Mei 31, 11
Wartawan di Kuala Lumpur semalam menghadapi kesulitan bagi mendapatkan salinan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Radiologi (RIA) berhubung projek nadir bumi Lynas.

Malaysiakini mengunjungi satu daripada dua lokasi di Kuala Lumpur yang mempamerkan laporan berkenaan semalam. Namun tinjauan kami di lokasi berkenaan - Perpustakaan Negara - mendapati ia ditutup.
Menurut papan kenyataan di luar bangunan itu, perpustakaan ditutup pada Isnin. Ia dibuka setiap Selasa hingga Ahad.
Wartawan tempatan juga menghubungi ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya tetapi diberitahu oleh pegawai bertugas bahawa perpustakaan JAS juga ditutup setiap Isnin.
Wartawan tempatan juga menghubungi ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya tetapi diberitahu oleh pegawai bertugas bahawa perpustakaan JAS juga ditutup setiap Isnin.

Namun, Malaysiakini berjaya mendapatkan laporan itu di ibu pejabat JAS Selangor di Shah Alam, selepas membuat beberapa panggilan telefon ke beberapa pejabat cawangannya.
Bagaimanapun wartawan hanya dibenarkan menyalin laporan berkenaan yang setiap satunya setebal dua inci dengan tulisan tangan. Membuat salinan penduaan melalui mesin fotostat atau merakamkan gambar dilarang sama sekali.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri minggu lalu mengumumkan bahawa orang ramai boleh menyemak kedua-dua laporan EIA dan RIA selama sebulan bermula 30 Mei.

Sesetengah rakyat bimbang projek itu akan bertukar menjadi satu bencana jika tidak diuruskan dengan betul kerana Malaysia akan mengimport radiasi melalui nadir bumi yang dibawa masuk ke negara ini untuk diproses./Malaysiakini
No comments:
Post a Comment