Salam sejahtera,
Saudara/saudari sahabat-sahabat anggota polis, tentera dan para isteri/suami di seluruh Negara,
Angin pilihanraya bertiup kencang sejak mutaakhir ini. Bermakna kita akan menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang akan menentukan halatuju rakyat dan Negara untuk tempoh 5 tahun yang akan datang. Parti-parti politik yang bertanding semakin memperhebatkan gerak kerja masing-masing. Dari menyusun jentera parti, menyebarkan idea masing-masing, menambahkan bilangan ahli, sehingga ke peringkat mendaftar pengundi baru yang diharap akan mengundi parti yang mendaftarkan mereka. Pengundi-pengundi awam telah dikunjungi oleh pemimpin-pemimpin politik dan jentera kempen. Sama ada di pihak Pakatan Rakyat (PR) mahu pun Barisan Nasional (BN), masing-masing dengan strategi yang tersendiri.
Walau bagaimana pun saudara saudari anggota polis, tentera dan para isteri/suami amat sukar untuk kami dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya dan Pakatan Rakyat amnya, temui. Hakikat bahawa saudara saudari merupakan kakitangan kerajaan beruniform menjadi kekangan utama. Kami amat memahami bahawa saudara saudari terikat dengan pelbagai arahan yang tidak munasabah dari ditemui dan menemui kami; jauh sekali dari menyokong kami PKR dan Pakatan Rakyat (PR).
Saudara saudari yang dihormati,
Selaku Pengarah Pilihanraya, PKR Negeri Pahang, ingin saya nyatakan bahawa perjuangan kami bukanlah kerana mahukan kuasa dan jawatan tetapi kekuasaan sangat perlu kerana dengannya PKR dan PR akan mampu menterjemahkan apa yang diperjuangkan selama ini demi kesejahteraan rakyat. Kami berjuang untuk memartabatkan hak dan suara seluruh rakyat. Kami bekerja keras bagi membantu menangani masalah hidup rakyat yang semakin terbeban terutama apabila kenaikan pendapatan/gaji tidak sepadan langsung dengan kenaikan harga barangan keperluan. Tiadanya iltizam politik (political will) di kalangan ahli politik dan pemimpin politik Barisan Nasional khususnya UMNO menyebabkan rakyat hidup dalam keadaan terhimpit. Kekayaan Negara tidak diagih secara saksama. Walaupun mereka memegang kuasa pemerintahan, namun kita tidak nampak semangat mereka untuk memakmurkan kehidupan rakyat.
Hakikat bahawa pemusatan kuasa yang sangat lama oleh Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan pemimpin mereka semakin angkuh dan lupa kepada tanggungjawab mereka untuk rakyat. Akhirnya rasuah berleluasa, komisyen menjadi perkara biasa, kontrak dan projek diberi kepada kroni dan saudara mara, harga barangan keperluan di naikkan sesuka hati, fitnah terhadap lawan mereka diperhebatkan, badan kehakiman diperkuda, anggota keselamatan dan seluruh jentera kerajaan diperalatkan; malah yang amat sedih apabila rakyat menjadi mangsa kerakusan mereka.
Saudara saudari yang dikasihi,
Kami yakin ramai di kalangan saudara saudari yang mempunyai keluarga dan sahabat di kalangan ahli Pakatan Rakyat. Kami juga yakin saudara saudari amat mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku di negara kita. Kami turut yakin ramai di kalangan saudara saudari yang mahu menyokong PKR namun terhalang. Arahan pihak atasan dan ugutan diterima sekiranya menyokong parti pembangkang. Apa yang ingin saya jelaskan di sini bahawa kita adalah rakyat Malaysia. Oleh itu hak kita telah dijamin oleh Perlembagaan Negara. Tiada apa yang perlu ditakuti. Siapa sahaja yang memerintah Negara kedudukan saudara saudari tidak terjejas; saudara saudari tetap akan bertugas untuk Kerajaan Malaysia. Kami percaya sekiranya diberi kepercayaan untuk memerintah Negara kami mampu mengurusnya dengan lebih baik. Kedudukan saudara saudari sebagai anggota keselamatan tetap terjamin malah kami yakin mampu memberi yang lebih baik.
Saudara saudari yang dikasihi,
Kita sama-sama pejuang rakyat; Cuma di dalam situasi yang berbeza. Sebagai anggota keselamatan yang terlatih kami percaya saudara saudari mempunyai jiwa yang kental dan semangat yang membara. Jadikanlah ia sebagai satu tapak lonjakan untuk turut sama berjuang membela nasib rakyat. Saudara saudari sendiri telah dan sedang menyaksikan bagaimana sukarnya kehidupan rakyat Malaysia terutama kaum bumiputera – Melayu, Orang Asli, Suku Kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Tidak kurang ramai juga di kalangan kaum Cina dan India yang berada di paras kemiskinan. Paras kemiskinan yang tinggi; upah/gaji yang rendah; kos sara hidup yang semakin meningkat; dan pelbagai lagi masalah yang semakin menghambat kesengsaraan rakyat.
Sahabat-sahabat anggota keselamatan, ayuh bangkitlah bersama-sama kami PKR dan Pakatan Rakyat membuat perubahan demi rakyat dan Negara serta kelangsungan hidup masa hadapan generasi kita yang akan datang. Jadikanlah PRU ke 13 akan datang sebagai satu sejarah kebangkitan seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan sama ada yang bekerja sendiri, swasta mahu pun kerajaan. Keberanian saudara saudari memegang senjata menentang musuh mestilah diikuti dengan keberanian saudara saudari memegang pensil membuat keputusan bagi menumbangkan UMNO/BN dalam pilihanraya yang akan datang. Mari sama-sama kita nobatkan PKR dan Pakatan Rakyat sebagai parti yang akan diberi kepercayaan memerintah Negara.
Cukuplah kita ditipu dan anggota keselamatan diperguna selama ini. Diarah untuk melakukan “kerja-kerja” pemusatan dan pengekalan kuasa pemimpin-pemimpin BN yang rakus. Jadilah anggota keselamatan yang berani berjuang mempertahankan Negara. Lebih dari itu beranilah berjuang memartabatkan hak dan suara rakyat kerana kita adalah rakyat yang merdeka di bumi Malaysia yang merdeka, bertuah dan tercinta ini.
No comments:
Post a Comment