KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Monday, December 31, 2012

SEKITAR KUNJUNGAN PRESIDEN PKR MENEMUI MANGSA-MANGSA BANJIR DI KUANTAN

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail telah mengadakan kunjungan mengejut ke Kuantan dan Indera Mahkota semalam (30 Disember 2012) untuk menziarahi mangsa-mangsa banjir sekitar kawasan tersebut.

Ketibaan Datin Seri Wan Azizah disambut meriah di Galing diiringi oleh YB Fuziah Salleh
Menyampaikan sumbangan kepada Bonda Mertua Kamarul Hatta
Meskipun kunjungan beliau tidak dijadualkan, namun kehadiran beliau ke dua-dua kawasan Parlimen telah disambut dengan begitu meriah sekali khususnya oleh penduduk tempatan.  Ketibaan Datin Seri Wan Azizah ke lokasi pertama iaitu di Galing, Kuantan lebih kurang jam 3.00 petang diiringi oleh Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh, Timbalan Pengerusi KEADILAN Negeri, Sdr Ahmad Nizam, pimpinan-pimpinan KEADILAN dan rakan-rakan dari PAS serta DAP kawasan.

Sumbangan-sumbangan yang dikumpulkan untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir di Galing
Sempat beramah mesra dengan penduduk dan kanak-kanak
Menyampaikan bantuan peralatan sekolah di Madrasah Galing
Ketua Wanita PKR Pahang, Puan Dasimah (selendang merah) turut hadir mengiringi Presiden
Di Galing, beliau telah berkunjung ke kediaman warga emas, iaitu bonda mertua kepada Penyelaras SAMM Pahang, Sdr Kamarul Hatta.  Rumah bonda mertua Kamarul Hatta rosak teruk akibat banjir sehinggakan beberapa peralatan dan perabut rumah mengalami kerosakan dan dinding rumah telah retak.  Keadaan yang sama juga berlaku ke atas rumah Sdr Kamarul Hatta yang bersebelahan dengan rumah bonda mertuanya.

Berjalan kaki dari rumah ke rumah
Presiden dan YB Fuziah Salleh meninjau keadaan di dalam rumah yang menjadi mangsa banjir
Di kawasan tersebut Datin Seri Wan Azizah telah menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.  Kawasan Galing adalah merupakan salah satu kawasan yang teruk dilanda banjir, sehubungan itu kunjungan Datin Seri Wan Azizah menemui mangsa-mangsa banjir di kawasan berkenaan adalah di antara yang paling lama di dalam lawatannya.  Beliau juga turut menyampaikan bantuan peralatan sekolah kepada anak-anak mangsa banjir di Madrasah Galing.

Sebagaimana di Galing, Presiden disambut penuh mesra di Bukit Setongkol
Wakil penduduk di Bukit Setongkol menyuarakan permasalahan mereka kepada Presiden
Selepas berkunjung ke kawasan Galing, beliau bergegas pula ke Bandar Kuantan untuk menziarahi mangsa-mangsa banjir di bandar tersebut.  Bandar Kuantan telah ditenggelami air baru-baru ini dan banjir kali ini merupakan banjir yang terbesar sejak berpuluh tahun yang lalu.

Kunjungan beliau seterusnya adalah di Parlimen Indera Mahkota di mana beliau telah meluangkan masa bertemu penduduk-penduduk sekitar perkampungan Bukit Setongkol.  Kawasan ini juga teruk dilanda banjir baru-baru ini.  Datin Seri Wan Azizah sempat meninjau keadaan di dalam dan di luar rumah mangsa-mangsa banjir untuk melihat sendiri kesan akibat banjir yang melanda.

Dari rumah ke rumah dikunjungi menemui mangsa-mangsa banjir

Setiap kawasan yang dikunjungi, sumbangan telah diberikan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan bebanan mereka.  Sebelum berangkat pulang, Presiden PKR ini telah menyampaikan ucapan ringkas beliau disamping mengucapkan ribuan terima kasih di atas sambutan dan layanan yang diberikan oleh penduduk setempat.  Beliau turut memberi jaminan sekiranya rakyat mahu agar pengurusan yang lebih baik khususnya berkaitan sistem perparitan dan pembangunan yang seimbang tanpa menjejaskan alam sekitar, rakyat perlulah melakukan perubahan di dalam PRU akan datang.

Sebelum berangkat pulang, YB Fuziah Salleh dan Datin Seri Wan Azizah sempat berucap kepada penduduk setempat
Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh sebelum itu turut berucap dan beliau mewakili seluruh mangsa-mangsa banjir khususnya dan rakyat Kuantan dan Indera Mahkota, amnya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datin Seri Wan Azizah yang sudi meluangkan masa menemui rakyat di kawasan ini.  Beliau percaya, selepas kunjungan Presiden PKR ini, pimpinan Umno dan Wakil-Wakil Rakyat mereka akan berkunjung ke kawasan ini untuk menunjukkan mereka juga prihatin kepada permasalahan rakyat.  Persoalannya, di mana mereka sebelum ini?


Saturday, December 29, 2012

BERSIHKAN PDRM DENGAN MEMILIH PAKATAN RAKYAT

Di sebalik banyak pendedahan yang dibuat, Musa Hassan juga banyak kes yang beliau perlu jawab

Kredibiliti pasukan Polis sebenarnya sudah lama rosak terutamanya di tahun 1998 iaitu di era reformasi lagi.  Campurtangan pasukan keselamatan ini di dalam banyak isu terutamanya isu politik telah menyebabkan hilang kepercayaan rakyat terhadap PDRM.
 
Pembangkang banyak kali menyatakan betapa teruknya PDRM di dalam menangani beberapa kes yang ada hubungkait dengan orang politik terutamanya yang melibatkan tokoh politik dari Pembangkang.  Memang benar, terdapat juga tokoh politik dalam Umno/Bn yang diambil tindakan tetapi kebanyakannya setelah mereka 'tiada taring' lagi atau Umno sendiri tidak perlukan tokoh tersebut.  Contohnya seperti Khir Toyo dan dua bekas pemimpin MCA yang didakwa terlibat di dalam skandal PKFZ.

Mengapa terjadinya sedemikian?  Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah pun menjawab persoalan ini, itu pun setelah beliau bersara.  Beliau ada menyebut memang berlaku campurtangan orang politik terhadap PDRM.  Ertinya, dakwaan Pembangkang selama ini terbukti benar.

Terbaru, bekas KPN itu juga menyebut di dalam "The Malaysia Insider"," Kadar jenayah yang tinggi di Malaysia disebabkan oleh hubungan rapat antara pemimpin negara dan kpemimpin kongsi gelap.  “Apabila penjenayah rapat dengan ‘orang atas’, yang teraniaya adalah masyarakat,” kata Musa Hassan.  

Paling memeranjatkan seperti yang disebut oleh Kumpulan Pemerhati Jenayah, MyWatch, yang rapat dengan Musa mendakwa pegawai polis berpangkat tinggi terlibat dengan penggubahan wang haram, termasuk perjudian haram, pelacuran, mengatur perlawanan bola sepak, malah turut mempunyai hubungan dengan pemimpin kongsi gelap. " Kadar jenayah tinggi dikaitkan secara langsung dengan sindiket yang berurusan dengan pelacuran, perjudian, dan pinjaman wang haram", kata Musa Hassan.

Apa yang didedahkan oleh bekas KPN itu terlalu banyak kebenarannya.  Di Negeri Pahang juga tidak terlepas dari fenomena tersebut.  KEADILAN Pahang sendiri terutamanya banyak kali membuat laporan Polis terhadap beberapa kes politik seperti gangguan ceramah dan tindakan samseng oleh kumpulan Umno, namun kes yang dilaporkan berlalu.  Kami pernah membuat laporan Polis terhadap provokasi yang dilakukan oleh Umno sewaktu program Ceramah melibatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim di K.Lipis dahulu.  Begitu juga laporan Polis turut dibuat beserta maklumat terperinci tentang individu yang terlibat di dalam perbuatan samseng sewaktu Program Ceramah YB Nurul Izzah di Lepar awal tahun lalu.  Di mana hasil siasatan?
 
Rakyat tiada pilihan lain kecuali ubah Kerajaan yang sedia ada.  Kita boleh membantu PDRM agar menjadi lebih profesional dengan hanya memilih Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya.

Wednesday, December 26, 2012

BANJIR - KEADILAN MEMPERKEMASKAN GERAK KERJA SKUAD PENYELAMAT DAN BANTUAN

Kejadian banjir yang melanda Pahang, terutamanya di kawasan Kuantan, Pekan dan Rompin sejak tiga hari yang lalu menyebabkan beberapa aktiviti dan program ceramah terpaksa dibatalkan atau ditunda.  Komitmen KEADILAN Pahang waktu ini adalah untuk memberikan bantuan kepada semua masyarakat yang mendiami kawasan-kawasan yang dilanda banjir.



Banjir kilat yang melanda Bandar Kuantan termasuk sekitar Indera Mahkota, Chenderawasih, Bukit Setongkol, Galing dan beberapa kawasan diberi perhatian di mana Skuad Penyelamat dan Bantuan serta merta telah ditubuhkan oleh KEADILAN bersama rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat di kawasan tersebut.



Hari ini, KEADILAN Pahang akan bermesyuarat khusus bagi membincangkan persiapan serta gerak kerja menghadapi situasi banjir yang dijangkakan berterusan sehingga hujung minggu ini.  Mesyuarat ini adalah untuk memperkemaskan lagi Skuad Penyelamat dan Bantuan yang telah dibentuk agar ianya lebih lancar, cekap dan efisyen.

Setakat ini Skuad yang telah dibentuk berjaya melaksanakan tugas masing-masing dengan sempurna dan bantuan yang diberikan telah sampai kepada sasaran.  Kepada pimpinan di kawasan-kawasan yang tidak dilanda banjir mereka juga harus sentiasa berada di tahap kesiapsiagaan sepanjang masa agar tindakan pantas boleh dilakukan sekiranya kawasan masing-masing dilanda banjir yang sekarang ini sukar dijangka.  

Setiap kawasan hendaklah mewujudkan Skuad Penyelamat dan Bantuan mulai sekarang agar ianya dapat digerakkan pada bila-bila masa. 

Anak Taib Mahmud miliki RM1.3j dalam KWSP dan 400 ribu unit saham ASN, kata saksi

KUALA LUMPUR, 24 Dis — Saksi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Nasional (ASN) Berhad dalam perbicaraan tuntutan Mutaah bekas menantu Ketua Menteri (KM) Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah hari ini bahawa Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib memiliki aset simpanan RM1.3 juta dalam KWSP dan 400 ribu unit saham dalam ASN.

Saksi daripada KWSP, Anisah Bt Jaafar, 39 mengesahkan akaun milik Mahmud Abu Bekir tersebut yang mula dicarum sejak 1992 hingga tahun 2012 adalah berjumlah sebanyak RM1,367,584.66 (yang terkini) serta pernah dikeluarkan sebanyak dua kali iaitu pada 1998 (RM158,312) dan 2011(RM1,874,331).

“Ya, jumlah terkini dalam akaun KWSP milik Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib ialah sebanyak RM1,367,584.66.

“Beliau juga pernah membuat pengeluaran sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1998 dan 2011,” kata Anisah yang juga penolong pengurus caruman KWSP.

Menurut Anisah lagi, caruman terkini ke atas defendan Mahmud Abu Bekir dibuat oleh dua syarikat iaitu Cahaya Mata Sarawak Berhad sebanyak RM4,600 bulanan dan Titanium Project Management Sendirian Berhad sebanyak RM9,200 setiap bulan.

Selepas keterangan daripada saksi KWSP, Bazit Othman, 51 yang merupakan pengurus perhubungan ASN mengambil tempat di kandang saksi dan memberitahu bahawa defendan, Mahmud Abu Bekir memiliki sejumlah 404,226 unit saham dalam ASN dan juga Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Bagi saham ASN, Mahmud Abu Bekir memiliki sejumlah 149,888.17 unit saham yang dikira mengikut nilai pasaran semasa dan saham ASB pula sejumlah 389,237.83 unit yang dikira mengikut harga pasaran tetap pada RM1 seunit, menurut Bazit.

“Beliau memiliki jumlah keseluruhan 404,226 unit saham di ASN yang mana 149,888.17 adalah di ASN dan 389, 37.83 unit lagi di dalam ASB,” kata Bazit.

Tambah Bazit, kedua-dua akaun tersebut telah didaftarkan sejak pada 2 Februari 1990.

Sementara itu, pegawai bank CIMB Sia Kwai Buay, 58, mengesahkan bahawa Mahmud Abu Bekir memiliki sejumlah RM5,751,557.53 dalam akaun semasanya dan RM3,008,663.1 di dalam akaun deposit tetap.

Bekas menantu Taib Mahmud, Shahnaz Abdul Majid ketika ini sedang menuntut RM100 juta untuk Mutaah, berikutan perceraian mereka, dan RM300 juta tuntutan bagi harta sepencarian.

Pasangan tersebut bercerai Mei lalu dan perbicaraan yang berjalan sejak 2011 ini adalah bagi menuntut sejumlah RM400 juta daripada bekas suaminya itu.

Shahnaz, kakak kepada penyanyi Datuk Shiela Majid dalam perbicaraan sebelum ini mendakwa bekas suaminya itu mempunyai 111 akaun bank dari seluruh dunia, termasuk di Kanada, Amerika Syarikat, Caribbean, Perancis, Monaco, Switzerland, Luxembourg, Malaysia, dan Hong Kong.

Pihak plaintif, Shahnaz Abdul Majid diwakili oleh peguam Mohd Rafie Mohd Shafie manakala Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili pihak defendan.

Pada prosiding November lalu, Musinah Manap, pengurus bahagian khidmat pelanggan Maybank mengesahkan Mahmud Abu Bekir membelanjakan wang sebanyak RM782,520.88 dalam tempoh enam bulan.

Dalam penyata bank itu, Mahmud Abu Bekir telah menggunakan kad American Express sebanyak RM166,332.37 pada Januari; RM148,763.88 pada Februari; RM102,236.85 pada Mac; RM172,193.23 pada April; RM39,454.70 pada Mei; dan RM153,539.85 pada Jun, menjadikan jumlah keseluruhan ialah RM782,520.88.

Bekas menantu Taib Mahmud, Shahnaz ketika ini sedang menuntut RM100 juta untuk Mutaah, berikutan perceraian mereka, dan RM300 juta tuntutan bagi harta sepencarian.

Shahnaz dalam perbicaraan sebelum ini berkata jumlah RM400 juta yang dituntutnya itu masuk akal memandangkan mereka telah berkahwin selama lebih 19 tahun dan suaminya memiliki pendapatan bernilai berbilion ringgit.

Dalam permohonan cerai yang difailkannya sebelum ini, Shahnaz, yang mempunyai MBA dalam Kewangan berkata, dia mahu bercerai di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1948 kerana Mahmud Abu Bekir tidak memberinya nafkah batin sejak 2001.

Pasangan tersebut bercerai Mei lalu dan perbicaraan yang berjalan sejak 2011 ini adalah bagi menuntut sejumlah RM400 juta daripada bekas suaminya itu. Shahnaz, kakak kepada penyanyi Datuk Shiela Majid dalam perbicaraan sebelum ini mendakwa bekas suaminya itu mempunyai 111 akaun bank dari seluruh dunia, termasuk di Kanada, Amerika Syarikat, Caribbean, Perancis, Monaco, Switzerland, Luxembourg, Malaysia, dan Hong Kong./MI

Tuesday, December 25, 2012

ISA SAMAD GAGAL LAGI


 


 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan seorang ahli lembaga pengarahnya agar mahkamah membatalkan Mesyuarat Agung (AGM) KPF ke-31 pada 27 Disember ini.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim turut membenarkan KPF mencabar kesahihan keputusan Panel Rujukan pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membatalkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KPF ke-31.

SKM mengeluarkan surat pada 4 Disember lalu, mengarahkan KPF mengadakan AGM ke-31, bersama surat kuasa yang menyatakan AGM pada 20 Jun lalu tidak sah dan AGM akan dipanggil oleh SKM.

Surat tersebut menyatakan bahawa asas bagi mengarahkan mesyuarat itu diadakan semula adalah pertikaian dalaman pada 26 November.

Ia mengandungi agenda mesyuarat seperti yang disenaraikan di bawah:

- Mengesahkan minit mesyuarat agung perwakilan tahunan kali ke-30 pada 23 Jun 2011 dan minit mesyuarat agung khas yang diadakan pada 19 April 2012.

- Membentang dan meluluskan Laporan Lembaga tahun 2011.

- Menimbang dan meluluskan penyata kewangan teraudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 berserta laporan jawatankuasa audit dalaman dan pandangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

- Menimbang dan meluluskan cadangan pembahagian keuntungan tahun 2011.

- Memilih anggota-anggota Lembaga sesi 2012/2013.

Mengulas keputusan mahkamah itu, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, keputusan tersebut melegakan 246,000 ahli KPF.

"Saya bagi pihak Anak mengucapkan terima kasih dan tahniah atas keputusan berani hakim.

"Ia sangat melegakan 246,000 ahli KPF dan menyelamatkan berbilion caruman dan aset KPF daripada penyamun yang diketuai (Tan Sri) Isa Samad," katanya kepada Harakahdaily.

Anak sebelum ini mendakwa wujud konspirasi untuk melantik Isa dan Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad dalam KPF.

Pelantikan dua indivisu tersebut akan membolehkan KPF menjadi pemegang saham utama Felda Holdings untuk disenaraikan ke Bursa Malaysia./HD

Monday, December 24, 2012

BANDAR KUANTAN, INDERA MAHKOTA DILANDA BANJIR

Banjir kilat melanda Bandar Kuantan petang tadi berikutan hujan yang tidak berhenti-henti sejak malam semalam.  Skuad penyelamat dan bantuan telah ditubuhkan oleh PAS dan KEADILAN sekitar Kuantan dan Indera Mahkota.

Berikut adalah suasana petang tadi yang sempat dirakamkan.

Pandangan dari atas sekitar Terminal dan Megamall
Skuad Penyelamat dan Bantuan terdiri daripada Unit Amal PAS dan KEADILAN

Saturday, December 22, 2012

PROGRAM CERAMAH DI INDERA MAHKOTA DAN KUALA KRAU

Di dalam masa terdekat ini, terdapat dua program ceramah akan diadakan.  Di Parlimen K.Krau, satu  ceramah akan diadakan malam ini (Sabtu - 22 Disember 2012) bermula jam 08.30 malam di perkarangan Pejabat KEADILAN K.Krau.

Satu lagi program ceramah di Parlimen Indera Mahkota, ceramah akan diadakan di Indera Mahkota 2 pada 24 Disember (Isnin) ini.  


Di K.Krau, penceramah yang akan hadir adalah YB Datuk Kamarul Bahrain (Pengerusi KEADILAN N.Sembilan), YB Hee Loy Sian (MP PJ Selatan), Sdr Mohd Nazree Yunus (Ketua AMK N.Sembilan), Cik Murnie Hidayah Anuar (Peguam Kes Scorpene) dan Tuan Hj Suhaimi Said (Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal/Ketua Cabang KEADILAN K.Krau).


Manakala program ceramah di Indera Mahkota 2, Kuantan pula akan menampilkan Sdr Azmizam Zamanhuri (Naib Ketua AMK Pusat), Sdr Lee Chean Chung (Pemangku Ketua Cabang Indera Mahkota), Tuan Hj Suhaimi Saad (Ketua Penerangan PAS Pahang) dan Cikgu Lau (Bekas SU Gerakan Kelantan).

Orang ramai dijemput hadir dan mohon hebahkan.

BEKUKAN SAMAN AES MENGELIRUKAN

Oleh :Md Izwan dan Nomy Nozwir

KUALA LUMPUR, 21 Dis—Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan semua prosiding mahkamah berkaitan saman kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) dibekukan mengelirukan pengguna jalan raya, kata ahli parlimen.

Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) bersatu dalam menuntut Putrajaya menjelaskan sama ada mereka menjalankan satu kajian penuh dengan implikasi undang-undang atau tidak sebelum tergesa-gesa melancarkan sistem kamera perangkap kelajuan, dilihat sebagai penswastaan penguatkuasaan undang-undang trafik untuk memperkayakan syarikat-syarikat tertentu yang rapat dengan kerajaan.

“Tidakkah unsur-unsur perundangan yang kini menggendalakan pelaksanaan AES tidak dikenalpasti oleh Peguam Negara (AG) selama ini sebelum pelaksanaan AES?” tanya Datuk Seri Ong Tee Keat yang sebelum ini merupakan menteri pengangkutan.

Pemimpin MCA itu berkata walaupun AG Tan Sri Abdul Gani Patail mempunyai kuasa untuk membekukan pendakwaan kepada pesalah jalan raya, beliau menegaskan, “perlu ada penjelasan mengenai kes-kes yang dibawa ke mahkamah dan di mana beberapa pesalah sudah membayar kompaun mereka”.

“Apakah bayaran itu akan dikembalikan nanti?” tanya Ong, menambah suara kepada kritikan terhadap sistem RM700 juta yang bermula pada bulan September dengan fasa perintis 14 kamera.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikrar untuk melancarkan sebanyak 831 kamera menjelang akhir 2013 untuk menangkap pemandu laju dan mencegah lebih banyak kematian di jalan raya.

AGC mengarahkan semua prosiding mahkamah berkaitan dengan saman AES dihentikan untuk mengkaji isu-isu undang-undang yang dibangkitkan walaupun berkata saman masih sah, dalam satu kenyataan dikeluarkan pada 18 Disember.

Ahli parlimen Kuala Selangor (PAS) Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu The Malaysian Insider keputusan pembekuan tersebut mengelirukan orang ramai dan penjelasan untuk menjustifikasikan penggantungan pendakwaan hanya membuktikan terdapat kelemahan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.

“Orang ramai sudah keliru sekarang,” katanya.

“Mereka yang disaman di bawah AES tidak mendapat saman tetapi hanya notis ... Jadi di sini, terdapat kelemahan dalam undang-undang AES,” kata ahli parlimen Kuala Selangor itu.

Rakan Dr Dzulkefly dari DAP, Tony Pua, berkata keadaan huru-hara ke atas penguatkuasaan trafik adalah kerana kerajaan tergesa-gesa untuk melancarkan AES tanpa pertimbangan implikasi undang-undang.

“AES telah dilaksanakan dengan tergesa-gesa.

“Tanpa sebarang pertimbangan, tanpa memikirkan tentang mekanisme undang-undang. Dan apabila anda tidak berfikir tentang mekanisme undang-undang, inilah yang berlaku,” kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu.

The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini Putrajaya mempertimbangkan untuk menggantung pelaksanaan sistem kerana saman berganda dengan perangkap kelajuan polis di sepanjang lebuh raya.

Difahami Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha adalah salah satu daripada beberapa menteri yang mempertahankan pelaksanaan AES di belakang tabir.

Pihak polis, yang menguatkuasakan undang-undang hadlaju berkata, mereka akan meneruskan penguatkuasaan dan meletakkan perangkap kelajuan mudah alih berhampiran kamera AES, meningkatkan prospek saman berganda untuk pemandu ingkar./MI

Friday, December 21, 2012

TAHNIAH !! ORANG ASAL MENANG KES MAHKAMAH DI BERA

Keputusan hakim dalam kes tanah adat Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam
 
Sumber: Center for Orang Asli Concerns (COAC)  ·



Rumusan Keputusan (Lisan) Hakim Datuk Haji Akhtar Tahir di Makhamah Tinggi Temerloh pada 19 Disember 2012 (Rabu) dalam kes Mohamad Nohing & 5 yg lain lwn PTG Pahang & 3 yg lain

12.45 petang

Saya akan memberi keputusan kes ini secara ringkas dengan menggariskan perkara-perkara yang penting. Ini bukan keputusan secara menyeluruh.

Dalam kes ini, saya berpuas hati dengan pemohon-pemohon adalah merupakan suatu kumpulan penduduk yang dapat dikenali dan dikenalipasti mendiami di kawasan Bukit Rok dan Ibam. Mereka dikenali sebagai Orang Semelai.

Kewujudan Orang Semelai dapat diketahui dengan tulisan sejarah dan juga dari sisa-sisa peninggalan penduduk-penduduk awal di kedua-dua kawasan tersebut.

Selanjutnya, lawatan ke kawasan tersebut telah memaklumkan kewujudan kehidupan Orang Semelai sejak seabad yang lalu dan lebih awal lagi. Ini dapat dilihat dengan adanya perkuburan dan kesan-kesan pertanian yang lain serta wujudnya sebuah sekolah lama.

Saya juga berpuas hati dengan pemohon-pemohon adalah pewaris Orang Semelai yang bukan hanya mendiami kawasan tersebut tetapi juga menjalankan kehidupan dengan cara memburu dan menangkap ikan di kawasan tersebut.

