KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Monday, November 14, 2016

MENGAPA KITA WAJIB TURUN BERSIH5 PADA 19 NOV INI?

SERUAN TURUN KE HIMPUNAN BERSIH5 PADA 19 NOVEMBER 2016 (SABTU)



Rasulullah S.A.W bersabda;


مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Ertinya: “Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangan, jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisan, jika tidak mampu, maka dengan hati (dengan menunjukkan ketidak redhaan terhadap kemungkaran tersebut), dan itulah selemah-lemah iman.” (Sahih Muslim)

Pesanan daripada Baginda Rasulullah S.A.W amat jelas, bahawa sebarang kemungkaran, ketidakadilan dan kezaliman itu wajib ditentang kerana Islam mendokong kepada keadilan dan kesejahteraan. Berpandukan kepada ajaran Islam ini, KEADILAN Pahang merasa bertanggungjawab untuk mengajak dan menyeru kepada semua rakyat khususnya di negeri ini, dan seluruh negara agar sama-sama bangkit melawan kezaliman.

Sebagai sebuah parti politik yang berteraskan reform, perjuangan KEADILAN sejak mula ditubuhkan adalah untuk menentang kezaliman dan menegakkan keadilan. Kerajaan yang korup dengan sistem yang bobrok adalah di antara sifat-sifat kezaliman dan kemungkaran pemerintah terhadap rakyat jelata. Justeru itu, menjadi kewajipan kepada seluruh rakyat untuk menentangnya mengikut kuasa dan kemampuan yang ada. Kerajaan yang tidak mendengar kritikan dan teguran rakyat sebaliknya meneruskan dasar yang menyusahkan rakyat, berlaku tidak adil dan zalim, kerajaan seperti ini tidak lagi perlu dipertahankan jauh sekali untuk kita mendampinginya.

Apa kuasa yang ada pada rakyat? Kita telah menegur, kita juga telah mengkritik secara lantang menerusi saluran yang dibenarkan undang-undang. Rakyat memilih saluran demokrasi melalui sistem Pilihanraya untuk mengubah kerajaan ini, malangnya sistem Pilihanraya juga dinodai mereka. Meskipun di dalam PRU13 yang lalu, 52% rakyat memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir Putrajaya, namun akibat sistem yang tidak adil maka pilihan rakyat dinafikan. Rejim zalim terus memerintah dan melakukan sesuka hati mereka.

Rakyat mahu sistem Pilihanraya yang adil. Rakyat tidak memilih revolusi untuk menukar kerajaan. Pilihanraya yang bersih dan adil adalah salah satu dari 5 tuntutan BERSIH. Oleh kerana objektif BERSIH itu bertepatan dengan kehendak Islam, maka menjadi kewajipan kita untuk menyokong tuntutan BERSIH ini. Di antara 5 tuntutan BERSIH, tiada satu pun yang bercanggah dengan Islam. Tuntutan lain, Sistem dan Dasar Negara Yang Adil, Sistem Berparlimen Yang Telus, Hak Bersuara dan Mengkritik mengikut perlembagaan serta yang terakhir adalah memberikan keadilan kepada penduduk di Sabah dan Sarawak sama seperti yang diperolehi di Semenanjung. Ini semua adalah di antara beberapa perkara yang sejajar dengan kehendak Islam kerana Islam itu prinsipnya adalah keadilan.

Amat malang sekali sekiranya kita umat Islam tidak menunjukkan sedikit pun rasa bersalah dan terkilan kerana tidak bersama memperjuangkan tuntutan-tuntutan BERSIH ini. Lebih mendukacitakan lagi jika kita terpedaya dengan propaganda pihak rejim yang menfitnah kononnya BERSIH ini ditaja dan disokong oleh Yahudi atau Soros. Tujuan fitnah ini amat jelas iaitu rejim tidak mahu rakyat bangkit menentang mereka dan mereka boleh terus berkuasa dengan segala skandal yang mereka lakukan. Akhirnya, rakyat juga yang menanggung akibatnya.

At-Thabari, menyampaikan sebuah riwayat dari Ibn ‘Abbas “Allah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk tidak mendiamkan kemungkaran yang tampak di hadapan mereka, jika demikian (tetap mendiamkan) maka Allah akan menimpakan azab yang berlaku umum.”

Sehubungan itu, KEADILAN Pahang menyeru kepada seluruh rakyat negeri ini, khususnya kepada seluruh para penyokong KEADILAN dan Pakatan Harapan, agar turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur (Dataran Merdeka) pada 19 November 2016 ini di dalam satu Himpunan Aman BERSIH5. Barangsiapa yang tidak merasa wajibnya turun untuk menuntut 5 tuntutan BERSIH itu, maka jelas mereka adalah di kalangan yang bersekongkol dengan Penguasa yang zalim.


إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada mereka" (QS - Ar Ra'ad -11)


14 NOVEMBER 2016



WAN FAUZULDIN WAN SAMAD
Pengarah Komunikasi
KEADILAN Pahang

Friday, November 11, 2016

KONVENSYEN PAKATAN HARAPAN - PAHANG HANTAR 20 PERWAKILAN KE SHAH ALAM



Konvensyen Pakatan Harapan akan diadakan esok, (Sabtu) 12 November 2016 bermula jam 08.30 pagi bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor.

KEADILAN Negeri Pahang akan menghantar 20 perwakilan di mana kesemua Ketua Cabang akan hadir bersama dengan beberapa pimpinan utama di dalam MPN.  KEADILAN Negeri Pahang berharap Konvensyen Pakatan Harapan kali ini yang juga bakal disertai oleh rakan-rakan di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan juga  Parti WARISAN Sabah akan dapat mencapai persefahaman dan kerjasama padu bagi menghadapi PRU14 akan datang.

Kepada semua perwakilan dari Negeri Pahang, kami mengucapkan selamat jalan semoga selamat sampai dan kembali dengan penuh semangat dan iltizam meneruskan perjuangan.

Wednesday, November 2, 2016

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT "HIDUP BEBAS DIABETES" SECARA PERCUMA ANJURAN MP INDERA MAHKOTA/KUANTAN PADA 06 NOV 2016 DI HOTEL CATHAYANA, KUANTAN

 
Apakah penyakit "Diabetes" atau di kalangan kita orang awam menyebut sebagai penyakit kencing manis ?  Ada yang menyebut ianya merupakan salah satu jenis penyakit kronis yang terjadi pada tingkatan awal pada kadar gula yang ada di dalam darah yang biasanya diakibatkan karena adanya gangguan pada sistem metabolisme yang ada didalam tubuh. 
 
Diabetes tidak dengan mudahnya disembuhkan sekiranya kita gagal mengawal kadar gula yang ada didalam darah.  Dari hasil penelitian terbaru yang dilakukan oleh para ahli kedoktoran, dikemukan teori baru yang menyatakan bahwa penyakit diabetes mellitus tidak hanya disebabkan oleh faktor keturunan (genetik), tetapi juga dipengaruhi oleh bebeapa faktor lain yang multi-kompleks, antara lain kebiasaan hidup dan lingkungan.  Orang yang tubuhnya membawa gen diabetes, belum tentu akan menderita penyakit gula, karena masih ada beberapa faktor lain yang dapat menyebabkan timbulnya penyakit ini pada seseorang, iaitu antara lain makan yang berlebihan/kegemukan, kurang gerak atau jarang berolahraga dan kehamilan.
 
Oleh kerana terlalu banyak teori tentang penyakit ini, alangkah baiknya kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang penyakit ini, kaedah-kaedah pencegahan, kawalan dan perubatan.  Sehubungan dengan itu, Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan mengambil inisiatif bersama dengan Kuantan Prihatin dan pihak Cathayana Hotel untuk memberi peluang kepada anda di dalam Program "Hidup Bebas Diabetes" bersama Pakar Perubatan, Dr Azman bin Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah.  Beliau memiliki klinik sendiri dan merupakan seorang pakar di dalam bidang ini.
 
Orang ramai dijemput hadir bagi mengikuti program secara percuma ini pada 06 November 2016 (Ahad) bermula jam 09.30 pagi sehingga 12.30 tengahari bertempat di Hotel Cathayana,  Kuantan.  Memandangkan penyertaan adalah terhad kepada 100 orang sahaja, maka sesiapa yang terawal mendaftar akan berpeluang mengikutinya.  Untuk pendaftaran, sila berhubung dengan No. Telefon yang tertera di poster di atas.

Program ini adalah program khidmat masyarakat yang diusahakan oleh Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ahli Parlimen Kuantan.  

Thursday, October 27, 2016

KEADILAN KUTUK PROVOKASI TERHADAP BERSIH5 DI PAHANG

KEADILAN PAHANG MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA TINDAKAN PROVOKASI TERHADAP BERSIH5 DAN PERBUATAN MEMBALING CAT DI PINTU PEJABAT MP KUANTAN

Jelajah Bersih5 Peringkat Negeri Pahang telah pun bermula secara resminya pada 23 Oktober 2016 baru-baru ini setelah penerimaan Obor Bersih dari Terengganu diadakan pada 22 Oktober 2016 di Pintu Gerbang Kemaman/Kuantan (Chendor) baru-baru ini.

Bermula dari tarikh tersebut, kesemua aktiviti jelajah dari Bersih berjalan di dalam keadaan baik. aman dan lancar. Tindakan provokasi pertama yang dihadapi oleh konvoi Bersih berlaku pada 24 Oktober 2016 sewaktu konvoi Bersih memasuki kawasan Leban Chondong, Rompin. Konvoi Bersih telah disekat dan cuba dihalang dari meneruskan perjalanan ke destinasi yang dirancang. Namun, atas bantuan pihak Polis, konvoi akhirnya berjaya meneruskan aktiviti mereka di perkampungan Orang Asal di Kedaik di mana khidmat masyarakat iaitu "Medical Camp" telah diadakan.
 

Pada hari ini, pihak Bersih5 Negeri Pahang sekali lagi diprovokasi secara keterlaluan apabila Pejabat Operasi Jelajah Bersih5 yang ditempatkan di bangunan Pejabat Ahli Parlimen Kuantan telah disimbah dengan cat pada malam tadi. Melalui CCTV, jelas kelihatan perbuatan khianat itu telah dilakukan oleh dua orang yang bermotorsikal. Petang tadi lebih kurang jam 2.00 petang, satu Sidang Media telah diadakan di perkarangan Pejabat MP Kuantan oleh YB Fuziah Salleh. Satu laporan polis juga telah dibuat sejurus itu.

Di atas dua kejadian yang berlaku setakat ini, Keadilan Negeri Pahang mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang bertanggungjawab. Tindakan seumpama itu menunjukkan bahawa mereka cuba untuk menekan dan mengugut pihak Bersih untuk tidak terus mendedahkan kepada rakyat tentang 5 tuntutan Bersih terutamanya tentang kepincangan sistem Pilihanraya di negara kita.
 

Di dalam keadaan Umno/Bn kini amat tertekan dengan berbagai skandal yang dilakukan oleh pimpinan mereka, kehadiran Bersih amat ditakuti oleh mereka.

Kami percaya, Bersih tidak akan tunduk kepada tekanan pihak-pihak yang tidak bertamadun ini. Keadilan Pahang khususnya tetap berdiri teguh di atas prinsip perjuangan Bersih. Kami akan membantu sedaya upaya Jelajah Bersih5 ini agar objektif mereka tercapai.

Kami juga berterima kasih kepada pihak Polis yang setakat ini telah memberikan kerjasama yang baik dan memahami perjuangan Bersih.

26 Oktober 2016

WAN FAUZULDIN WAN SAMAD
Pengarah Komunikasi
Keadilan Pahang

Saturday, October 22, 2016

BAJET - SENGSARA TAHUN HADAPAN

Bajet 2017 membuktikan bahawa kerajaan bukan hanya kehabisan wang tunai, tetapi keadaan akan menjadi lebih buruk, membuatkan 2017 mungkin menjadi tahun yang paling sengsara untuk rakyat Malaysia.

K'jaan gagal penuhi sasaran pendapatan 2016

Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan belanjawan mengumumkan kerajaan dijangka mengutip RM225.7 billion untuk tahun 2016.

Walau bagaimanapun, berdasarkan anggaran terkini, pendapatan 2016 kini disemak semula kepada RM212.6 bilion. Ini adalah kekurangan yang sangat besar iaitu 5.8 peratus atau RM13.1 bilion bagi 2016.

 
Untuk meletakkan perkara dalam perspektif, dan untuk menunjukkan betapa gawatnya keadaan, lazimnya pada masa lalu, kerajaan akan mengutip lebih banyak hasil daripada unjuran mereka.

Kekurangan ini pula menyebabkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan lebih rendah daripada yang diunjurkan.

Kerajaan kini menganggarkan perbelanjaan mengurus untuk 2016 akan berkurangan daripada RM215.2 bilion kepada RM207.1 bilion, manakala perbelanjaan pembangunan akan jatuh dari RM50 bilion kepada hanya RM45 bilion.

Sebagai contoh, ini adalah sebab mengapa kita melihat pemotongan besar dalam perbelanjaan kesihatan, sehingga menjejaskan ujian darah yang kritikal serta peningkatan kos ubat-ubatan untuk rakyat marhaen.

Emolumen dan pembayaran hutang

Ini hanya akan menjadi lebih buruk pada 2017. Peningkatan saiz perkhidmatan awam telah menyaksikan bayaran "emolumen" bagi 2016 meningkat sebanyak RM3.8 bilion kepada RM73.9 bilion walaupun perbelanjaan operasi berkurangan sebanyak RM8 bilion.

Bagi tahun 2017, kerajaan mengunjurkan bayaran emolumen akan meningkat sekurang-kurangnya RM3.6 bilion.

Dalam pada itu, bayaran untuk pencen dan persaraan pula akan meningkat dengan ketara daripada RM19.0 bilion pada 2016 kepada RM21.8 bilion pada tahun 2017.

 
Di samping itu, caj "khidmat bayaran hutang" tahunan - ansuran dan pembayaran balik yang perlu dibayar oleh kerajaan atas pinjaman yang diambil pada masa lalu - telah meningkat dengan ketara.

Untuk 2016, adalah dianggarkan ia berjumlah RM26.6 bilion atau kenaikan RM2.36 daripada tahun 2015.

Pada tahun 2017, jumlah itu akan terus meningkat kepada RM28.9 bilion. Ini adalah akibat dasar pinjaman melulu kerajaan sehingga hutang kerajaan persekutuan sepanjang dekad lalu terus meningkat.

Peningkatan berkembar emolumen dan caj persaraan serta bayaran khidmat hutang dalam konteks pendapatan dan perbelanjaan operasi yang semakin mengecil hanya akan bermakna kurang dana untuk perbelanjaan penting yang lain.

"Subsidi dan bantuan sosial" telahpun dikurangkan daripada RM39.7 bilion pada 2014 kepada RM27.3 bilion (2015) dan menjadi RM24.6 bilion (2016). Malah, ini akan dikurangkan lagi kepada RM22.4 bilion pada tahun 2017.

Wang juga akan berkurangan untuk bekalan perubatan, perumahan, biasiswa dan bentuk sokongan pendidikan yang lain.

K’jaan optimistik terhadap unjuran pendapatan 2017

Akhir sekali, satu-satunya sebab kerajaan masih mampu menonjolkan bajet ‘sederhana’ defisit 3 peratus bagi 2017 adalah kerana ia optimistik dengan unjuran hasil cukainya.

Walaupun anggaran cukai pendapatan petroleum (PITA) dijangka turun dengan ketara daripada RM11.6 bilion pada 2015 kepada RM8.5 bilion pada 2016, kerajaan mengandaikan harga minyak yang lebih tinggi dan permintaan yang meningkat untuk 2017 bagi menjana RM10.6 bilion.

Kerajaan juga mengandaikan peningkatan dalam cukai pendapatan Korporat (CITA) walaupun pada masa yang sama tidak menjangkakan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

CITA sebenarnya menurun sedikit pada 2016 kepada RM63.2 bilion daripada RM63.7 bilion pada tahun 2015. Walau bagaimanapun pada tahun 2017, kerajaan menjangkakan ia mampu mengutip RM69.2 bilion.

 
Begitu juga, di sebalik trend menurun cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada suku terakhir baru-baru ini, kerajaan masih mengunjurkan peningkatan dalam pungutan GST daripada RM38.5 bilion pada 2016 kepada RM40 bilion pada tahun 2017.

Semua perangkaaan dan hujah di atas membuktikan bahawa kerajaan kehabisan wang tunai dengan cepat dan bergelut untuk mengimbangi pendapatan dan perbelanjaannya.

Keborosan kerajaan pada masa lalu - termasuk meningkatkan pengambilan perkhidmatan awam untuk mengurangkan pengangguran siswazah, pinjaman berlebihan - untuk membiayai ketidakcekapan, rasuah dan pembaziran telah dengan teruk mengekang kemampuan kerajaan untuk membekalkan perbelanjaan hari ini.

Justeru, apabila unjuran terlalu optimistik dalam kutipan hasil kerajaan gagal menjadi kenyataan, kita boleh menjangkakan 2017 akan menjadi tahun yang sangat sengsara bagi rakyat biasa.

TONY PUA adalah Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara

Tuesday, October 11, 2016

KEADILAN PAHANG MAHU PARA PENYOKONG HADIR BERAMAI-RAMAI KE INTANA KEHAKIMAN PUTRAJAYA ESOK

 


MPN Keadilan Pahang menyeru seluruh ahli dan penyokong Keadilan serta rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan, NGOs serta rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran agar sama-sama turun ke Istana Kehakiman, Putrajaya esok (12/10/16) jam 08.00 pagi.

Tunjukkan solidariti dan komitmen kita terhadap pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim seorang tokoh yang dipenjarakan demi membebaskan negara ini dari kezaliman dan korupsi. Sehubungan itu, semua Ketua Cabang diarahkan untuk menggerakkan semaksima mungkin kehadiran ahli masing-masing pada hari tersebut.

Sunday, October 9, 2016

PEJABAT AMK PAHANG DIRESMIKAN DI JERANTUT PADA 08 OKT 2016



Angkatan Muda Keadilan Pahang (AMK) terus melangkah ke hadapan di bawah kepimpinan Ketua AMK Pahang, Sdr Wong Chun Yuan dan barisan kepimpinan AMK setiap Cabang apabila berjaya mendapatkan sebuah bangunan untuk dijadikan Ibu Pejabat AMK Pahang bertempat di Jerantut.

Upacara perasmian Pejabat AMK Pahang telah berjaya disempurnakan oleh YB Hee Loy Sian (MP PJ Selatan) petang semalam, 08 Oktober 2016 jam 05.00 petang bertempat di Pekan Jerantut (bersebalahan Bank Rakyat Jerantut).  Turut hadir adalah Pengerusi Keadilan Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman yang turut memberikan ucapan.  YB Lee Chean Chung, Adun Semambu yang juga Exco AMK Pusat turut hadir di samping beberapa lagi Ahli MPN Pahang dan pimpinan Keadilan Cabang Jerantut, termasuk Wanita Keadilan.





Ketua AMK Pahang di dalam kenyataannya mengucapkan ribuan terima kasih di atas dokongan serta sokongan semua pihak, MPN, AMK setiap Cabang dan Wanita yang telah memberikan sokongan moral kepada AMK Pahang untuk terus memberikan khidmat bakti di dalam menjayakan obor reformasi sejajar dengan perjuangan parti.  

Keadilan Pahang sememangnya menaruh harapan besar kepada AMK yang mewakili suara anak-anak muda yang akan menentukan hala tuju pentadbiran negara di masa akan datang.  MPN juga tidak pernah mengawal sebarang kegiatan dan program yang dirancang dan diadakan oleh AMK asalkan aktiviti mereka boleh membantu dan memberi faedah kepada rakyat dan parti.  AMK harus berani, cekal dan tidak gentar untuk menyuarakan pendapat sekiranya mereka merasakan ada tindakan dari mana-mana pimpinan yang terkeluar dari prinsip perjuangan parti asalkan teguran atau kritikan itu membina dan mengikut saluran yang betul.

 
Ketua AMK Pahang sendiri berjanji akan terus mempergiatkan aktviviti dan program terutamanya mendekati anak-anak muda dan kerja ini bukanlah satu kerja yang mudah yang pastinya akan berdepan dengan ujian dan dugaan yang getir.  Hanya kesabaran dan ketabahan sahaja yang boleh mengatasinya di samping kaedah yang bijaksana dan berhemah.

MPN mengucapkan Tahniah dan syabas kepada AMK Pahang di atas segala daya usaha mereka membantu mempertingkatkan prestasi dan imej Keadilan Pahang.  Usaha ini haruslah dipertingkatkan lagi agar AMK Pahang tampil sebagai AMK yang terbaik di antara negeri-negeri lain.   

Wednesday, October 5, 2016

JELAJAH 1 MDB DI PAHANG MENDAPAT SAMBUTAN HEBAT WARGA FELDA


Program Penerangan "Jelajah 1MDB" adalah cetusan idea dari Presiden Keadilan, Dato' Seri Wan Azizah bersama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBPM) atau lebih sinonim dipanggil " Bersatu" iaitu Tan Seri Muhyidin Yassin, Mantan TPM.  Di antara objektif program ini adalah untuk menyalurkan maklumat seluas mungkin di seluruh negeri terutamanya kepada rakyat di luar bandar yang masih kabur tentang skandal 1MDB.

Kata sepakat di antara kedua-dua pemimpin tersebut telah mula direalisasikan dan negeri pertama yang melaksanakannya adalah Selangor.  Pimpinan utama yang dijadualkan akan bergerak ke setiap negeri adalah Presiden Keadilan sendiri, Timbalan Presiden Keadilan, Pengerusi 'Bersatu' dan Presidennya di samping akan menampilkan pimpinan Pakatan Harapan tempatan.



Giliran Negeri Pahang telah berjaya disempurnakan dengan cemerlang sekali iaitu pada 02 Oktober 2016 baru-baru ini.  Program jelajah ini telah dikendalikan oleh MPN Keadilan Pahang dan Tuan Rumah yang dipertanggungjawabkan oleh Negeri adalah Keadilan Cabang Bera.  Lokasi program ini adalah bertempat di Simpang Kepayang, Bera.  Bera dipilih adalah kerana Parlimen Bera adalah di antara Parlimen yang mempunyai banyak kawasan Felda di Pahang.  Warga felda dikenalpasti sebagai masyarakat yang sering tertindas dengan berbagai janji manis di samping itu mereka juga amat sukar mendapatkan maklumat sahih berkaitan isu-isu penting seperti Skandal 1MDB yang banyak melibatkan kepentingan mereka juga.

 
Alhamdulillah, program di Bera malam itu telah mencapai sasaran kehadiran lebih dari 5 ribu yang hadir.  Rata-rata yang hadir adalah di kalangan warga felda sendiri yang kebanyakannya adalah ahli-ahli Umno yang mahu tahu mengapa mantan PM, Tun Dr Mahathir yang suatu ketika dahulu mereka amat hormati dan sanjungi tiba-tiba bangkit menentang Najib, Umno dan Bn.  Apa yang tidak kena dengan Umno sekarang?  Itu persoalan yang bermain-main di kepala mereka.  Paling membanggakan kehadiran juga ramai dari kalangan anak-anak muda yang semakin teruja dengan situasi politik negara sekarang.

Pimpinan utama yang berucap adalah Pengerusi "Bersatu', Tun Dr Mahathir Mohamed yang begitu senang dengan jumlah kehadiran malam tersebut.  Di dalam ucapannya, beliau begitu yakin dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat Bera, Kerusi Parlimen Bera bakal dirampas oleh Keadilan, InsyaAllah.  Ucapan Tun juga banyak mendedahkan tentang skandal 1MDB yang menjadi isu besar dan kontroversi di dalam dan di luar negara.

Timbalan Presiden Keadilan yang juga MB Selangor, YAB Dato' Seri Azmin Ali juga turut menyentuh berbagai isu.  Nikmat yang diperolehi oleh rakyat Selangor semenjak tahun 2008, Pakatan Rakyat dahulunya mengambil alih sehingga kini telah dihuraikan oleh MB Selangor.  Beliau yakin Pahang juga mempunyai potensi untuk menjadi seperti Selangor sekiranya Umno/Bn di negeri ini berjaya ditumbangkan di dalam PRU 14 akan datang.   Beberapa pimpinan lain turut berucap, di antaranya Pengerusi Keadilan Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman.  Pengerusi Dap Pahang, YB Leong Ngah Ngah juga turut berucap di samping Pengerusi Amanah Pahang, Sdr Dr Hamzah Jaafar.  Pentas ceramah turut dipanaskan dengan ucapan dari Ketua Wanita Keadilan, YB Zuraida Kamarudin, Ketua Cabang Bera, Sdr Zakaria Abdul Hamid serta beberapa pimpinan lain.

Gerak kerja yang baik dan tersusun serta komitmen semua pimpinan MPN dan Cabang serta seluruh jentera Keadilan yang bertungkus lumus membantu persiapan program ini adalah faktor utama kejayaan program Jelajah 1 MDB Peringkat Negeri Pahang.  Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakannya, semoga usaha ini memberi faedah kepada seluruh rakyat Negeri Pahang bagi melakar perubahan.

 

Saturday, October 1, 2016

JELAJAH 1MDB PERINGKAT NEGERI PAHANG AHAD (02/10/16) INI



BERA dipilih sebagai Parlimen bertuah untuk menerima kunjungan pimpinan utama Pembangkang iaitu Presiden Keadilan yang juga Ketua Pembangkang, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBPM) atau lebih sinonim disebut sebagai Bersatu, yang juga mantan PM, YBhg Tun Dr Mahathir Mohammed, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBPM) yang juga mantan TPM, Tan Seri Muhyidin Yassin dan Timbalan Presiden Keadilan yang juga MB Selangor, YAB Dato' Seri Azmin Ali di dalam Program Jelajah 1MDB Peringkat Negeri Pahang pada 02 Oktober 2016 (Ahad) ini bertempat di Simpang Kepayang, Bera.

Selain dari pimpinan utama tersebut, pimpinan Pakatan Harapan Negeri Pahang juga turut memberikan ceramah iaitu Pengerusi Keadilan Negeri Pahang yang juga MP Indera Mahkota, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Dap Pahang YB Leong Ngah Ngah dan juga Pengerusi Parti Amanah Pahang, Sdr Dr Hamzah Jaafar.  Di samping itu juga beberapa pimpinan Keadilan dan Ngo juga diberi peluang berucap termasuk YB Sdr Shamsul Iskandar, Naib Presiden Keadilan dan juga YB Zuraidah Kamarudin, Ketua Wanita Keadilan Pusat, Sdr Zakaria Abdul Hamid selaku Ketua Cabang Bera juga akan berucap.

Sudah pasti isu utama yang menjadi maudhuk siri penerangan malam itu nanti adalah berkaitan isu skandal 1MDB yang mana masih ramai rakyat terutamanya di pendalaman dan warga felda yang kurang memahami isu ini dan kesannya kepada negara dan kehidupan mereka.  Di samping itu, isu felda yang sering menjadi rungutan para peneroka juga turut akan disentuh oleh para penceramah serta isu-isu semasa.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir untuk mendengar sendiri apa yang diperkatakan oleh tokoh-tokoh berkenaan.

Friday, September 23, 2016

Persempadanan: Bersih 2.0 akan ambil tindakan undang-undang terhadap SPR

KUALA LUMPUR 20 SEPT: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penyusunan semula kawasan pilihan raya yang dilakukan berat sebelah melalui proses persempadanan di seluruh negara.

Penyelaras Sumber Bersih 2.0, Wong Chin Huat berkata, SPR seharusnya berpegang teguh kepada Seksyen 2c Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua kawasan pilihan raya seharusnya hampir sama.

 
Menurut beliau, di Selangor misalnya, nisbah kawasan terbesar dengan yang paling kecil adalah sangat ketara iaitu 4.05 berbanding 1.

“Macam mana kamu akan dapat yakinkan mahkamah bahawa 4.05 adalah lebih kurang sama dengan 1?

“Ini adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan kita untuk mempercayainya,” kata beliau pada sidang media di pejabat Bersih, Petaling Jaya, hari ini.

Untuk rekod, SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan terhadap kerusi Parlimen dan DUN bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula Khamis 15 September lalu hingga 14 Oktober ini.

Mengikut persempadanan semula itu, SPR turut mencadangkan penambahan satu kerusi baru di Damansara yang meliputi kerusi Petaling Jaya Utara sebelum ini dengan bilangan pengundi melebihi 150,000 orang.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Adnan Mansor sebelum ini mendakwa, pihaknya akan meneliti usul persempadanan itu dan dijangka membincangkannya pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, 30 September ini.
http://www.keadilandaily.com/persempadanan-bersih-2-0-akan-ambil-tindakan-undang-undang-terhadap-spr/

Saturday, September 3, 2016

LAPORAN KETUA AMK PAHANG KEPADA SPRM BERKAITAN SKANDAL KUANTAN PARADE

 
Latar Belakang & Kronologi Isu Skandal Kompleks Membeli-belah Kuantan Parade

Kuantan Parade merupakan sebuah Kompleks Membeli-belah yang dibina oleh Pasdec Realty Sdn Bhd (215926-P) & syarikat ini merupakan sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

Pembinaan kompleks membeli-belah tersebut menyediakan lot perniagaan sejumlah 258 unit dan 168 unit telah dijual kepada orang awam manakala 78 unit dimiliki oleh pihak pemaju. Kompleks membeli-belah Kuantan Parade telah dijual kepada syarikat Premium Plaza Sdn Bhd pada tahun 2008 & Pasdec Realty telah digulungkan oleh Syarikat Pasdec Corporation Sdn Bhd (Anak syarikat PKNP) pada tahun 2011.

Kronologi Isu Kuantan Parade

2 Ogos 2006 – Syarikat Premium Plaza ditubuhkan

18 Ogos 2006 – Perjanjian ditandatangani antara PASDEC Realty & Premium Plaza dengan menjual unit yang dimiliki PASDEC Realty bersama tanah Kuantan Parade dengan nilai RM52,128,000

10 September 2009 – Permohonan Gadaian Tanah Kuantan Parade oleh Premium Plaza

12 Oktober 2009 – Pendaftaran Pindah Milik Tanah Kuantan Parade daripada Pasdec Realty kepada Premium Plaza

12 Oktober 2009 – Premium Plaza menyerahkan dokumen gadaian tanah Kuantan Parade dan telah mendapat pinjaman sejumlah RM38,258,779.32 daripada CIMB Bank. Wang tersebut tidak dibayar kepada Pasdec Realty tetapi dibayar kepada pihak ketiga Syarikat Maxi Wonder Sdn Bhd.

1 November 2010 – Pasdec Corporation memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuantan untuk menggulungkan Pasdec Realty

1 Febuari 2011 – Pasdec Realty digulungkan di Mahkamah Tinggi Kuantan oleh syarikat Pasdec Corporation

Sebagai Menteri Besar Pahang, Pengerusi PASDEC & Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Adnan Yaakob perlu disiasat dalam isu ini.

Terdapat beberapa kemusykilan yang diwujudkan dalam jual beli tersebut yang membawa kepada laporan saya pada hari ini.

Pembayaran Hasil Jualan Kuantan Parade

Syarikat Premium Plaza ditubuhkan pada 2 Ogos 2006, dua minggu sebelum menandatangai perjanjian jual beli Kuantan Parade pada 18 Ogos 2006.

Merujuk kepada laporan kewangan Syarikat Premium Plaza (yang tidak pernah menghantar laporan kewangan selepas tahun 2008), Aset semasa syarikat tersebut berakhir 31 Disember 2008 adalah RM5,212,800 dengan Liabiliti Semasa RM5,204,800. Merujuk kepada laporan kewangan tersebut, syarikat Premium Plaza tidak menunjukkan keupayaannya untuk membiayai pembelian Kuantan Parade.

Namun demikian, pada hari sama Pasdec Realty menghantar permohonan pindah milik tanah (Lampiran 1 – Borang 14A) pada 12 Oktober 2009, Premium Plaza telah memohon gadaian tanah tersebut pada hari yang sama dan mendapat hasil gadaian sejumlah RM38,258,779.32 (Lampiran 2 – Borang 16A), yang bukan dibayar kepada Pasdec Realty, tetapi dibayar kepada sebuah syarikat bernama Maxi Wonder Sdn Bhd.

Selepas itu, Kerajaan Pahang telah mengarahkan sebuah anak syarikat PKNP – PASDEC Corporation menggulungkan syarikat PASDEC Realty pada tahun 2010 selepas Kuantan Parade dijual dan telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 1 Febuari 2011 (Lampiran 3)!

PASDEC Realty telah digulungkan oleh sebuah anak syarikat PKNP, sedangkan Kuantan Parade telah dijual oleh PASDEC Realty atas nilai RM52.8 juta. Ke mana perginya hasil jualan tersebut? Tindakan menggulungkan Anak Syarikat PKNP menggunakan PASDEC Corporation menimbulkan kemusykilan sama ada Kerajaan Pahang sedang berusaha menghilangkan bukti hasil jualan yang didedahkan di atas.
Persoalan utama yang ditimbulkan adalah:

1.Adakah PASDEC Realty telah menerima wang bayaran hasil daripada jual beli tersebut?

2. Mengapakah PASDEC Realty yang baru menerima hasil jualan RM52juta daripada penjualan Kuantan Parade digulungkan oleh anak syarikat PKNP sendiri – PASDEC Corporation?

Demikian laporan saya.


WONG CHUN YUAN
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pahang

Thursday, September 1, 2016

JELAJAH NEGARA BONGKAR KONTROVERSI 1 MDB BAKAL KE PAHANG

Kenyataan Media
1 September 2016


Wan Azizah, Azmin dan Muhyiddin Yassin Jelajah Negara Bongkar Kontroversi 1MDB 

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bakal menggerakkan seluruh jentera parti untuk memberikan penerangan kepada masyarakat umum di seluruh negara mengenai skandal 1MDB. Kempen ini merupakan satu siri ceramah yang dinamakan “Jelajah 1 Malaysia Dalam Bahaya (1MDB): Bohong yang tidak berpenghujung”.

Ceramah keliling negara ini mengambil semangat Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia bagi meyatukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan budaya untuk bersatu menolak kuasa pemerintah yang berterusan membohongi dan mengkhianati rakyat tanpa rasa malu lagi mutakhir ini.

Ketua Pembangkang Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin akan bergabung tenaga dan mendekati rakyat bagi menjelaskan kontroversi-kontroversi yang menyelubungi dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), secara tuntas lagi mudah untuk difahami.

Penerangan begini perlu sampai kepada rakyat memandangkan isu 1MDB adalah antara rampaian rekod terburuk kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam buku prestasi mereka yang cuba dikaburi dan diputar belit demi mempertahankan kedudukan mereka di tampuk pemerintahan negara.

Ia juga satu isyarat jelas dan lantang kepada BN yang mereka tidak akan boleh duduk bersenang lenang menindas dan membohongi rakyat selagi kontroversi 1MDB tidak ditangani dan diselesaikan dengan kemas.

Kempen yang turut membariskan tokoh-tokoh pimpinan politik setempat dan masyarakat sivil ini akan bermula di Sabak Bernam pada 2 September (Jumaat), 8:30 malam di Stadium Mini Sabak Bernam.

Ia kemudian akan menjelajah ke Melaka (25 September), Sabah (30 September), Pahang (2 Oktober) dan Perak (15 Oktober).

Berani kerana benar, takut kerana salah. Kami akan terus menyampaikan kebenaran kepada rakyat biarpun bakal berhadapan dengan sekatan dan rintangan.


Untuk maklumat lanjutan, sila rujuk www.facebook.com/Jelajah1MDB.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat

Monday, August 15, 2016

1MDB: Azmin Fail Semakan Kehakiman Bagi 'Declassify' Laporan Ketua Audit


Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini memfailkan semakan kehakiman bagi mengelaskan semula (declassify) Laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan laporan itu seharusnya bebas daripada diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan terbuka kepada orang awam.

Bertempat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Azmin menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai responden pertama; Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang (responden kedua) dan Kerajaan Malaysia (responden ketiga).

CP2A5794-1024x683“Kami menuntut deklarasi mahkamah bahawa responden pertama bertindak atas konflik kepentingan dan mengarah Ambrin untuk mengklasifikasikan laporan berkenaan sebagai rahsia rasmi.

“Kami juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa klasifikasi oleh Ambrin itu menyalahi undang-undang dan ‘ultra vires’,” katanya dalam sidang media di lobi Mahkamah Tinggi Jalan Duta, di sini, hari ini.

Pada 3 Mac lalu, Ambrin mengklasifikasikan laporan audit berkaitan 1MDB sebagai OSA sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Bertindak atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin turut memohon suatu Perintah Mandamus mengkehendaki responden untuk mengelaskan semula laporan berkenaan dan boleh diakses rakyat.

“Dalam isu ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sudah membentangkan laporan terperinci berkenaan penyalahgunaan dana 1MDB di Amerika Syarikat.

“Jadi, ia menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk menuntut laporan audit itu terbuka kepada umum,” katanya lapor SelangorKini

Saturday, August 6, 2016

KURSUS " POLITIK BERTERAS NILAI" (VBP 2.0) ANJURAN AKADEMI KEADILAN DIADAKAN DI KUANTAN

KEADILAN Pahang telah mengadakan Kursus " Valued Based Politic atau Politik Berteraskan Nilai" (VBP 2.0) Anjuran Akademi Keadilan (ARK) bertempat di Hotel Cathayana, Kuantan mulai 05 Ogos 16 hingga 06 Ogos 16.
 
Dato' Fauzi sedang memberikan ucapan perasmian kursus

SU KEADILAN Pahang, Sdr Kamarzaman juga turut hadir

Kursus ini telah diusahakan oleh MP Kuantan, YB Fuziah Salleh yang juga merupakan Pengasas kepada Akademi Keadilan yang wujud mulai tahun 2009. Di antara lain, objektif kursus ini adalah seperti berikut;

1. Melatih ahli-ahli parti agar memahami prinsip perjuangan berteraskan nilai-nilai murni.

2. Menerapkan nilai-nilai kepimpinan kepada pemimpin dan bakal-bakal pemimpin masa depan terhadap pengertian reformasi sebenar.

3. Menerangkan kepada ahli-ahli tentang perbezaan perjuangan reformasi tulen dengan perjuangan yang hanya berpolitik 'micheavelli". 
 






Kursus hari ini telah diresmikan oleh Pengerusi MPN, YB Dato Fauzi Abdulrahman. Setiap Cabang di seluruh Negeri Pahang telah diberi peruntukan untuk menghantar calon-calon dari Cabang untuk turut serta di dalam kursus ini.

Monday, August 1, 2016

Rakyat Dicukai Lagi Kerana Harga Minyak Ogos 2016 Tidak Ikut Formula Yang Ditetapkan Kerajaan




Sejak pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengapungkan harga minyak petrol (RON95 dan RON97) dan diesel mengikut harga pasaran, harga yang ditetapkan boleh dikira sendiri oleh orang ramai dengan merujuk kepada laporan harga pasaran terkini. Formula kiraan bagi RON95 contohnya adalah mudah iaitu:


Sejak Julai 2015, saya telah mengira sendiri harga RON95 yang sepatutnya mengikut formula apungan yang diumumkan oleh kerajaan sendiri untuk memastikan kerajaan tidak mencukai rakyat secara diam-diam. Jika harga yang ditetapkan adalah lebih tinggi dari harga apungan mengikut formula di atas, itu bermakna kerajaan mencukai rakyat secara senyap-senyap.

Saya boleh memaklumkan bahawa kiraan mengikut formula harga apungan bagi bulan Ogos 2016 (menggunakan harga pasaran purata dan kadar tukaran purata sepanjang Julai 2016) menunjukkan bahawa harga RON95 sepatutnya turun lagi sebanyak 10 sen seperti di dalam jadual di bawah:


Walau bagaimana pun, harga di stesen minyak seperti yang diarahkan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menunjukkan harga RON95 kekal pada RM1.75 seliter.

Ini bermakna sepanjang bulan Ogos 2016, rakyat Malaysia akan membayar 10 sen cukai bagi setiap liter RON95 yang dibeli. Saya percaya keadaannya sama bagi RON97 dan diesel walaupun saya tidak melakukan kiraan bagi kedua-dua jenis minyak itu.

Dengan anggaran penggunaan minyak tahunan sebanyak 17 bilion liter berdasarkan laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (EIA) bagi tahun 2011 (iaitu anggaran yang konservatif kerana penggunaan minyak tahunan meningkat berkadar dengan jumlah kenderaan), cukai 10 sen setiap satu liter bersamaan dengan anggaran kutipan cukai RM142 juta bagi bulan Ogos 2016 ini.

Saya percaya cukai RM142 juta ini dikutip bagi menampung subsidi yang ditanggung oleh kerajaan bagi bulan Mei 2016 dan Jun 2016 apabila kerajaan menetapkan harga minyak yang lebih rendah dari harga apungan mengikut formula kerana dua pilihanraya penting yang berlaku iaitu Pilihanraya Negeri Sarawak (Mei 2016) dan Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar (Jun 2016).

Tindakan menetapkan harga mengikut kepentingan politik Perdana Menteri dan Barisan Nasional adalah melampau apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri mengumumkan bahawa kerajaan akan menetapkan harga mengikut harga pasaran. Sebaliknya yang berlaku harga minyak ditetapkan mengikut kesesuaian dan kepentingan beliau sendiri.

Jika ini berterusan, ia bermakna rakyat boleh sahaja dicukai secara senyap-senyap pada masa ia menguntungkan Barisan Nasional dan kutipan cukai itu dibelanjakan pula pada ketika kempen pilihanraya untuk memastikan Barisan Nasional mendapat kelebihan berganda berbanding pembangkang.

Saya mendesak supaya KPDNKK menyiarkan secara terperinci jadual kiraan sejak dasar apungan harga mengikut pasaran ini dilaksanakan untuk membolehkan rakyat menilai berapa banyak cukai yang telah dikutip secara diam-diam.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Monday, July 25, 2016

DS Najib Guna RM740 Juta Wang Rakyat Untuk Selamatkan TH Heavy Engineering Akibat Keputusan Pelaburan Tabung Haji Yang Salah

Saya diberi maklumat bahawa seorang pimpinan terkanan kerajaan (yang selepas ini saya namakan dahulu sebagai #MalaysianOfficial1) telah meluluskan anugerah satu kontrak rundingan terus kepada TH Heavy Engineering Berhad (THHE) berjumlah RM740 juta.

Saya telah berkali-kali mempersoalkan pelaburan Tabung Haji di dalam THHE kerana ia sebuah syarikat yang secara berterusan mengalami masalah kewangan dan ramai yang telah menjadi mangsa THHE (sebelum ini dikenali Ramunia Holdings Berhad).

Tabung Haji kini mempunyai pegangan 30% di dalam THHE yang bermakna ia tidak mempunyai kawalan ke atas syarikat itu. Malangnya Tabung Haji terus menyediakan sokongan kewangan kepada THHE sehingga telah memakan wang rakyat setakat ini seperti berikut:

i) Pembelian 30% saham THHE yang menelan belanja RM250 juta (pada harga asal purata RM1.50 sesaham). Harga saham telah jatuh kepada 6.5 sen minggu lalu menyebabkan kerugian atas kertas sebanyak RM228 juta;

ii) Pinjaman patuh shariah dalam bentuk terbitan sukuk sebanyak RM50 juta; dan

iii) Pinjaman terbitan hutang dalam bentuk “redeemable preference shares” (RPS) sebanyak RM275 juta

Saya juga sebelum ini mendedahkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan surat meluluskan Tabung Haji memberi jaminan korporat (“corporate guarantee”) kepada THHE bagi pinjaman baru dari bank-bank sehingga had pinjaman USD228.2 juta (bersamaan RM912 juta pada kadar semasa). Namun kemudahan ini tidak laku kerana bank-bank dan institusi kewangan ragu-ragu dengan prestasi THHE.

Oleh yang demikian, THHE berada dalam keadaan yang terdesak terutamanya setelah dua kontraktornya telah menfailkan saman menutup THHE untuk mengutip balik hutang-hutang mereka.

Fakta-fakta di atas mengesahkan kedudukan kewangan THHE yang semakin parah seperti yang saya dedahkan sebelum ini.

Tindakan dan keputusan #MalaysianOfficial1 itu meluluskan anugerah secara rundingan terus kepada THHE sebanyak RM740 juta adalah satu “bail out” untuk menyelamatkan THHE dari jatuh bankrap.

Saya membantah sekeras-kerasnya kerana THHE adalah sebuah syarikat swasta dan hanya dimilki oleh Tabung Haji sebanyak 30% sahaja. Kita tidak tahu siapa sebenarnya yang memiliki 70% lagi sedangkan mereka inilah yang akan mendapat durian runtuh apabila wang rakyat RM740 juta dianugerahkan kepada THHE.

Malah, orang-orang di belakang THHE sepatutnya disiasat dan dihadapkan ke mahkamah (jika ada kes) kerana telah menyebabkan kerugian wang rakyat sehingga RM554 juta.

Keputusan dan tindakan #MalaysianOfficial1 memperuntukkan RM740 juta wang rakyat untuk mengelakkan THHE jatuh muflis adalah zalim kepada rakyat kerana mereka terpaksa berdepan dengan GST, kenaikan harga barang, pengangguran dan pelbagai potongan peruntukan rakyat seperti biasiswa, perbelanjaan sekolah/universiti dan lain-lain.

Saya mendesak supaya Kerajaan Persekutan membatalkan serta-merta anugerah kontrak secara rundingan terus berjumlah RM740 juta yang bertujuan menyelamatkan THHE dan menutup kelemahan pengurusan pelaburan Tabung Haji.

Saya mempunyai dokumen-dokumen yang secara jelas mengesahkan anugerah kontrak secara rundingan terus sebanyak RM740 juta kepada THHE ini yang saya akan dedahkan lagi pada setiap hari minggu ini.

Dari dokumen-dokumen itu saya boleh mengesahkan bahawa #MalaysianOfficial1 adalah Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
Setiausaha Agung/Naib Presiden KEADILAN

25 Julai 2016

Wednesday, July 13, 2016

ISU JUAL BELI TANAH RIZAB MELAYU - ADUN SEMAMBU SEDIA UNTUK DISAMAN


Saya telah menerima surat Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) YB Datuk Hasan Arifin bertarikh 24 Jun 2016 berkenaan dengan isu sebidang tanah yang asalnya merupakan tanah rizab Melayu, kemudian dibeli oleh beliau dengan harga yang murah, yang kemudiannya dijual kepada seorang Cina dengan harga yang berlipat ganda.

Hasan menuduh saya berniat jahat dalam membuat dakwaan tersebut. Beliau mendesak saya supaya meminta maaf dalam tempoh 14 hari, dan jika tidak, beliau akan membawa kes ini ke mahkamah dan menuntut gantirugi sebanyak RM5 juta daripada saya.

Setelah berbincang dengan peguam, saya ingin memaklumkan di sini bahawa saya TIDAK AKAN MINTA MAAF.

Segala maklum balas lanjut saya akan serahkan kepada peguam saya. Sekian.

YB Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN

Tuesday, June 28, 2016

ISU KAFIR HARBI - KENYATAAN MEDIA KEADILAN PAHANG



Sidang Media oleh YB Dato' Fauzi Abdul Rahman.  Turut sama adalah SU KEADILAN Pahang, Sdr Kamarzaman dan Ketua Penerangan, Sdr Zukri Aksah

KENYATAAN “KAFIR HARBI” OLEH DATUK SERI MUFTI NEGERI PAHANG

KEADILAN Negeri Pahang merujuk kepada kenyataan Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman, Mufti Negeri Pahang seperti yang disiarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 24 Jun 2016 (Jumaat). Datuk Seri Mufti dalam kenyataan itu secara jelas dan khusus mengklasifikasikan DAP, sebuah parti politik sebagai kafir harbi dan menghukum pula mana-mana pihak yang Islam yang bekerjasama dengan DAP adalah haram serta berdosa. KEADILAN Negeri Pahang merasa sangat terkesan dan gundah memikirkan bagaimana kenyataan sebegini boleh terbit dari kalam seorang Mufti yang punya taraf penghormatan yang tinggi, dalam sebuah negara yang aman politiknya ini. KEADILAN Negeri Pahang mengajak semua untuk mempertimbang pandangan yang bertentangan berdasarkan perkara-perkara berikut :-

1. Ilmuwan Islam dalam negara dari pelbagai sekolah pemikiran sangat memandang berat isu tuduhan kafir harbi ini. Ustaz Dr. Fathul Bahri Mat Jahya dalam blognya pernah menulis, "hukum kafir harbi ini bukanlah hukuman yang kecil, ia hukuman yang berat kerana kafir harbi ini sampai ke tahap dia boleh dibunuh. Oleh sebab itu jangan kita sewenang-wenangnya menuduh puak itu kafir harbi atau puak ini kafir harbi." Kenyataan Datuk Seri Mufti juga ditegur oleh seorang ahli akademik terkenal dari UIAM, Dr. Maszlee Malik yang menyifatkan kenyataan itu boleh membuka pintu keganasan dan pertumpahan darah. Datuk Dr. Haron Din, ketika masih menjawat jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS, dalam mengulas isu yang hampir sama yang pada masa itu disensasikan oleh Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa’amah mengatakan, "Kafir harbi ini merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh orang Islam, saya menegaskan istilah kafir harbi ini hanya timbul dengan sendirinya apabila wujud sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar. Dalam konteks ini negara ini masih belum lagi memenuhi ciri-ciri sebuah negara Islam, justeru penggunaan istilah kafir harbi dan sebagainya tidak wujud." Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, Profesor Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sempat memperturunkan pandangan Dr. Yusuf al-Qaradawi lewat komentarnya dan menyimpulkan bahawa, "rakyat Malaysia yang bukan Muslim tidak boleh dikategorikan kafir harbi yang boleh diperangi dan halal darahnya ditumpahkan selagi mereka mempunyai ikatan hubungan dengan negara."

2. KEADILAN Negeri Pahang berpendapat bahawa hujah paling salah yang diutarakan oleh Datuk Seri Mufti Negeri Pahang dalam mengkategorikan DAP sebagai kafir harbi ialah bila mengaitkan tuduhan tersebut dengan dakwaan penentangan terhadap Rang Undang-undang Persendirian berkaitan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016. Pertama, penentangan dan ketidakfahaman adalah dua perkara berbeza. Kedua, sikap mempertikai, secara lantang, bukan hanya datang dari DAP, tetapi juga dari MCA, MIC dan Gerakan, serta dari pemimpin politik Sarawak seperti Nancy Shukri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak sendiri. Adenan bahkan telah mengeluarkan arahan supaya semua ahli parlimen BN dari Sarawak menolak RUU tersebut. Ketiga dan yang paling penting, dengan mengguna-pakai istilah "penentangan" sebagaimana tuduhan Datuk Seri Mufti Negeri Pahang, maka ia bukanlah terhadap tindakan atau cadangan Islamik sebuah kerajaan yang dikuasai oleh orang Islam (Dar al-Islam), seperti Kerajaan Barisan Nasional. Pertikaian hanyalah terhadap satu usul persendirian yang dibawa secara bersendiri oleh seorang ahli parlimen yang bukan sebahagian dari parti yang memerintah pun!

3. KEADILAN Negeri Pahang percaya bahawa asas pembinaan negara pelbagai kaum dan agama ini adalah perjanjian penerimaan yang dipanggil kontrak sosial dan diserlahkan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang bersetuju untuk menjadi warganegara negara ini sudah pasti menerima bahawa Islam itu agama Persekutuan, Sultan-Sultan itu adalah Ketua Agama Islam negeri-negeri. Sebagai pulangan terhadap penerimaan fasal-fasal ini, semua rakyat negara ini tanpa mengira agama adalah warganegara yang sama tarafnya, tiada kelas kedua. Perjanjian penerimaan ini adalah mengikat, dan selagi tiada penentangan terhadap fasal-fasal umum ini, maka tidak ada dan tidak wujud golongan kafir harbi di negara ini.

4. KEADILAN Negeri Pahang juga percaya bahawa rakyat Malaysia yang menjadi pembayar cukai terdiri dari semua golongan, kaum, agama dan aliran politik. Hasil cukai negara sudah tentu sebahagiannya digunakan untuk pembangunan Islam dalam negara ini, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri. Selagimana orang bukan Islam, secara sedar menerima keadaan ini dan tidak berlaku penentangan yang melampau, maka selagi itulah tidak wujud kafir harbi di negara ini. Namun harus diingatkan, atas nama keadilan Islam, bilamana hasil negara digunakan untuk pembangunan Islam, maka prasarana penganut-penganut agama lain tidak boleh disisihkan.

5. KEADILAN Negeri Pahang dengan ini mendesak Datuk Seri Mufti Negeri Pahang, berikutan dengan kenyataan kedua beliau yang mula teragak-agak dengan kenyataan pertamanya, supaya mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan pendirian sebenar beliau berkaitan dengan isu kafir harbi, ini kerana dalam konteks Negeri Pahang, negeri ini bukan sekadar negeri pelbagai kaum, pelbagai agama, malahan pelbagai aliran politiknya, di negeri ini ada pimpinan DAP dari kalangan Melayu yang beragama Islam.

6. KEADILAN Negeri Pahang percaya bahawa sesuatu masalah atau polemik tidak akan selesai dengan cara saling menuding jari, kumpulan itu begini, kumpulan ini begitu, orang itu begini, orang ini begitu. Kami percaya, dalam isu-isu sensitif sebegini, jalan terbaik adalah perbincangan dan muzakarah. Kami juga ingin menasihat supaya pihak-pihak di luar lingkungan politik tidak menjadikan satu kebiasaan untuk menuduh dari jauh mana-mana kumpulan politik dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas tanpa terlebih dahulu bertemu dan berkenalan dengan pihak yang dituduh itu.

KEADILAN Negeri Pahang adalah anggota dalam pasukan besar yang bernama Pakatan Harapan, yang didalamnya dianggotai juga oleh DAP dan Amanah. Pasukan ini diikat dengan perjanjian, dan sudah tentulah perjanjian ini tidak melangkaui kehendak Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menetapkan Islam adalah agama persekutuan. Kami percaya, selagi itu dipatuhi oleh mana-mana kumpulan politik pun di Malaysia ini, maka tidak wujud kafir harbi, dan kami dalam Pakatan Harapan akan saling bahu-membahu mempertahankan rakan sepasukan kami dari tuduhan-tuduhan liar tidak berasas yang secara jelasnya lebih condong mahu mengocak ketenangan hidup rakyat pelbagai kaum serta agama dalam negara tercinta ini.

Sekian.

Dato’ Fauzi Abdul Rahman
Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri
KEADILAN Pahang

Bertarikh: 27 Jun 2016

Wednesday, June 8, 2016

PRK Kuala Kangsar Dan Sungai Besar: Pengundi Diberi Pilihan Mengekalkan GST/Beban Hidup Atau Melaksanakan Ekonomi Rakyat; Dedah Satu Lagi Skandal Pembaziran Barisan Nasional



Saya kesal dengan kenyataan Tan Sri Wahid Omar, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang pada akhir khidmatnya pun masih lagi mempertahankan dasar-dasar yang dilaksanakan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang terbukti membebankan rakyat. Tan Sri Wahid Omar dilaporkan berkata tindakan melaksanakan GST dan memotong subsidi adalah tepat kerana ia mengukuhkan ekonomi negara.

Saya menentang pemotongan subsidi yang bermula dari tahun 2010 pada awal penggal Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada ketika beliau masih popular dengan rakyat kerana tindakan itu (memotong subsidi) memangsakan rakyat termiskin. Tanggungjawab sebuah kerajaan ialah membela golongan paling dhaif (“most vulnerable group”) dengan memastikan ekonomi berkembang secara adil; bukannya memotong peruntukan orang miskin untuk membayar hutang yang gagal dibayar orang kaya.

Atas dasar ini juga saya lantang menentang GST. Cukai ini menjadi satu perkara yang zalim kerana fakir miskin dipaksa membayar cukai yang sama dengan orang kaya untuk menutup lubang hutang kerajaan dek kerakusan orang-orang kaya elit membolot kekayaan negara.

Kenyataan Tan Sri Wahid Omar mengesahkan bahawa selagi Umno/Barisan Nasional menjadi kerajaan persekutuan, dasar-dasar yang menekan orang miskin demi membela orang kaya seperti pemotongan subsidi dan GST akan terus dilaksanakan kerana Umno/Barisan Nasional telah lama menjadi parti yang dikuasai orang-orang kaya elit.

Sebab itulah pilihanraya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar kali ini sebenarnya menjadi medan untuk rakyat memilih satu dari dua sistem ekonomi yang jelas bertentangan:

i. Memilih Barisan Nasional bermakna pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar memilih untuk mengekalkan sistem ekonomi yang pro orang kaya dan menekan rakyat terbanyak melalui GST, menghapuskan subsidi, memotong pembiayaan pendidikan rakyat dan lain-lain; atau

ii. Memilih Pakatan Harapan bermakna pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar memilih untuk menghapuskan sistem ekonomi Barisan Nasional tadi dan memperkenalkan sistem ekonomi baru yang pro-rakyat (bermaksud menghapuskan GST, memberi subsidi kepada yang memerlukan, mendemokrasikan pendidikan dengan menawarkan pendidikan bermutu pada kos yang minima).

Bermula dari esok (Rabu, 8 Jun 2016) sehingga hari pengundian, saya akan berada di Kuala Kangsar atau Sungai Besar setiap hari untuk memastikan pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuat pilihan berdasarkan pertimbangan bebanan rakyat yang saya hurai tadi.

Untuk memastikan pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar tidak lupa bahawa kerajaan Barisan Nasional mengutip cukai GST dari rakyat sedang pembesar negara terus bermewah, mulai esok (Rabu, 8 Jun 2016) saya akan memulakan siri pendedahan yang baru. Saya pasti apabila rakyat mendapat tahu tentang satu lagi pembaziran melampau yang berlaku, ia akan dapat meyakinkan rakyat bahawa pilihan yang ada hanyalah menukar kerajaan persekutuan dengan mengundi calon Pakatan Harapan.

Saya akan mulakan siri pendedahan bersempena dengan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar ini pada jam 12 tengahari di Bilik Operasi Utama Amanah/Pakatan Harapan di Kuala Kangsar. Pendedahan ini akan berterusan setiap hari sehinggalah hari-hari terakhir kempen.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Saturday, May 21, 2016

AWAS RISIKO SALAH GUNA SOSMA - RAFIZI

Penahanan Anggota Polis Korporal Jusninawati Abdul Ghani Di Bawah SOSMA: 
Masyarakat Perlu Ambil Perhatian Risiko Salahguna SOSMA

Kebelakangan ini dengan pelbagai perkembangan politik yang tidak menentu di dalam negara, ada kecenderongan pimpinan politik dan civil society yang terlepas pandang beberapa isu penting melibatkan rakyat yang sepatutnya diketengahkan. Salah satu dari isu tersebut adalah berhubung penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang berleluasa tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari masyarakat.

Saya telah mengikuti perkembangan penggunaan SOSMA ini daripada rakan-rakan peguam yang secara sukarela membela tahanan-tahanan ini. Maklumbalas yang saya dapati setakat ini menunjukkan bahawa:

1. Sebahagian besar (sekitar 90%) dari tahanan-tahanan mengaku bersalah tanpa melalui perbicaraan yang sewajarnya

2. Kes mereka tidak mendapat perhatian awam

Keadaan ini membimbangkan saya kerana ia boleh mewujudkan satu suasana yang mana pihak berkuasa boleh menggunakan SOSMA tanpa timbang tara (”check and balance”) yang sewajarnya dari masyarakat. Ini akan menjadikan SOSMA satu undang-undang yang sangat berbahaya kerana sesiapa yang didakwa di bahawa SOSMA mungkin tidak mendapat hak yang sewajarnya di bawah Perlembagaan. Kebimbangan saya ialah masyarakat secara umumnya mempunyai stigma dengan kes-kes di bawah SOSMA dan dengan mudah membuat kesimpulan bahawa mereka yang didakwa adalah pengganas; lalu masyarakat tidak mengambil perhatian tentang nasib dan hak tahanan-tahanan yang didakwa.

Oleh yang demikian, National Oversight & Whistleblowers telah bekerjasama dengan satu pasukan peguam untuk mula membela beberapa kes SOSMA yang dirasakan wajar dibawa ke perhatian umum untuk menimbulkan kesedaran rakyat mengenai risiko salahguna SOSMA jika tidak disemak secara berterusan oleh masyarakat.

Kes yang pertama yang akan kami bela dan ketengahkan ialah melibatkan seorang pegawai polis wanita iaitu Korporal Jusninawati Abdul Ghani yang ditahan di bawah SOSMA atas tuduhan menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan keganasan.

Saya telah menyemak setakat yang termampu dan mengumpulkan maklumat-maklumat berikut mengenai kes Korporal Jusninawati:

i) Beliau ialah seorang ibu tunggal yang mempunyai dua anak kecil dan menanggung seorang ibu tua

ii) Beliau menjalankan perniagaan kecil-kecilan di internet melalui Facebook menjual kopi, pakaian kanak-kanak dan beberapa barangan lain

iii) Kopi yang dijual melalui Facebook dibekalkan oleh seorang pembekal dari Kedah. Setelah berurusan hampir setahun, beliau menjadi akrab secara online dan dijemput pembekal itu (rakan Jusninawati) ke Kedah untuk melawat

iv) Semasa di Kedah, Jusninawati mengikuti rakannya hadir ke satu kenduri dan bergambar bersama-sama tetamu/kenalan lain

v) Salah seorang dari kenalan yang turut bergambar (tetapi tidak dikenali oleh Jusninawati) telah ditahan di bawah SOSMA

vi) Hasil dari siasatan terhadap tahanan itu, beberapa orang yang turut bergambar ditahan di bawah SOSMA termasuklah Jusninawati dan seorang remaja berumur 16 tahun

Ini adalah maklumat awal yang saya perolehi dari semakan dengan keluarga, Jusninawati sendiri dan semakan bebas di laman media sosial (rujuk di bawah) dan berita-berita.

https://www.facebook.com/Hanalmaina-1085285574824444/?fref=ts

https://www.facebook.com/profile.php?id=100010528846556&fref=nf
 
 

Friday, May 13, 2016

Tanggungan Hutang 1MDB Sebanyak RM27.8 Bilion: Rakyat Terpaksa Korbankan 2 Universiti Awam Dan 3 Hospital Setiap Tahun Selama 15 Tahun

Saya agak terkejut dengan kenyataan Gabenor Bank Negara yang baru Datuk Muhammad Ibrahim yang dipetik berkata bahawa beliau yakin kerajaan akan memastikan semua hutang 1MDB akan dibayar. Walaupun saya faham amaran tersirat beliau kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa kedudukan ekonomi dan kewangan negara hanya boleh pulih sekiranya beban kewangan akibat 1MDB diselesaikan segera, ia seolah-olah melupakan bahawa sebarang hutang 1MDB yang diselesaikan kepada kerajaan sebenarnya mendera rakyat lebih teruk dari sekarang.

Hakikat bahawa hutang-hutang 1MDB akhirnya akan ditanggung oleh rakyat bukanlah satu perkara yang baru diketahui. Rakyat sudah tahu bahawa jika pun hutang-hutang ini tidak dibayar terus oleh Kerajaan Persekutuan melalui pengambilalihan anak syarikat 1MDB seperti yang berlaku dengan SRC International Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd, hutang-hutang itu akan ditampung oleh suntikan aset negara, kontrak-kontrak besar, pemberian geran dan lain-lain oleh Kerajaan Persekutuan.

Jumlah hutang 1MDB yang kini telah dan berkemungkinan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan adalah terlalu besar, seperti berikut:

HUTANG YANG TELAH DIAMBILALIH

i. Hutang SRC sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) melalui pemindahmilikan SRC dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

ii. Hutang Bandar Malaysia sebanyak RM2.4 bilion dari Tabung Haji melalui pemindahmilikan Bandar Malaysia dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

HUTANG YANG BERKEMUNGKINAN TERPAKSA DIAMBILALIH

i. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang dijamin IPIC tetapi telah melanggar syarat pinjaman apabila 1MDB gagal membayar faedah bulan lalu

ii. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang juga dijamin IPIC dan faedah perlu dibayar hari ini. Jika tidak dibayar oleh 1MDB, sekali lagi ia melanggar syarat pinjaman

iii. Hutang dalam bentuk terbitan sukuk/bon patuh shariah berjumlah US$1.83 bilion (bersamaan RM7.4 bilion) yang boleh dituntut serta merta akibat pelanggaran syarat pinjaman hutang-hutang (i) dan (ii) akibat dari “cross defaults”

Ini bermakna, jumlah hutang-hutang 1MDB yang telah dan berkemungkinan besar akan diambilalih oleh Kerajaan Persekutuan adalah RM27.8 bilion. Hutang-hutang ini juga menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar faedah tahunan (dipanggil bayaran kupon) sepanjang tempoh hutang itu belum dilangsaikan.

Untuk membuat anggaran tanggungan hutang 1MDB yang rakyat sedang berdepan, saya menganggarkan kadar faedah 5% bagi kesemua hutang-hutang itu dan tempoh matang purata 15 tahun. Maka jumlah tanggungan sebenar hutang-hutang 1MDB yang berkemungkinan dibayar oleh rakyat Malaysia adalah:

Hutang pokok yang telah diambilalih dan
berkemungkinan diambilalih (seperti di atas) RM27.8 bilion

Bayaran faedah pada 5% setiap tahun bagi 15 tahun RM20.85 bilion

JUMLAH KESELURUHAN RM48.65 bilion

Untuk mengenalpasti kesan tanggungan hutang sebanyak ini kepada kehidupan harian rakyat Malaysia, kita perlu pecahkan tanggungan ini kepada peruntukan tahunan yang terpaksa dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menanggung hutang ini seperti berikut:

Bayaran faedah tahun pada kadar 5% RM1.4 bilion
Simpanan tahunan untuk bayaran pokok dalam 15 tahun RM1.9 bilion
PERUNTUKAN TAHUNAN DIPERLUKAN RM3.3 BILION

Maknanya, rakyat Malaysia mesti menyedari bahawa setakat ini, jumlah peruntukan tahunan yang terpaksa dipotong atau tidak dibelanjakan bagi tujuan rakyat akibat hutang 1MDB (yang kita ketahui setakat ini) adalah dianggarkan RM3.3 bilion.

Saya cuba membayangkan kesan ini kepada rakyat dengan menterjemahkannya kepada 2 perkara yang kosnya cukup membebankan setiap keluarga di Malaysia: kos menanggung pendidikan tinggi dan kos kesihatan/perubatan.

Sebuah universiti awam yang baik dan mampu menawarkan pendidikan pada kos yang berkali ganda lebih murah dari IPTS kepada sekitar 5,000 pelajar pada satu-satu masa dianggarkan memerlukan pelaburan awam sebanyak RM750 juta (mengambil kira pembinaan IPTS seperti Kampus Lakeside Taylor’s University yang jauh lebih murah dari itu).

Pada masa yang sama, sebuah hospital besar di peringkat daerah yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan/perubatan yang baik kepada sekitar 100,000 orang penduduk dianggarkan berjumlah RM500 juta (mengambil kira kos hospital sedia ada).

Ini bermakna, apabila peruntukan sebanyak RM3.3 bilion terpaksa dilencongkan setiap tahun untuk membayar hutang 1MDB, jumlah itu bersamaan dengan pembinaan dan operasi 2 universiti awam (IPTA) dan 3 hospital awam SETIAP TAHUN. Bagi tempoh matang purata selama 15 tahun, ini bermakna rakyat Malaysia akan kerugian 30 universiti awam (IPTA) dan 45 hospital awam akibat menanggung hutang 1MDB setakat ini.

Sebab itu, skandal 1MDB ini tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan rakyat berputus asa hanya kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri. Pimpinan politik dan masyarakat turut sama perlu memikirkan langkah mengelakkan tanggungan hutang ini dan mengambil tindakan secepat mungkin (bukan hanya tertumpu kepada persoalan menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti mana fokus Deklarasi Rakyat akhir-akhir ini).

Saya akan berbincang dengan rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan dan ahli-ahli Parlimen untuk mencari jalan mengelakkan hutang-hutang ini diambilalih oleh rakyat.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Thursday, May 5, 2016

PKR: Sarawak masih mundur di bawah BN


Wan Azizah Wan Ismail

SHAH ALAM - Pembangunan negeri Sarawak kelihatan masih mundur walaupun telah berada di bawah pemerintahan BN selama 53 tahun.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penduduk negeri Sarawak tidak mendapat layanan yang adil kerana masih ketinggalan dari segi pembangunan sosial.

“Kebanyakan penduduk di Sarawak masih tidak mempunyai bekalan air yang bersih mahupun bekalan elektrik untuk 24 jam.

“Malah kemudahan seperti sekolah dan klinik masih terhad di kawasan pedalaman Sarawak dan kebanyakan kawasan tidak mempunyai jalanraya yang sempurna untuk laluan harian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, pengurusan kerajaan yang tidak membawa kesan positif kepada pembangunan negeri menyebabkan banyak penduduk berpindah keluar dari negeri tersebut untuk mencari pekerjaan.

“Sarawak kaya dengan sumber asli yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat sekiranya sumber tersebut diterokai dengan betul.

"Tetapi pentadbiran yang lemah telah mengambil kesempatan ke atas sumber tersebut tanpa meningkatkan peluang pekerjaan mahupun membawa kesan positif kepada ekonomi Sarawak.

“Peluang pekerjaan yang terhad membuatkan banyak penduduk Sarawak berpindah ke Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Singapura untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa kecewa dengan kadar gaji minimum di Sarawak yang lebih rendah daripada kadar di Semenanjung.

Menurutnya, jurang perbezaan kadar gaji minimum di antara Semenanjung dengan Sarawak, Sabah dan Labuan hanya menggalakkan tanggapan bahawa ketiga-tiga negeri tersebut tidak layak untuk menerima kadar gaji yang sama dengan Semenanjung.

“Pekerja di Sarawak mendapat bayaran gaji yang lebih kurang daripada pekerja di Semenanjung walaupun mereka mungkin melakukan pekerjaan yang sama.

“Tindakan ini tidak adil kerana ia hanya melumpuhkan pembangunan masyarakat Sarawak,”

Beliau juga menegaskan bahawa penduduk Sarawak terpaksa menganggung keperitan kenaikan harga barang dan juga kos pembiayaan sara hidup yang tinggi.

“Masyarakat Sarawak kini menderita kerana peningkatan harga barang akibat salah tadbir kerajaan Umno.

“Malangnya, keperitan hidup masyarakat Sarawak tidak diberi perhatian oleh kerajaan dan ini merupakan masa yang sesuai untuk mereka bersuara bagi mendapatkan hak mereka yang sepatutnya,” katanya.
 
Sumber:  SH

Tuesday, May 3, 2016

Skandal Pembelian Hartanah MARA: Apa Tindakan Pemuda UMNO Untuk Dapatkan Balik Dana MARA Yang Diselewengkan?


050316 Ulangkaji MARA-01


Kes saman Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap saya mengenai satu kenyataan media berhubung skandal pembelian hartanah MARA di Australia bermula hari ini. Peguam saya, YB William Leong (Ahli Parlimen Selayang) mendapat pelepasan dari Yang Arif S Nantha Balan untuk menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan saya memfailkan satu affidavit memasukkan transkrip perbicaraan di Mahkamah Melbourne sebagai bahan bukti pihak saya.

Perbicaraan penuh akan bermula pada 6 dan 7 Jun 2016 ini.

Sementara kes ini melalui proses undang-undang di mahkamah, fakta-fakta berhubung urusniaga yang melibatkan MARA dan beberapa individu yang dikaitkan dengan pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO itu terus mendapat liputan.

Sehingga kini, tidak ada sebarang tindakan atau pengumuman yang mengesahkan bahawa dana MARA yang diselewengkan oleh individu-individu tertentu ini telah dipulangkan kepada MARA. Dalam keadaan peruntukan untuk membiayai program pendidikan MARA dipotong mendadak sehingga biasiswa MARA dihapuskan dan jumlah penerima pinjaman pendidikan dikurangkan, kegagalan mendapatkan kembali dana MARA yang diselewengkan ini adalah satu pengabaian tanggungjawab di pihak kerajaan dan UMNO.

Sebab itu saya berhak bertanyakan kepada Khairul Azwan Harun – sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO, apakah langkah-langkah yang telah beliau ambil untuk membantu MARA mendapatkan kembali dana yang diselewengkan ini kerana jumlahnya besar dan dapat membantu ramai pelajar Bumiputra? Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Pergerakan Pemuda UMNO untuk membantu MARA mendapatkan kembali dana ini? Sudahkan sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana anggota Pemuda UMNO yang dinamakan secara khusus di dalam dokumen-dokumen rasmi dan transkrip perbicaraan di Australia?

Jumlah yang diselewengkan bukanlah sedikit. Fakta-fakta berikut adalah hasil dari pengumuman MARA sendiri, jawapan menteri di Parlimen atau dokumen urusniaga yang dilaporkan secara meluas:

1. Sebuah syarikat bernama Thrushcross Land Holdings Ltd telah dibeli oleh MARA Inc dalam tahun 2014. Jumlah yang dibayar oleh MARA untuk membeli Thrushcross Land Holdings Ltd adalah A$86.9 juta (bersamaan RM260.7 juta) iaitu A$64.4 juta (bersamaan RM193.2 juta) bagi pembelian syarikat dan A$22.5 juta (RM67.5 juta) untuk membayar hutang syarikat itu. Jawapan ini diberikan oleh Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar di Parlimen.

2. Thrushcross Land Holdings Ltd dimiliki oleh individu-individu yang berkait dengan pimpinan Umno dan pemimpin dari kalangan Pemuda Umno. Perkara ini saya huraikan dalam kenyataan media saya http://rafiziramli.com/2015/07/individu-terbabit-di-dalam-urusniaga-mara-perlu-tampil-memberi-penjelasan/

3. Thrushcross Land Holdings Ltd membeli dua bangunan asrama pelajar pada harga yang jauh lebih rendah iaitu Unilodge Swanston Street pada harga A$23.5 juta (bersamaan RM70.5 juta) dan Dudley House pada harga A$22.6 juta (bersamaan RM67.8 juta). Jumlah kos pembelian dua asrama pelajar ini hanyalah A$46.1 juta sedangkan syarikat itu dijual pada harga A$64.4 juta kepada MARA Inc. Selain itu, MARA Inc juga mengambil alih hutang Thrushcross Land Holdings Limited dengan WBC Finance dan WBC Commercial Bill sebanyak A$22.5 juta.

4. Ini bermakna, MARA Inc bukan sahaja membeli 2 asrama pelajar itu pada harga yang lebih mahal; malah ia juga membayar hutang yang digunakan oleh pemilik Thrushcross Land Holdings Ltd ini untuk membeli 2 asrama pelajar itu yang kemudiannya dijual kepada MARA Inc.

5. Akibat dari penyelewengan ini, MARA Inc terpaksa menjual kedua-dua bangunan asrama ini dan hasrat penjualan itu telah diiklankan. Perunding hartanah antarabangsa iaitu Colliers menganggarkan bahawa setiap satu asrama itu bernilai A$30 juta pada harga semasa.

6. Maka, MARA Inc akan kerugian sebanyak A$26.9 juta (bersamaan RM80.7 juta) iaitu jumlah yang dibayar A$86.9 juta tolak bidaan pembeli pada harga semasa A$60 juta.

7. Ini juga bermakna pemilik Thrushcross Land Holdings Limited iaitu individu-individu yang berkait dengan pemimpin UMNO dan pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO ini memperolehi keuntungan durian runtuh sebanyak A$40.8 juta (bersamaan RM122.4 juta).

8. Dari jumlah RM122.4 juta keuntungan atas angin itu, sebanyak A$4.75 juta (bersamaan RM14.25 juta) dibayar kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan individu dan pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO.

Saya khuatir penyelewengan dana MARA yang membawa kesan besar kepada pelajar Bumiputra ini didiamkan begitu sahaja dan dana yang diselewengkan tidak dirampas dari individu-individu terbabit.

Oleh yang demikian, saya mencabar Saudara Khairy Jamaluddin atau Saudara Khairul Azwan Harun atau kedua-duanya sekali berdebat mengenai penyelewengan dana MARA ini untuk membuktikan bahawa Pemuda UMNO telah menjalankan tanggungjawabnya menjaga dana awam Bumiputra tersebut.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN