Demokrasi pilihanraya di negara ini membenarkan sesiapa sahaja untuk menawarkan diri bertanding di dalam pilihanraya. Namun demikian rakyat akan menentukan siapakah wakil mereka yang boleh diharapkan untuk membela nasib mereka.
Apabila calon Bebas, mantan Presiden Parti KITA yang telah dibubarkan menawarkan diri untuk bertanding di PRK Dun Kajang, kita mengalu-alukannya kerana Zaid Ibrahim memang orang politik dan beliau berhak untuk menawarkan dirinya menentang calon dari PR iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim serta calon dari Bn mahu pun jika ada calon dari Bebas yang lain.
Dikatakan dahulunya Pahang adalah sebuah negeri yang kuat para penyokong Zaid Ibrahim sewaktu beliau menentang Azmin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden PKR. Sokongan kepada Zaid waktu itu adalah proses demokrasi yang dibenarkan, namun apabila Zaid istihar keluar dari PKR, sedikit pun tidak mempengaruhi PKR Pahang keseluruhannya untuk belot kepada parti. PKR Pahang tetap mengutamakan parti dari individu apatah lagi individu berkenaan melompat keluar.
Di dalam kempen PRK Dun Kajang, jentera dari PKR Pahang telah bersiap sedia untuk menentukan kemenangan calon PR iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim. Zaid Ibrahim tidak akan mendapat simpati dari PKR Pahang. Justeru itu, kempen Zaid sekarang dengan menyerang peribadi Dato' Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan wajah sebenar Zaid Ibrahim dan beliau sememangnya layak untuk tidak berada di dalam PKR.
Terdahulu, Zaid yang bercakap dalam majlis makan malam bersama pengundi Kajang malam semalam berkata Anwar mahu menjadi Menteri Besar bagi memperoleh pengaruh untuk menghadapi kes tuduhan liwat ke atas beliau di mahkamah. Nada ucapan Zaid ini sudah mirip benar dengan ucapan pimpinan Umno maka sebab itu lah tidak hairan jika ada yang berpendapat Zaid Ibrahim diletakkan di Kajang sebagai 'aset' Umno untuk memecahkan undi kepada Dato' Seri Anwar terutamanya undi dari kaum Melayu.
Zaid Ibrahim sudah tiada hujah untuk mempertikaikan kredibiliti Ketua Pembangkang tersebut, maka beliau sanggup merendahkan mindanya bermain dengan isu fitnah Liwat yang rakyat Malaysia telah menolaknya semenjak tahun 1998 lagi. Pemikiran Zaid Ibrahim kini setaraf dengan Papagomo yang baru-baru ini dikenakan hukuman RM800,000 sebagai bayaran saman yang dikemukakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadapnya atas fitnah yang dijaja oleh Blogger upahan tersebut.
Rakyat Kajang khususnya tidak akan membenarkan diri mereka diperbodohkan dengan isu-isu fitnah seperti ini. Menggunakan isu fitnah seks terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah satu kesilapan besar yang sepatutnya mereka pelajari dari keputusan PRU 13 yang lalu.
No comments:
Post a Comment