KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Saturday, January 14, 2012

UCAPAN PEMBUKAAN TIMB PRESIDEN PKR, YB AZMIN ALI SEMPENA KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT KE 3



MUKADDIMAH

1. Alhamdulillah, pagi ini Pakatan Rakyat berkonvensyen buat kali ketiga disaat suara rakyat menuntut reformasi dan perubahan menyeluruh semakin nyaring. Konvensyen ini menghimpunkan anggota dan pimpinan Pakatan Rakyat yang komited dan mewakili aspirasi rakyat yang mahu melihat muafakat ini terus dipertahankan dan diperkukuhkan atas prinsip dan Dasar Bersama yang telah disepakati dalam kerangka besar agenda perjuangan Pakatan Rakyat. Konvensyen ini membuktikan perpaduan Pakatan Rakyat semakin kukuh dan mantap. Pakatan Rakyat semakin kebal dengan asakan parti ekstrimis UMNO yang kini berada di ambang senjakala.

2. Bagi pihak KEADILAN saya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada PAS Negeri Kedah di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang menjadi tuan rumah kepada konvensyen ini.

3. Konvensyen ini adalah pecutan terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke 13. Pakatan Rakyat perlu bersedia untuk menggalas aspirasi rakyat yang menuntut sebuah negara Malaysia yang adil dan sejahtera untuk semua rakyat. Justeru itu, kita bertanggungjawab untuk bersihkan Malaysia daripada gutter politics dan amalan kronisme serta amalan membudayakan rasuah yang diterajui oleh UMNO. Pakatan Rakyat perlu memimpin rakyat maju ke hadapan dengan persaingan dasar kepedulian rakyat dan mengangkat martabat rakyat Malaysia.

4. Pakatan Rakyat tidak lagi membicara persoalan untuk menafikan majoriti dua pertiga. Hari ini kita yakin bahawa Pakatan Rakyat berpotensi untuk membentuk kerajaan pusat yang baru selepas PRU ke 13. Cita-cita ini bukan lagi diluar pencapaian Pakatan Rakyat.

5. KEADILAN tidak berseorangan. Kita ada sahabat seperjuangan DAP. Kita ada teman sejati PAS. Kita ada Pakatan Rakyat. Come what may. Pakatan rakyat merupakan parti yang mempunyai substance, punyai kekuatan dan keupayaan untuk mentadbir di Putrajaya.

6. Rakyat sudah tidak sabar lagi untuk melihat pemerintahan demokrasi tulen di Putrajaya berteraskan rule of law dan Perlembagaan Persekutuan. Rakyat mahu Putrajaya diterajui oleh pemimpin yang bersih dan menyayangi rakyat tanpa mengira ras, agama atau warna kulit. Rakyat mahu Pakatan Rakyat segera membanteras rasuah, menghapuskan keborosan dan ketirisan yang akan memufliskan Malaysia menjelang 2020.

7. Hutang negara telah mencecah lebih RM450 billion atau 54% daripada KDNK. Hutang ini akan dibebankan kepada rakyat dan generasi akan datang. Setelah itu, rakyat tambah derita dengan kenaikan harga barang dan dasar cukai barangan dan perkhidmatan yang bakal diperkenalkan oleh UMNO.

8. 40% daripada rakyat Malaysia masih hidup dengan pendapatan isi rumah di bawah RM1500 sebulan. Anak muda memerlukan pekerjaan dan kadar upah yang manusiawi. Mahasiswa menuntut kualiti pendidikan yang menjamin kebebasan akademik. Perkhidmatan awam perlu pemerkasaan melalui latihan dan struktur gaji yang setimpal. Kita menolak Skim Baru Perkhidmatan Awam yang tidak menjaga kebajikan majoriti penjawat awam.

9. Malangnya, negara sedang berdepan dengan krisis keyakinan terhadap pentadbiran Dato’ Sri Najib yang gagal melaksanakan transformasi politik dan ekonomi. Justeru itu, rakyat mahu Malaysia Tanpa UMNO. Pakatan Rakyat bersedia untuk menggalas amanah ini melalui Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Buku Jingga.

REFORMASI UNTUK MALAYSIA

10. Pakatan Rakyat sudah bersedia menggalas harapan rakyat yang cintakan kebebasan. Kebebasan adalah fitrah manusia. Lebih dua ribu tahun yang lalu Julius Ceaser dibunuh oleh sekumpulan senator Rome yang dipimpin oleh Brutus. Julius Ceaser berada dipuncak kekuasaannya sebagai ahli politik dan negarawan. Dan sumbangan beliau tidak sedikit. Beliau telah menjadikan Rome dari sebuah negara kecil kepada sebuah empayar. Tetapi beliau dibunuh kerana mahu merampas kebebasan rakyat Rome. Setelah Ceaser dibunuh Brutus berucap di depan rakyat Rome dan menanyakan soalan: “Who is here so base, that would be a bondman? - Siapakah di sini yang sebegitu hina hingga mahu menjadi seorang hamba?

11. Semangat kebebasan ini diungkapkan kembali di abad lalu oleh pejuang kemerdekaan India, Mahatma Ghandi: “Freedom is never dear at any price. It is the breath of life. What would a man pay for living?” Kebebasan itu akan ditebus dengan apa harga sekalipun kerana kebebasan itu adalah nafas kehidupan. Semangat cintakan kebebasan tersebut menjelma di dunia Arab hari ini. Kerana inginkan kebebasan, rakyat Tunisia mengusirkan Ben Ali. Kerana inginkan kebebasan, rakyat Mesir mengguling Hosni Mubarak. Insha Allah rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan akan mengusir UMNO dan Barisan Nasional dari Putrajaya.

12. Reformasi adalah agenda pembebasan rakyat. Reformasi juga adalah agenda memartabatkan ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan pemikiran rakyat. Agenda reformasi akan memecahkan mitos kononnya hanya UMNO sahaja yang boleh memerintah dan memberikan kesejahteraan untuk rakyat. Insha Allah, di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat nanti, kita akan kembali memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani oleh negara serantau dan antarabangsa.

13. Kita sudah ada Dasar Bersama yang menjadi teras perjuangan Pakatan Rakyat. Kita sudah ada Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat yang akan menjadi agenda Malaysia baru milik rakyat. Kita juga sudah ada kepimpinan yang dinamik, berdaya saing serta teruji kesetiaan dan kebolehannya untuk mentadbir negara. Kita mempunyai pemimpin yang amanah seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Hadi Awang dan YAB Datuk Seri Azizan Razak. Kita mempunyai pemimpin yang berkaliber seperti Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang. Malah, sudah pasti kita mempunyai Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai karisma dan pengalaman serta telah dibersihkan dari fitnah dan konspirasi jahat.

KES DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

14. 9 Januari 2012 adalah tarikh kesyukuran rakyat. Hampir 15 tahun, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengharung fitnah dan konspirasi, dipenjarakan dan ingin dipenjarakan kembali. Beliau melakukan ini semua Demi Rakyat. Beliau mengambil ilham dari doa Nabi Syuaib a.s untuk melakukan “Islah Mas Tata’tum” - melakukan islah, pembaruan, reformasi dengan segenap tenaga. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kepimpinan Pakatan Rakyat yang istiqamah membela Dato’ Seri Anwar dari segala fitnah dan tidak berganjak dari pendirian untuk menobatkan beliau sebagai Perdana Menteri.

15. Alhamdulillah, kebenaran akhirnya muncul dan Dato’ Seri Anwar bebas. Namun, rakyat masih belum dibebaskan. Tarikh 9 Januari ini juga adalah bersamaan dengan tarikh keramat kepulangan Mahatma Gandhi dari Afrika Selatan yang kemudiannya menginspirasikan kemerdekaan dan kebebasan rakyat India. Gandhi pulang berbekal pengalaman melihat kebobrokan dasar apartheid dan kezaliman yang melampau. Atas semangat itu, Gandhi pulang dan berjuang habis-habisan untuk memerdekakan rakyat dan negara India. Justeru itu, tarikh dan semangat 901 juga akan menjadi sumber inspirasi rakyat Malaysia untuk membebaskan diri daripada perkauman sempit, salah guna kuasa dan kebejatan UMNO.

