KEADILAN Negeri Pahang sentiasa mengalu-alukan mana-mana NGOs yang mahu bersama parti ini bagi menegakkan keadilan dan menentang kezaliman serta penyelewengan. Amat dangkal dan tidak munasabah untuk menyatakan kami menolak kerjasama seperti itu, ibarat `orang mengantuk menolak pemberian sebiji bantal.'
Mengulas tulisan yang dikeluarkan oleh Pahang Daily Online (PDO) di sini semalam, yang mengutarakan persoalan `Wajarkah NGO Ditubuh, Sedangkan Matlamat Asal Perjuangan Parti Belum Terlaksana', kami berpendapat kewajarannya bergantung kepada apa isu yang mahu diperjuangkan. Kami sentiasa berprasangka baik terhadap mana-mana pihak yang boleh membantu kami mempercepatkan riwayat rejim Umno/Bn. Sehubungan itu, kami jelas mempunyai prinsip tiada kerjasama dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan Umno/Bn.
Kewujudan NGO seperti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Jingga 13 mahu pun Memacu Arus Perjuangan (MAP) yang terbukti begitu komited membantu parti bagi meruntuhkan rejim Umno/Bn amat dialu-alukan. Kami tidak memandang mereka sebagai `parti dalam parti' dan sehingga kini tiada sesiapa pun yang boleh membuktikan mereka itu adalah `duri dalam daging' di dalam parti. Kami tidak memandang siapa pemimpin mereka, tetapi kami memandang apakah arah tuju perjuangan mereka. Sebab itu, Keadilan Negeri Pahang juga bekerjasama rapat dengan berbagai NGO di Pahang ini khususnya yang diwujudkan bagi menentang projek Lynas. Adakah mereka itu juga terdiri dari golongan yang kecewa di dalam parti? Kami juga boleh bekerjasama rapat dengan MTUC sepertimana dibuktikan di dalam Piket mereka baru-baru ini. Kita juga bekerjasama rapat dengan BERSIH walaupun pemimpin mereka ada kalanya bukan dari orang-orang politik.
Kami berpendapat, bagi mencapai matlamat perjuangan di dalam parti boleh direalisasikan dengan berbagai pendekatan. Bagi mereka yang memimpin parti, pendekatannya mungkin berbeza dengan NGOs ini namun mereka mempunyai hala tuju dan `musuh' yang sama. Strategi dan corak serangan mesti dipelbagaikan dan musuh harus diserang dari berbagai sudut. Tidak pernah samasekali kami menganggap beberapa pemimpin NGOs itu terdiri dari orang-orang yang kecewa di dalam parti. Bagi kami orang-orang yang kecewa di dalam parti adalah mereka yang keluar dari parti samada mereka menyertai Umno/Bn atau pun menjadi BEBAS. Mereka keluar dari parti apabila mereka gagal mendapat sesuatu atau jawatan di dalam parti, itulah sebenarnya orang yang kecewa.
Harus diingat, sudah banyak kita saksikan runtuhnya sesebuah kerajaan yang zalim dan rasuah bukan disebabkan oleh parti pembangkang semata-mata, tetapi adalah kerana kekuatan NGOs yang dibentuk dengan berbagai strategi. Ditegaskan, Keadilan Negeri Pahang tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pemimpin atau kumpulan yang kecewa di dalam parti.
Menyentuh tentang Penubuhan MAP di Ibu Pejabat Parti Negeri baru-baru ini, Presiden MAP sendiri mengakui bahawa pertubuhan itu telah mendapat restu dari Presiden Parti bahkan satu persidangan besar akan diadakan di dalam masa terdekat yang mana akan dihadiri oleh Ketua Umum sendiri. Tidak timbul persoalan Ibu Pejabat Parti Negeri sebagai tempat perjumpaan orang-orang yang kecewa. Mungkin mereka yang tidak tahu perjuangan sebenar MAP atau mempunyai perasaan buruk sangka atau iri hati sahaja yang beranggapan demikian.
Kami juga menyokong perjuangan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang berterusan bergerak untuk menumbangkan rejim Umno/Bn. Walaupun kami tidak pernah mencampuri urusan SAMM untuk menambahkan keahliannya, namun di Pahang ini sambutan terhadap SAMM amat baik dan semakin diminati oleh golongan muda. Apakah untuk menumbangkan rejim Umno/Bn kita tidak perlukan golongan muda?
Dakwaan untuk mengaitkan Keadilan Negeri Pahang dengan parti KITA pimpinan Zaid Ibrahim amat melucukan. Bahkan, sebagaimana yang telah ditulis melalui facebook PKR Pahang, wakil dari KITA telah menemui Pimpinan Negeri untuk cuba `berunding' bagi memberi laluan kepada KITA bertanding di negeri ini, namun hasrat mereka ditolak mentah-mentah atas alasan KITA tiada kena mengena dengan Keadilan mahu pun Pakatan Rakyat. Terdapat juga bekas ahli Keadilan yang kini menjadi Bebas cuba untuk berunding, namun kita tegas dengan pendirian bahawa parti perlu diutamakan. Keadilan sanggup berdepan dengan sesiapa sahaja di dalam PRU akan datang hatta berdepan tiga penjuru atau lebih kerana kita yakin kekuatan kita di dalam Pakatan Rakyat.
Sekali lagi kami tegaskan bahawa pintu Keadilan Negeri Pahang sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang mahu memberikan kerjasama untuk menjatuhkan rejim Umno/Bn.
No comments:
Post a Comment