NOTA

Followers

WAKIL RAKYAT PAKATAN

WAKIL RAKYAT PAKATAN

Tuesday, December 4, 2012

HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT - BERITA BAIK UNTUK RAKYAT PAHANG BAKAL DIUMUMKAN


Khairil Abdul Rahim, 03 Dis 2012




TEMERLOH: Pakatan Rakyat (PR) Pahang akan membuat pengisytiharan tawaran mega untuk rakyat negeri ini jika diberi mandat memerintah pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP), 9 Disember ini.

Menurut pengarah program Dr Hamzah Jaafar, dalam program pra Perhimpunan Sejuta Rakyat itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengisytiharkan tawaran Kerajaan Pusat untuk Rakyat Pahang.

Manakala ketiga-tiga pemimpin negeri iaitu Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah pula akan mengisytiharkan tawaran Kerajaan PR Pahang untuk rakyat negeri ini.

“Perisytiharan ini adalah suatu yang amat istimewa untuk warga Pahang kerana ia berkait rapat dengan keperluan dan tuntutan hidup mereka yang tidak diselesaikan oleh Kerajaan BN selama ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Turut hadir Pengerusi Biro Pendidikan PKR Pusat, Abbas Awang, Naib Pengerusi DAP Pahang Koh Boon Heng serta pimpinan ketiga-tiga parti peringkat negeri.

Dr Hamzah berkata, dalam program HKRP Tapak Kompleks PAS Pahang di Kerdau nanti, hadirin akan dapat mendengar ucapan bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia yang juga bekas Pengerusi syarikat televisyen Media Prima, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin yang menyertai PAS di Johor kelmarin.

Tambahnya HKRP akan disemarakkan oleh konvoi 500 penunggang motosikal berkuasa tinggi seawal jam 11 pagi dari Jerantut ke tapak himpunan. Di tapak program, akan disediakan dengan pameran sejarah perjuangan ketiga-tiga parti.

“Pada sebelah petang anak muda akan dihiburkan dengan persembahan santai artis-artis Bob Lokman, ALI XPDC dan Dayangku Intan.

“Kemuncaknya ialah pidato pemimpin daripada ketiga-tiga parti iaitu Anwar, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang,” ujarnya.

Dr Hamzah berkata, wakil-wakil NGO Anak, Hijau, Anti-Lynas, Bersih, Kerabat, Orang Asal Cameron Highland, Save Bukit Koman dan Royalti akan turut diberi laluan berucap.

“Pihak penganjur sangat yakin himpunan ini akan melakar sejarah baru dalam arena politik tanah air, khususnya di Pahang dengan kebangkitan rakyat yang secara jelas menolak segala bentuk dan sifat salah laku serta gagal urus tadbir negeri dan urusan rakyat,” katanya./Harakahdaily

No comments:

Post a Comment