara persendirian, dan di waktu itu saya menuntut supaya peneroka-peneroka Felda diberikan pendapatan minima RM500.00 selain daripada barangan yang mereka boleh ambil dari PNF.

Saya juga perjuangkan supaya baja yang tidak ada kualiti yang diedarkan oleh Felda digantikan dengan baja yang berkualiti.  Isu perwarisan yang tidak mengikut hukum syarak dan terpisah dari peruntukan Kanun Tanah Negara juga menjadi bahan tuntutan saya supaya diperbetulkan.

Soalan:  Sewaktu Tuan di dalam PAS difahamkan Tuan juga aktif membela nasib para peneroka felda sehinggakan banyak cawangan-cawangan PAS tertubuh di dalam rancangan felda.  Adakah kerana itu Tuan dilantik menjadi Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal di dalam Keadilan sekarang?

Perjuangan bagi membela nasib peneroka-peneroka Felda ini saya teruskan di dalam Parti Keadilan Rakyat.  Sejak lebih 2 tahun lalu, Biro Politik PKR telah melantik saya sebagai Pengerusi Biro Felda dan Biro ini telah ditukarkan nama untuk merangkumi perjuangan untuk Orang Asal dengan nama baru Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, dan justeru kerana jawatan itu saya dipanggil untuk menduduki jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Pusat.

Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal bergerak aktif di sesetengah negeri di mana pimpinan negeri itu melihat bahawa Biro ini mempunyai peranan penting bagi menggembeling tenaga peneroka dan generasi baru Felda.

Soalan:  Di seluruh negara, umumnya mengetahui bahawa aset atau `fixed deposit' undi buat Umno/Bn datangnya dari para peneroka felda.  Adakah Tuan berpendapat kita mampu memecahkan `fixed deposit' yang mereka pertahankan bertahun-tahun ini?

Lebih daripada 40 kawasan Parlimen di Negara ini melibatkan pengundi-pengundi dari rancangan-rancangan Felda dan hampir 20 lagi kerusi Parlimen yang memerlukan sokongan peneroka-peneroka Felda untuk menang.

Sehingga kini, Negeri Sembilan merupakan negeri yang paling lasak menggunakan tenaga Biro ini. Negeri Pahang dan Negeri Johor sudah mulai memberikan pandangan kepada Biro ini tetapi tidak semua cabang di Pahang dan Johor yang melihat peranan yang wajar dimainkan oleh Biro ini.

Soalan:  Setakat ini apakah kemajuan yang diperolehi oleh Biro ini?

Biro ini telah membuat lawatan-lawatan kerja ke Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.  Hasil daripada lawatan ini beberapa ranting PKR telah berjaya ditubuhkan di Negeri Sembilan, dan dengan kerjasama yang paling rapat daripada Jawatankuasa PKR Cabang Jempol, ranting-ranting PKR telah berjaya ditubuhkan di hampir kesemua rancangan Felda DUN Palong dengan kemasukan ahli-ahli UMNO yang paling ramai jika berbanding di rancangan-rancangan Felda di negeri-negeri lain.

Soalan:  Apakah isu lain yang mendapat perhatian dari golongan peneroka ini?

Disamping kerja-kerja parti, Biro ini juga memberikan tumpuan kepada kerja-kerja kemasyarakatan khususnya berhubung isu-isu yang melibatkan pendapatan peneroka-peneroka Felda yang dimanipulasikan oleh Felda terutamanya di bidang peratusan perahan KPG, harga kayu getah, wang dari dana tanam semula yang tidak dikembalikan oleh Felda, geran tanah yang tidak diproseskan oleh Felda walaupun sudah bertahun-tahun peneroka-peneroka sudah menjelaskan wang BK dan CAC. 
 
Soalan:  Apakah perjuangan PR yang dianggap memberi kesan kepada generasi ke dua dan ke tiga Felda? 

Isu yang paling menarik generasi ke-2 dan ke-3 Felda ialah tuntutan PR bagi memansuhkan Felda Plantation dan mengagihkan tanah ladang itu kepada mereka bertentangan dengan dasar UMNO/BN yang mencagarkan Felda Plantation kepada Felda Global Ventures untuk disenaraikan di Bursa Saham. Di sini wujud perbezaan yang nyata bahawa PR berjuang untuk masyarakat Felda berbanding UMNO/BN yang berjuang untuk golongan korporat. 
 
Soalan:  Apa masalahnya sekiranya FGV di senaraikan di Bursa Saham?  Apakah kesannya nanti kepada para peneroka?
Kepentingan peneroka terhadap Felda Plantation akan menjadi pupus apabila saham Felda Global Ventures nanti akan terjual kepada korporat-korporat dalam dan luar negara.  Sikap UMNO/BN ini bukan sahaja bertentangan dengan prinsip PR tetapi juga dengan kumpulan Ketua-Ketua Peneroka dan GPW di peringkat nasional.  Secara diam-diamnya pegawai-pegawai dan kakitangan Felda juga turut menentang tindakan UMNO/BN mahu menyenaraikan harta Felda ini ke Bursa Saham, dan sudah ramai dari kalangan pegawai-pegawai menjualkan saham mereka didalam KPF untuk melabur didalam saham-saham yang mereka nampak boleh memberikan menfaat kepada mereka.

[Wawancara Siri Dua bersama Tuan Haji Suhaimi Said, Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal/Naib Pengerusi MPN/Ketua Cabang K.Krau akan disiarkan selepas ini.  Masih banyak isu-isu panas yang boleh diikuti di dalam wawancara seterusnya.  Di antara lain, beliau akan mengulas tentang harapan Keadilan di Negeri Pahang ini khususnya di dalam PRU akan datang di samping penjelasan beliau tentang beberapa `gossip' nakal yang bermain di kalangan pemerhati politik di negeri ini]

No comments:

Post a Comment