KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Monday, October 10, 2011

UCAPAN TAHNIAH DARI PENGERUSI PKR NEGERI SEBELUM KE TANAH SUCI

Pertamanya, ingin dimaklumkan sekali lagi bahawa Pengerusi PKR Negeri Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman akan bertolak ke Tanah Suci Mekah bersama isterinya pada 22 Okt 2011 dan dijangka kembali bertugas pada 05 Dis 2011. Tugas beliau akan dipangku oleh Timbalan Pengerusi, Sdr Ahmad Nizam bin Hamid manakala tugas Timbalan Pengerusi pula akan dipangku oleh Tuan Hj Suhaimi Said.

Untuk makluman, Dato' Fauzi menunaikan Fardhu Haji buat kali kedua di samping mengiringi isteri beliau yang akan menunaikan Rukun Islam yang ke 5 itu buat kali pertama. Kali pertama Dato' Fauzi menunaikan Fardhu Haji adalah pada tahun 1981.

Buat masa sekarang, beliau sedang bercuti sebagai persiapan untuk ke Tanah Suci. Beliau berpuas hati dengan perjalanan parti sehingga setakat ini dan mengharapkan semua pimpinan parti di semua peringkat dapat melipatgandakan usaha bagi mendekati rakyat agar matlamat kita untuk membebaskan rakyat dari cengkaman Umno/Bn tercapai di dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Berhubung dengan Program `Himpunan Hijau 109' yang diadakan pada 09 Okt 2011 bertempat di Taman Gelora, Kuantan baru-baru ini, beliau merasa amat gembira dan terharu di atas sambutan rakyat di negeri ini, khususnya. Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak Penganjur, NGO's, rakan-rakan politik di dalam Pakatan Rakyat serta semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada peserta-peserta perhimpunan dari Orang Asal yang turut hadir menyatakan sokongan mereka di dalam kempen yang dijalankan itu. Ini membuktikan bahawa kempen ini tidak mengira tua atau muda, melebihi batasan perkauman dan agama, kerana rakyat semakin bijak menilai sesuatu isu apatah lagi yang melibatkan aspek keselamatan anak cucu mereka di masa akan datang.

Amat dikesali, terdapat usaha-usaha dari pihak tertentu yang cuba menyekat program ini namun atas kesedaran serta semangat yang tinggi dari rakyat yang peka kepada isu pencemaran bumi, kempen ini berjaya dijalankan dengan jayanya.

Selaku Pengerusi PKR Negeri Pahang, Dato' Fauzi turut menyambut baik langkah Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat yang menolak kenaikan elaun Ahli Parlimen yang cuba dibawa oleh Kerajaan Umno/Bn di Parlimen hari ini. Ini membuktikan bahawa Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat sanggup membelakangkan kepentingan peribadi masing-masing demi untuk mendahulukan rakyat marhaen.

Beliau menyedari bahawa kenaikan elaun bagi Ahli-Ahli Parlimen tersebut ada kewajarannya terutamanya buat Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kerana dengan wang elaun yang mereka perolehi itu boleh digunakan untuk perkhidmatan kepada rakyat. Namun, memandangkan pada situasi sekarang di mana rakyat amat tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi dengan barang keperluan yang semakin naik mendadak, amatlah tidak wajar bagi Ahli-Ahli Parlimen diberi keistimewaan sedemikian rupa.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengucapkan syabas kepada semua Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat yang sanggup berkorban demi rakyat.

Secara peribadi serta mewakili isteri beliau, Dato' Fauzi memohon ribuan kemaafan kepada semua di atas apa jua silap dan salah, perbuatan atau tutur bicara sepanjang beliau menjalankan tugas parti. Kemaafan juga dipinta kerana beliau banyak tidak berkesempatan meluangkan masa bersama-sama di dalam beberapa program parti sejak sebulan kebelakangan ini kerana sibuk dengan urusan dan persiapan ke Tanah Suci.

Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pimpinan-pimpinan di semua peringkat dan juga ahli-ahli parti, rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat yang telah memberikan kerjasama dan membantu beliau selama ini.

Mudah-mudahan dengan berkat doa bersama, beliau mengharapkan agar beliau dan isteri selamat pergi dan menjalani Ibadah Haji dengan sempurna serta selamat kembali untuk meneruskan perjuangan bersama, InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment