SKANDAL NFC: KENYATAAN PENGURUSAN NFC BERCANGGAH DENGAN
PENGUMUMAN BEKU ASET OLEH PERDANA MENTERI
Saya memandang serius kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif NFC, Encik Wan Shahinur Izmir Salleh (yang juga anak kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil) bahawa operasi NFC berjalan seperti biasa walaupun kerajaan mengarahkan agar aset NFC dibekukan, yang dikeluarkan semalam.
Kenyataan itu menimbulkan persoalan apakah Dato’ Seri Najib Tun Razak hanya membuat kenyataan kosong tanpa memberikan arahan khusus, atau NFC mengingkari arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan?
KEADILAN konsisten mendesak supaya aset NFC dibekukan dan pentadbir korporat (corporate administrator) dilantik untuk mengambil alih pengurusan NFC dan melakukan audit penuh bagi membongkar kesemua penyelewengan yang telah berlaku.
Tindakan “membekukan aset NFC” sepatutnya bermakna:
1. Sebarang perbelanjaan selain dari membayar gaji pekerja-pekerja yang bertugas dalam operasi penternakan lembu (seperti yang dimandatkan di dalam perjanjian pembiayaan oleh kerajaan) perlu
dibekukan;
2. Pengurusan sedia ada yang terdiri dari kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan bersabit operasi, kewangan, sumber manusia dan keputusan-keputusan penting lain;
3. Sebarang pemindahan wang keluar dari NFC, termasuk pembayaran gaji dan perbelanjaan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil perlu dihentikan serta-merta; dan
4. Sebarang keputusan mengenai aset atau struktur syarikat dan pelaburan tidak dibenarkan dibuat bagi mengelakkan pemindahan aset.
Secara lazimnya dalam amalan korporat yang berdasarkan tata kelola yang baik, apabila seseorang disiasat akibat tuduhan pecah amanah, beliau tidak dibenarkan masuk ke pejabat dan digantung serta-merta bagi mengelakkan cubaan menghapuskan bukti.
Kenyataan NFC yang menunjukkan kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih bebas menggunakan wang dan menguruskan operasi NFC membawa risiko besar yang menjejaskan bukti dan rekod kewangan NFC.
Oleh yang demikian, KEADILAN mengulangi desakan supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak bertindak lebih berani dengan menggantung penglibatan kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di dalam operasi NFC dan melantik pentadbir korporat (corporate administrator) untuk mengambil alih pengurusan dengan mandat membongkar semua penyelewengan yang telah berlaku.
Sekiranya ini tidak berlaku, KEADILAN tidak ada pilihan kecuali terus membongkarkan pelbagai penyelewengan yang ada di dalam rekod kami untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk bertindak dengan telus dan tidak berdolak dalih.
Petang esok (17 Januari 2012, jam 2 petang di Balai Polis Dang Wangi), aktivis KEADILAN diketuai Saudara Fariz Musa, ahli Majlis Pimpinan Pusat akan membuat satu lagi laporan polis mengenai perbelanjaan kad kredit oleh keluarga Dato’ Seri Sharizat Jalil dalam tahun 2009 yang melampaui batas.
Penelitian KEADILAN menunjukkan bahawa dalam tahun 2009, perbelanjaan kad kredit oleh kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil mencecah RM593,500 yang dibiayai sepenuhnya oleh wang rakyat melalui NFC seperti berikut:
JUMLAH SETAHUN PURATA SEBULAN
Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail RM182,525 RM15,210
Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh RM160,673 RM13,389
Wan Izzana Fatimah Mohamad Salleh RM127,900 RM10,658
Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh RM122,402 RM10,200
Pendedahan sebegini akan diteruskan sehinggalah Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan yang melambangkan beliau dan rakan-rakan kabinet beliau menerima sepenuhnya pertanggungjawaban ke atas penyelewengan yang berlaku di dalam NFC.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
16 JANUARI 2012
No comments:
Post a Comment