KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Thursday, October 27, 2016

KEADILAN KUTUK PROVOKASI TERHADAP BERSIH5 DI PAHANG

KEADILAN PAHANG MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA TINDAKAN PROVOKASI TERHADAP BERSIH5 DAN PERBUATAN MEMBALING CAT DI PINTU PEJABAT MP KUANTAN

Jelajah Bersih5 Peringkat Negeri Pahang telah pun bermula secara resminya pada 23 Oktober 2016 baru-baru ini setelah penerimaan Obor Bersih dari Terengganu diadakan pada 22 Oktober 2016 di Pintu Gerbang Kemaman/Kuantan (Chendor) baru-baru ini.

Bermula dari tarikh tersebut, kesemua aktiviti jelajah dari Bersih berjalan di dalam keadaan baik. aman dan lancar. Tindakan provokasi pertama yang dihadapi oleh konvoi Bersih berlaku pada 24 Oktober 2016 sewaktu konvoi Bersih memasuki kawasan Leban Chondong, Rompin. Konvoi Bersih telah disekat dan cuba dihalang dari meneruskan perjalanan ke destinasi yang dirancang. Namun, atas bantuan pihak Polis, konvoi akhirnya berjaya meneruskan aktiviti mereka di perkampungan Orang Asal di Kedaik di mana khidmat masyarakat iaitu "Medical Camp" telah diadakan.
 

Pada hari ini, pihak Bersih5 Negeri Pahang sekali lagi diprovokasi secara keterlaluan apabila Pejabat Operasi Jelajah Bersih5 yang ditempatkan di bangunan Pejabat Ahli Parlimen Kuantan telah disimbah dengan cat pada malam tadi. Melalui CCTV, jelas kelihatan perbuatan khianat itu telah dilakukan oleh dua orang yang bermotorsikal. Petang tadi lebih kurang jam 2.00 petang, satu Sidang Media telah diadakan di perkarangan Pejabat MP Kuantan oleh YB Fuziah Salleh. Satu laporan polis juga telah dibuat sejurus itu.

Di atas dua kejadian yang berlaku setakat ini, Keadilan Negeri Pahang mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang bertanggungjawab. Tindakan seumpama itu menunjukkan bahawa mereka cuba untuk menekan dan mengugut pihak Bersih untuk tidak terus mendedahkan kepada rakyat tentang 5 tuntutan Bersih terutamanya tentang kepincangan sistem Pilihanraya di negara kita.
 

Di dalam keadaan Umno/Bn kini amat tertekan dengan berbagai skandal yang dilakukan oleh pimpinan mereka, kehadiran Bersih amat ditakuti oleh mereka.

Kami percaya, Bersih tidak akan tunduk kepada tekanan pihak-pihak yang tidak bertamadun ini. Keadilan Pahang khususnya tetap berdiri teguh di atas prinsip perjuangan Bersih. Kami akan membantu sedaya upaya Jelajah Bersih5 ini agar objektif mereka tercapai.

Kami juga berterima kasih kepada pihak Polis yang setakat ini telah memberikan kerjasama yang baik dan memahami perjuangan Bersih.

26 Oktober 2016

WAN FAUZULDIN WAN SAMAD
Pengarah Komunikasi
Keadilan Pahang

Saturday, October 22, 2016

BAJET - SENGSARA TAHUN HADAPAN

Bajet 2017 membuktikan bahawa kerajaan bukan hanya kehabisan wang tunai, tetapi keadaan akan menjadi lebih buruk, membuatkan 2017 mungkin menjadi tahun yang paling sengsara untuk rakyat Malaysia.

K'jaan gagal penuhi sasaran pendapatan 2016

Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan belanjawan mengumumkan kerajaan dijangka mengutip RM225.7 billion untuk tahun 2016.

Walau bagaimanapun, berdasarkan anggaran terkini, pendapatan 2016 kini disemak semula kepada RM212.6 bilion. Ini adalah kekurangan yang sangat besar iaitu 5.8 peratus atau RM13.1 bilion bagi 2016.

 
Untuk meletakkan perkara dalam perspektif, dan untuk menunjukkan betapa gawatnya keadaan, lazimnya pada masa lalu, kerajaan akan mengutip lebih banyak hasil daripada unjuran mereka.

Kekurangan ini pula menyebabkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan lebih rendah daripada yang diunjurkan.

Kerajaan kini menganggarkan perbelanjaan mengurus untuk 2016 akan berkurangan daripada RM215.2 bilion kepada RM207.1 bilion, manakala perbelanjaan pembangunan akan jatuh dari RM50 bilion kepada hanya RM45 bilion.

Sebagai contoh, ini adalah sebab mengapa kita melihat pemotongan besar dalam perbelanjaan kesihatan, sehingga menjejaskan ujian darah yang kritikal serta peningkatan kos ubat-ubatan untuk rakyat marhaen.

Emolumen dan pembayaran hutang

Ini hanya akan menjadi lebih buruk pada 2017. Peningkatan saiz perkhidmatan awam telah menyaksikan bayaran "emolumen" bagi 2016 meningkat sebanyak RM3.8 bilion kepada RM73.9 bilion walaupun perbelanjaan operasi berkurangan sebanyak RM8 bilion.

Bagi tahun 2017, kerajaan mengunjurkan bayaran emolumen akan meningkat sekurang-kurangnya RM3.6 bilion.

Dalam pada itu, bayaran untuk pencen dan persaraan pula akan meningkat dengan ketara daripada RM19.0 bilion pada 2016 kepada RM21.8 bilion pada tahun 2017.

 
Di samping itu, caj "khidmat bayaran hutang" tahunan - ansuran dan pembayaran balik yang perlu dibayar oleh kerajaan atas pinjaman yang diambil pada masa lalu - telah meningkat dengan ketara.

Untuk 2016, adalah dianggarkan ia berjumlah RM26.6 bilion atau kenaikan RM2.36 daripada tahun 2015.

Pada tahun 2017, jumlah itu akan terus meningkat kepada RM28.9 bilion. Ini adalah akibat dasar pinjaman melulu kerajaan sehingga hutang kerajaan persekutuan sepanjang dekad lalu terus meningkat.

Peningkatan berkembar emolumen dan caj persaraan serta bayaran khidmat hutang dalam konteks pendapatan dan perbelanjaan operasi yang semakin mengecil hanya akan bermakna kurang dana untuk perbelanjaan penting yang lain.

"Subsidi dan bantuan sosial" telahpun dikurangkan daripada RM39.7 bilion pada 2014 kepada RM27.3 bilion (2015) dan menjadi RM24.6 bilion (2016). Malah, ini akan dikurangkan lagi kepada RM22.4 bilion pada tahun 2017.

Wang juga akan berkurangan untuk bekalan perubatan, perumahan, biasiswa dan bentuk sokongan pendidikan yang lain.

K’jaan optimistik terhadap unjuran pendapatan 2017

Akhir sekali, satu-satunya sebab kerajaan masih mampu menonjolkan bajet ‘sederhana’ defisit 3 peratus bagi 2017 adalah kerana ia optimistik dengan unjuran hasil cukainya.

Walaupun anggaran cukai pendapatan petroleum (PITA) dijangka turun dengan ketara daripada RM11.6 bilion pada 2015 kepada RM8.5 bilion pada 2016, kerajaan mengandaikan harga minyak yang lebih tinggi dan permintaan yang meningkat untuk 2017 bagi menjana RM10.6 bilion.

Kerajaan juga mengandaikan peningkatan dalam cukai pendapatan Korporat (CITA) walaupun pada masa yang sama tidak menjangkakan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

CITA sebenarnya menurun sedikit pada 2016 kepada RM63.2 bilion daripada RM63.7 bilion pada tahun 2015. Walau bagaimanapun pada tahun 2017, kerajaan menjangkakan ia mampu mengutip RM69.2 bilion.

 
Begitu juga, di sebalik trend menurun cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada suku terakhir baru-baru ini, kerajaan masih mengunjurkan peningkatan dalam pungutan GST daripada RM38.5 bilion pada 2016 kepada RM40 bilion pada tahun 2017.

Semua perangkaaan dan hujah di atas membuktikan bahawa kerajaan kehabisan wang tunai dengan cepat dan bergelut untuk mengimbangi pendapatan dan perbelanjaannya.

Keborosan kerajaan pada masa lalu - termasuk meningkatkan pengambilan perkhidmatan awam untuk mengurangkan pengangguran siswazah, pinjaman berlebihan - untuk membiayai ketidakcekapan, rasuah dan pembaziran telah dengan teruk mengekang kemampuan kerajaan untuk membekalkan perbelanjaan hari ini.

Justeru, apabila unjuran terlalu optimistik dalam kutipan hasil kerajaan gagal menjadi kenyataan, kita boleh menjangkakan 2017 akan menjadi tahun yang sangat sengsara bagi rakyat biasa.

TONY PUA adalah Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara

Tuesday, October 11, 2016

KEADILAN PAHANG MAHU PARA PENYOKONG HADIR BERAMAI-RAMAI KE INTANA KEHAKIMAN PUTRAJAYA ESOK

 


MPN Keadilan Pahang menyeru seluruh ahli dan penyokong Keadilan serta rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan, NGOs serta rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran agar sama-sama turun ke Istana Kehakiman, Putrajaya esok (12/10/16) jam 08.00 pagi.

Tunjukkan solidariti dan komitmen kita terhadap pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim seorang tokoh yang dipenjarakan demi membebaskan negara ini dari kezaliman dan korupsi. Sehubungan itu, semua Ketua Cabang diarahkan untuk menggerakkan semaksima mungkin kehadiran ahli masing-masing pada hari tersebut.

Sunday, October 9, 2016

PEJABAT AMK PAHANG DIRESMIKAN DI JERANTUT PADA 08 OKT 2016



Angkatan Muda Keadilan Pahang (AMK) terus melangkah ke hadapan di bawah kepimpinan Ketua AMK Pahang, Sdr Wong Chun Yuan dan barisan kepimpinan AMK setiap Cabang apabila berjaya mendapatkan sebuah bangunan untuk dijadikan Ibu Pejabat AMK Pahang bertempat di Jerantut.

Upacara perasmian Pejabat AMK Pahang telah berjaya disempurnakan oleh YB Hee Loy Sian (MP PJ Selatan) petang semalam, 08 Oktober 2016 jam 05.00 petang bertempat di Pekan Jerantut (bersebalahan Bank Rakyat Jerantut).  Turut hadir adalah Pengerusi Keadilan Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman yang turut memberikan ucapan.  YB Lee Chean Chung, Adun Semambu yang juga Exco AMK Pusat turut hadir di samping beberapa lagi Ahli MPN Pahang dan pimpinan Keadilan Cabang Jerantut, termasuk Wanita Keadilan.





Ketua AMK Pahang di dalam kenyataannya mengucapkan ribuan terima kasih di atas dokongan serta sokongan semua pihak, MPN, AMK setiap Cabang dan Wanita yang telah memberikan sokongan moral kepada AMK Pahang untuk terus memberikan khidmat bakti di dalam menjayakan obor reformasi sejajar dengan perjuangan parti.  

Keadilan Pahang sememangnya menaruh harapan besar kepada AMK yang mewakili suara anak-anak muda yang akan menentukan hala tuju pentadbiran negara di masa akan datang.  MPN juga tidak pernah mengawal sebarang kegiatan dan program yang dirancang dan diadakan oleh AMK asalkan aktiviti mereka boleh membantu dan memberi faedah kepada rakyat dan parti.  AMK harus berani, cekal dan tidak gentar untuk menyuarakan pendapat sekiranya mereka merasakan ada tindakan dari mana-mana pimpinan yang terkeluar dari prinsip perjuangan parti asalkan teguran atau kritikan itu membina dan mengikut saluran yang betul.

 
Ketua AMK Pahang sendiri berjanji akan terus mempergiatkan aktviviti dan program terutamanya mendekati anak-anak muda dan kerja ini bukanlah satu kerja yang mudah yang pastinya akan berdepan dengan ujian dan dugaan yang getir.  Hanya kesabaran dan ketabahan sahaja yang boleh mengatasinya di samping kaedah yang bijaksana dan berhemah.

MPN mengucapkan Tahniah dan syabas kepada AMK Pahang di atas segala daya usaha mereka membantu mempertingkatkan prestasi dan imej Keadilan Pahang.  Usaha ini haruslah dipertingkatkan lagi agar AMK Pahang tampil sebagai AMK yang terbaik di antara negeri-negeri lain.   

Wednesday, October 5, 2016

JELAJAH 1 MDB DI PAHANG MENDAPAT SAMBUTAN HEBAT WARGA FELDA


Program Penerangan "Jelajah 1MDB" adalah cetusan idea dari Presiden Keadilan, Dato' Seri Wan Azizah bersama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBPM) atau lebih sinonim dipanggil " Bersatu" iaitu Tan Seri Muhyidin Yassin, Mantan TPM.  Di antara objektif program ini adalah untuk menyalurkan maklumat seluas mungkin di seluruh negeri terutamanya kepada rakyat di luar bandar yang masih kabur tentang skandal 1MDB.

Kata sepakat di antara kedua-dua pemimpin tersebut telah mula direalisasikan dan negeri pertama yang melaksanakannya adalah Selangor.  Pimpinan utama yang dijadualkan akan bergerak ke setiap negeri adalah Presiden Keadilan sendiri, Timbalan Presiden Keadilan, Pengerusi 'Bersatu' dan Presidennya di samping akan menampilkan pimpinan Pakatan Harapan tempatan.



Giliran Negeri Pahang telah berjaya disempurnakan dengan cemerlang sekali iaitu pada 02 Oktober 2016 baru-baru ini.  Program jelajah ini telah dikendalikan oleh MPN Keadilan Pahang dan Tuan Rumah yang dipertanggungjawabkan oleh Negeri adalah Keadilan Cabang Bera.  Lokasi program ini adalah bertempat di Simpang Kepayang, Bera.  Bera dipilih adalah kerana Parlimen Bera adalah di antara Parlimen yang mempunyai banyak kawasan Felda di Pahang.  Warga felda dikenalpasti sebagai masyarakat yang sering tertindas dengan berbagai janji manis di samping itu mereka juga amat sukar mendapatkan maklumat sahih berkaitan isu-isu penting seperti Skandal 1MDB yang banyak melibatkan kepentingan mereka juga.

 
Alhamdulillah, program di Bera malam itu telah mencapai sasaran kehadiran lebih dari 5 ribu yang hadir.  Rata-rata yang hadir adalah di kalangan warga felda sendiri yang kebanyakannya adalah ahli-ahli Umno yang mahu tahu mengapa mantan PM, Tun Dr Mahathir yang suatu ketika dahulu mereka amat hormati dan sanjungi tiba-tiba bangkit menentang Najib, Umno dan Bn.  Apa yang tidak kena dengan Umno sekarang?  Itu persoalan yang bermain-main di kepala mereka.  Paling membanggakan kehadiran juga ramai dari kalangan anak-anak muda yang semakin teruja dengan situasi politik negara sekarang.

Pimpinan utama yang berucap adalah Pengerusi "Bersatu', Tun Dr Mahathir Mohamed yang begitu senang dengan jumlah kehadiran malam tersebut.  Di dalam ucapannya, beliau begitu yakin dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat Bera, Kerusi Parlimen Bera bakal dirampas oleh Keadilan, InsyaAllah.  Ucapan Tun juga banyak mendedahkan tentang skandal 1MDB yang menjadi isu besar dan kontroversi di dalam dan di luar negara.

Timbalan Presiden Keadilan yang juga MB Selangor, YAB Dato' Seri Azmin Ali juga turut menyentuh berbagai isu.  Nikmat yang diperolehi oleh rakyat Selangor semenjak tahun 2008, Pakatan Rakyat dahulunya mengambil alih sehingga kini telah dihuraikan oleh MB Selangor.  Beliau yakin Pahang juga mempunyai potensi untuk menjadi seperti Selangor sekiranya Umno/Bn di negeri ini berjaya ditumbangkan di dalam PRU 14 akan datang.   Beberapa pimpinan lain turut berucap, di antaranya Pengerusi Keadilan Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman.  Pengerusi Dap Pahang, YB Leong Ngah Ngah juga turut berucap di samping Pengerusi Amanah Pahang, Sdr Dr Hamzah Jaafar.  Pentas ceramah turut dipanaskan dengan ucapan dari Ketua Wanita Keadilan, YB Zuraida Kamarudin, Ketua Cabang Bera, Sdr Zakaria Abdul Hamid serta beberapa pimpinan lain.

Gerak kerja yang baik dan tersusun serta komitmen semua pimpinan MPN dan Cabang serta seluruh jentera Keadilan yang bertungkus lumus membantu persiapan program ini adalah faktor utama kejayaan program Jelajah 1 MDB Peringkat Negeri Pahang.  Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat menjayakannya, semoga usaha ini memberi faedah kepada seluruh rakyat Negeri Pahang bagi melakar perubahan.

 

Saturday, October 1, 2016

JELAJAH 1MDB PERINGKAT NEGERI PAHANG AHAD (02/10/16) INI



BERA dipilih sebagai Parlimen bertuah untuk menerima kunjungan pimpinan utama Pembangkang iaitu Presiden Keadilan yang juga Ketua Pembangkang, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBPM) atau lebih sinonim disebut sebagai Bersatu, yang juga mantan PM, YBhg Tun Dr Mahathir Mohammed, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBPM) yang juga mantan TPM, Tan Seri Muhyidin Yassin dan Timbalan Presiden Keadilan yang juga MB Selangor, YAB Dato' Seri Azmin Ali di dalam Program Jelajah 1MDB Peringkat Negeri Pahang pada 02 Oktober 2016 (Ahad) ini bertempat di Simpang Kepayang, Bera.

Selain dari pimpinan utama tersebut, pimpinan Pakatan Harapan Negeri Pahang juga turut memberikan ceramah iaitu Pengerusi Keadilan Negeri Pahang yang juga MP Indera Mahkota, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Dap Pahang YB Leong Ngah Ngah dan juga Pengerusi Parti Amanah Pahang, Sdr Dr Hamzah Jaafar.  Di samping itu juga beberapa pimpinan Keadilan dan Ngo juga diberi peluang berucap termasuk YB Sdr Shamsul Iskandar, Naib Presiden Keadilan dan juga YB Zuraidah Kamarudin, Ketua Wanita Keadilan Pusat, Sdr Zakaria Abdul Hamid selaku Ketua Cabang Bera juga akan berucap.

Sudah pasti isu utama yang menjadi maudhuk siri penerangan malam itu nanti adalah berkaitan isu skandal 1MDB yang mana masih ramai rakyat terutamanya di pendalaman dan warga felda yang kurang memahami isu ini dan kesannya kepada negara dan kehidupan mereka.  Di samping itu, isu felda yang sering menjadi rungutan para peneroka juga turut akan disentuh oleh para penceramah serta isu-isu semasa.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir untuk mendengar sendiri apa yang diperkatakan oleh tokoh-tokoh berkenaan.