Ketika
pemimpin BN memperlekehkan misi 16 September, hakikat sebaliknya peluh
jantan mereka deras mengalir apabila terpaksa berusaha keras
menggagalkan usaha Anwar itu.
Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung dengan debaran Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU 13) yang semakin memuncak baru-baru ini boleh dianggap
gema-gema dari gaung perhimpunan tahun sebelumnya.
Seperti
perhimpunan sebelumnya, tiada apa yang baru, hanya dipenuhi dengan
usaha memperlekehkan pemimpin dan parti-parti pembangkang khususnya di
mata masyarakat Melayu negara ini.
Adakah di dalam Umno,
mempersendakan pemimpin dan parti-parti pembangkang dianggap sebagai
tonik penyegar semangat dalam persediaan untuk menghadapi PRU 13 nanti.
Salah
satu isu yang menjadi bahan lawak dalam perhimpunan tersebut ialah
misi 16 September yang pernah dicanangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam
ucapan penggulungannya itu, Najib mendakwa projek 16 September oleh
ketua pembangkang itu merupakan satu pembohongan kepada rakyat dan juga
satu jenaka yang membuatkan perwakilan ketawa terbahak-bahak.
Mendengar
ulasan Najib malam itu, banyak mengingatkan saya apa yang dinyatakan
oleh bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Syed Husin Ali
dalam memoirnya, Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali.
Menurut
Syed Husin, misi 16 September Anwar Ibrahim itu memang benar-benar
wujud, cuma berjaya dipatahkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
Menurut
pemimpin veteran itu lagi, Umno selepas mengetahui rancangan
berkenaan, bergegas membawa kebanyakan ahli parlimen BN ke Taiwan, dan
ada juga ke Macau dan New York, bagi memastikan rancangan itu tidak
menjadi kenyataan.
Dalam memoirnya turut menyatakan BN telah
mengumumkan peruntukan kira-kira RM3 bilion untuk projek-projek
pembangunan di Sabah dan Sarawak sebagai umpan ahli parlimen BN di dua
negeri itu.
Peruntukan itu katanya telah memberi peluang kontrak
kepada syarikat-syarikat dan kontrak kroni yang ada kaitan dengan
ahli-ahli parlimen yang juga merupakan pemimpin politik Umno-BN di
kedua-dua negeri.
Antara beberapa ahli parlimen BN yang
dikatakan bakal menyeberang ketika itu ialah pemimpin Bumiputera bukan
Islam yang dipercayai dari Sabah dan Sarawak.
JPM panas
JPM panas
Selain
itu ia juga mengingatkan saya terhadap apa yang diberitahu seorang
kenalan saya yang bertugas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada saya
kira-kira lebih seminggu sebelum 16 September 2008 tiba.
Kenalan
saya itu, walaupun tidak menjawat jawatan yang cukup tinggi bagi
membolehkan beliau berurusan terus dengan Perdana Menteri tetapi
jawatan yang disandangnya juga bukanlah kecil-kecil anak.
Selain
dari faktor jawatan, lokasi pejabatnya itu menyebabkan agak kerap
beliau bertemu beberapa ‘orang kuat’ termasuklah orang penting ‘tingkat
empat’.
Menurutnya, semasa isu misi 16 September Anwar itu
meletus, keadaan di JPM khususnya yang berkait rapat dengan Pejabat
Perdana Menteri sungguh tegang.
Perdana
Menteri (PM) ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi
telah mengeluarkan arahan khas yang mahukan segala laporan maklumat
berkaitan isu berkenaan hendaklah disalurkan terus kepada pejabat PM
untuk membolehkan tindakan segera diambil.
Dalam arahan khas itu juga menyebut, segala arahan berkenaan isu itu hanya boleh dikeluarkan dari Pejabat PM sahaja.
Pihak-pihak lain di JPM ketika itu tidak dibenarkan sama sekali mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak.
Menurutnya,
kebanyakan arahan yang dikeluarkan itu disalurkan terus kepada Pegawai
Tinggi Cawangan Khas dan juga Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia.
Antaranya,
pergerakan Anwar, individu rapatnya serta individu yang ditemui oleh
Anwar ketika itu dipantau rapat dengan diselaraskan secara bersepadu
oleh anggota-anggota Cawangan Khas dan juga anggota Kor Risik.
Maklumat dari sumber risikan itulah yang kemudiannya disalurkan terus ke pejabat PM ketika itu untuk tindakan selanjutnya.
Kenalan
saya turut yakin bahawa tindakkan BN yang secara tiba-tiba membawa
ahli parlimennya mengikuti lawatan sambil belajar di Taiwan, Macau dan
New York merupakan sebahagian tindakan untuk menggagalkan rancangan
Anwar.
Bagaimanapun dalam isu lawatan sambil belajar ini, beliau
mempunyai pendapat yang sama dengan saya iaitu ia bukanlah merupakan
faktor utama punca kegagalan Anwar membawa ahli parlimen BN menyeberang
ke Pakatan Rakyat.
Sebaliknya ia hanyalah sebagai persediaan
atau langkah berjaga-jaga BN sekiranya pelan utama untuk mematahkan
misi 16 September yang telah dijalankan sebelumnya mengalami kegagalan.
Ketika
lebih kurang dua hari sebelum 16 September tahun yang sama, kenalan
saya itu turut memberitahu rancangan Anwar boleh dikatakan hampir
seratus peratus berjaya digagalkan tetapi langkah berjaga-jaga masih
diambil.
Memandangkan kedudukan jawatan kenalan saya di JPM itu,
siapakah orang-orang di sekelilingnya di tempat kerjanya dan juga
keperibadian beliau, membuatkan mudah untuk saya mempercayai apa yang
disampaikan dan sehingga kini pun saya masih yakin kebenarannya.
Ketika
pemimpin-pemimpin BN termasuk Abdullah dan Timbalannya ketika itu
Najib memperlekehkan misi 16 September, hakikat sebaliknya peluh jantan
mereka deras mengalir apabila terpaksa berusaha keras menggagalkan
usaha Anwar itu.
Sudah tentu ramai yang tidak terlalu bodoh untuk
mempercayai pemimpin BN ketika itu tidak melakukan apa-apa tindakan
melainkan berpeluk tubuh sambil ketawa berdekah-dekah menikmati ‘lawak’
16 September Anwar itu.
Sama juga ketika malam ucapan
penggulungan Najib dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, walaupun
mereka ketawa tetapi di sudut hati pemimpin tinggi mereka hanya mampu
menarik nafas lega kerana berjaya melepaskan diri dari petaka yang
hampir menimpa Umno dan BN.
Jelas, pada malam ucapan Najib
memperlekehkan usaha 16 September itu, pemimpin Umno dan para
perwakilannya hanya mentertawakan dan menipu diri sendiri, tidaklah
lebih dari itu adanya.
Nazli Ibrahim merupakan seorang penulis dan wartawan bebas. Artikel lain beliau boleh dicapai di bedukcanang.blogspot.com/Sharpshooter
No comments:
Post a Comment