KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Friday, December 21, 2012

TAHNIAH !! ORANG ASAL MENANG KES MAHKAMAH DI BERA

Keputusan hakim dalam kes tanah adat Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam
 
Sumber: Center for Orang Asli Concerns (COAC)  ·



Rumusan Keputusan (Lisan) Hakim Datuk Haji Akhtar Tahir di Makhamah Tinggi Temerloh pada 19 Disember 2012 (Rabu) dalam kes Mohamad Nohing & 5 yg lain lwn PTG Pahang & 3 yg lain

12.45 petang

Saya akan memberi keputusan kes ini secara ringkas dengan menggariskan perkara-perkara yang penting. Ini bukan keputusan secara menyeluruh.

Dalam kes ini, saya berpuas hati dengan pemohon-pemohon adalah merupakan suatu kumpulan penduduk yang dapat dikenali dan dikenalipasti mendiami di kawasan Bukit Rok dan Ibam. Mereka dikenali sebagai Orang Semelai.

Kewujudan Orang Semelai dapat diketahui dengan tulisan sejarah dan juga dari sisa-sisa peninggalan penduduk-penduduk awal di kedua-dua kawasan tersebut.

Selanjutnya, lawatan ke kawasan tersebut telah memaklumkan kewujudan kehidupan Orang Semelai sejak seabad yang lalu dan lebih awal lagi. Ini dapat dilihat dengan adanya perkuburan dan kesan-kesan pertanian yang lain serta wujudnya sebuah sekolah lama.

Saya juga berpuas hati dengan pemohon-pemohon adalah pewaris Orang Semelai yang bukan hanya mendiami kawasan tersebut tetapi juga menjalankan kehidupan dengan cara memburu dan menangkap ikan di kawasan tersebut.

Saya juga memerhatikan bahawa, berdasarkan bukti yang diberi, merayau dan mencari makan dalam hutan dan sungai adalah suatu amalan budaya dan adat Orang Semelai.

Secara ringkas, Orang Semelai merayau dalam hutan bukan hanya untuk mencari makan tetapi juga sebagai naluri semulajadi.

Soalan yang timbul adalah sama ada pendudukan dan amalan adat Orang Asli memberi hak tanah yang diduduki kepada mereka.

Berasaskan prinsip undang-undang stare decisis, saya terikat kapada keputusan-keputusan makhamah yang lebih tinggi dalam perkara ini, yang mana mereka telah mengiktiraf hak tanah secara common-law oleh penduduk-penduduk asal.

Namun bagaimana pula dengan kesan ekoran penggubalan Akta Orang Asli yang berlaku kemudian?

Pada saya, usaha penggubalan akta tersebut dengan sendirinya adalah bukti di mana undang-undang mengiktiraf hak-hak orang asal. Cuma satu tambahan yang telah dibawa oleh Akta tersebut, iaitu (Akta itu) meletakkan had kepada hak-hak tersebut. Akta itu tidak memberi hak, tetapi ia mengenakan had kepada hak-hak tersebut.

Sebagai contoh, merayau dan mencari makan dalam hutan boleh mengambil beberapa hari, tetapi adalah tidak praktikal bagi orang asal untuk menuntut setiap inci tanah yang dirayau itu sebagai hak mereka.

Satu had perlu dikenakan setelah mengambil kira beberapa sebab, contohnya, kawasan yang dirayau oleh penduduk asal dalam tempoh satu hari dari subuh ke senja.

Dan isu yang satu lagi adalah sama ada usaha-usaha kerajaan untuk menempatkan semula dan memberi pekerjaan adalah cukup untuk menghapuskan hak-hak untuk merayau dan mencari makan.

Pada saya, naluri untuk merayau dan mencari makan adalah tersemadi dalam jiwa (orang asal) dan boleh diumpamakan seperti keadaan seorang nelayan. Adalah sukar untuk memberhentikan nelayan untuk terus mencari ikan. Bukan sahaja soal mencari sumber makanan, tetapi juga soal naluri semula jadi. Pada saya, naluri ini tidak dapat dihapuskan dengan menyediakan peluang pekerjaan yang tetap atau meningkatkan taraf kehidupan.

Perkara yang kemudian dalam pertimbangan saya adalah, dari masa bila hak-hak tanah tersebut mula terakru (dikira). Pada saya, hak-hak tanah tersebut terakru semenjak hari pertama Orang Semelai mula mendiami kawasan tanah tersebut. Berdasarkan fakta-fakta sejarah, Orang Semelai menduduki dan mendiami tanah tersebut sejak sebelum ketibaan penduduk-penduduk yang lain, termasuk orang Melayu.

Ini memberi jawapan kepada isu-isu tanah Rizab Melayu dan penanaman FELCRA. Pada pendapat saya, kedua-duanya adalah tertakluk kepada dan lebih rendah daripada hak tanah adat Orang Semelai.

Berkenaan keluasan kawasan tanah yang Orang Semelai mempunyai hak adalah suatu perkara yang perlu dipertimbangkan dalam kes ini. Di sini, jawapannya mudah kerana dalam kes ini keluasan tanah telah dapat dikenalpasti. Keluasan yang dituntut oleh para pemohon adalah dalam lingkungan dua ribu hektar.

Dengan mengamibil kira faktor-faktor di atas, saya mengisytiharkan bahawa bahagian tanah Rizab Melayu yang menceroboh ke atas tanah yang dituntut oleh Orang Semelai adalah pencerobohan haram dan harus dibatalkan pewartaanya.

Dua, saya mengisytiharkan bahawa bahagian tanah yang diambil oleh FELCRA yang menceroboh kawasan tanah yang dituntut tersebut sebagai pencerobohan haram dan harus dikosongkan dan pagar sempadan yang telah didirikan harus ditanggalkan, dengan kos ditampung oleh FELCRA,

Tiga, saya mengarahkan pihak-pihak yang berkuasa ke atas tanah, dengan bantuan para pemohon, supaya mengambil langkah segera untuk mengenal pasti dan membuat garis sempadan bagi kawasan tanah yang dituntut dengan menggunakan sempadan-sempadan sungai dan bukit dan mengambil langkah untuk mewartakan kawasan tersebut, di mana keluasannya patut menyerupai keluasan tanah yang dituntut dengan sebaik mungkin.

Saya juga mengarahkan kesemua langkah-langkah di atas, termasuk pewartaan tanah, disiapkan dalam tempoh tidak lebih daripada satu tahun.

Dalam kes ini, para pemohon juga menuntut kerugian atas pencerobohan dan pelanggaran kewajipan fudiciari. Walaupun pencerobohan dan pelanggaran kewajipan fiduciari telah berlaku, saya tidak dapat mengesan apa-apa kerugian yang ketara selain kesusahan yang dialami oleh para pemohon. Maka saya tidak mengarahkan apa-apa bayaran gantian rugi.

Kos-kos akan dibayar oleh setiap pihak responden kepada pihak pemohon, setelah ditentukan oleh Penolong Pendaftar Kanan.

Itulah keputusan saya dalam kes ini.

Sebagai tambahan, saya ingin mengatakan yang berikut: Dalam kes ini, saya mendapati bahawa tiada rekod-rekod maklumat tanah yang disimpan dengan baik berkenaan dengan kawasan Orang Asli yang dibicarakan ini. Ini menyusahkan kerja pencarian maklumat dan surat yang relevan, dan seterusnya melambatkan proses pengendalian kes ini. Pencarian dokumen-dokumen yang berkenaan mengambil masa beberapa tahun dan tiada rekod tentang di mana tempat dokumen-dokumen tersebut disimpan.

Dan selanjutnya saya ingin mencatatkan pemerhatian saya di mana saksi-saksi yang meberi keterangan bagi pihak responden adalah tidak mahir tentang perkara-perkara yang dibincang, dan mereka mengambil sikap yang acuh tak acuh tentang seluruh perkara ini. Diharap kekurangan-kekurangan ini dapat diperbetulkan.

Maka itulah keputusan saya.

12.51 petang

Untuk melihat dan mendengar keputusan hakim, sila klik sini: Video keputusan mahkamah



Sebahagian dari penduduk kampung dan penyokong-penyokong sukukaum lain di dalam mahkamah.



Keputusan hakim telah dibentangkan dalam Bahasa Inggeris.

No comments:

Post a Comment