Tarikh Pilihanraya sudah semakin hampir. Melihat kepada persiapan `jentera perang' Umno khususnya maka keyakinan mula bertambah untuk menyatakan bahawa Pilihanraya Umum ke 13 akan diadakan di dalam waktu terdekat iaitu pada tahun ini juga.
KEADILAN Pahang kini sudah bersedia dengan kesiapsiagaan di tahap maksima untuk menghadapi `peperangan' melawan Umno/Bn. Hampir setiap malam, KEADILAN Pahang bersama seluruh jentera Pakatan Rakyat bergerak ke pelusuk bumi Pahang menjalankan kempen dan program mendekati rakyat. Cita-cita rakyat di Pahang yang mahukan perubahan sepertimana yang telah berlaku di Selangor, P.Pinang, Kedah dan Kelantan haruslah direalisasikan.
Rakyat Pahang sudah jemu dengan Kerajaan Umno/Bn di negeri ini yang semakin lama semakin memudharatkan rakyat ditambah pula dengan sikap Kerajaan Persekutuan yang hanya `menggula-gulakan' rakyat setiap kali menjelang Pilihanraya. Rakyat Pahang tidak mahu menjadi seperti `ayam daging' yang dipelihara di dalam reban, diberi makan sehingga gemuk, kemudiannya ditimbang, dijual dan disembelih.
Umno kini terpaksa berdepan dengan tekanan yang maha hebat. Sikap pemimpin Umno yang suka berebut jawatan dan sanggup `membunuh' rakan sendiri demi jawatan atau kerusi Pilihanraya tidak boleh diubah semenjak dulu, kini dan selamanya. Mereka sanggup mensabotaj parti sendiri seandainya cita-cita mereka gagal. Ini terbukti apabila Najib terpaksa menggerakkan Jawatankuasa Disiplin Parti lebih awal menjelang Pilihanraya.
Bernama melaporkan, bercakap dalam sidang akhbar yang sama, Najib berkata Umno akan menimbang kemungkinan menggerakkan Jawatankuasa Disiplin parti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan bagi memantau dan mengambil tindakan lebih awal terhadap mana-mana ahli yang didapati melakukan perbuatan khianat atau curang terhadap parti (Malaysiaikini).
Sehubungan itu, KEADILAN Pahang akan terus memberi tekanan kepada Umno dengan cara memperluaskan maklumat di samping mendedahkan kepincangan Umno sepanjang parti tersebut berkuasa. Di samping itu, KEADILAN bersama rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat akan memberikan keyakinan kepada rakyat di negeri ini bahawa Pahang boleh diperintah oleh Pakatan Rakyat jauh lebih baik dari yang ada sekarang.
No comments:
Post a Comment