Samada Pilihanraya Umum Ke 13 nanti diadakan pada tahun ini atau pun tidak, Keadilan Pahang mesti berada di dalam keadaan siapsiaga menghadapinya. Persiapan menghadapinya mestilah menganggap bahawa Pilihanraya Umum tersebut sebagai `musuh' yang akan menyerang pada bila-bila masa.
Sehubungan itu, semua jentera dan kubu kita mestilah diperkuatkan mulai sekarang. Di dalam strategi peperangan umpamanya, di samping kita mengatur muslihat dan strategi kita, kita juga mesti memikirkan apakah bakal strategi yang pihak musuh akan gunakan. Di dalam konteks pilihanraya ini, bukan sedikit pengalaman yang telah kita lalui dan kita tahu setakat mana kehebatan pihak lawan.
Umno/Bn lebih banyak mengharapkan `senjata haram' mereka seperti seluruh jentera kerajaan, wang ringgit sebagai rasuah politik dan juga media kerajaan untuk membantu mereka. Percayalah, jika kekuatan kita sekadar 50-50 dengan mereka, sudah pasti kemenangan akan berpihak kepada mereka di atas bantuan secara haram ini. Justeru itu, kita tiada pilihan lain melainkan dengan mendapatkan sokongan rakyat sebanyak mungkin. Sokongan yang kita perolehi dengan semaksima mungkin amat sukar ditewaskan oleh mereka walaupun mereka dibantu dengan sokongan secara haram tersebut.
Sebagai contoh, Kelantan masih konsisten dengan sokongan rakyat dan Kerajaan PAS di Kelantan berjaya mempertahankan Kelantan lebih 20 tahun. Adakah Pilihanraya di Kelantan bersih? Tidak, taktik mereka tetap sama dengan mengunakan apa jua cara walaupun bertentangan dengan peraturan pilihanraya, namun kerana kekuatan jentera dan sokongan rakyat terhadap PAS/PR di Kelantan terlalu kuat, mereka tetap gagal di Kelantan.
Oleh yang demikian, Pengerusi Keadilan Pahang menuntut agar semua Ketua Cabang dan seluruh pimpinan di negeri ini bekerja dengan lebih kuat lagi di samping sentiasa berhubung dengan rakan kita di dalam Pakatan Rakyat di negeri ini bagi mengatur strategi. Kita mesti peka dengan keadaan di sekeliling kerana difahamkan satu strategi baru oleh Umno/Bn dengan dibantu oleh agensi kerajaan berkaitan untuk melahirkan pengundi-pengundi baru yang didatangkan dari luar bahkan bukan dari warganegara ini. Perkara ini telah dapat dibuktikan dan dikesan terutamanya di Selangor.
Justeru itu, Keadilan Pahang suka mengingatkan semua pimpinan di negeri ini agar mewujudkan satu badan yang memantau perkara ini. Semakan yang teliti perlu dilakukan dari masa ke semasa bagi mengesan jumlah pengundi berdaftar, menyemak kesahihan status mereka dan alamat yang diberikan oleh SPR. Sekiranya terdapat sebarang keraguan, sila berhubung dengan SPR untuk mendapatkan penjelasan dan sekiranya tidak mendapat kerjasama dari SPR, perkara yang meragukan itu boleh dilaporkan ke pihak berkuasa.
Pihak Ibu Pejabat Parti sentiasa boleh membantu jika memerlukan sebarang nasihat dan panduan. Setiap Cabang dan Bilik Gerakan wajib mempunyai data-data Pengundi Berdaftar yang kemaskini dari SPR. Inisiatif Ketua Cabang dan mereka yang bertanggungjawab amat penting untuk menyediakan keperluan ini.
Sehingga kini, masih terdapat beberapa kelemahan dengan gerak kerja di beberapa Cabang yang masih `lena' tanpa menyedari `musuh' akan muncul pada bila-bila masa. Pejabat Gerakan Pilihanraya masih belum beroperasi ataupun masih lembab. Masih terdapat Cabang yang `lesu' tanpa sebarang aktiviti atau gerak kerja. Parti tidak lagi boleh mengharapkan program ceramah sekali-sekala untuk menyampaikan maklumat. Gerak kerja haruslah lebih pro-aktif dengan turun ke akar umbi mendekati pengundi dengan mengedar beberapa risalah ke seluruh pelusuk kawasan termasuk di bandar-bandar besar, pekan kecil atau pun di pasar-pasar malam.
Adalah diharapkan kita lebih serius dengan objektif kita untuk menawan Pahang bersama rakan kita di dalam Pakatan Rakyat. Sehingga saat ini, mod rakyat terhadap kita amat tinggi dan rugilah kita jika kita masih berpeluk tubuh menanti tuah datang dari langit.
No comments:
Post a Comment