16. Baru-baru ini juga, Afrika Selatan baru meraikan 100 tahun kelahiran ANC. ANC yang dipimpin oleh Nelson Mandela dan rakan-rakan berjuang melawan kejelekan dasar apartheid sehingga Mandela sendiri terkurung di dalam penjara lebih daripada 25 tahun. Semangat dan ruh inilah yang dibawa oleh Pakatan Rakyat semenjak gelombang kebangkitan reformasi 1998. Menolak perkauman, melawan ketidak adilan dalam masyarakat, dan mempertahan demokrasi adalah akar perjuangan Pakatan Rakyat.

17. Dato’ Seri Anwar sendiri telah mengambil inspirasi Mandela ketika membela diri di kandang tertuduh. Kenyataan beliau dari kandang tertuduh atau Statement from the Dock telah mengulang pidato pembelaan Mandela beberapa ketika lalu :

“Saya telah berjuang menentang ketuanan kulit putih dan saya telah menentang ketuanan kulit hitam. Saya mengidamkan kewujudan masyarakat demokratik dan merdeka di mana rakyat dapat hidup bersama-sama dalam suasana harmoni dengan peluang yang setara. Ia merupakan cita-cita murni yang saya perjuangkan dalam kehidupan ini. Namun, jika terpaksa, saya sanggup mati demi mempertahankannya.”
18. Saya tidak fikir Dato’ Sri Najib menjiwai perjuangan ANC dan Mandela biarpun beliau hadir ke sambutan tersebut di Afrika Selatan. Hipokrasi Dato’ Sri Najib dan UMNO terserlah sedang beliau dan UMNO adalah pemimpin dan parti politik yang bersifat perkauman.

19. Kita harus mengucapkan syabas kepada Dato’ Seri Anwar, dan isterinya Datuk Seri Wan Azizah, Presiden KEADILAN, yang sanggup mengharungi pancaroba ini. Cobaan ini bukanlah untuk mereka yang lemah dan berjiwa kerdil. Dengan segala fitnah dan mehnah terhadap diri beliau, Dato’ Seri Anwar tidak pernah mengganggu usaha dan konsentrasi beliau untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat sebagai wahana perjuangan demokratik rakyat. Gandingan mereka bukan sekadar menjadikan Pakatan Rakyat sebagai gerakan politik nasional tetapi beliau juga telah memperkenal Pakatan Rakyat sebagai “tahalluf siyasi” yang berteraskan nilai-nilai sejagat Islam ke seantero dunia. Dato’ Seri Anwar juga telah meletakkan Pakatan Rakyat dalam peta dan rangkaian manusiawi sejagat dalam perjuangan demokrasi, keadilan dan karamah insaniah.

PAKATAN RAKYAT MENERAJUI MALAYSIA TANPA UMNO

20. Pakatan rakyat adalah sebuah gerakan politik Pencerahan - Enlightened Political Movement. Perjuangan ini berteraskan ilmu, idealisme dan gagasan politik untuk kesejahteraan dan keharmonian masyarakat. Pakatan Rakyat menangani isu dan permasalahan rakyat dengan konsensus yang berlandaskan perbincangan dan perdebatan sihat. Berbeza dengan UMNO yang hanya berdasarkan emosi, fitnah dan veto kekuasaannya untuk menyelesaikan perbezaan sesama mereka.

21. Kita mahu membebaskan rakyat daripada hegemoni UMNO yang sudah terlalu membarah dalam masyarakat. Pembebasan rakyat adalah kekuatan Pakatan Rakyat untuk membina sebuah Malaysia yang gagah, A Mighty Malaysia. Inilah yang akan kita perjuangkan:

Dari robohan Kota Melaka,

Jiwa merdeka kita bangunkan,

Tanpa UMNO hilang petaka,

Malaysia gagah kita majukan.

No comments:

Post a Comment