Program Kebangkitan Warga Felda Pahang yang bermula pada 27 Mei sehingga 28 Mei 2011 yang telah diadakan meliputi kawasan Jenderak dan Kerdau mendapat sambutan yang amat luar biasa. Sekiranya Kerajaan Bn Pahang merasa tergugat di dalam Pilihanraya Umum Ke 13 nanti, sememangnya mereka wajar merasa sedemikian .
Sepanjang program berlangsung, kepimpinan utama dari PAS dan PKR menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membela nasib warga felda yang kununnya adalah pengundi tegar Umno. Tetapi, hakikatnya mereka kini semakin sedar bahawa Umno tidak pernah ikhlas memperjuangkan nasib mereka. Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR Dato' Seri Anwar Ibrahim dan juga kepimpinan negeri di bawah Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man adalah di antara pimpinan utama yang berjaya menggempur kawasan felda dengan jayanya.
Dua hari, dua malam kawasan felda di Jenderak dan Kerdau menjadi tapak permulaan Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Pahang untuk mendekati warga felda yang semakin tertipu dengan Umno/Bn. Beberapa tokoh lain dari PAS dan PKR turut membantu menerangkan beberapa isu kepada warga felda ini. Di antara mereka adalah Pengerusi Keadilan Negeri, Dato' Fauzi Abd Rahman, YB Nurul Izzah, Sdr Muhamad Sabu, Sdr Mazlan Aliman, Hj Suhaimi Said, Sdr Nizam Abd Hamid, Ketua Serikandi PKR, Puan Normala (Cikgu Mala) dan beberapa pimpinan tempatan yang lain.
Kehadiran Dato' Seri Anwar pada 28 Mei, dimulakan dengan Majlis Minum Petang bersama masyarakat kaum Cina di Markas PAS berhampiran Kg Baru Cina, Temerloh. Sambutan masyarakat Cina pada majlis tersebut begitu meyakinkan kita bahawa Bn tidak lagi mendapat sokongan dari kaum tersebut. Ucapan yang berjaya menarik perhatian kaum Cina adalah dari Pengerusi Keadilan Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman yang berucap diselang-selikan dengan ucapan berbahasa Cina yang membuatkan hadirin tidak kering gusi.
Sekitar Majlis Hi-Tea Bersama Masyarakat Cina Di Markas PAS, Kg Baru Cina, Temerloh
Ucapan rengkas Dato' Seri Anwar pada majlis petang tersebut sentiasa mendapat tepukan terutamanya apabila beliau menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah menganggap kaum Cina sebagai pendatang di negara ini. Beliau turut menerangkan beberapa perkara yang terkandung di dalam Buku Jingga yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat jika berjaya menguasai Putrajaya.
Selepas itu beliau ke Felda Jenderak untuk berucap kepada warga felda di sana sebelum ke Markas PAS Kerdau. Di Felda Jenderak, ceramah hanya dapat diadakan di sebuah kedai di tepi jalan. Namun demikian, kehadiran warga felda di situ tidak menghampakan. Seperti kata seorang penduduk di kawasan berkenaan, dahulunya kawasan ini tidak pernah ditembusi oleh Parti Pembangkang apatah lagi kehadiran tokoh utama Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Sekitar Bersama Warga Felda Jenderak
Di Felda Jenderak, Ketua Umum PKR ini berceramah hampir satu jam dengan mengupas beberapa isu termasuk kebajikan warga felda yang akan diperjuangkan sekiranya Pakatan Rakyat memimpin Putrajaya. Sebelum itu, majlis yang diPengerusikan oleh Pak Jabit (Man Kadir) turut menampilkan penceramah Hj Suhaimi Said dan Dato' Fauzi Abd Rahman.
Kemuncak kepada Program Kebangkitan warga Felda Pahang ini adalah Ceramah Perdana di Markas PAS Kerdau. Penceramah utama malam kemuncak tersebut adalah Dato' Seri Anwar Ibrahim, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Sdr Muhamad Sabu, Ketua Serikandi dan Cikgu Mala. Lebih 10, 000 yang hadir telah memenuhi ruang di hadapan dan sekitar pentas ceramah pada malam kemuncak tersebut.
Di akhir majlis, Dato' Seri Anwar diberi penghormatan bersama Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyaksikan penyerahan borang keahlian 160 orang ahli baru Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) kepada Pengerusinya Sdr Mazlan Aliman.
Jelas, bukan lagi hayalan bahawa Pahang adalah salah satu negeri yang diberi fokus utama Pakatan Rakyat untuk ditawan di dalam Pilihanraya Umum akan datang. Rakyat Pahang khususnya warga Felda sendiri patut bersyukur betapa mereka telah diambil berat oleh kepimpinan utama Pakatan Rakyat yang semakin kerap menemui mereka bagi memperjelaskan beberapa isu yang selama ini ditutup dari pengetahuan mereka.
Tahniah dan syabas dari Keadilan Pahang kepada semua yang terlibat menjayakan program ini, mudah-mudahan misi menawan Pahang akan tercapai demi kesejahteraan rakyat Pahang.
No comments:
Post a Comment