SPR berkaitan perlaksanaan undi pos di dalam pilihanraya umum (PRU) yang akan datang sangat meragukan. Menurutnya undi pos akan hanya diguna pakai untuk anggota keselamatan yang bertugas di luar negara dan di perbatasan. Walau bagaimanapun terdapat beberapa persoalan yang timbul.
Pertama
Apakah pihak tentera dan polis sanggup mengeluarkan dan memberikan senarai nama anggota mereka yang bertugas di luar negara dan di perbatasan kepada SPR dan parti-parti yang bertanding? Bardasarkan pengalaman di dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu termasuk beberapa pilihanraya kecil, pihak polis dan tentera tidak memberi kerjasama kepada parti yang bertanding khususnya Pakatan Rakyat.
Semasa Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu tahun lepas contohnya, saya ditugaskan mengetuai Ejen Undi Pos untuk calon DAP, YB Wong Ho Leng, telah meminta senarai nama anggota tentera dan polis yang bertugas di luar kawasan (yang bermakna mereka tidak akan mengundi di tempat mengundi yang disediakan), namun tidak diberi. Alasan yang diberikan oleh pihak tentera dan polis ialah maklumat yang diminta adalah sulit. Saya meminta kerjasama Encik Justani Johny, Penolong Pegawai Pilihanraya yang mengendalikan undi pos namun pihak tentera dan polis tetap bertegas tidak memberikannya. Permintaan pegawai yang berkuasa mengendalikan urusan pilihanraya tidak diendahkan oleh pihak tentera dan polis atasan alasan yang tidak munasabah. Ini menunjukkan berlaku ketidaktelusan di pihak tentera dan polis.
Pihak SPR diminta menyelesaikan dahulu isu senarai anggota tentera dan polis berserta bukti kukuh yang dikatakan mereka betul-betul bertugas di luar negara dan di perbatasan sebelum proses pilihanraya dijalankan. Kita tidak mahu nanti pihak tentera dan polis mendakwa separuh atau lebih anggota mereka bertugas di luar negara dan perbatasan sedangkan senarai mereka yang terlibat tidak diberikan.
SPR serta pihak tentera dan polis hendaklah menyenaraikan kawasan-kawasan yang dimaksudkan dengan “perbatasan”. Parti-parti yang bertanding berhak mengetahui di “perbatasan” mana anggota tentera dan polis dari kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana calon-calon mereka bertanding ditempatkan.
Ketiga
Semua isteri anggota tentera dan polis hendaklah dikeluarkan dari senarai “pengundi awal” yang selama ini mereka dimasukkan di dalam senarai pengundi pos. Mereka hendaklah dimasukkan ke dalam senarai pengundi awam yang akan mengundi pada hari pembuangan undi biasa.
Keempat
SPR mesti menyenaraikan orang awam yang bertugas di luar Negara yang mendaftar sebagai pengundi pos. Selama ini dalam mana-mana pilihanraya SPR tidak memberikan senarai nama mereka yang memohon dan telah diterima sebagai pengundi pos serta kawasan mana mereka didaftarkan.
Kelima
SPR ,mesti menetapkan hanya Pos Malaysia yang akan digunapakai sebagai ejen pos undi menghantar dan membawa pulang sampul yang mengandungi kertas undi.
Keenam
Semua Ejen Undi Pos hendaklah dibenarkan mencatat dan mengambil data-data serta maklumat undi pos dan Ketua Tempat Mengundi atau Pengurus Pilihanraya atau Penolong Pengurus Pilihanraya hendaklah menurunkan tandatangan untuk pengesahan.
Ketujuh
Tentera dan polis yang mengundi sebagai “pengundi awal” di tempat pengundian yang ditetapkan hendaklah mengundi sebagai orang awam. SPR mesti menggubal undang-undang yang jelas mengenai perjalanan pilihanraya untuk pengundian awal. Kita tidak mahu nanti proses “pengundian awal” tentera dan polis menjadi kelam kabut dengan ketiadaan undang-undang dan peraturan yang jelas.
Nama semua anggota tentera dan polis yang menjadi pengundi awal serta kawasan Parlimen dan DUN di mana mereka disenaraikan hendaklah diletakkan di dalam senarai daftar pemilih yang berasingan dari pengundi awam. Daftar pemilih mereka hendaklah ditetapkan tempat dan saluran mengundi.
Tempat mengundi hendaklah dibuka pada pukul lapan pagi dan ditutup pada pukul lima petang seperti mana pengundian biasa. Proses pengiraan undi hendaklah dilakukan serta merta selepas pusat mengundi ditutup pada pukul lima petang.
Parti-parti yang bertanding berhak melantik Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi yang akan ditempatkan bertugas di pusat-pusat mengundi tentera dan polis.
Hanya Ketua Tempat Mengundi, Kerani SPR dan Ejen Tempat Mengundi (wakil parti bertanding) sahaja yang dibenarkan berada di dalam bilik tempat mengundi. Mereka yang tidak berkaitan tidak boleh dibenarkan berada di tempat tersebut.
Parti-parti yang bertanding mesti dibenarkan mengadakan siri kempen di dalam kawasan kuarters penempatan tentera dan polis. Bagi tujuan keselamatan, kegiatan mereka boleh dilakukan dengan kawal selia oleh pihak polis dan tentera. Ceramah hendaklah dibenarkan di dalam kawasan penempatan tersebut dan kawasan yang khusus untuk program ceramah hendaklah disediakan oleh pihak tentera dan polis.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) khusnya PKR Pahang mengalu-alukan cadangan Tan Sri Abdul Aziz, Pengerusi SPR ini sekiranya SPR dapat memastikan semua persoalan yang ditimbulkan boleh diatasi dan dipenuhi. Pilihanraya adalah satu proses memilih pemimpin yang akan mentadbir dan mengurus Negara.
Oleh itu proses pilihanraya mesti dilaksanakan dengan telus, jujur dan berintegriti. Pengalaman di dalam pilihanraya-pilihanraya yang lalu tidak menampakkan ketelusan di dalam perjalanan undi pos. Oleh itu cadangan oleh Pengerusi SPR ini perlu dibincangkan dan dibahas dengan lebih teliti.
Saya Menyeru agar SPR mengadakan majlis, perbincangan, dialog, mesyuarat dan sebagainya dengan pihak tentera, polis dan parti-parti yang bertanding. Satu kata putus yang sempurna hendaklah dicapai sebelum cadangan tersebut boleh dilaksanakan.
ZAIDI BIN AHMAD
PENGARAH PILIHANRAYA
PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI PAHANG
No comments:
Post a Comment