Saya juga memerhatikan bahawa, berdasarkan bukti yang diberi, merayau dan mencari makan dalam hutan dan sungai adalah suatu amalan budaya dan adat Orang Semelai.

Secara ringkas, Orang Semelai merayau dalam hutan bukan hanya untuk mencari makan tetapi juga sebagai naluri semulajadi.

Soalan yang timbul adalah sama ada pendudukan dan amalan adat Orang Asli memberi hak tanah yang diduduki kepada mereka.

Berasaskan prinsip undang-undang stare decisis, saya terikat kapada keputusan-keputusan makhamah yang lebih tinggi dalam perkara ini, yang mana mereka telah mengiktiraf hak tanah secara common-law oleh penduduk-penduduk asal.

Namun bagaimana pula dengan kesan ekoran penggubalan Akta Orang Asli yang berlaku kemudian?

Pada saya, usaha penggubalan akta tersebut dengan sendirinya adalah bukti di mana undang-undang mengiktiraf hak-hak orang asal. Cuma satu tambahan yang telah dibawa oleh Akta tersebut, iaitu (Akta itu) meletakkan had kepada hak-hak tersebut. Akta itu tidak memberi hak, tetapi ia mengenakan had kepada hak-hak tersebut.

Sebagai contoh, merayau dan mencari makan dalam hutan boleh mengambil beberapa hari, tetapi adalah tidak praktikal bagi orang asal untuk menuntut setiap inci tanah yang dirayau itu sebagai hak mereka.

Satu had perlu dikenakan setelah mengambil kira beberapa sebab, contohnya, kawasan yang dirayau oleh penduduk asal dalam tempoh satu hari dari subuh ke senja.

Dan isu yang satu lagi adalah sama ada usaha-usaha kerajaan untuk menempatkan semula dan memberi pekerjaan adalah cukup untuk menghapuskan hak-hak untuk merayau dan mencari makan.

Pada saya, naluri untuk merayau dan mencari makan adalah tersemadi dalam jiwa (orang asal) dan boleh diumpamakan seperti keadaan seorang nelayan. Adalah sukar untuk memberhentikan nelayan untuk terus mencari ikan. Bukan sahaja soal mencari sumber makanan, tetapi juga soal naluri semula jadi. Pada saya, naluri ini tidak dapat dihapuskan dengan menyediakan peluang pekerjaan yang tetap atau meningkatkan taraf kehidupan.

Perkara yang kemudian dalam pertimbangan saya adalah, dari masa bila hak-hak tanah tersebut mula terakru (dikira). Pada saya, hak-hak tanah tersebut terakru semenjak hari pertama Orang Semelai mula mendiami kawasan tanah tersebut. Berdasarkan fakta-fakta sejarah, Orang Semelai menduduki dan mendiami tanah tersebut sejak sebelum ketibaan penduduk-penduduk yang lain, termasuk orang Melayu.

Ini memberi jawapan kepada isu-isu tanah Rizab Melayu dan penanaman FELCRA. Pada pendapat saya, kedua-duanya adalah tertakluk kepada dan lebih rendah daripada hak tanah adat Orang Semelai.

Berkenaan keluasan kawasan tanah yang Orang Semelai mempunyai hak adalah suatu perkara yang perlu dipertimbangkan dalam kes ini. Di sini, jawapannya mudah kerana dalam kes ini keluasan tanah telah dapat dikenalpasti. Keluasan yang dituntut oleh para pemohon adalah dalam lingkungan dua ribu hektar.

Dengan mengamibil kira faktor-faktor di atas, saya mengisytiharkan bahawa bahagian tanah Rizab Melayu yang menceroboh ke atas tanah yang dituntut oleh Orang Semelai adalah pencerobohan haram dan harus dibatalkan pewartaanya.

Dua, saya mengisytiharkan bahawa bahagian tanah yang diambil oleh FELCRA yang menceroboh kawasan tanah yang dituntut tersebut sebagai pencerobohan haram dan harus dikosongkan dan pagar sempadan yang telah didirikan harus ditanggalkan, dengan kos ditampung oleh FELCRA,

Tiga, saya mengarahkan pihak-pihak yang berkuasa ke atas tanah, dengan bantuan para pemohon, supaya mengambil langkah segera untuk mengenal pasti dan membuat garis sempadan bagi kawasan tanah yang dituntut dengan menggunakan sempadan-sempadan sungai dan bukit dan mengambil langkah untuk mewartakan kawasan tersebut, di mana keluasannya patut menyerupai keluasan tanah yang dituntut dengan sebaik mungkin.

Saya juga mengarahkan kesemua langkah-langkah di atas, termasuk pewartaan tanah, disiapkan dalam tempoh tidak lebih daripada satu tahun.

Dalam kes ini, para pemohon juga menuntut kerugian atas pencerobohan dan pelanggaran kewajipan fudiciari. Walaupun pencerobohan dan pelanggaran kewajipan fiduciari telah berlaku, saya tidak dapat mengesan apa-apa kerugian yang ketara selain kesusahan yang dialami oleh para pemohon. Maka saya tidak mengarahkan apa-apa bayaran gantian rugi.

Kos-kos akan dibayar oleh setiap pihak responden kepada pihak pemohon, setelah ditentukan oleh Penolong Pendaftar Kanan.

Itulah keputusan saya dalam kes ini.

Sebagai tambahan, saya ingin mengatakan yang berikut: Dalam kes ini, saya mendapati bahawa tiada rekod-rekod maklumat tanah yang disimpan dengan baik berkenaan dengan kawasan Orang Asli yang dibicarakan ini. Ini menyusahkan kerja pencarian maklumat dan surat yang relevan, dan seterusnya melambatkan proses pengendalian kes ini. Pencarian dokumen-dokumen yang berkenaan mengambil masa beberapa tahun dan tiada rekod tentang di mana tempat dokumen-dokumen tersebut disimpan.

Dan selanjutnya saya ingin mencatatkan pemerhatian saya di mana saksi-saksi yang meberi keterangan bagi pihak responden adalah tidak mahir tentang perkara-perkara yang dibincang, dan mereka mengambil sikap yang acuh tak acuh tentang seluruh perkara ini. Diharap kekurangan-kekurangan ini dapat diperbetulkan.

Maka itulah keputusan saya.

12.51 petang

Untuk melihat dan mendengar keputusan hakim, sila klik sini: Video keputusan mahkamah



Sebahagian dari penduduk kampung dan penyokong-penyokong sukukaum lain di dalam mahkamah.



Keputusan hakim telah dibentangkan dalam Bahasa Inggeris.

Thursday, December 20, 2012

SEKITAR PROGRAM KEADILAN CABANG RAUB

KEADILAN terus merancakkan kempen di segenap pelusuk daerah di kawasan Pahang memandangkan hanya beberapa bulan sahaja dijangkakan PRU ke 13 akan diadakan, malahan tidak mustahil Parlimen akan dibubarkan tidak sampai tempoh tersebut.

Sehubungan itu kita dapat lihat di semua Cabang KEADILAN di Negeri Pahang mula rancak dengan berbagai aktiviti kempen samada berbentuk ceramah mahu pun gerak kerja menemui akar umbi di kawasan masing-masing. Begitu juga KEADILAN Cabang Raub yang kini semakin aktif di Pahang Barat. 
 
Sdr Azmi Zainon, Timbalan Ketua Cabang K.Krau turut berucap
Tuan Hj Suhaimi Said kali ini membawa kisah Altantuya....
KEADILAN Cabang Raub di bawah usaha Pengarah Pilihanrayanya, Sdr Rizan Ali dan dibantu oleh kepimpinan dan ahli-ahli yang lain telah mengadakan dua program pada 15 Disember dan 16 Disember 2012 di kawasan Dun Dong. Program pada 15 Disember adalah berbentuk ceramah penerangan yang dihadiri oleh YB Azan Ismail (MP Indera Mahkota), Tuan Hj Suhaimi Said (Pengerusi Biro Felda dan Masyarakat Orang Asal) serta pimpinan PAS tempatan. Ceramah tersebut telah diadakan di Kg Ulu Gali, dalam DUN Dong, Raub.
 
Sdr Rizan Ali (Pengarah Pilihanraya Cabang Raub) menjadi Pengerusi
YB Azan Ismail (MP Indera Mahkota) sebagai Pemidato Utama
Di antara masyarakat setempat yang hadir
 
Keesokannya, pada 16 Disember 2012, seluruh jentera KEADILAN Cabang Raub telah melangkah menemui masyarakat akar umbi di perkampongan dan juga di pasar-pasar. Di antara kampung yang di ziarahi ialah Kg Pancur, Kg Temau serta Ulu Dong. Program bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir sehingga jam 12.30 tengahari. Sambutan masyarakat setempat menunjukkan bahawa kehadiran KEADILAN di kawasan ini dapat diterima dengan baik.
 
Program ziarah
 
Tahniah KEADILAN Cabang Raub semoga terus melipatgandakan usaha mendapatkan sokongan rakyat agar PR mampu menawan Negeri Pahang khususnya, dan PR berupaya ke Putrajaya, InsyaAllah.

Wednesday, December 19, 2012

PKR KECEWA TINDAKAN PIHAK POLIS

PETALING JAYA, 18 Dis — PKR kecewa dengan pihak polis kerana tidak ambil tindakan terhadap samseng yang menyerang bas Jelajah Merdeka Rakyat mereka di Lebuh Raya Utara-Selatan semasa program sambutan Deepavali PKR Tapah Ahad lalu.

Menurut Setiausaha Pengelola PKR, Radin Shamsul Akmar Radin Shamsuddin, beliau menghubungi ketua polis daerah Tapah mengenai kejadian tersebut, namun tidak ada sebarang tindakan sehingga hari ini.

“Selepas satu jam kita menunggu namun polis tidak juga muncul,” kata beliau dalam sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Setiausaha agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengutuk serangan tersebut dan mendakwa Umno terlibat dengannya.

“Mereka kini seperti hilang punca, laksana meroyan dan tidak tentu arah,” kata Saifuddin dalam kenyataan yang dibaca oleh ketua penerangan parti tersebut, Dr Muhammad Nur Manuty.

Menurut Muhammad Nur, tindakan samseng tersebut membuktikan bahawa Umno sudah terdesak kerana sokongan rakyat sudah beralih ke arah PR.

“Mereka dalam keadaan ‘desperate’, kerana berdasarkan risikan dari pihak mereka menunjukkan rakyat mahukan perubahan.

“Jadi mereka teruskan tindakan ini untuk menakut-nakutkan pembangkang, kata ini negara demokrasi... kalau samseng macam ni, ini satu tindakan bacul dan tidak bermaruah,” kata Muhammad Nur lagi.

Serangan terhadap bas jelajah Merdeka Rakyat sudah berlaku sebanyak empat kali, di Kelantan, Melaka, Johor dan baru-baru ini di Tapah.

Muhammad Nur juga berkata, kawat cam untuk pembaling cat di Melaka sudah dikenalpasti, namun polis masih tidak memberitahu sebarang hasil siasatan.

Semasa kejadian, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengikuti rombongan, sebaliknya hanya lapan kakitangan pejabat parti yang berada dalam bas.

Menurut Radin, insiden itu berlaku antara 6.30 petang hingga 6.45 petang, selepas bas bergerak melepasi kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah menuju ke Bandar Seri Iskandar./MI

Tuesday, December 18, 2012

KEBANGKITAN KAUM ORANG ASAL DI K.KRAU BEGITU MENONJOL

Ramai yang berpendapat kita tidak boleh terlalu cepat teruja dengan kebangkitan masyarakat Orang Asal yang kini dilihat semakin menyokong perjuangan Pakatan Rakyat.  Mereka menjadikan sejarah lalu sebagai dalil bahawa masyarakat Orang Asal amat mudah berubah di saat-saat akhir sewaktu mengundi.

Memang tidak dapat dinafikan ada kebenarannya jika melihat sejarah yang lalu, tetapi kita harus juga yakin bahawa masyarakat Orang Asal semakin lama semakin matang dalam politik mereka.  Jika dahulu mereka sering lalai dengan berbagai umpan yang diberikan oleh pihak kerajaan, kesemuanya itu mereka jadikan pengajaran apabila kini keadaan hidup mereka semakin terhimpit.  Mereka kini sedar bahawa kaum mereka hanyalah dijadikan alat oleh Bn sewaktu pilihanraya.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Us Syahril Azman Al-Hafiz berucap kepada masyarakat Orang Asal
Faktor pimpinan Pakatan Rakyat khususnya pimpinan tempatan yang tidak pernah jemu berkunjung ke kawasan mereka dan menunjukkan rasa simpati dengan masalah yang mereka alami adalah menjadi salah satu sebab mereka kini semakin yakin dengan perjuangan Pakatan Rakyat.  Lihat sahaja bagaimana kaum Orang Asal tanpa rasa takut dan gentar hadir beramai-ramai ke Kuala Krau sewaktu kunjungan Ketua umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.  Kehadiran mereka tidak diupah bahkan mereka hadir dengan sendiri dan di atas ikhtiar sendiri untuk menemui Dato' Seri Anwar Ibrahim walaupun terdapat beberapa tekanan oleh pihak pemerintah ke atas mereka.

Hj Abdullah Simat, AJK Cabang K.Krau turut membantu memberi penerangan
Batin Uda, mewakili kaum Orang Asal Kg Pasu berucap
Pada 17 hb Disember 2012 baru-baru ini, sekali lagi Cabang KEADILAN Kuala Krau bersama pimpinan PAS telah berkunjung ke Kg Pasu, K.Krau.  Di dalam kunjungan tersebut telah diadakan satu program Ceramah Kelompok yang dihadiri lebih kurang 30 orang penduduk tempatan di kalangan Orang Asal.

Sdr Kin, Aktivis terkenal di kalangan Orang Asal begitu bersemangat memberikan ucapan
Di antara masyarakat Orang Asal Kg Pasu yang hadir

Pimpinan KEADILAN dan PAS juga termasuk wakil dari Kaum Orang Asal telah berucap yang rata-ratanya mengulas isu hak dan kebajikan masyarakat Orang Asal yang semakin dipinggirkan.  Dari raut wajah mereka serta melihat kepada sambutan yang telah diberikan, kita yakin Pilihanraya Umum kali ini Orang Asal akan membuktikan kepada Bn bahawa kaum mereka tidak akan selama-lamanya boleh dibuli dan diperbodohkan.

Semoga usaha berterusan mendekati kaum Orang Asal seperti yang telah dijalankan oleh Tuan Hj Suhaimi Said selaku Ketua Cabang K.Krau ini akan dicontohi oleh semua pimpinan di Cabang masing-masing yang mana terdapatnya Orang Asal yang perlu kita beri perhatian dan bantuan sewajarnya.

Friday, December 14, 2012

NASIB MUSA AMAN DI HUJUNG TANDUK

Musa dah tak aman dengan RM40juta. Ini kali lah!! (LM)

Wang haram: Musa Aman boleh didakwa di Hong Kong

KUALA LUMPUR: Kemungkinan besar Datuk Seri Musa Aman boleh didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram (money laundering) yang undang-undangnya lebih ketat di Hong Kong berbanding di negara-negara lain.
 
“Jika didapati bersalah, pihak berkuasa Hong Kong boleh mengeluarkan waran tangkap melalui Interpol dan boleh dikuatkuasakan di Malaysia,” kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan. /WRLR
Bacaan seterusnya di sini: Musa dah tak aman dengan RM40juta

Wednesday, December 12, 2012

Lynas: Adakah MB Pahang sanggup potong telinga?

Oleh:  Tuan Ibrahim Tuan Man
 
Kerajaan Persekutuan BN dan Lynas Corporation perlu menyatakan dengan jelas di mana sisa Lynas akan dieksport dahulu sebelum kilang dibenarkan operasi untuk memproses nadir bumi.

Kenyataan empat Menteri BN, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sumber Asli Datuk Seri Douglas Unggah Embas Dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa syarikat Lynas Corporation Australia perlu mengeksport sisa yang terhasil daripada loji di Gebeng untuk memenuhi syarat lesen pengendalian sementaranya (TOL) adalah tidak mencukupi tanpa menuntut Lynas untuk menyatakan dengan jelas di mana sisa radioaktif kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) itu akan dieksportkan.

Yang pasti, negara asal sumber nadir bumi itu, Australia tidak mahu menerimanya, sebagaimana mereka tidak mahu memberi kelulusan kepada syarikat Lynas sendiri untuk beroperasi di negara sendiri.

1. Kerajaan mesti menghalang operasi harian di kilang LAMP selagi syarikat tersebut gagal menjelaskan di mana sisa akan dibuang, walaupun mahkamah telah memberi kebenaran untuk Lynas beroperasi, namun syarat lesen tol mesti dipatuhi.

2. Kerajaan mesti menuntut surat atau dokumen perjanjian daripada Lynas untuk mengesahkan mereka sudah menjumpai negara yang sanggup menerima sisa-sisa radioaktif tersebut.

3. Kerajaan juga mesti menuntut Lynas memperjelaskan bagaimana syarikat tersebut mengatasi kekangan undang-undang antarabangsa yang menghalang penghantaran bahan berbahaya ke negara lain seperti yang dinyatakan pengarah urusan Lynas Malaysia Mashal Ahmad dalam laporan Guang Ming Daily.

Apakah Menteri Pahang sanggup berjanji sekali lagi untuk telinganya yang satu lagi dipotong dan terjun Sungai Pahang sekiranya Lynas gagal mengeluarkan apa-apa dokumen rasmi perjanjian, pelan dan negara mana yang sanggup menerima sisa toksik kilang LAMP?

Keadaan ini mesti ditangani segera, kerana bahan mentah nadir bumi telahpun sampai di kilang, dan syarikat Lynas akan memulakan operasinya. PAS Pahang ingin tegaskan bahawa kerajaan mesti bertegas dalam soal keselamatan rakyat dan risiko dari projek ini.

Rakyat Pahang khasnya bimbang sisa tersebut akan tetap berada di Pahang, kerana tiada negara sanggup menerimanya, sedangkan syarat lesen operasi ialah sisa toksik mesti dibawa keluar dari negara ini.

Rakyat tidak akan teragak agak untuk berkumpul di hadapan kilang Lynas, sekiranya kilang ini memulakan operasinya tanpa menjelaskan ke mana sisa ini akan dihantar.

Rakyat Pahang ingin melihat surat rasmi dari Lynas dan kesediaan negara mana yang sanggup terima sisa bahaya ini. Ketiadaan negara sanggup menerima sisa membuktikan ianya bahaya bagi alam sekitar dan manusia, dan inilah yang rakyat perlu memahami kenapa Pakatan Rakyat bertegas menentang projek ini.

