Syed Adzman | ||||||
Sifat perkauman adalah parut paling hodoh yang mencacatkan ‘wajah’
sebuah masyarakat sivil. Perkauman juga merupakan racun paling berbisa
yang akan melumpuhkan ‘tubuh’ masyarakat itu sendiri, ‘tubuh’ - dalam
konteks ini ialah sistem kemasyarakatan yang menjadi penggerak kepada
semua bentuk pembangunan yang relevan untuk sesebuah masyarakat itu.
Sifat perkauman yang jelik ini juga bisa meletakkan masyarakat dalam sebuah daerah kebodohan yang penuh dengan prejudis dan buruk sangka antara satu sama lain, biarpun sudah 54 tahun berkongsi langit yang sama. Saya juga musykil dengan persekitaran yang kita sedang hadapi. Apakah yang membuatkan kita terlalu sukar untuk meruntuhkan tembok perkauman ini? Mengapa masih kedengaran dari mulut-mulut kita bahawa bangsa itu dan ini adalah pendatang? Mengapa masih terdengar celuparnya perkataan kita bangsa selain Melayu harus dihantar pulang ke negara asal mereka? Mengapa ada yang biadab mengaku bangsa mereka menjadi tuan kepada satu bangsa yang lain? Apakah ini yang kita cerminkan selaku sebuah masyarakat yang mengaku melalui proses tamadun yang ulung?
Tidak salah untuk kita mengakui dan berbangga dengan kehebatan bangsa
masing-masing. Saya seorang Melayu, secara peribadi saya berbangga
sebagai Melayu. Cuma, yang menjadi masalah kepada negara ini ialah
apabila segelintir daripada kita mendokong ideologi yang berorientasikan
ekstrem dan taksub kepada bangsa. Ideologi sampah beginilah yang
akhirnya membenihkan barah assabiyah yang kronik.
Ideologi sampah berteraskan ketaksuban kepada bangsa telah membuatkan
kita lupa bahawa Malaysia ialah tanah milik anak semua bangsa. Isu
bangsa itu dan ini sebagai pendatang tidak pernah timbul. Setengah abad
telah berlalu dan kita semua tahu, semua bangsa yang lahir di tanah ini,
adalah warganegara dan mereka yang terus memainkan isu pendatang ini
nyata defisit ilmu serta berfikiran tumpul. Tidak ada walau seorang pun
daripada mereka yang bergelar warganegara Malaysia perlu dihantar pulang
atau dihalang dari menetap di sini. Ini adalah rumah mereka. Rumah yang
kita kongsi tanpa mengira jenis baka atau keturunan.
Selain itu, lahir juga sebahagian pelampau yang tanpa segan silu
mengaku bangsa mereka sebagai tuan di bumi bertuah ini. Ketahuilah,
tidak ada satu pun bangsa di dunia ini layak mengangkat diri mereka
menjadi tuan kepada bangsa yang lain. Tuhan yang Maha Menciptakan telah
menjadikan kita semua setaraf dan sedarjat. Tidak seorang pun daripada
kita mempunyai kelebihan ke atas seorang yang lainnya. Justeru, sesiapa
yang masih tegar memperjuangkan Ketuanan Bangsa, nyata telah melawan
ketetapan yang ditetapkan Allah. Jelaslah bahawa, konsep Ketuanan Bangsa
yang digembar-gemburkan kepada kita selama ini adalah jijik dan sangat
terhina di sisi agama yang dibawa oleh utusan-Nya yang benar.
Saya nukilkan artikel ini setelah melihat elemen perkauman yang
semakin membarah dalam negara kita. Ya, mungkin saya dilabel pengkhianat
bangsa tetapi saya percaya kepada prinsip kesaksamaan dan berdiri teguh
di belakang prinsip tersebut.
Jadi, tugas yang terpikul di atas bahu kita sekarang ialah untuk
memecahkan tembok kedinginan yang telah lama meletakkan kita dalam
keadaan berpecah dan saling merasa prejudis antara satu sama lain. Saya
tekankan, Malaysia ialah tanah milik anak semua bangsa. Inilah masa
untuk kita bersatu tanpa mengira bangsa mempertahankan bumi bertuah ini
daripada petualang-petualang sebenar yang telah sekian lama berselindung
di sebalik topeng pejuang.
Malaysia perlukan nafas perubahan yang segar. Nafas perubahan segar
itu hanya dapat ditiup jika kita sebagai rakyat dan anak semua bangsa
bersatu dan menjadikan ia satu realiti.
Pergi jahanam dengan perkauman! |
KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI
DENGAR RADIO KAMI?
SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI
Followers
Friday, November 25, 2011
Pergi jahanam dengan perkauman
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment