KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Friday, February 3, 2012

Lynas: Jarum jam bom jangka mula berdetik!

Harakahdaily, 02 Feb 2012
KUANTAN, 2 Feb: Jarum jam bom jangka Lynas telah bergerak! Itulah reaksi Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ke atas kelulusan lesen kendalian sementara (TOL) kepada projek kontroversi Syarikat Lynas Advanced di Gebeng oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) semalam.

“Lynas adalah bom jangka yang telah dipasang. Andai berlaku sesuatu yang tidak diingini, bagaimana nasib lebih 300 ribu warga Kuantan, pencemaran air sungai dan lautan, kilang penapis minyak sawit yang hanya 2 km dari kilang?

"Sampai hari ini, rakyat masih tidak faham mengapa kerajaan sanggup mengambil projek yang terlalu besar risiko untuk rakyat. Dengan kelulusan lesen pra-operasi telah semalam bermakna jarum jam 'bom jangka' telah bergerak. Jangan sudah terhantuk baru terngadah!” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut kenyataan AELB semalam, Lynas untuk dibenarkan memulakan operasi memproses nadir bumi di bawah pengawasan yang ketat daripada pihak berkuasa dan berdasarkan lima syarat lain yang mesti dipatuhi oleh Lynas.

1) pihak Lynas perlu kemukakan semua aspek berkenaan Permanent Disposal Facility (PDF);

2) pelan dan lokasi PDF perlu dikemukakan tanpa mengambil kira hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) pengkomersilan, pengkitaran dan penggunaan semula bahan residu.

3) pelan dan lokasi PDF perlu dikemuka dan diluluskan dalam tempoh masa lesen dan tidak melebihi 10 bulan daripada tarikh pengeluaran lesen TOL.

4) Lynas perlu mematuhi syarat jaminan kewangan dan membayar Kerajaan Malaysia sebanyak USD50 juta secara ansuran.

5) Lembaga berhak melantik perunding bebas untuk menilai kepatuhan Lynas terhadap standard dan peraturan yang ditetapkan dan kosnya ditanggung oleh pemegang lesen.

Namun begitu, kelulusan AELB itu dikira sebagai mengejutkan kerana sebelum ini ramai yang menghantar surat bantahan kepada AELB semasa membuka ruang untuk rakyat memberikan maklum balas terhadap paparan dokumen permohonan lesen sementara oleh Lynas.

“Apa makna ribuan bantahan rakyat dibuat, kalau kerajaan langsung tidak memikirkan bantahan tersebut?” soal Tuan Ibrahim, yang juga Ketua Penerangan PAS.

Pada masa yang sama, akhbar New York Times (NYT) semalam melaporkan bahawa kilang RM2.5 bilion itu mempunyai masalah keselamatan dan kebimbangan kesihatan yang baru berikutan pengunduran kontraktor utamanya dari Belanda, AkzoNobel dari projek tersebut.

AkzoNobel membekalkan resin penting yang berfungsi sebagai pelekat untuk puluhan gentian fiberglass bagi tangki berdinding konkrit yang boleh menahan haba dan kakisan, telah dikatakan menarik diri akibat tidak yakin dengan rekabentuk tangki tersebut, yang dijangka akan menyebabkan kebocoran.

Ratusan tan nadir bumi dengan tahap pencemaran radioaktif yang rendah akan dicampurkan dalam tangki dengan asid yang amat menghakis pada suhu lebih daripada 90 darjah Celsius.

Hakisan pada suhu yang tinggi dikatakan ideal bagi asid membubarkan bijih galian. Walau bagaimanapun, kaedah ini dilaporkan tidak stabil.

Menurut NYT, syarikat itu menarik diri dari projek berkenaan dan ini telah disahkan oleh pengerusi Lynas Corporation Nicholas Curtis.

“Penarikan diri kontraktor utama ini menimbulkan kebimbangan awam berhubung soal keselamatan dan kesihatan. Kerajaan diharap tidak menyembunyikan fakta sebenar dan rakyat berhak mengetahuinya kerana kelulusan lesen sementara untuk syarikat ini beroperasi dengan lima syarat yang mesti dipenuhi; dilihat sebagai suatu keganjilan dan kesangsian,” kata Tuan Ibrahim.

PAS, katanya turut mendesak kerajaan dan Lynas untuk menjelaskan kenapa firma AkzoNobel yang merupakan kontraktor utama dari Belanda menarik diri dari projek Lynas di Gebeng sedangkan ia adalah pembekal utama resin penting yang berfungsi sebagai pelekat untuk puluhan liners fiberglass bagi tangki pendinding konkrit.

Untuk menyelesaikan masalah ini, Tuan Ibrahim menyeru rakyat menyokong Pakatan Rakyat pada pilihanraya akan datang yang bertekad menghentikan operasi Lynas jika mendapat kuasa nanti.

"Nampaknya ini adalah jalan terakhir untuk kita bersama-sama menyelamatkan rakyat Kuantan, Gebeng dan sekitarnya daripada bom jangka Lynas yang telah dihidupkan ini,” tegas beliau./Harakahdaily

No comments:

Post a Comment