KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI

Thursday, October 12, 2017

JIKA DITANGKAP 'JERUNG', HASIL RASUAH AKAN MENINGKAT 1000 PERATUS

 
 
Kenyataan Media
12 Oktober 2017


Saya ambil maklum kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad bahawa SPRM berjaya mendapatkan kembali wang rasuah berjumlah RM21.43 juta pada tahun ini.

Kenaikan itu adalah sebanyak 400 peratus berbanding tahun lepas. Rampasan SPRM pada tahun lalu bernilai RM4.95 juga manakala pada 2015 pula bernilai RM3.94 juta.

1. Saya mengucapkan tahniah dan syabas di atas tindakan SPRM yang telah membanteras masalah rasuah di negara ini. Namun, perlu diingatkan bahawa jangan sesekali memilih bulu, dalam membuat serbuan atau pendakwaan kes rasuah di negara ini.

Setiap tindakan penguatkuasaan SPRM perlu dilaksanakan selepas menyiasat dan meneliti laporan berhubung kewujudan elemen rasuah dan salah guna kuasa oleh pihak tertentu. Dan ia tentunya perlu memberi keyakinan kepada rakyat kerana setiap kali tangkapan dibuat tertuduh berjaya didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah.

2. Peningkatan rampasan wang rasuah itu sebenarnya membuktikan bahawa gejala rasuah semakin banyak dan menular. Begitu suburnya 'pokok rasuah' di negara ini. Saya yakin jika tangkapan 'jerung' dapat dilakukan hasil rasuah akan meningkat sehingga 1000 peratus.

Sebelum ini, Datuk Dzulkifli Ahmad memberi peringatan terhadap ahli politik yang melakukan rasuah bahawa mereka akan ditangkap tidak lama lagi. Namun, apa hasilnya? Sampai sekarang ahli politik yang melakukan rasuah masih bebas.

Saya rasa rakyat negara ini sudah muak dengan pelbagai alasan SPRM apabila 'rasuah besar-besaran' melibatkan pemimpin politik dibiarkan begitu sahaja seolah-olah mereka satu 'spesis' yang harus dilindungi.

3. Rasuah yang semakin berleluasa juga mencerminkan petanda tatakelola dan pengurusan buruk oleh kerajaan pusat. Membuktikan bahawa amalan rasuah sudah parah dan terus membarah di negara ini.

4. Akibat daripada itu, kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ialah ianya akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Masalah lain adalah seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya.

Jika rasuah terus berkekalan ia akan mambantutkan pembangunan sosial, melebarkan kesenjangan pendapatan dan menambahkan bebanan kewangan pada rakyat terbanyak.

Rasuah yang membarah di Malaysia telah menyebabkan pelbagai ketirisan dan pembaziran dalam kewangan kerajaan seperti yang dibangkitkan sendiri pihak kerajaan di dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara.

5. Rasuah juga menjejaskan kualiti perkhidmatan sektor awam dan infrastruktur yang dirancang, sekali gus mengenakan tekanan yang hebat kepada belanjawan atau bajet kerajaan.

Maknanya, hasil ketirisan ini akan mengurangkan pendapatan negara yang akhirnya menyebabkan pertambahan bebanan hidup rakyat melalui pengurangan subsidi bahan keperluan asas seperti gula, elektrik, petrol dan pertambahan cukai kepada rakyat seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST).


Ahmad Nizam Hamid
Timbalan Pengerusi
KEADILAN Pahang

Thursday, October 5, 2017

14 OKTOBER - KEADILAN PAHANG KERAH AHLI UNTUK HADIR




14 OKTOBER - HARI SAYANGI MALAYSIA 

Tanpa mengira ideologi, suku bangsa dan agama, marilah kita beramai-ramai berkunjung ke Padang Timur, MBPJ, Petaling Jaya (berhampiran Pejabat PPBM) pada 14 Oktober 2017 bermula jam 04.00 petang.

Hanya satu matlamat, iaitu menunjukkan kita rakyat Malaysia amat menyayangi negara tercinta ini. Bukti kasih dan cinta kita kepada negara ini hanyalah satu, iaitu bersihkan negara ini dari perosak-perosak kemakmuran dan kemajuan negara. Mana-mana negara tidak akan selamat selagi dipimpin oleh kleptokrasi atau penyamun dan penyangak.

Bulatkan tekad untuk memulakan perubahan kepada negara. Ekonomi negara perlu diselamatkan kerana ekonomi adalah punca kepada susah atau senangnya sesebuah negara. Negara yang ekonominya kukuh dan mahu tetapi jika dipimpin oleh kleptokrasi, pasti akan hancur. Apatah lagi negara yang ekonominya dhaif, kewangannya susut, hutangnya bertambah, rakyat semakin melarat, apakah negara itu akan selamat, aman maju dan jaya jika dipimpin oleh kleptokrasi?

Sehubungan itu, Keadilan Pahang meminta semua ahli dan penyokong Keadilan serta Pakatan Harapan dan rakyat Pahang untuk turun beramai-ramai bagi menzahirkan suara kita yang mahukan perubahan. 

Thursday, September 14, 2017

SKANDAL LAWATAN NAJIB BERTEMU TRUMP: BERAPA PATAH PERKATAAN NAJIB SEMPAT SEBUT MENGENAI ROHINGYA DALAM MASA 10 MINIT?

PARTI KEADILAN RAKYAT

KENYATAAN MEDIA

14 September 2017

SKANDAL LAWATAN NAJIB BERTEMU TRUMP:
BERAPA PATAH PERKATAAN NAJIB SEMPAT SEBUT MENGENAI
ROHINGYA DALAM MASA 10 MINIT? 
 
 
Semalam, saya mempersoalkan kenapa pertemuan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Presiden Trump tidak menyentuh mengenai nasib umat Islam Rohingya yang berdepan penghapusan etnik sedangkan isu itu dihebohkan oleh pimpinan Umno sebagai isu utama yang akan dibincangkan.

Kenyataan saya itu dibuat setakat jam 12 tengahari waktu Malaysia semalam (13 September 2017) atau 12 tengah malam 12 September 2017 waktu Washington, iaitu 12 jam selepas pertemuan 30 minit di antara Dato’ Seri Najib/delegasi Malaysia dan Presiden Trump berakhir. Setakat waktu itu, tidak ada sebarang kenyataan atau video atau bukti-bukti lain dari pertemuan 30 minit itu yang menunjukkan isu umat Islam Rohingya disentuh langsung. 
 
Sehingga 12 tengah malam 12 September 2017, hanya ada 2 laporan rasmi yang boleh dirujuk yang
melaporkan kandungan perbincangan, iaitu:

i. Video mesyuarat bilateral di antara delegasi Malaysia dan delegasi Amerika Syarikat – keseluruhan kandungan langsung tidak menyentuh mengenai nasib umat Islam Rohingya

ii. Transkrip perbincangan di antara Presiden Trump dan Dato’ Seri Najib di dalam mesyuarat bilateral delegasi Amerika Syarikat-Malaysia yang juga langsung tidak menyentuh nasib umat Islam Rohingya

Saya juga ingin menekankan bahawa sehingga kini, Dato’ Seri Najib atau Wisma Putra atau pihak Amerika Syarikat atau White House tidak menafikan bahawa keseluruhan lawatan dan perjumpaan yang melibatkan Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump hanya mengambil masa 30 minit. Berdasarkan garis masa dan maklumat-maklumat yang ada setakat ini, saya telah menyatakan bahawa tempoh masa pertemuan empat mata di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump besar kemungkinan mengambil masa 10 minit sahaja (kerana lebih banyak masa iaitu sekitar 20 minit dihabiskan untuk mesyuarat bilateral yang dirakamkan itu).

Oleh yang demikian, kenyataan saya bahawa isu nasib umat Islam Rohingya tidak dibangkitkan di dalam pertemuan Najib-Trump itu adalah benar setakat maklumat yang ada semasa saya membuat sidang media semalam.

Hari ini, barulah ada satu kenyataan media bersama yang rasmi dari White House yang menyenaraikan perkara-perkara yang ditimbulkan secara rasmi di dalam pertemuan di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump.

Saya sertakan kenyataan media rasmi tersebut yang boleh diperolehi dari capaian https://www.whitehouse.gov/the-press-office/2017/09/13/joint-statement-enhancing-comprehensive-partnership-between-united

Sebahagian besar dari perkara-perkara yang disentuh di dalam kenyataan media bersama ini tidak disentuh di dalam mesyuarat bilateral yang videonya dirakamkan dan transkripnya telah disiarkan semalam. Ini bermakna jika ia dibincangkan di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump, besar kemungkinan ia dibincangkan di dalam pertemuan empat mata di antara mereka yang saya telah nyatakan sebelum ini besar kemungkinan hanya memakan masa 10 minit sahaja.

Oleh itu, berdasarkan maklumat-maklumat ini, saya boleh simpulkan bahawa kesemua perkara-perkara yang paling penting yang telah disentuh secara terbuka di dalam video mesyuarat bilateral (iaitu isu Korea Utara, isu melawan Daesh dan keganasan serta tawaran pelaburan-pelaburan dari Malaysia untuk membantu ekonomi Amerika Syarikat) serta perkara-perkara yang hanya disentuh di dalam pertemuan empat mata dibincangkan di dalam tempoh 10 minit itu.

Saya senaraikan isu-isu yang hanya disentuh di dalam pertemuan empat mata itu mengikut senarai pentingnya isu ini (berdasarkan panjang mana kenyataan bersama menyentuh isu tersebut dan perenggan ke berapa isu ini dimasukkan di dalam kenyataan bersama) seperti berikut:

i. Tindakan China meluaskan pengaruhnya di Laut Cina Selatan yang ditentang oleh Amerika Syarikat
ii. Kerjasama ASEAN dan kedudukan ASEAN sebagai sekutu Amerika Syarikat
iii. Bantuan dari Malaysia berjumlah RM4 juta untuk diagihkan di kawasan-kawasan yang dirampas dari Daesh bagi tujuan kemanusiaan
iv. Permohonan Malaysia agar diberi keistimewaan untuk pengecualian visa
v. Persetujuan Malaysia untuk berkongsi data dan maklumat dengan Amerika Syarikat bagi tujuan anti-keganasan antarabangsa
vi. Persetujuan Malaysia untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat termasuk pembelian RM250 juta persenjataan baru dari Amerika Syarikat
vii. Isu nasib umat Islam Rohingya
viii. Meningkatkan tata kelola perdagangan dan membanteras pemerdagangan manusia
ix. Menyambung kerjasama pendidikan melalui program Fulbright

Ini bermakna, selain dari isu-isu terpenting yang telah disentuh dan diumumkan secara terbuka, ada 9 lagi isu yang dibincangkan di dalam 10 minit pertemuan tertutup empat mata di antara Dato’ Seri Najib dan Presiden Trump. Dari 9 isu itu, isu nasib umat Islam Rohingya adalah isu yang ketiga paling tidak penting seperti yang disenaraikan di dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan White House sehari kemudian selepas pertemuan pada 12 September yang lalu.

Oleh yang demikian, bagi mereka yang memahami protokol diplomatik yang digunapakai di dalam pertemuan-pertemuan begini, adalah perkara biasa bahawa kedua-dua pihak delegasi membincangkan secara mendalam apa yang ingin dimasukkan di dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan.

Walau bagaimana pun, secara logiknya, saya percaya ramai rakyat Malaysia bersetuju dengan saya bahawa kemungkinan Dato’ Seri Najib membawa isu umat Islam Rohingya dalam pertemuan empat mata sesingkat 10 minit itu adalah terlalu kecil memandangkan pelbagai isu-isu yang dikira lebih penting kepada Amerika Syarikat.

Sama ada Dato’ Seri Najib benar-benar membawa isu itu dalam pertemuan sesingkat 10 minit itu tidak akan dapat disahkan sampai bila-bila kerana ia pertemuan tertutup empat mata dan kita bergantung sepenuhnya kepada versi yang disebut Dato’ Seri Najib. Oleh itulah, di antara kesimpulan logik bahawa isu umat Islam Rohingya hanya dimasukkan di dalam kenyataan bersama dan diletakkan sebagai isu ketiga paling corot dan mempercayai bahawa Dato’ Seri Najib

membawa isu itu di dalam pertemuan sesingkat 10 minit sedangkan banyak lagi isu lain yang lebih penting kepada Amerika Syarikat, saya yakin majoriti rakyat Malaysia boleh membuat kesimpulan yang logik.

Apatah lagi Dato’ Seri Najib juga pernah mengaku beliau mendapat derma RM2.6 bilion dari keluarga diraja Arab Saudi – maka sudah tentu lebih ramai yang mempercayai kesimpulan yang lebih logik berbanding versi yang bukan sahaja tidak logik tetapi datang dari seorang seperti Dato’ Seri Najib.



RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Monday, September 11, 2017

Lebih 5,000 sertai Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik di KL

 
 
KUALA LUMPUR, 10 SEPT: Bandar raya Kuala Lumpur hari ini dikejutkan kelantangan suara kira-kira lebih 5,000 wanita berpakaian serba purple dalam Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik.

Perhimpunan aman anjuran pelbagai Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) itu bermula kira-kira jam 5.00 petang di hadapan bangunan Maju Junction, Jalan Tunku Abdul Rahman.

Perhimpunan yang dipimpin isteri bekas Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Siti Hasmah Ali itu dimulakan dengan ucapan beberapa pemimpin NGO terlibat.

Ketika menyampaikan ucapan, Siti Hasmah, berkata, perhimpunan itu diadakan bagi menolak golongan yang mengamalkan politik keganasan, rasuah dan tidak bertanggungjawab.

 
 
“Kita lihat wanita dijadikan sasaran dengan dibunuh dalam peperangan, gangguan seksual dan lain-lain.

“Ini terjadi kerana amalan politik toksik dan perlu dihentikan sebelum toksik ini masuk ke dalam darah kita dengan mengadakan perhimpunan aman. Wanita memang cintakan keamanan,” katanya.

Sebaik Siti Hasmah selesai menyampaikan ucapan, perhimpunan itu mula berarak menuju ke Sogo.

Selain pemimpin beberapa NGO, turut hadir Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Shamsida Taharin; Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh; Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Kesihatan, Dr Daroyah Alwi; Ahli Dewan Negeri (ADN)Batu Tiga, Rodziah Ismail dan ADN Rawang, Gan Pei Nei.

Turut kelihatan pada perhimpunan itu Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan ramai lagi.

Selain pemimpin wanita, himpunan itu turut dihadiri Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Tian Chua sebagai tanda sokongan kepada gerakan terbabit./SKini

Wednesday, August 23, 2017

ISU BUKIT SEKILAU - LAPORAN SPRM OLEH ADUN SEMAMBU







Satu laporan kepada pihak SPRM telah dibuat oleh Adun Semambu, YB Lee Chean Chung di pejabat SPRM Kuantan semalam, Selasa (22/8/17) iaitu berkaitan aktiviti serta transaksi dan pajakan tanah di Bukit Sekilau, Kuantan.

Sebelum ini, Adun tersebut pernah memaklumkan bahawa projek di Bukit Sekilau meliputi dua lot tanah berjumlah 26,887 meter persegi difahamkan telah dipajak kepada sebuah syarikat swasta pada 2 Disember 2011 oleh kerajaan negeri untuk perumahan, loji pembetungan, surau dan tujuan awam.
Beliau juga difahamkan bahawa syarikat itu telah diberikan lesen untuk menggunakan bahan letupan di tapak tersebut dan lesen dari pejabat tanah untuk pengangkutan batu.

YB Lee Chean Chung pernah mengajukan persoalan kepada pihak MB Pahang untuk menjelaskan beberapa isu kebimbangan orang ramai seperti berikut:

- Sekiranya tanah diluluskan untuk perumahan, loji pembetungan dan surau, mengapa aktiviti kuari dijalankan di tapak? Adakah syarikat menyimpang daripada tujuan asal yang diluluskan untuk penggunaan tanah itu?

- Adakah syarikat yang beroperasi di tapak ini mempunyai lesen untuk menjalankan penggalian di sana? Syarikat mana yang diberikan projek ini?

- Bagi pengangkutan batu, ini mestilah dilesenkan oleh Kementerian Pengangkutan dan bukan Pejabat Tanah. Adakah syarikat ini mendapat lesen dari Kementerian Pengangkutan untuk pengangkutan batu?

- Menurut Garis Panduan Penempatan dan Pengezonan Kawasan Perindustrian dan Kediaman oleh Jabatan Alam Sekitar, tapak kuari itu sepatutnya mempunyai zon penampan sekurang-kurangnya 500 meter dari kawasan kediaman. Adakah projek ini mematuhi peraturan ini?

- Adakah kerajaan menjalankan apa-apa kajian tentang kesesuaian untuk kegiatan kuari, memandangkan kegiatan tersebut pasti akan menyebabkan pencemaran bunyi dan pencemaran udara akibat letupan dan pengangkutan batu?

Sebagaimana yang kita semua tahu, Kuantan sudah terdedah kepada banjir besar dan banjir kilat sebelum ini. Kita bimbang dengan penebangan hutan di Bukit Sekilau, Kuantan akan menghadapi lebih banyak banjir kilat pada masa depan dan akan menjejaskan kehidupan warga Kuantan.

Atas kesedaran itu dan setelah gagal mendapat sebarang maklum balas daripada pihak yang berkepentingan, Adun Semambu menyatakan beliau ada tanggungjawab untuk mewakili warga Kuantan untuk melaporkan kes ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menggesa pihak berkenaan menjalankan siasatan. Rakyat berhak untuk tahu kerana imej Bandar Hijau Kuantan ini telah tercalar kerana Bukit Sekilau telah botak, ujar beliau.

Turut hadir bersama Adun Semambu sewaktu membuat laporan ke SPRM semalam adalah Setiausaha Keadilan Negeri Pahang mewakili Majlis Pimpinan Negeri Pahang serta beberapa AJK Cabang Keadilan Indera Mahkota, Kuantan, pimpinan Pakatan Harapan setempat dan aktivis.

Tuesday, August 15, 2017

PROGRAM CERAMAH "SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI" PERINGKAT NEGERI PAHANG DI BERA PADA SABTU INI (19/8/17)

CERAMAH ISU2 SEMASA DAN ISU2 FELDA - SAYANGI MALAYSIA, HAPUSKAN KLEPTOKRASI DI SPG KEPAYANG, BERA PADA HARI SABTU INI (19/8/17) JAM 08.00 MLM
 

PENCERAMAH UTAMA:

1. YB Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail - Presiden Pakatan Harapan/Presiden KEADILAN

2. Tuan Hj Muhamad Sabu - Timbalan Presiden Pakatan Harapan/ Presiden AMANAH

3. YB Dato' Mohd Rashid Hasnon - TKM P.Pinang

4. Sdr Zahid Md Arip - MPT PPBM

5. Sdr M. Manogaran - Mewakili DAP

6. Sdr Mazlan Aliman - Pengerusi ANAK/AJK AMANAH Pusat

7. Tan Seri Muhamad Muhd Taib - Bekas MB Selangor

8. YB Dato' Fauzi Abdul Rahman - Pengerusi KEADILAN Pahang

9. Sdr Zakaria Abdul Hamid - Ketua Keadilan Cabang Bera

Serta pimpinan-pimpinan Pakatan Harapan tempatan.

Orang ramai dijemput hadir. Mohon hebahkan.

Saturday, August 5, 2017

‘Undi Pakatan Harapan untuk PM wanita’

KUALA LUMPUR 4 OGOS: Malaysia akan mempunyai perdana menteri wanita yang pertama jika Pakatan Harapan diundi untuk mentadbir Putrajaya, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Afif Bahardin, dalam satu forum mengenai masa depan politik Malaysia malam tadi. 
 

Bercakap pada sesi TN50x Afif berkata bahawa KEADILAN adalah satu-satunya parti di Malaysia yang kini berpresidenkan seorang wanita.

“Jadi, jika anda mengundi Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14, anda mungkin mendapat seorang perdana menteri wanita lebih awal daripada 2050,” katanya berseloroh, lapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sewaktu memberi reaksi kepada hadirin yang mengulas mahu melihat lebih banyak penglibatan wanita dalam politik Malaysia menjelang 2050.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang merangkap presiden Pakatan Harapan.

Pada forum itu Afif menjadi anggota panel bersama Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim, Timbalan Ketua Pemuda MIC, R Thinalan dan Exco Pemuda Umno Shahril Hamdan.

Sementara itu, Shahril berkata beliau percaya bahawa kerajaan perlu campurtangan melalui sistem kuota untuk meningkatkan perwakilan wanita dalam politik.

Mengenai keperluan pemimpin wanita dalam politik, Thinalan berkata bahawa MIC kini mempunyai lebih daripada 30 pemimpin wanita bahagian di seluruh negara.
 
 

Wednesday, July 26, 2017

RUMAH TERBUKA AIDIL FITRI - KEADILAN PAHANG RAKAMKAN UCAPAN TERIMA KASIH

KEADILAN Negeri Pahang telah mengadakan Rumah Terbuka Aidil Fitri 2017 bertempat di perkarangan Pejabat Ranting Keadilan Taman Tas, di kawasan Cabang Paya Besar pada 22 Julai 2017 (Sabtu) mulai jam 10.00 pagi sehingga jam 12.00 tengahari.

Sempena dengan majlis tersebut, Keadilan negeri telah menjemput Presiden Keadilan, Dato' Seri Wan Azizah bte Wan Ismail beserta Timbalan Presiden, yang juga MB Selangor, YAB Dato' Seri Mohamad Azmin bin Ali serta beberapa pimpinan pusat yang lain.  Walau bagaimanapun, Dato' Seri Wan Azizah tidak dapat hadir kerana terpaksa ke Sabah di atas beberapa urusan parti, dan beberapa pimpinan pusat juga tidak dapat hadir kerana terlibat di dalam program-program lain di kawasan masing-masing.




Namun demikian, Keadilan Negeri Pahang bertuah kerana Timbalan Presiden yang juga YAB Dato' MB Selangor, Dato' Seri Mohamad Azmin bin Ali sudi hadir.  Kesemua Wakil Rakyat dari Keadilan Pahang telah hadir termasuk Ketua-Ketua Cabang di seluruh Negeri Pahang.  Beberapa pimpinan dari Pakatan Harapan juga dijemput untuk bersama di dalam majlis tersebut.  Lokasi Pekan Taman Tas dipilih kerana ianya berada di tengah-tengah jalan utama Gambang ke Kuantan bagi memudahkan orang ramai untuk hadir bersama.  Taman Tas juga mempunyai peratusan kaum yang seimbang dan majlis tersebut dapat diraikan oleh semua kaum bagi mewujudkan perasaan muhibbah serta saling menghormati.




Pada majlis berkenaan turut diadakan penyampaian sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Kaunter Pendaftaran Pengundi Baru juga turut disediakan di bawah Pusat Khidmat Adun Semambu.  Dato' Seri Azmin kemudiannya berkunjung ke rumah Pengerusi Keadilan Negeri Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman sebelum bergerak pulang kerana ada program lain yang menanti.  Majlis Rumah Terbuka yang diadakan telah mendapat sambutan yang amat baik sehinggakan makanan yang disediakan tidak mencukupi menjelang jam 12.00 tengahari.  



Majlis Pimpinan Negeri Pahang mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Timbalan Presiden kerana sudi untuk bersama rakyat Pahang di dalam majlis pada hari tersebut.  Terima kasih juga kepada pimpinan-pimpinan Pakatan Harapan yang telah hadir dan kepada semua tetamu.  Ribuan kemaafan dari kami sekiranya terdapat beberapa kelemahan atau layanan yang tidak memuaskan pada hari tersebut.  


Wednesday, July 19, 2017

RUMAH TERBUKA KEADILAN PAHANG PADA 22 JUL 2017 (SABTU)


RUMAH TERBUKA AIDIL FITRI KEADILAN PAHANG:

20/7/2017 (KHAMIS) JAM 3.00 PETANG - 05.00 PETANG
Rumah Terbuka Aidil Fitri Keadilan Cabang Maran di Perkarangan Pejabat Keadilan Cabang Maran, Bandar Maran (Stesyen Bas Maran)

22/7/2017 (SABTU) JAM 10.00 PAGI - 12.00 TENGAHARI
Rumah Terbuka Keadilan Negeri Pahang
di Perkarangan Pejabat Ranting Keadilan Taman Tas, Pekan Taman Tas (Tapak Bazar Ramadhan)
Tetamu Kehormat: Dato' Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Azmin Ali 
 
 
23/7/2017 (AHAD) JAM 2.00 PETANG - 05.00 PETANG
Rumah Terbuka Aidil Fitri AMK Keadilan Pahang
di No. 75, Lorong 6, Taman Seri Embun, Jerantut
(Berhampiran Kem Askar, depan Taman Embun Jaya)
Tetamu Kehormat: Ketua AMK Pusat, Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Nik Nazmi.

Semua dijemput hadir untuk meraikan majlis tersebut.

Tuesday, July 11, 2017

SIAPA SEBENARNYA TIDAK BERUPAYA LAWAN ANCAMAN PENGGANAS?

Menteri Pertahanan dengan penuh nada sinis menyatakan jika Pakatan Harapan memerintah kelak, kami tidak mempunyai keupayaan untuk menghalang pengaruh ISIS dan aktiviti keganasan.
 
Saya hari ini tampil mempersoalkan kemampuan sebenar kerajaan BN/UMNO, khususnya dalam membanteras pengaruh ISIS di negara ini.
 
Secara perundangan, akta yang digunakan untuk memerangi aktiviti keganasan, termasuk ancaman penganas komunis sebelum ini Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diganti dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), kononnya sebagai reformasi perundangan yang diperkenalkan Najib Razak. 

Bagaimanapun, seperti ISA, SOSMA tetap disalah guna untuk menekan kebebasan politik di negara ini, bukan untuk memerangi keganasan.
 
Sejak diperkenalkan lima tahun lalu, seramai 979 telah ditahan di bawah SOSMA. Daripada jumlah itu hanya 177 sahaja yang ditahan di negara ini kerana kaitannya dengan ISIS. Saya percaya jumlah itu adalah sebahagian daripada 43 warga asing ditahan kerana kaitan mereka dengan ISIS seperti mana yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
 
Hakikat ini bermakna hampir 800 orang yang ditahan tidak ada kaitan dengan ISIS! Mereka ada pengiat dan aktivis demokrasi yang berjuang memerangi salah laku kerajaan dan rasuah. Maka terbukti gerak kerja kerajaan UMNO/BN lebih tertumpu untuk melumpuhkan demokrasi di negara ini dan bukannya dengan sepenuh hati memerangi keganasan.
 
Harus diingat, Hishammuddin mungkin boleh berbangga dengan menyatakan Putrajaya mampu melawan ancaman ISIS dengan berkesan dan menuduh kami di Pakatan Harapan tidak akan mampu dan tidak berpengalaman membasmi ancaman ISIS di negara ini, namun fakta sebenarnya ialah Malaysia merekodkan lebih enam kali ganda kadar orang Islam yang menyertai ISIS berbanding Indonesia! 
 
Saya sekali lagi menantikan detik dan ketikanya Hishammuddin menjemput kami di barisan pembangkang untuk menyertai Jawatankuasa Pilihan Pertahanan dan Keselamatan, yang telah saya cadangkan sendiri kepada Hishammuddin selaku Menteri Pertahanan - permohonan yang belum berjawab oleh individu yang mendabik dada mengakui amat mengutamakan keselamatan negara.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen, Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilihanraya Bersama KEADILAN

Tuesday, May 23, 2017

TAHNIAH PERWAKILAN PAHANG YANG HADIR DALAM KONGRES KEADILAN KE 12



KEADILAN Negeri Pahang mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua perwakilan dari negeri ini yang telah hadir ke Kongres KEADILAN Nasional Ke 12 bertempat di Shah Alam bermula pada 20 dan 21 Mei baru-baru ini.

Tahniah juga kepada Adun Semambu, YB Lee Chean Chung selaku Pembahas mewakili KEADILAN Pahang yang telah berbahas dengan baik sekali membawa topik yang berkaitan dengan peranan media di dalam memperkuatkan parti khususnya dan Pakatan Harapan amnya.

Kongres kali ini menyerlahkan sikap dan komitmen parti bahawa perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim wajib diteruskan.  Tindakan mengangkat plakad "Anwar PM Ke 7"  secara spontan membuktikan bahawa imej Anwar selaku pemimpin utama dan bakal PM selepas ini tidak boleh dinafikan lagi.

Sudah tentu Umno dan media-media kawalan mereka amat tidak senang hati apabila nama Anwar terus didendangkan.  Mereka mahu Anwar 'dimatikan' dan rakyat akan lupa tentang perjuangannya.  Berbagai usaha dibuat untuk melaga-lagakan sesama kita agar kita lupa tentang 'reform' yang mahu dibawa oleh Anwar.  

Tahniah kepada semua.  Pahang akan bangkit melakar perubahan di dalam PRU14 akan datang, InsyaAllah.

Friday, May 5, 2017

Pakatan Harapan tawar orang ramai cipta logo


KUALA LUMPUR 4 MEI: Pakatan Harapan mengalu-alukan orang ramai menghantar rekaan logo gabungan itu untuk digunakan pada pilihan raya nanti.

 

“Setelah mengambil kira dapatan dan pandangan umum yang telah diberi, serta berpandukan pandangan dari kalangan pimpinan Pakatan Harapan, pihak Media Pakatan Harapan mengalu-alukan cadangan balas reka bentuk logo Pakatan Harapan dari pihak yang berminat,” kata Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli dalam kenyataan.

Semalam, Rafizi memuatnaik ke dalam Facebook beliau beberapa draf logo Pakatan Harapan untuk mendapatkan maklum balas umum terhadap draf logo-logo tersebut.

“Bagi pihak Media Pakatan Harapan, kami ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah secara jelas memberi komen, maklum balas, kritikan serta cadangan yang membangun,” ujar Ahli Parlimen Pandan itu.

Pakatan Harapan menyediakan garis panduan rekaan logo tersebut seperti berikut:

* Sebaik mungkin, logo perlulah terdiri daripada dua warna, dan perlu disertakan versi hitam-putih untuk tujuan paparan di kertas undi.

* Logo mestilah menggunakan simbol yang mudah dikenali atau difahami ramai.

* Logo perlu mempunyai rasional berteraskan konsep-konsep “harapan”, “demokrasi”, “keadilan”, “integriti” dan “perpaduan”.

* Logo mestilah boleh dilihat sepenuhnya pada skala kecil (seperti pada lencana baju) dan besar (seperti bendera bersaiz besar).

* Logo versi akhir sebaiknya adalah dalam format ‘outlined vector’ dan dibuat menggunakan Adobe Illustrator (.ai) atau program seumpamanya.

Orang ramai boleh menghantar cadangan logo Pakatan Harapan ke logo@pakatanharapan.my mulai hari ini, 4 Mei 2017 sehingga jam 10 pagi, Selasa 9 Mei 2017.

Sila sertakan sekali nama, nombor MyKad serta nombor telefon pereka logo.

Penganjur berhak ke atas logo yang diterima untuk kegunaan Pakatan Harapan, dan boleh membuat perubahan kepada corak asal.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi logo@pakatanharapan.my.

Sumber: Keadilan Daily

Wednesday, April 19, 2017

GST: JIKA GST BERKADAR SIFAR,KASTAM BOLEH FOKUS KERJA LAIN - KEADILAN PAHANG

Kenyataan Media

19 April 2017

GST: JIKA GST BERKADAR SIFAR,KASTAM BOLEH FOKUS KERJA LAIN


Pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak dua tahun lalu bukan sahaja membebankan segenap lapisan rakyat, bahkan sistem dan prosedur pelaksanaannya juga rumit dan mengelirukan banyak syarikat yang terlibat melaksanakan cukai itu.

Ini terbukti apabila kira-kira 25,000 daripada lebih 437,000 syarikat yang berdaftar di bawah GST didapati tidak menghantar penyata bayaran mereka kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Malah, kira-kira 20 peratus daripada syarikat pula didapati menampilkan penyata bayaran cukai yang meragukan. Ini sekaligus membuktikan masih banyak syarikat yang sukar memahami prosedur GST.

Memetik kenyataan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Sembilan, Datuk Abdullah Jaafar sehingga Ogos 2016, sebanyak 21 syarikat disiasat manakala tiga lagi telah didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah Akta GST 2014.

KEADILAN Pahang juga mempersoalkan kewajaran tindakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia hingga terpaksa menggunakan 600 pegawai dan anggota untuk mengejar syarikat yang tidak memberi penyata bayaran atau penyatanya meragukan.

Ketidakcekapan dalam memungut kutipan hasil perlu segera diperbaiki, malah cara sekarang ternyata buang masa dan tenaga JKDM sahaja.

Sebenarnya, semua masalah berkaitan GST dapat diselesaikan sekiranya Pakatan Harapan memerintah negara, ini kerana tiada cukai GST dikenakan (berkadar sifar) bagi memastikan semua rakyat tidak terbeban dengan kadar cukai enam peratus itu lagi.

Sejak GST diperkenalkan pada April tahun 2015, ternyata telah mengikis sebahagian besar wang rakyat lagi-lagi yang berpendapatan rendah dan sederhana sedangkan pelbagai barangan turut mengalami kenaikan yang besar.

Cukai GST adalah bersifat regresif kerana ia lebih menghukum isi rumah berpendapatan rendah daripada mereka yang berpendapatan tinggi.

Ketiadaan cukai GST jika Pakatan Harapan memerintah, membolehkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menumpu tugas asasi mereka yakni pencegahan aktiviti penyeludupan dan sebagainya.

Ahmad Nizam Abdul Hamid
Timbalan Pengerusi
KEADILAN Negeri Pahang

Monday, April 17, 2017

PROGRAM SPERA DAN AMK DI BERA

Semalam, pada 16 April 2017 (Ahad), KEADILAN Cabang Bera telah mengadakan tiga program serentak melibatkan KEADILAN Negeri (JPRN) serta AMK Negeri dan Cabang. Kesemua program ini diatur adalah bagi memperkuatkan jentera pilihanraya KEADILAN Cabang Bera di samping melatih petugas-petugas pilihanraya bagi menghadapi PRU14 akan datang yang dijangkakan akan lebih sukar berbanding sebelumnya.

Program pertama adalah Bengkel Latihan Sistem Pengurusan Pilihanraya (SPERA) anjuran JPRN dengan bantuan JPRP bermula jam 09.00 pagi sehingga jam 02.00 petang bertempat di Pejabat KEADILAN Cabang Bera.  Bengkel ini dikendalikan oleh dua tenaga pengajar dari JPRP dan SUK KEADILAN Pahang.  Seramai 27 peserta telah hadir mewakili Cabang-Cabang seluruh Negeri Pahang.  Turut hadir adalah Pengarah Pilihanraya Negeri (JPRN) Tuan Hj Abas serta Setiausaha KEADILAN Negeri, Sdr Kamarzaman Mohamed Yunus dan Ketua-Ketua Cabang.  Taklimat rengkas diberikan oleh Pengarah Pilihanraya Negeri dan juga Ketua Cabang Bera, Sdr Zakara Abdul Hamid sebelum bengkel bermula.

Sebahagian dari para peserta
Pimpinan Negeri dan Cabang yang turut hadir

Peserta mendaftar untuk penggunaan SPERA.
Tujuan bengkel ini adalah untuk mendedahkan kepada semua petugas pilihanraya di bawah Pengarah Pilihanraya Cabang di dalam mengendalikan sistem SPERA yang baru diperkenalkan.  Sistem ini amat penting di dalam membantu gerak kerja pilihanraya khususnya di dalam mengenalpasti kedudukan pengundi-pengundi di peringkat Parlimen mahu pun Dun yang ditandingi.  Selepas bengkel secara teori, semua peserta di bahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melakukan kerja culaan secara praktikal menggunakan SPERA di beberapa lokasi yang ditentukan.  




Peserta-Peserta bergambar sejurus selesai Bengkel

Selesai melaksanakan tugas culaan, semua peserta dikumpulkan semula untuk menyampaikan maklumat apa yang mereka perolehi dari penugasan tersebut.  Akhir sekali, selaku Tuan Rumah, Ketua Cabang Bera, Sdr Zakaria Abdul Hamid telah menyampaikan cenderahati berbentuk hamper kepada semua Tim atau kumpulan.   Bengkel seterusnya akan diadakan di Kuantan di bawah anjuran KEADILAN Cabang Kuantan pada 29 April 2017.  

Program seterusnya di Bera pada hari yang sama adalah melibatkan AMK.  AMK mengadakan aktiviti di sebelah petang bermula jam 3.00 petang dengan pendaftaran keahlian, pendaftaran pengundi baru serta bersama anak muda 'Menukar Minyak Hitam Motorsikal|" secara percuma.  Program ini adalah anjuran AMK Cabang dan Negeri.  Ketua AMK Negeri, Sdr Wong Chun Yuan turut hadir di dalam program tersebut.  Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan dengan anak-anak muda khususnya di samping membantu mereka untuk mendaftar sebagai pengundi.

Program Tukar Minyak Injin Motorsikal
Pendaftaran Keahlian dan Pengundi Baru
Pada sebelah malam pula, AMK mengadakan majlis BBQ dan ceramah Pentas Anak Muda di Simpang Kerayung, Bera.  Program ini telah dihadiri oleh Timbalan Ketua AMK Pusat yang juga Exco Kerajaan Negeri P.Pinang, YB Dr Afif Bahardin.  Turut hadir adalah Ketua AMK dari Negeri Sembilan dan wakil AMK dari Selangor.  

Dr Afif turut bersama membakar ayam untuk BBQ
Ceramah Pentas Anak Muda diadakan di Simpang Kerayung, Bera.  Beberapa wakil dari AMK dari Negeri Sembilan dan Selangor telah menyampaikan ucapan mereka.  Selain itu, Pengarah Komunikasi Negeri, Sdr Wan Fauzuldin mewakili MPN turut berucap.  Timbalan Ketua Cabang Bera merangkap Ketua Biro Orang Asal, Sdr Bob Monalan juga diberi peluang untuk berucap.  Sdr Zakaria Abdul Hamid selaku Ketua Cabang Bera juga menyampaikan amanatnya kepada anak-anak muda.  Beliau menyeru agar anak-anak muda agar bangkit untuk melakukan perubahan kerana masa hadapan negara ini terletak di tangan anak-anak muda.  Generasi kedua felda harus membela nasib warga felda kini yang semakin menderita akibat kebobrokan pimpinan Umno/Bn.


Sebelum penceramah utama, Timbalan Ketua AMK Pusat yang juga Exco Kerajaan Negeri P.Pinang, YB Dr Afif Bahardin tampil ke pentas, wakil AMK Bera menyampaikan Deklarasi AMK Bera.  Isi kandungan yang terdapat di dalam Deklarasi AMK Bera disimpulkan seperti berikut:

1.  Membantah Cukai GST yang membebankan rakyat.

2.  Menuntut pendidikan percuma.

3.  Menuntut kemudahan pinjaman perumahan melalui kerajaan, bukannya melalui bank-bank komersial yang sering mengaut keuntungan.

4.   Mewujudkan peluang-peluang pekerjaan terutamanya kepada anak-anak muda di luar bandar.

5.  Mendesak agar peluang-peluang pekerjaan diberikan kepada anak-anak tempatan bukannya kepada warga asing.

Sdr Wan Fauzuldin, mewakili MPN berucap
Ketua Cabang Bera, Sdr Zakaria sedang menyampaikan ucapan
Penceramah utama, YB Dr Afif di dalam ucapannya banyak menyentuh tentang kebajikan yang diperolehi oleh rakyat P.Pinang di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpin oleh YAB Lim Guan Eng.  Beliau turut mengingatkan tentang taktik dan propaganda Umno/Bn melalui media perdana kawalan mereka yang saban hari memburuk-burukkan kerajaan P.Pinang.  Isu agama dan perkauman didendangkan untuk meracuni pemikiran orang-orang Melayu kononnya Melayu dan Islam tertindas di negeri tersebut.  Walhal, apa yang sebenarnya yang cuba dilindungi oleh Umno/Bn adalah betapa kerajaan negeri P.Pinang amat peka dengan permasalahan rakyat semua kaum tidak mengira ugama dan usia.  

YB Dr Afif sedang berucap
 

Bantuan kepada pelajar-pelajar, warga-warga emas, ibu-ibu tunggal, pelajar-pelajar Tahfiz dan pondok-pondok pengajian Islam, Guru-Guru KAFA, penarik beca, isteri-isteri yang tidak bekerja,  dan banyak lagi kebajikan untuk rakyat telah dilakukan oleh kerajaan negeri yang gagal dilaksanakan oleh negeri-negeri di bawah Umno/Bn.  Di P.Pinang, tiada lagi kemiskinan tegar di mana kerajaan negeri sentiasa membantu rakyat di negeri tersebut agar tidak berada di bawah paras kemiskinan tegar.

Beliau menyeru kepada anak-anak muda agar menggunakan hak dan kuasa mereka untuk melakukan perubahan di dalam PRU14 akan datang.  Beliau yakin, Negeri Pahang akan mencapai kemajuan dan kesejahteraan sepertimana yang dinikmati oleh rakyat di Negeri P.Pinang dan Selangor sekarang sekiranya anak-anak muda mampu melakukan perubahan.    

KEADILAN Negeri Pahang mengucapkan syabas dan tahniah kepada KEADILAN Cabang Bera dan semua pihak yang telah menjayakan program serentak semalam.

Friday, April 7, 2017

PENEROKA FELDA SENARAIKAN LIMA TUNTUTAN KEPADA FELDA


Sekumpulan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini menyenaraikan lima tuntutan kepada pengerusi Felda baru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, menggesa beliau menunaikan janji untuk menjaga kebajikan mereka.

Untuk itu, Gagasan Peneroka Felda Bangkit untuk sistem yang adil (BANGKIT) berkata ia akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara untuk mendapatkan sokongan berhubung tuntutannya.

"Kami dapati Felda sebagai agen yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan peneroka telah gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut.Felda semacam tidak tidak memberi perhartian dan bantuan kepada peneroka.

 
 
“Oleh itu, selaras dengan kenyataan pengerusi Felda yang baru, Felda perlu fokus kepada peneroka dan kebajikan mereka, kata jurucakap BANGKIT, Razali Ithnain pada sidang akhbar di Shah Alam hari ini.

Razali, yang berasal dari Felda Jengka 6, Pahang, berkata rancangan untuk siri jelajah itu masih dalam perancangan.

Shahrir dilantik sebagai pengerusi baru pada 6 Januari lalu, manakala pengerusi sebelum itu, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kekal sebagai pengerusi Felda Global Ventures Bhd.

Antara lain, BANGKIT menuntut bahawa peneroka perlu diberi pilihan untuk menjual buah kelapa sawit mereka kepada kilang-kilang yang menawarkan harga lebih tinggi atau kadar perahan yang lebih munasabah.

Peneroka Abdul Rahman Ramli dari Felda Serting, Negeri Sembilan mendakwa walaupun buah sawit mereka diiktiraf secara meluas sebagai berkualiti tinggi tetapi apabila dihantar ke kilang Felda, ia dinilai pada kadar perahan yang lebih rendah.

Degan itu, ia peneroka terpaksa menjualnya pada harga murah.

BANGKIT juga menuntut perjanjian lebih adil antara peneroka dan Felda, dengan mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai sebarang pilihan atau dibenarkan berbincang sebelum syarat-syarat perjanjian ditetapkan.

Kumpulan itu juga mahu Felda lebih telus dalam berurusan dengan hutang tanam semula peneroka dan mengetepikan hutang yang 'tidak munasabah'.

"Peneroka tidak seharusnya dibebani dengan hutang yang disebabkan oleh ketidakcekapan dan ketirisan dalam pengurusan Felda. Felda harus menjaga kemampuan perniagaannya tanpa mengabaikan kebajikan peneroka. 


 
 
"Tindakan perniagaan Felda yang tidak telus dan tidak bertanggungjawab akan mewujudkan keadaan tidak stabil dan merosakkan keharmonian dalam komuniti peneroka," kata Razali.

Di samping itu, kumpulan itu juga mahu Felda Techno Plant Sdn Bhd dibubarkan, dan pengurusan perladangan dan operasi penanaman semula diserahkan kepada peneroka atau koperasi peneroka.

"Konsep 'Dari peneroka kepada peneroka' ini akan mendorong usaha peneroka menjadi lebih produktif dan menguntungkan peneroka keseluruhannya," kata Razali.

Akhir sekali, kumpulan itu mahu pembinaan rumah untuk generasi kedua dipercepatkan supaya boleh diserahkan kepada mereka yang layak./MK

Saturday, April 1, 2017

Speaker tolak usul pembebasan Anwar, langgar keputusan PBB

Keputusan Speaker Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, bagi membahaskan isu penahanan saudara Anwar Ibrahim, amat mengecewakan dan didakwa menafikan hak wakil rakyat dalam perkara berkenaan. 

Gambar Anwar di mahkamah sebelum ini

Naib Presiden KEADILAN itu berkata, tindakan diambil itu juga bertentangan dengan keputusan dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan bantahan penahanan ke atas mantan Ketua Pembangkang itu.

“Justeru pada saya penting bagi menyatakan Parlimen di Malaysia dikongkong sehingga isu sebesar ini yang memperlihatkan lebih 200,000 penandatangan petisyen untuk membebaskan Anwar tidak lagi diberi ruang supaya dibahaskan.

“Saya amat kecewa dengan surat jawapan Speaker yang menolak usul ini memandangkan Parlimen Australia termasuk Parlimen Britain telah mendengar perbahasan juga membincangkan isu berkenaan tetapi kita di Malaysia dinafikan peluang sedemikian,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam, lapor SelangorKini.

Beliau berkata, usul itu dikemukakan kepada Speaker, Khamis lalu, untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) berkait dengan kuasa Pesuruhjaya Jenderal Penjara Malaysia yang mampu dan boleh membebaskan Anwar seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 43 Akta Penjara 1965 dan peraturan 111.

Katanya, ia memandangkan terdapat keputusan daripada PBB iaitu berkaitan penahanan secara arbitari menyimpulkan Anwar ditahan secara haram dan wajib dibebaskan serta merta termasuk fatwa Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia yang memberi keyakinan bahawa mantan Timbalan Perdana Menteri tidak bersalah.

“Jangan dilupa Malaysia juga menggunakan ruang dalam PBB untuk merujuk Israel di atas sebab meneruskan penempatan haram, bila masa kita sendiri merujuk kepada PBB (berhubung isu berkenaan), kita juga sangat prihatin dan komited.

“Maka kenapa dan mampu kita menolak juga tidak menerima pakai keputusan PBB yang berkaitan dengan penahanan secara haram seorang warganegara Malaysia?” soalnya.

Peguambela Anwar yang juga Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, alasan Speaker menolak usul itu dibahaskan kerana ia keputusan dibuat mahkamah tidak boleh diterima.

Beliau menjelaskan tiada perkara yang tidak boleh diperkatakan seperti perbahasan diminta walau mahkamah telah membuat keputusan.

“Alasan Speaker bagi menolak usul dikemukakan Nurul Izzah adalah salah manakala kedua berkaitan permohonan pelepasan Anwar secara berlesen tertakluk kepada syarat ditetapkan mengikut seksyen dinyatakan iaitu Menteri Dalam Negeri mempunyai bidang kuasa mengenainya manakala Pesuruhjaya Jenderal Penjara Malaysia di bawah kementeriannya.

“Maka kerajaan dan Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa membebaskan Anwar mengikut seksyen berkaitan dan kita mahukan perbahasan untuk pembebasan itu tetapi mengapa kita tidak diberikan ruang kerana kita mempunyai alasan kukuh termasuk keputusan PPB mengisytiharkan ia menyalahi undang-undang dan meminta beliau dibebaskan,” katanya.

Anwar kini di Penjara Sungai Buloh selama lima tahun bermula 10 Februari 2015 berhubung kes Fitnah II.

Sumber: Keadilan Daily