MB Selangor, Tan Seri Khalid Ibrahim telah mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden KEADILAN pada pemilihan parti tidak beberapa lama lagi. Jawatan itu sekarang disandang oleh Azmin Ali selaku Pengerusi KEADILAN Negeri Selangor yang sehingga kini masih belum mengumumkan keputusannya samada untuk mempertahankan jawatan tersebut atau tidak.
Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kini selaku Ketua Umum KEADILAN telah pun menyuarakan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden KEADILAN dan Datin Seri Wan Azizah dikatakan tidak akan mempertahankan jawatannya.
Pertandingan di dalam parti adalah salah satu cara untuk menambah baik prestasi parti dan sudah tentunya kita akan memilih yang terbaik dari yang baik. Alhamdulillah, setakat ini tiada seorang pun dari pimpinan parti kita yang terpalit dengan isu-isu besar atau penyelewengan dan ini memberi makna selama ini parti kita berjaya mengekalkan imej parti yang jauh lebih baik dari Umno/Bn. Walau bagaimanapun, ahli-ahli parti sentiasa diberi hak untuk memilih pemimpin yang mereka rasakan akan menambah baikkan lagi imej dan prestasi parti agar parti yang berasaskan reformasi ini sentiasa dihormati oleh rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat dan digeruni pihak lawan.
Sehubungan itu, ahli-ahli hendaklah menggunakan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dan menilai pimpinan yang kita pilih agar pemimpin yang dipilih itu mampu menggalas parti dengan baik dan efisyen. Cabaran parti di masa akan datang khususnya menghadapi PRU 14 tentu lebih getir dan kita memerlukan pemimpin yang bijak mengatur strategi parti dan bijak membaca tipu helah musuh.
Dinasihatkan kepada semua ahli agar tidak menjadikan pemilihan di dalam parti untuk memburuk-burukkan orang lain lebih-lebih lagi mudah terpedaya dengan cerita fitnah dari mana-mana fitnah. Buatlah pilihan berdasarkan rekod atau pencapaian seseorang pemimpin itu di dalam membantu parti dan pengorbanannya tidak kira diwaktu parti di dalam kesusahan atau kesenangan.
No comments:
Post a Comment