Harakahdaily, | 30 Nov 2012 |
KUALA LUMPUR: PKR hari ini mengemukakan fakta sebagai perbandingan bagi menjawab siapa sebenarnya lebih bijak mengurus kewangan negara antara Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fakta berupa angka pertumbuhan Kadar Domestik Negara Kasar (KDNK) kedua-dua zaman Anwar dan Najib menjadi menteri kewangan itu di kemukakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
Menurut Azmin, ketika Anwar menteri kewangan, negara mencatatkan pertumbuhan KDNK yang kukuh pada kadar 8.8 peratus pada tahun 1992, 9.9 peratus (1993), 9.2 peratus (1994), 9.8 peratus (1995), 10 peratus (1996) dan 7.3 peratus pada 1997 apabila krisis ekonomi bermula.
Sebaliknya, di bawah Najib, KDNK negara merosot sebanyak 1.5 peratus pada 2009, dengan pertumbuhan berikutnya sebanyak 7.2 peratus pada 2010 dan 5.1 peratus pada tahun 2011.
Pendedahan secara perbandingan itu dipercayai bagi menyangkal kenyataan Najib ketika berucap di perhimpunan agung Umno semalam bahawa beliau (Najib) mampu menguruskan ekonomi negara lebih baik daripada Anwar.
"Sejak menjadi Menteri Kewangan, pencapaian ekonomi Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah sekali pun mengatasi pencapaian Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pada kala Datuk Seri Anwar berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara sehingga mencecah 9% - 10% hampir sepanjang beliau menjadi Menteri Kewangan, tahun pertama Datuk Seri Najib (2009) mengemudi ekonomi negara menjunamkan negara ke kancah kegawatan ekonomi, sedang negara jiran seperti Indonesia kekal berkembang pesat," katanya.
Beliau turut mengemukakan angka perbandingan belanjawan defisit dan jumlah hutang negara yang memperlihatkan hutang negara pada zaman Najib ketika ini melonjak sehingga RM456 bilion berbanding zaman Anwar yang menunjukkan trend penurunan setiap tahun dari 1992 sebanyak RM97 bilion kepada RM89 bilion pada 1997.
No comments:
Post a Comment