KUALA LUMPUR 4 MEI: Pakatan Harapan mengalu-alukan orang ramai menghantar rekaan logo gabungan itu untuk digunakan pada pilihan raya nanti.
“Setelah mengambil kira dapatan dan pandangan umum yang telah diberi, serta berpandukan pandangan dari kalangan pimpinan Pakatan Harapan, pihak Media Pakatan Harapan mengalu-alukan cadangan balas reka bentuk logo Pakatan Harapan dari pihak yang berminat,” kata Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli dalam kenyataan.
Semalam, Rafizi memuatnaik ke dalam Facebook beliau beberapa draf logo Pakatan Harapan untuk mendapatkan maklum balas umum terhadap draf logo-logo tersebut.
“Bagi pihak Media Pakatan Harapan, kami ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah secara jelas memberi komen, maklum balas, kritikan serta cadangan yang membangun,” ujar Ahli Parlimen Pandan itu.
Pakatan Harapan menyediakan garis panduan rekaan logo tersebut seperti berikut:
* Sebaik mungkin, logo perlulah terdiri daripada dua warna, dan perlu disertakan versi hitam-putih untuk tujuan paparan di kertas undi.
* Logo mestilah menggunakan simbol yang mudah dikenali atau difahami ramai.
* Logo perlu mempunyai rasional berteraskan konsep-konsep “harapan”, “demokrasi”, “keadilan”, “integriti” dan “perpaduan”.
* Logo mestilah boleh dilihat sepenuhnya pada skala kecil (seperti pada lencana baju) dan besar (seperti bendera bersaiz besar).
* Logo versi akhir sebaiknya adalah dalam format ‘outlined vector’ dan dibuat menggunakan Adobe Illustrator (.ai) atau program seumpamanya.
Orang ramai boleh menghantar cadangan logo Pakatan Harapan ke logo@pakatanharapan.my mulai hari ini, 4 Mei 2017 sehingga jam 10 pagi, Selasa 9 Mei 2017.
Sila sertakan sekali nama, nombor MyKad serta nombor telefon pereka logo.
Penganjur berhak ke atas logo yang diterima untuk kegunaan Pakatan Harapan, dan boleh membuat perubahan kepada corak asal.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi logo@pakatanharapan.my.
Sumber: Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment