KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Thursday, January 28, 2016

RIZAB TABUNG HAJI NEGATIF SEJAK TAHUN BERAKHIR 31 DISEMBER 2014

27 JANUARI 2016

Saya merujuk kepada kenyataan Tan Sri Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Urusan Tabung Haji berhubung isu kelemahan dana rizab Tabung Haji yang ditimbulkan oleh Bank Negara Malaysia.

Antara lain, beliau memberi alasan perkara yang ditimbulkan oleh Bank Negara Malaysia itu tidak menggambarkan kedudukan kewangan sebenar Tabung Haji kerana aset-aset anak syarikat Tabung Haji adalah lebih besar. Saya petik kenyataan beliau:

“Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, nilai keseluruhan aset Tabung Haji adalah lebih tinggi dari nilai liabiliti Tabung Haji, di mana ia mengambil kira kesemua nilai saksama portfolio pelaburan Tabung Haji”

Sebagai Ahli Parlimen, saya berpeluang meneliti sendiri Penyata Kewangan Tabung Haji yang diserahkan kepada Ahli Parlimen setiap tahun. Penyata Kewangan Tabung Haji terkini yang diaudit adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014. Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 hanya akan diperolehi di akhir tahun ini.

Saya rujuk kepada Penyata Kedudukan Kewangan (“Statements of Financial Position”) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 seperti di bawah:

Bagi mereka yang kurang mahir membaca penyata kewangan, kepala “TH” merujuk kepada aset, liabiliti dan rizab pendeposit Tabung Haji. Kepala “Group” merujuk kepada aset, liabiliti dan rizab Tabung Haji dan keseluruhan kumpulan yang merangkumi anak syarikat dan syarikat bersekutu. Contoh-contoh anak syarikat ialah Bank Islam Malaysia Berhad dan Tabung Haji Plantations. Contoh-contoh syarikat bersekutu ialah TH Heavy Engineering Berhad.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, aset Tabung Haji adalah sebanyak RM54.751 bilion dengan simpanan tunai sebanyak RM7.0 bilion.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, jumlah dana terkumpul Tabung Haji ialah RM54 bilion. Dana terkumpul adalah dana-dana yang digunakan oleh Tabung Haji dalam menjalankan aktivitinya. Dari dana inilah maka ia dilaburkan atau dibuka anak syarikat untuk menjana keuntungan kepada Tabung Haji.

Dana terkumpul sebanyak RM54 bilion ini terdiri dari jumlah dana dari pendeposit Tabung Haji sebanyak RM54.358 bilion dan rizab terkumpul iaitu kerugian sebanyak RM351 juta. Secara umumnya, rizab terkumpul adalah jumlah keuntungan terkumpul sejak Tabung Haji melaksanakan perniagaan. Jika Tabung Haji mempunyai keuntungan terkumpul, maka jumlah rizab adalah positif. Jika Tabung Haji mempunyai kerugian terkumpul, maka jumlah rizab adalah negatif.

Jumlah rizab ini adalah penting kerana ia melambangkan 2 perkara:

1. Rizab terkumpul yang positif melambangkan Tabung Haji berjaya menjana keuntungan yang baik dan bermakna keputusan pelaburannya adalah tepat

2. Dari rizab terkumpul inilah bonus (atau dividen) boleh dibayar kepada pendeposit. Jika rizab terkumpul itu besar, maka lebih besarlah bonus boleh dibayar kepada pendeposit.

Oleh yang demikian, saya ingin menegur Tan Sri Ismee Ismail yang nampaknya cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan beliau semalam seolah-olah Tabung Haji tidak mengalami apa-apa masalah kewangan.

Penyata Kewangan Tabung Haji bagi tahun kewangan 31 Disember 2014 yang diaudit telah menunjukkan bahawa rizab terkumpul Tabung Haji telah pun negatif iaitu kerugian terkumpul sebanyak RM351 juta. Ini bermakna, jika semua pendeposit Tabung Haji mahu mengambil kembali simpanan sebanyak RM54.358 bilion, semua aset-aset Tabung Haji tidak cukup untuk membayar simpanan tersebut dan kekurangan dana sebanyak RM351 juta.

Kedudukan kewangan ini berlaku sebelum tahun 2015 yang menyaksikan kejatuhan pasaran saham dan nilai matawang ringgit yang mendadak. Ini bermakna bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, Tabung Haji akan mengalami kerugian yang jauh lebih besar.

Maka nilai rizab terkumpulnya akan menunjukkan kerugian terkumpul yang jauh lebih besar dari RM351 juta.

Dalam keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia wajar mengetahui bahawa:

1. Tabung Haji tidak mempunyai aset yang mencukupi untuk membayar kembali simpanan pendeposit sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 dan dijangka makin teruk bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

2. Tabung Haji tidak mempunyai rizab keuntugan terkumpul untuk membayar bonus kepada pendeposit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 kecuali ia meminjam wang atau mencairkan asetnya.

Ini bukan perkara yang kecil dan saya akan terus meneliti perkara-perkara lain mengenai prestasi kewangan Tabung Haji.

Pun begitu, sebagai permulaan untuk memperbaiki keadaan, saya menuntut supaya Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletak jawatan serta merta di atas kegagalan beliau memastikan prestasi kewangan Tabung Haji tidak menjejaskan simpanan pendeposit.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG AHLI PARLIMEN PANDAN

Saturday, January 16, 2016

KENYATAAN MEDIA - SERANGAN PENGGANAS DI ISTANBUL DAN JAKARTA

KENYATAAN MEDIA
15 JANUARI 2016

SERANGAN PENGGANAS DI ISTANBUL DAN JAKARTA

Selepas dua hari insiden serangan di Istanbul, ISIS mengganas sekali lagi dengan membuka medan baru di rantau di mana umat Islam hidup aman di kalangan masyarakat pelbagai kepercayaan sejak sekian lama. Serangan ke atas ibu negara umat Islam terbesar di dunia ini merupakan serangan terhadap Asia Tenggara.

Saya merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan. Saya menyanjung tinggi tindakan berani kepimpinan dan pasukan keselamatan serta menzahirkan kekaguman terhadap warga Jakarta yang mengajar dunia cara berdepan dengan keganasan. Mereka telah bersuara di media sosial dengan menyatakan keberanian, #tidaktakut serta menanggapi keganasan dengan penuh cemuhan.

Indonesia dan Malaysia berkongsi jalur sejarah yang sama, melewati zaman sebelum persempadanan wilayah serta pengamalan Islam secara aman dalam masyarakat plural. Kita berdepan dengan ancaman yang sama di mana anak-anak muda kita diindoktrinasi dengan ideologi kebencian yang bertentangan dengan kecintaan kita kepada keamanan serta aspirasi demokrasi. Kita mesti bekerjasama menghadapi ancaman kumpulan pengganas yang memiliki rangkaian antarabangsa dan jaringan merangkumi Asia Tenggara, namun kita juga mesti bersama mendepani cabaran ideologikal dan kepimpinan yang diancam menerusi keganasan dan fahaman totalitarian. Indonesia dan Malaysia harus bersama-sama beriltizam menjadi tonggak keamanan, kemakmuran dan demokrasi dalam dunia Islam.

Marilah kita mendoakan mangsa-mangsa yang terkorban akibat keganasan di Jakarta dan di seluruh dunia. Kita harus membuang ketakutan dan kebencian.

Saya yakin Indonesia akan pulih dan bangkit dengan lebih kuat, lebih bersatu dan tekad untuk menjadi pelantar demokrasi dan keamanan yang mencerminkan legasi kerohanian yang kita kongsi bersama.

ANWAR IBRAHIM

Friday, January 8, 2016

Perjanjian lambang kematangan politik Pakatan Harapan – Wan Azizah

(Oleh Fiza Abd Halim)

KUALA LUMPUR 5 JAN: Pakatan Harapan menggariskan tujuh fasal utama yang menjadi pra-syarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik yang mapan.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penjanjian yang akan dimeterai KEADILAN, DAP dan Amanah di Pusat Konvensyen Shah Alam, Sabtu ini ialah berkenaan prinsip dan kaedah membuat keputusan dan membina kesatuan politik di antara parti.

 
 
“Seterusnya adalah prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian antara parti, membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama.

“Dan menguruskan perjalanan pilihan raya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi, menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang dan akhir sekali ialah menangani keadaan bila mana perjanjian ini dilanggari,” jelas Wan Azizah pada sidang media Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Amanah.

Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang yakin pemeteraian perjanjian ini merupakan kemajuan besar dan melambangkan kematangan politik ketiga-tiga parti yang berjaya mengenepikan kepentingan politik masing-masing demi mencapai persetujuan ini.

“Perkara ini telah termaktub di dalam dokumen dasar-dasar Pakatan Harapan sebelum ini termasuk kerangka dasar bersama, Belanjawan Pakatan Harapan, Buku Jingga dan lain-lain.

“Ia diterjemahkan oleh pentadbiran Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. Ia juga menguatkan lagi ketiga-tiga parti ini dengan niat dan keikhlasan kami dan akan mengotakan sebahagian harapan rakyat,” katanya./KD