KEADILAN Pahang tidak menghiraukan bilakah masanya Haji Najib mahu umumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihanraya Umum Ke 13 dapat diadakan. Samada hari ini, esok mahu pun lusa malahan jika Haji Najib mahu umumkan tahun hadapan sekali pun Keadilan Pahang sentiasa siap siaga.
Buat masa ini, paling menyerlah aktiviti dan program Keadilan Pahang adalah dari Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal. Ini bukan bererti pihak lain di dalam Keadilan Pahang tidak aktif, tetapi sememangnya Keadilan Pahang mensasarkan kawasan Peneroka Felda dan Orang Asal kerana kajian kita mendapati itulah aset penting bagi Umno/Bn di Pahang ini.
Seluruh Parlimen di Negeri Pahang ini majoriti pengundinya adalah terdiri dari para Peneroka, melainkan dua Parlimen sahaja iaitu Parlimen Kuantan dan Parlimen Indera Mahkota. Justeru itu, memang lojik di bawah Tuan Hj Suhaimi Said, kawasan Felda dan Orang Asal ini digempur dan ini tidak berkecuali di Parlimen Pekan yang dihuni oleh Haji Najib. Di Parlimen Pekan, Cabang PKR Pekan kini seperti mendapat tenaga dan nafas baru di bawah Ketua Cabangnya Sdr Roslan Tahir.
Sebelum ini, telah kita dedahkan beberapa program kita di kawasan Felda khususnya untuk membuka minda para Peneroka Felda agar mereka tidak lagi boleh tertipu dengan Umno/Bn. Jika dikumpulkan jumlahnya setakat ini, sudah ribuan para Peneroka Felda yang mulai celik mata dan hati mereka. Bukan mudah untuk mengubah minda para Peneroka Felda yang telah sekian lama terasa `terhutang budi' dengan penipuan Kerajaan terhadap mereka. Namun, berkat kesungguhan Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal yang tidak pernah merasa penat atau jemu mendampingi para Peneroka maka kini kita boleh lihat berlaku perubahan besar di kawasan Felda.
Apakah kita begitu yakin dengan kawasan bandar? Sebenarnya, di dalam konteks pilihanraya apatah lagi dengan sistem pilihanraya yang sedia ada, tiada istilah yakin atau berpuas hati. Keadilan tetap bekerja kuat di kawasan bandar termasuk di Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota yang majoriti penduduknya berpendidikan dan menjadikan media baru sebagai rujukan maklumat. Namun, usaha tetap diteruskan di kawasan berkenaan dengan berbagai aktiviti yang telah diadakan. Paling membanggakan, di Indera Mahkota kumpulan anak muda begitu aktif bekerja siang dan malam untuk mempertahankan kerusi yang kita miliki. Begitu juga di Parlimen Kuantan, MP Kuantan YB Fuziah Salleh semakin kerap turun padang bertemu rakyat meskipun beliau selalu sibuk dengan urusan di Parlimen.
Di kawasan-kawasan yang lain, aktiviti dan program semakin dilipat gandakan. Di Pahang Barat, kesemua Cabang sibuk dengan mengatur program di samping mengadakan kursus intensif bagi petugas-petugas parti. Sudah tentu paling tidak duduk diam adalah Pengarah Pilihanraya Negeri, Sdr Zaidi Ahmad yang sentiasa bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain bagi memantau gerak kerja pilihanraya di samping mengatur berbagai aspek latihan kepada petugas-petugas parti.
Ketiadaan Pengerusi MPN yang kini masih belum kembali ke tanahair dari Tanah Suci Mekah, Dato' Hj Fauzi Abd Rahman tidak menjejaskan gerak kerja dan kempen parti. Tugas beliau yang dipangku oleh Sdr Ahmad Nizam Abd Hamid dan dibantu oleh Tuan Hj Suhaimi Said serta beberapa pimpinan yang lain menjadikan gerak kerja parti setakat ini amat efisyen.
Yakinlah, kita semakin hampir untuk menguburkan Umno/Bn di Negeri Pahang ini. Apa yang penting, kuatkan semangat dan iltizam serta istiqomah di dalam perjuangan, insyaAllah, kita pasti berjaya.
No comments:
Post a Comment