Berbicara tentang Maqasid Syariah, ianya adalah merupakan satu penghayatan syariat dalam erti perlaksanaan hukum-hakam dan merealisasikan maqasidnya. Dalam ertikata lain, maqasid seumpama buah bagi pokok, melaksanakan hukum tetapi gagal mencapai maqasidnya adalah ibarat menanam pokok tetapi gagal memetik buahnya.
Apakah objektif utama di dalam maqasid? Mengikut Al-Imam Al-Ghazali R.A, terdapat lima perkara yang menjadi objektif maqasid iaitu;
- Pemeliharaan agama (hifz al-din)
- Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
- Pemeliharaan akal(hifz al-'aqli)
- Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
- Pemeliharaan harta (hifz al-mal)
Menyedari betapa pentingnya masyarakat berbilang kaum di negara ini memahami pengertian Maqasid Syariah di atas, maka gabungan NGO Islam Negeri Pahang bersama Pakatan Rakyat Negeri Pahang telah menganjurkan Wacana Maqasid Syariah dan Masyarakat Majmuk pada 15 Mei 2011 bertempat di Sekilau Seafood Restaurant, Jalan Hj Ahmad, Kuantan mulai jam 2.30 petang hingga 5.00 petang.
Kehadiran peserta di dalam wacana yang diadakan amat menggalakkan di mana dianggarkan melebihi seribu yang hadir memenuhi dewan yang terdiri dari berbagai kaum dan agama. Ahli-ahli Panel yang berucap adalah terdiri dari Dato` Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR), Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden PAS), Dr Muhammad Nur Manuty (Timb Presiden WADAH) , Ustaz Nasruddin Hassan Al-Tantawi (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) dan Moderator adalah Dato' Fauzi Abd Rahman (Pengerusi PKR Negeri Pahang).
Ahli Panel Pertama, Ustaz Nasruddin Hassan Al-Tantawi menarik perhatian peserta dengan memberikan jaminan bahawa di dalam situasi sekarang di mana ada pihak yang bermain politik dengan menimbulkan isu perkauman dan sensitiviti keagamaan, beliau menyatakan jaminan bahawa Pakatan Rakyat terutamanya PAS akan berada di saf hadapan bagi melindungi rakyat tidak kira apa jua bangsa dan agama dari ancaman musuh yang cuba menimbulkan kekacauan. Masyarakat majmuk di negara ini wajib dilindungi dan diberi keadilan kerana Islam tidak mengajar kepada permusuhan.
Dr Muhammad Nur Manuty pula menggesa agar rakyat di negara ini tidak termakan dengan hasutan yang berupa api kebencian di kalangan berbagai kaum dan agama. Seterusnya Ahli Panel Ketiga, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menerangkan panjang lebar tentang apakah yang dimaksudkan dengan Maqasid Syariah di dalam negara yang berbilang kaum dan agama.
Beliau menerangkan betapa Islam memandang berat tentang hak seseorang tanpa menafikan juga hak masyarakat sekeliling. Islam juga melarang kita hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Beliau turut menyentuh tentang budaya fitnah yang melampau sehingga sanggup mengenepikan hukum-hakam yang termaktub di Al-Quran. Menyentuh tentang isu video seks yang sengaja dijaja melalui media di negara ini, beliau memperingatkan bahawa Allah SWT menjanjikan balasan Neraka buat mereka yang menuduh seseorang Muslim itu berzina tanpa membawa 4 orang saksi yang adil seperti yang ditetapkan oleh Al-Quran. Turut disentuh adalah hukum bersumpah menurut Islam yang mana perbuatan bersumpah bukan boleh dipermainkan sewenang-wenangnya.
Dato' Seri Anwar Ibrahim mengambil tempat Ahli Panel terakhir dengan menjanjikan perubahan besar terhadap negara ini sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat menjadi pemerintah. Beliau menyentuh beberapa isu yang membuktikan bahawa kerajaan yang ada sekarang tidak lagi mampu berlaku adil kepada rakyat. Sikap kerajaan yang hanya mementingkan beberapa puak menjadikan rakyat semakin dihimpit kesusahan.
Pakatan rakyat kata beliau, akan menjadikan Maqasid Syariah ini sebagai satu panduan di dalam mentadbir negara dengan mengambil contoh kehebatan pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz. Sikap amanah, jujur dan bertanggungjawab di samping mempunyai nilai moral yang tinggi menjadikan pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz disenangi rakyat di zamannya.
Ketua Umum PKR ini juga menyentuh sepintas lalu tentang isu fitnah terhadapnya oleh musuh-musuh politik beliau. Beliau dengan tegas menyatakan tidak akan tunduk kepada segala tekanan terhadap diri dan keluarganya. Apa jua yang terjadi ke atas dirinya, tidak akan mengubah apa-apa selagi negara ini dipimpin oleh pemimpin yang zalim dan korup. Beliau menggesa agar rakyat melakukan perubahan di dalam Pilihanraya Umum akan datang agar apa yang digariskan di dalam Maqasid Syariah ini dapat direalisasikan.
Kesimpulannya, Wacana Muqasid Syariah dan Masyarakat Majmuk yang telah diadakan di peringkat Negeri Pahang kali ini telah berjaya menarik ramai peserta berbagai kaum dan agama mengikutinya. Di saat negara ini dimainkan dengan isu perkauman dan sensitiviti agama oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, maka tepat pada masanya wacana seperti ini diadakan. Tahniah kepada pihak Penganjur dan parti yang terlibat termasuk beberapa pihak dan individu yang membantu menjayakan program ini.
Sekitar Gambar Maqasid Syariah dan Masyarakat Majmuk Pada 15 Mei 2011
Disediakan Oleh: Blogger PKR Pahang
No comments:
Post a Comment