Kira-kira 100 Orang Asli daripada 68 perkampungan sekitar Negeri Sembilan berhimpun di bangunan setiausaha kerajaan negeri di Seremban bagi menuntut menteri besar memohon maaf kerana menyamakan kampung mereka dengan "setinggan".
Menamakan diri mereka Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Negeri Sembilan (JKKOANS), kumpulan itu mendakwa kenyataan Datuk Seri Mohamad Hasan pada 21 September lalu sebagai "menghina" dan "tidak sensitif".
"Mohamad Hasan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti ini kerana ia amat mengguris hati kami dan juga mendedahkan lagi kehidupan kami dan anak-anak kami kepada rasa tidak hormat masyarakat luar kepada kami," kata penyelaras JKKOANS Langkap Kessu.
Mohamad dilaporkan
berkata, perkampungan Orang Asli sebelum ini dibina di atas tanah hutan simpan atas ihsan negeri dan secara tidak langsung bermakna "kampung setinggan" dan mereka tidak mempunyai hak ke atasnya.
Justeru, katanya, kerajaan negeri membuat kajian bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan mengenal pasti semua kampung Orang Asli untuk diberi hak milik tanah kepada pemilik rumah.
Langkap menyangkal kenyataan itu atas alasan nenek moyang mereka berkurun lama menduduki wilayah tanah adat itu, malah perkampungan mereka lebih awal daripada rizab hutan simpan.
Tambahnya, kenyataan Mohamad juga bercanggah dengan kebebasan asas yang termaktub dalam Perkara 5 (hak untuk hidup), Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang) dan Perkara 13 (hak kepada harta benda) Perlembagaan Persekutuan.
"Oleh yang demikian bukan Orang Asli yang menceroboh rizab hutan simpan tetapi pihak-pihak yang berkenaan yang mencerobohi wilayah tanah adat kami," kata Langkap.
"Kami mengakui bahawa kami miskin dari segi wang ringgit namun demikian bukan bererti kerajaan negeri atau kerajaan pusat harus membuat sesuatu atas nama untuk membangunkan kami tanpa menghormati apakah pandangan dan keputusan kami dalam perkara itu."
Sebelum itu, Orang Asli yang menunggu Mohd Hasan menghadiri mesyuarat Exco lebih tiga jam berteriak, bersorak dan membawa banyak kain rentang.
Beberapa slogan - seperti "Jangan ganggu kami", Jangan menghina asal usul nenek moyang kami dengan perkataan setinggan" dan "Di mana nenek moyang kami dikuburkan, di situ wilayah tanah adat kami" - kelihatan dipamerkan.
Sementara itu, ketika menerima memorandum tersebut Mohd Hasan berkata kepada Langkap bahawa beliau akan membaca kandungannya terlebih dahulu./PASB
No comments:
Post a Comment