Tanpa surat rasmi akan timbul persoalan dan spekulasi - jika tiada negara yang sanggup menerimanya, dan demi meneruskan operasi harian untuk mematuhi syarat TOL, apakah ada kemungkinan sisa toksik Lynas dibuang ke perairan laut antarabangsa di Laut China Selatan sebagai langkah mudah?/Harakahdaily

Tuesday, December 11, 2012

APAKAH KANDUNGAN IKRAR PR DI HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT DI KERDAU?

Pakatan Rakyat menawarkan enam tawaran peringkat negeri bersama tiga tawaran peringkat persekutuan untuk menyelamatkan Pahang daripada kezaliman Umno BN.  Tawaran peringkat kerajaan Persekutuan ditandatangani Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Tawaran peringkat Pahang itu ditandatangani Pengerusi KEADILAN Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman; Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah.

TAWARAN PERINGKAT PERSEKUTUAN
 
PERTAMA: Menempatkan peserta Felda Plantation di kalangan warga Generasi Kedua, ketiga Felda, anak Pahang, bekas staf Felda, Bekas anggota Polis dan Tentera serta mengembalikan fungsi asal
penubuhan Felda.

KEDUA: Memberikan Royalti minyak sebanyak 20 peratus setahun (bukannya lima peratus) kepada kerajaan Pahang setelah pengeluaran minyak beroperasi kelak.

 
 
KETIGA: Memberi perhatian yang serius dalam meningkatkan prasarana kemudahan asas yang berkaitan dengan perhubungan darat antara bandar dengan menyempurnakan kerja-kerja menaiktaraf jalan yang terbengkalai seperti Jalan Jerantut – Benta, Jerantut – Maran, serta membina jalan yang menghubungkan antara 2 negeri seperti Kuantan – Jerantut – Kuala Lipis – Gua Musang, Kuantan –
Segamat dan Kuala Lipis – Raub – Bentong – Seremban dan Jerantut – Ulu Tembeling – Dungun dengan perlaksanaan mengikut keutamaan demi memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang.

TAWARAN PERINGKAT NEGERI

 
 
PERTAMA: Menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah serta menstruktur semula Kampung- kampung Baru dan Kampung Tersusun.

KEDUA: Menyelesaikan permohonan tanah yang sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, wajar dan memenuhi syarat.

KETIGA: Mewartakan tanah komuniti Orang Asal agar ianya tidak dicerobohi sewenang-wenang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

KEEMPAT: Memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan.

KELIMA: Menurunkan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil hutan dan maneral setelah perlaksanaan konsep ‘bebas rasuah’ dalam pentadbiran kerajaan.

KEENAM: Sistem tender terbuka akan dilaksanakan bagi semua hasil utama negeri.

VIDEO - PIDATO ANWAR HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT DI PAHANG

Monday, December 10, 2012

SEKITAR HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT NEGERI PAHANG, SAMBUTAN LUAR BIASA

Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Negeri Pahang telah berjaya dilangsungkan semalam (09 Disember 2012) bertempat di Dataran Darul Hikmah, Kerdau, Temerloh, Pahang.  Himpunan yang bermula sejak jam 11 pagi sehingga berakhir jam 12 tengah malam telah mendapat sambutan luar biasa yang di luar jangkaan.

Meskipun pada awalnya ramai yang menjangkakan program ini pasti kurang mendapat sambutan kerana pada hari yang sama di sebelah malam telah diadakan Siaran Langsung melalui RTM dan Astro perlawanan Separuh Akhir Bolasepak Piala AFF di antara pasukan Harimau Malaya bertemu Thailand.  Paling merisaukan di sebelah petangnya sehingga menjelang Maghrib, hujan telah turun dengan begitu lebat sekali di Kerdau.

Alhamdulillah, menjelang maghrib hujan berhenti dan orang ramai semakin lama semakin memenuhi kawasan tapak ceramah di Dataran Darul Hikmah, Kerdau malam tadi.  Pada sesi petang berbagai acara telah diadakan bermula dengan konvoi bermotor tidak kurang dari 500 buah motosikal dan lebih kurang 100 buah kereta berkonvoi dari Hentian Rehat Temerloh menuju ke Dataran Darul Hikmah, Kerdau. Dramatis Bob Lokman, Dayangku Intan dan Ali XPDC juga turut tampil di pentas di dalam sesi Santai Petang.

Kemuncak malam tadi adalah pidato pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat Negeri dan Pusat.  Di peringkat Negeri, pidato telah disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi KEADILAN Negeri Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman dan juga YB Leong Nghah Ngah selaku Pengerusi DAP Negeri Pahang.  Turut diberi peluang berucap adalah beberapa wakil NGO iaitu ANAK, Kumpulan 'R" (Menuntut Royalti Minyak), dan Kumpulan Hijau Anti Lynas. 

Semua pimpinan Negeri dan Pusat tampil di atas pentas untuk membacakan ikrar dan janji kepada rakyat Negeri Pahang serta seluruh Malaysia.  Ikrar untuk Negeri Pahang dibacakan oleh ketiga-tiga pimpinan Pakatan Rakyat Negeri, manakala ikrar dari pimpinan pusat dibacakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Muhammad Sabu.

Di peringkat pimpinan Pusat pula, pidato telah disampaikan oleh YB Lim Kit Siang (Penasihat DAP), Tuan Hj Muhammad Sabu (Timbalan Presiden PAS) dan berakhir dengan Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim.  Bekas Menteri Penerangan, Dato; Kadir Syeikh Fadzir juga turut berucap sebelum pimpinan tertinggi berucap.

Kehadiran orang ramai amat di luar jangkaan di mana tidak kurang dari 20, 000 hadir memenuhi Dataran Darul Hikmah, Kerdau.  Berikut adalah foto sekitar program Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Negeri Pahang malam tadi. 

Kaum Cina turut turun bersama
Isu Lynas tetap dibawa ke mana-mana
Di pentas utama
Ikrar oleh pimpinan peringkat Negeri dan Pusat.  Kelihatan Dato' Fauzi membacakan Ikrar untuk rakyat Pahang

 Suasana di Dataran Darul Hikmah, Kerdau, Temerloh malam tadi

Dato' Us Tuan Ibrahim Tuan Man
Pengerusi PKR Negeri Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman
Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Muhammad Sabu
Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim