(Oleh Masdar Wahid)
GOMBAK 21 Okt : Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, polis yang menahannya ketika beliau mahu menunaikan solat Jumaat tengahari tadi biadap dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara di negara ini.
“Saya beritahu polis, kalaupun nak tangkap, bagi saya solat Jumaat dahulu.
“(Malangnya) Saya langsung tidak dibenarkan solat meskipun solat Jumaat hampir dimulakan oleh Imam dan jemaah lain.
“Mereka (polis) terus berkasar dengan mengheret saya keluar dari masjid sebelum sebuah kereta peronda membawa kami keluar dari kawasan universiti,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.
Shamsul ditahan di dalam Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ketika sedang Iqamat dan dikasari sekumpulan 15 anggota polis.
“Semasa saya ditangkap, beberapa rakan media alternatif dikasari dan telefon bimbit mereka dirampas sebelum dibaling ke tanah.
“Manakala sekumpulan mahasiswa yang cuba merakam insiden sama turut diherdik dan dikasari polis yang menangkap saya,” jelas Shamsul.
Beliau bersama pembantunya dikenali sebagai Khalid kemudian ditempatkan dalam kereta di tepi jalan sekitar Taman Melati, Gombak dengan dikawal polis dan pengawal keselamatan UIA.
Mereka bagaimanapun dibebaskan kira-kira 2.45 petang tadi.
Mengulas penangkapan itu, Shamsul kesal UIA sewajarnya menjadi tempat menyuburkan ilmu Islami seperti slogannya ‘Taman Ilmu dan Budi’ berlaku sebaliknya.
“Penahanan ini jelas membuktikan pentadbiran UIA begitu terdesak untuk mengekang keprihatinan massa di luar kelompok mahasiswa dan pensyarah lainnya, khusus dalam isu penggantungan Prof Dr Abdul Aziz ini,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Shamsul merupakan graduan UIA dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) universiti itu./http://www.keadilandaily.com/?p=21999
No comments:
Post a Comment