KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Thursday, October 12, 2017

JIKA DITANGKAP 'JERUNG', HASIL RASUAH AKAN MENINGKAT 1000 PERATUS

 
 
Kenyataan Media
12 Oktober 2017


Saya ambil maklum kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad bahawa SPRM berjaya mendapatkan kembali wang rasuah berjumlah RM21.43 juta pada tahun ini.

Kenaikan itu adalah sebanyak 400 peratus berbanding tahun lepas. Rampasan SPRM pada tahun lalu bernilai RM4.95 juga manakala pada 2015 pula bernilai RM3.94 juta.

1. Saya mengucapkan tahniah dan syabas di atas tindakan SPRM yang telah membanteras masalah rasuah di negara ini. Namun, perlu diingatkan bahawa jangan sesekali memilih bulu, dalam membuat serbuan atau pendakwaan kes rasuah di negara ini.

Setiap tindakan penguatkuasaan SPRM perlu dilaksanakan selepas menyiasat dan meneliti laporan berhubung kewujudan elemen rasuah dan salah guna kuasa oleh pihak tertentu. Dan ia tentunya perlu memberi keyakinan kepada rakyat kerana setiap kali tangkapan dibuat tertuduh berjaya didakwa dan disabitkan kesalahan di mahkamah.

2. Peningkatan rampasan wang rasuah itu sebenarnya membuktikan bahawa gejala rasuah semakin banyak dan menular. Begitu suburnya 'pokok rasuah' di negara ini. Saya yakin jika tangkapan 'jerung' dapat dilakukan hasil rasuah akan meningkat sehingga 1000 peratus.

Sebelum ini, Datuk Dzulkifli Ahmad memberi peringatan terhadap ahli politik yang melakukan rasuah bahawa mereka akan ditangkap tidak lama lagi. Namun, apa hasilnya? Sampai sekarang ahli politik yang melakukan rasuah masih bebas.

Saya rasa rakyat negara ini sudah muak dengan pelbagai alasan SPRM apabila 'rasuah besar-besaran' melibatkan pemimpin politik dibiarkan begitu sahaja seolah-olah mereka satu 'spesis' yang harus dilindungi.

3. Rasuah yang semakin berleluasa juga mencerminkan petanda tatakelola dan pengurusan buruk oleh kerajaan pusat. Membuktikan bahawa amalan rasuah sudah parah dan terus membarah di negara ini.

4. Akibat daripada itu, kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ialah ianya akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Masalah lain adalah seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya.

Jika rasuah terus berkekalan ia akan mambantutkan pembangunan sosial, melebarkan kesenjangan pendapatan dan menambahkan bebanan kewangan pada rakyat terbanyak.

Rasuah yang membarah di Malaysia telah menyebabkan pelbagai ketirisan dan pembaziran dalam kewangan kerajaan seperti yang dibangkitkan sendiri pihak kerajaan di dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara.

5. Rasuah juga menjejaskan kualiti perkhidmatan sektor awam dan infrastruktur yang dirancang, sekali gus mengenakan tekanan yang hebat kepada belanjawan atau bajet kerajaan.

Maknanya, hasil ketirisan ini akan mengurangkan pendapatan negara yang akhirnya menyebabkan pertambahan bebanan hidup rakyat melalui pengurangan subsidi bahan keperluan asas seperti gula, elektrik, petrol dan pertambahan cukai kepada rakyat seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST).


Ahmad Nizam Hamid
Timbalan Pengerusi
KEADILAN Pahang

No comments:

Post a Comment