KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Kami telah memulakan siaran 24 jam mulai 02 Julai 2013.

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Tuesday, October 29, 2013

PENGHARGAAN BUAT PENGERUSI KEADILAN PAHANG DI LANTIK AHLI JKMR SPRM

Menerima Watikah Perlantikan sebagai Ahli JKMR SPRM dari Yang di-Pertuan Agong

28 Oktober 2013 – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Fauzi Abdul Rahman telah menerima watikah perlantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Turut menerima watikah perlantikan sebagai ahli JKMR adalah;

- Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang
- Timbalan Yang DiPertua Dewan Negara, Senator Datuk Doris Sophia Brodi
- Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw
- Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dato’ Irmohizam Ibrahim-
- Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan
- Senator Mohamad Ezam Mohd Nor.

Selain Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Tan Sri Abu Zahar, Dato’ Irmohizam, Dato’ Takiyuddin dan Senator Mohamad Ezam dilantik untuk kali pertama menganggotai JKMR. Selepas majlis perlantikan, ahli-ahli JKMR beramah mesra bersama Yang DiPertuan Agong Tuanku Abdul Halim dalam satu majlis jamuan ringkas.

Pada sidang media sejurus selepas itu, Dato’ Fauzi Abdul Rahman menegaskan peri pentingnya pendefinisian rasuah yang tepat dan jelas memandangkan garisan sempadan antara hadiah dan rasuah adalah sangat nipis. Beliau juga sepakat dengan ahli-ahli JKMR yang lain – untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin bagi memperbaiki dan mengangkat imej negara sebagai negara yang tidak rasuah. 
 


Monday, October 28, 2013

Diabetes oh diabetes...

Oleh: Dr Azman Ibrahim 

 
 
Diabetes atau kencing manis mungkin merupakan nama penyakit yang paling glamour di Malaysia sekarang. Dari pemimpin tertinggi negara hingga kedai kopi di kampung-kampung, topik kencing manis menjadi perbualan.

Ulasannya dalam pelbagai rupa dan bentuk tetapi umum mengaitkannya dengan gula lantas kenaikan harga gula yang diumumkan dalam Bajet 2014 dianggap rahmat dan langkah yang sangat tepat untuk gaya hidup yang sihat. Malah ada menteri yang mengatakan, tanpa gula umur kita akan menjadi lebih panjang dan tenaga kelelakian akan meningkat!

Semenjak dua hari lepas, saya memerhatikan ulasan-ulasan yang dibuat dengan pelbagai nada dan irama termasuklah ada yang mengaitkannya dengan hamba Allah yang telah kembali ke Rahmatullah.

Saya sangat berharap agar tampil di kaca TV atau di dada akhbar mereka yang berkelayakan di Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menghuraikan kekeliruan yang sedang tersebar tetapi malangnya tiada yang tampil. Kekeliruan fakta di kalangan masyarakat umum ini terbiar begitu sahaja dengan membiarkan mereka yang tak berkeahlian terus membebel.

Saya bukannya pakar dalam bidang diabetes tetapi subjek General Medicine (Perubatan Am) antara subjek wajib yang diambil semasa pengajian dulu. Antara yang dipelajari adalah berkenaan penyakit yang sedang heboh sekarang ini.

Izinkan saya membuat sedikit huraian sambil berharap ada yang lebih pakar akan memberikan penjelasan lanjut.

Diabetes atau kencing manis dibahagikan kepada 2 kategori (2 type) iaitu type 1 dan type 2.

Diabetes Type 1

Diabetes Type 1 berlaku apabila badan manusia tidak lagi dapat memproses penghasilan insulin kerana sistem imune badan sendiri telah menyerang dan memusnahkan sel-sel di mana insulin dihasilkan.

Punca kenapa hal ini berlaku tidak diketahui dengan jelas, tetapi ia mungkin termasuk faktor-faktor genetik dan faktor persekitaran.

Terdapat satu teori yang menyatakan bahawa diabetes type 1 boleh berlaku selepas serangan virus tertentu. Orang yang mempunyai diabetes type 1 mesti mengambil insulin setiap hari untuk kelangsungan hidup.

Tiada cara yang diketahui untuk mencegah atau mengubati diabetes type 1, tetapi ia boleh dikawal dengan mengekalkan tahap glukosa (gula) darah dalam julat yang normal.

Diabetes Type 2

Diabetes type 2 adalah yang paling biasa berlaku.

Bagi diabetes type 2, puncanya adalah sama ada badan tidak mampu memproses pengeluaran insulin dengan jumlah yang mencukupi atau badan tidak boleh menggunakan insulin yang dihasilkan sendiri dengan kadar yang sepatutnya.

Risiko untuk mengidap diabetes type 2 ini meningkat dengan meningkatnya usia seseorang.

Punca diabetes type 2 ini sebahagian besarnya masih tidak diketahui, tetapi genetik dan gaya hidup yang memainkan peranan utama sebagai penyebab.

Diabetes type 2 dikaitkan dengan masalah obesiti , faktor-faktor genetik serta gaya hidup yang tidak aktif.

Sesetengah kaum dan etnik yang berisiko tinggi untuk mengidap diabetes type 2 termasuklah kita orang Asia.

Tidak ada cara yang diketahui dengan tepat untuk mengubati diabetes jenis 2, tetapi ia boleh dikawal dengan menjaga tahap glukosa (gula) dalam darah dalam julat yang normal

Harapan saya, sebelum sesiapa sahaja dari kita bercakap dengan membuat kesimpulan mudah, eloklah dan lebih manis bagi kita untuk meneliti sedikit fakta-fakta mudah supaya ulasan kita tidak tersasar serta kita akan kelihatan cerdik.

*Penulis ialah Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Terengganu.

Sunday, October 27, 2013

PAHANG KE FINAL PIALA MALAYSIA - TAHNIAH DARI KEADILAN PAHANG


TAHNIAH dan syabas diucapkan kepada Pasukan Bolasepak Pahang yang telah melayakkan diri ke Perlawanan Akhir Bolasepak Piala Malaysia tahun ini setelah menang secara agregat dengan Sarawak malam tadi di Stadium Bandaraya Kuching, Sarawak.

Secara agregat kemenangan 4-2 ke atas Sarawak melayakkan Pahang bertemu Kelantan di pentas Final nanti.  Malam tadi, Pahang seri 1-1 dengan Sarawak hasil jaringan Fauzi Roslan yang tidak sampai seminit dimasukkan.  Sebelum itu, Bobby Gonzales membuka jaringan untuk Sarawak pada minit ke-32 mendebarkan para penyokong Tok Gajah.
 
Perlawanan malam tadi juga turut disiarkan melalui Skrin Besar di perkarangan Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota.
 
KEADILAN Pahang mendoakan agar tahun ini Pahang akan membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Pahang.  InsyaAllah, pada Perlawanan Akhir nanti Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, Kuantan akan menyiarkan tayangan skrin besar secara langsung untuk para penyokong di perkarangan Ibu Pejabat Parlimen Indera Mahkota.

Syabas Pasukan Pahang.

Saturday, October 26, 2013

Anwar : Bajet BN 2014 hanya tambah beban rakyat

KUALA LUMPUR 25 OKT : Gagal memperbetulkan ketirisan puluhan bilion wang rakyat. Itu adalah intipati Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, tegas Anwar, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April 2015 pada kadar 6 peratus hanya akan menambahkan bebanan rakyat.

“Tidak ada pertimbangan untuk memperbetulkan soal kebocoran, ketirisan puluhan bilion, tidak ada soal pembaziran hendak dibetulkan dan juga memperbaiki pengurusan Kerajaan.

“Yang terpaksa mereka lakukan kerana kedudukan fisikal yang lemah ialah percukaian. GST hanya akan membebankan rakyat bawahan dan akan menambahkan pelebaran jurang kaya dan miskin,” kata Anwar selepas pembentangan bajet oleh Datuk Seri Najib Razak di parlimen.

Keduanya tambah Anwar, kerajaan menaikkan harga gula, dengan hujah yang cukup lemah dan remeh sekali.

Mengulas sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata pelaksanaan GST hanya menyebabkan rakyat yang tidak pernah membayar cukai akan terpaksa membayar cukai.

“Di Malaysia hanya enam peratus penduduk yang bayar cukai. Di Malaysia hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena bayar cukai,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Pusat tidak berlaku adil kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana rakyat yang tidak pernah membayar cukai selama ini terpaksa membayarnya./KD

Friday, October 25, 2013

Belanjawan Pakatan kemuka pelan atasi ketirisan, pembaziran & rasuah sifar

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mensasarkan hasil kerajaan dipertingkatkan kepada RM226.7 bilion pada tahun 2014 berbanding dengan RM218.3 bilion tahun ini, dan nisbah defisit kepada KDNK dikurangkan kepada 3.2% pada tahun 2014 daripada 4.6% tahun.

Pakatan Rakyat percaya sekiranya Kerajaan Persekutuan mengamalkan pentadbiran telus, bertanggungjawab dan berintegriti, nescaya dapat diwujudkan persekitaran ekonomi yang berdaya saing dan seterusnya mempertingkatkan pendapatan rakyat secara amnya.

 
Dalam pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat di Parlimen pagi tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah yang mewakili Parti Keadilan Rakyat menegaskan bahawa, Pakatan Rakyat mempunyai satu resipi bukan rahsia yang mudah akan tetapi BN tiada langsung iaitu komitmen politik.

“Satu komitmen politik untuk mencapai ketirisan, pembaziran dan rasuah sifar. Ini adalah antara sebab utama mengapa kita boleh mempunyai sasaran konsolidasi fiskal yang lebih mampan daripada BN, dan ini telah pun terbukti di negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan”.

Dalam Belanjawan 2014 yang bertemakan “Mempertahankan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang”, Pakatan Rakyat mensasarkan pengurangan sebanyak 10 % bagi semua semua bekalan dan perkhidmatan daripada perbelanjaan operasi di mana kerajaan persekutuan boleh merealisasikan penjimatan tahunan sebanyak RM10 hingga 15 bilion, berbanding dengan pembaziran di bawah pengurusan BN dianggarkan RM30 hingga RM40 bilion setahun.

Pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat yang turut disertai oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke menggariskan empat teras utama yakni: 1) Memperkukuhkan Kedudukan Fiskal dan Memperkasa Kewangan Awam; 2) Mempertingkatkan Kesejahteraan dan Kualiti Kehidupan Rakyat – Agenda Sebuah Negara Berkebajikan; 3) Memastikan Pembangunan Ekonomi yang Lebih Seimbang, Inklusif dan Mampan; dan 4) Merungkai Potensi Sebenar dan Mempertingkatkan Daya Saing Jangka Panjang Negara.

Pakatan Rakyat berpendirian bahawa GST merupakan cukai regresif di mana sebagai peratusan pendapatan, golongan berpendatapan rendah terpaksa membayar cukai lebih tinggi daripada golongan berpendapatan tinggi; maka golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan akan menanggung beban cukai yang lebih tinggi berbanding yang kaya.

 
 
“Sebaliknya, Belanjawan Pakatan Rakyat memberi penekanan kepada Penjimatan Ringgit (PR) dan bukan kenaikkan harga. Program-program yang merugikan rakyat seperti Program Khidmat Latihan Negara (PLKN) yang menelan belanja tahunan RM800 juta dan juga Program Susu 1Malaysia yang menelan belanja sebanyak RM170 juta harus dihapuskan. Maka Pakatan Rakyat menolak sepenuhnya pengenalan GST,” ujar Anthony Loke yang mewakili DAP.

Selain itu, Pakatan Rakyat juga bercadang untuk menambah bilangan pembayar cukai dengan mempertingkatkan pendapatan rakyat dan tenaga kerja terutamanya di kalangan orang muda sebagai salah satu mekanisme penjanaan hasil yang lebih tuntas.

Untuk mempertingkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan rakyat, Pakatan Rakyat mengusulkan pengurangan kos sara hidup dengan mengawal harga bahan makanan, rumah, pendidikan, penjagaan kesihatan dan produk farmasi, dan utiliti.

“Kami mencadangkan langkah-langkah yang praktikal dalam menangani kos hidup yang tinggi dan menekan rakyat secara keseluruhan; dalam masa yang sama tidak memberi bebanan tinggi kepada kerajaan dan tidak memberi impak negatif kepada industri atau sektor itu sendiri,” kata wakil PAS Khalid Samad.

Dalam komitmen memastikan pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif, Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat memberi penekanan untuk merapatkan jurang di antara bandar dan luar bandar seperti pengenalan Skim Insuran Petani, Nelayan dan Penternak; Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak seperti semakan semula Dasar Kabotaj, meningkatkan akses kepada utiliti dan pendidikan di kawasan pedalaman, dan menyegerakan pembinaan dan penaiktarafan jalan raya terutamanya Lebuhraya Pan-Borneo.

Pakatan Rakyat juga komited untuk menggalakan lebih penyertaan wanita dalam pembangunan ekonomi dan kepimpinan seperti penubuhan Dana Sumbangan Wanita Malaysia; golongan OKU bakal menerima kenaikkan elaun sara hidup kepada RM500 sebulan bagi OKU yang bekerja dengan pendapatan bulanan di bawah RM1,200 dan peruntukan khas bulanan bagi Orang dengan Ketidakupayaan Teruk dengan maksimum RM1,000 manakala nasib orang asal akan lebih terbela dengan pelaksanaan cadangan dalam Laporan SUHAKAM mengenai hak-hak tanah orang asal.

Jawatankuasa Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat

Tuesday, October 22, 2013

PRK DUN SG LIMAU - US MOHD AZAM CALON PAS



Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerai Ustaz Mohd Azam Samad (gambar) diumumkan secara rasmi sebagai calon PAS bagi PRK Dun Sg Limau. Beliau yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan merupakan Pengarah Jabatan Pasti Kedah.

Seorang pendidik, Ketua Pemeriksa STAM dan penggubal kertas peperiksaan STAM Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam majlis ceramah pengumuman calon di Sungai Limau malam ini.



Azam yang baru dilantik memegang jawatan Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai baru-baru ini, menjadi sebutan akar umbi dan penduduk, antaranya di Kampung Ulu Sedaka, Batu 18, Sungai Limau Luar, Sungai Daun Atas dan Kuala Sedaka.

“Beliau boleh mematikan hujah mereka (BN) kerana mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, berlatar belakang agama dan berperibadi mesra pengundi.

“Dulu, datuknya, Hamid Ibrahim juga adalah antara pengasas Pas Kedah dan beliau dibesarkan di pondok Al-Nahdhoh. Beliau juga mampu memimpin bacaan tahlil dan berkhutbah seperti yang dikehendaki masyarakat setempat,

Penamaan calon akan diadakan pada 23 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Sunday, October 20, 2013

TAKLIMAT PINDAAN PERLEMBAGAAN PARTI DAN PERSIAPAN KEADILAN PAHANG BANTU JENTERA PRK DUN SG LIMAU, KEDAH

Pada 19 Oktober 2013 (Sabtu) jam 03.00 petang, bertempat di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, Kuantan telah diadakan satu sesi taklimat berkaitan Cadangan Pindaan Perlembagaan Parti KEADILAN yang bakal diluluskan di dalam Kongres Nasional bulan November nanti.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti, YH. Datin  Paduka Dr Tan Yee Kew dan turut dihadiri oleh Naib Presiden, YB Tian Chua.  Taklimat dihadiri oleh kesemua Ahli MPN, serta wakil dari setiap Cabang yang mana tujuan taklimat ini diberikan adalah untuk memberikan penerangan tentang beberapa pindaan Perlembagaan Parti yang masih diperingkat deraf, tujuan pindaan dilakukan di samping mendengar maklumbalas akar umbi tentang deraf pindaan tersebut.

Bacaan Doa oleh Dr Azli (PA MP Indera Mahkota) sebelum sesi taklimat

Timb Pengerusi MPN, Sdr Ahmad Nizam berucap mengalu-alukan kehadiran YB Tian Chua dan Dr Tan Yee Kew

Kesemua yang hadir telah diberi penjelasan panjang lebar tentang beberapa perkara yang terlibat di dalam pindaan dan terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan oleh peserta taklimat yang akan diberi perhatian oleh parti untuk dikaji semula sebelum diluluskan terutamanya berkaitan keanggotaan parti dan kelayakan bertanding di peringkat Pusat dan Cabang.  Secara umumnya, kesemua peserta yang hadir berpuas hati dengan penerangan yang diberikan dan hampir keseluruhan deraf pindaan perlembagaan tersebut dipersetujui.

Naib Presiden, YB Tian Chua berucap rengkas sebelum taklimat bermula

Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, Dr Tan Yee Kew sedang memberikan taklimat

Di antara wakil dari setiap Cabang yang hadir sesi taklimat
Sejurus sesi taklimat, Mesyuarat MPN Siri 4/2013 telah diadakan dengan dihadiri oleh semua Ahli MPN dan Jawatakuasa yang dilantik.  Mesyuarat telah diPengerusikan oleh Timbalan Pengerusi MPN, Sdr Ahmad Nizam Hamid kerana Pengerusi MPN, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman berada di luar kawasan dan tidak sempat untuk hadir mesyuarat tersebut.

Mesyuarat MPN diPengerusikan oleh Timb Pengerusi MPN, Sdr Ahmad Nizam
Fokus utama Mesyuarat MPN kali ini adalah membincangkan persiapan KEADILAN Pahang untuk membantu jentera Pilihanraya Kecil di Dun Sg Limau, Kedah berikutan kematian Almarhum Ustaz Azizan Razak baru-baru ini.  KEADILAN Pahang telah bersedia untuk membantu jentera di sana dan sedang menanti arahan selanjutnya dari JPRP.

Friday, October 18, 2013

Pakatan: Bukan Islam boleh guna kalimah ‘Allah’

KUALA LUMPUR 17 OKT: Pakatan Rakyat mengekalkan pendirian mereka bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah ‘Allah’.

Pemimpin parti-parti Pakatan Rakyat bertemu hari ini bagi membincangkan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya, Isnin lalu.

Setiausaha agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang menjawab soalan pemberita berkata, pendirian Pakatan tidak berbeza dengan pendirian yang dinyatakan sebelum ini.


“Cuba tengok kenyataan kami sebelum ini, saya tidak ingat setiap perkataan,” kata Mustafa , lapor Malaysiakini.

Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang bertemu Januari lalu menyokong kenyataan presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Katanya, kerajaan Umno-BN menjadikannya isu tersebut sebagai satu polemik dengan menggunakan media arus perdana, dan seterusnya menyebabkan ketegangan penduduk pelbagai agama dalam masyarakat majmuk.

“Kalimah “Allah” adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

“Kalimah “Allah” adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat,” kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pada 8 Januari dipetik.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media sama ketika itu mengalu-alukan pendirian Pas itu sebagai pendirian bersama Pakatan Rakyat./KD

Wednesday, October 16, 2013

MALAM TADI RAKYAT TURUN KE PELABUHAN BANTAH KAPAL PEMBAWA NADIR BUMI


Apabila menerima maklumat tentang kehadiran kapal pengangkut "Red Recource" yang akan membawa Nadir Bumi Syarikat Lynas dari Australia dan dijangka berlabuh di Pelabuhan Kuantan pada 16 Oktober 2013, maka rakyat yang sekian lama menentang projek Lynas telah berkumpul di Pelabuhan bagi menunjukkan Solidariti membantah kehadiran kapal berkenaan.

Sebelum itu, melalui Pejabat Ahli Parlimen Kuantan satu surat telah dihantar kepada Menteri bertanggungjawab untuk menggesa agar kehadiran kapal berkenaan dapat dibatalkan.  Surat berkenaan boleh dibaca melalui laman web MP Indera Mahkota di http://datofauzi.com/v1/?p=1031

Malam tadi, sekumpulan Anti Lynas telah turun dan berkumpul di Pelabuhan bertujuan untuk menunjukkan bantahan kepada pihak berkenaan bahawa kehadiran Nadir Bumi tersebut dibantah sekeras-kerasnya.  Di antara yang turut bersama rakyat bersolidariti malam tadi adalah kesemua YB dari PR terutamanya di kawasan Kuantan dan Indera Mahkota termasuk Pengerusi KEADILAN Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman yang juga MP Indera Mahkota.

Mereka berkumpul dengan membunyikan 'horn' dan menyalakan lampu kenderaan masing-masing tepat jam 12.00 tengah malam tadi seterusnya berkumpul bersama sepanduk dan banner. 

Friday, October 11, 2013

TERBUKTI MAHATHIR MEMANG TAKUT BERDEPAN DENGAN ANWAR WALAUPUN BUKAN UNTUK BERDEBAT

HASRAT RAKYAT UNTUK MELIHAT TUN MAHATHIR DAN DSAI BERDEBAT ATAS SATU PENTAS PERDANA ANTI-TPPA TIDAK KESAMPAIAN SEBAB MAHATHIR TIDAK BERANI DATANG!


Sepatutnya malam ini jam 8.30 malam di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur diadakan suatu majlis wacana ilmu PENTAS PERDANA ANTI-TPPA antara mantan Perdana Menteri selama 22 tahun merangkap mantan Presiden UMNO dan Penaung Agung PERKASA, Tun Dr Mahathir bin Mohamad dengan mantan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim.

DSAI telah menyatakan persetujuannya untuk hadirkan diri kira-kira seminggu yang lalu namun sehingga malam tadi Tun Dr Mahathir yang diberikan gelaran pemimpin terhebat dan teragung pernah wujud di negara ini oleh para pengkagum dan pemujanya langsung tidak nampak bayang dan batang hidung.

Rakyat rata-rata berpendapat kedua-dua tokoh ini mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi perdagangan antarabangsa selain punyai hubungan agak istimewa dengan Amerika Syarikat (AS) yang menjadi dalang Perjanjian TPPA.

Sehubungan itu pentas perdana sebegini harus menjadi satu ruang dan peluang yang penting untuk DSAI dan Tun Dr Mahathir menjelaskan segala persoalan khususnya mengenai Perjanjian TPPA yang penuh agenda tersembunyi.

DSAI telah membuktikan betapa segala persengketaan lalu wajar diketepikan demi memastikan tanah air ini tidak dijual melalui skim perjanjian TPPA.

Depan para penyokong UMNO dan PERKASA bukan main lagi dia punya garang tapi di jemput bersemuka untuk berdebat sebiji seketul macam para pemimpin UMNO yang lain juga .. menikus kecut ketar kepala lutut.

Akhirnya terpaksalah debat itu dijadikan acara ceramah oleh para pemimpin Pakatan Rakyat./omakkau.blog

Thursday, October 10, 2013

YAYASAN TABUNG MAZUDI DITUBUHKAN OLEH MP INDERA MAHKOTA

Dari Diari MP Indera Mahkota, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman
 
Semalam, saya berkesempatan menziarah seorang anak muda, Mazudi Dali dari perkampungan Sg. Ular yang terlibat dengan kemalangan. Beliau telah menaiki motorsikal dan di langgar olih sebuah lori dan sebelah kakinya putus.
 
Bergambar bersama keluarga Sdr Mazudi

Ayah dan ibunya dari golongan dhaif, bekerja bertungkus lumus membesarkan anak-anak sehingga Mazudi berjaya mendapatkan Diploma dan adiknya pula memegang Ijazah Sarjana Muda.  Moga Allah kurniakan ketabahan kepada seisi keluarga dalam dugaan ini.
 
Sewaktu kejadian malang menimpa
Keadaan Mazudi sekarang

Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Indera Mahkota akan melancarkan kutipan derma bagi memasang kaki palsu kepada Mazudi dan kami sedang menubuhkan satu Yayasan bagi matlamat ini.  Semoga mendapat kerjasama dari masyarakat yang prihatin, InsyaAllah.

Tuesday, October 8, 2013

Dewan Negara perlu tolak PCA

KUALA LUMPUR 7 OKT: Dewan Negara yang bersidang pada hari ini sehingga 10 Oktober perlu menolak Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 atau PCA, tegas Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Dewan tertinggi negara itu akan membentangkan RUU berkenaan untuk dikaji semula atau diluluskan sebelum diperkenan Yang Dipertuan Agong.

“Para Senator yang dilantik perlu ingat bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja kepada nusa dan bangsa, tetapi juga kepada semangat hak asasi manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan kita,” kata Fahmi dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Fahmi, rakyat Malaysia, malah badan-badan antarabangsa terkejut apabila PCA diluluskan Dewan Rakyat 2 Oktober lalu.

“Bukan hanya kerana ia telah dibahas dalam masa yang amat singkat, tetapi juga kerana pada dasarnya RUU ini melanggar hak asasi manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, tindakan anti demokratik pentadbiran Najib Razak itu bertentangan dengan kenyataan Malaysia sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Jelas Malaysia akan menjadi bahan ketawa masyarakat dunia apabila universal periodic review (UPR) status hak asasi manusia bagi ahli-ahli badan tersebut diadakan 24 Oktober ini, seperti yang diingatkan Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam hari ini,” ujarnya./KD

Thursday, October 3, 2013

Parlimen lulus pindaan PCA, ‘Hari Gelap’ buat Malaysia

KUALA LUMPUR 3 OKTOBER: Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan menyerupai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan di Dewan Rakyat tengah malam tadi.

Keputusan pengundian yang dibuat awal pagi ini turut menyaksikan beberapa Fasal yang dibawa oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat ditolak dan pindaan diusulkan kerajaan diluluskan.

Selepas melalui proses perbahasan selama dua hari, sesi perbahasan yang bermula jam 4.30 petang semalam bersidang sehingga jam 1 pagi selepas Dewan mengemukakan usul memberhentikan jam pada jam 11:59 malam.

Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid pada semalam.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang membantah pindaan akta berkenaan kerana menyalahi hak asasi manusia dan zalim menyifatkan kelulusan itu sebagai satu lagi sejarah gelap demokrasi buat Malaysia.

“Hari gelap dalam demokrasi. Rang undang-undang PCA aka ISA 2.0 diluluskan jam 12.50 pagi (tadi).

“Terima kasih kepada Umno BN kerana sekali lagi meletakkan Malaysia ke zaman gelap,” kata Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin ./KD