Mungkin ada yang merasa kurang senang apabila melihat perpaduan di dalam Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Pahang sekarang. Faktanya jelas, Negeri Pahang adalah di antara beberapa negeri yang aman tenteram dari perbalahan sesama sendiri walaupun dikatakan negeri ini bukanlah di antara negeri yang boleh dirampas oleh Pakatan Rakyat.
Tidak dinafikan memang terdapat beberapa masalah di satu atau dua kawasan khususnya di Kerusi Parlimen bagi menentukan siapakah calon dan parti terbaik yang diyakini mampu memberikan tentangan hebat kepada Bn di negeri ini namun masalah ini sedikit pun tidak menjejaskan perpaduan dan kerjasama di dalam Pakatan Rakyat di Pahang.
Semua program penerangan atau ceramah telah berjaya diatur secara bersama. Bahkan, di dalam KEADILAN Pahang sendiri parti semakin kerap mengadakan mesyuarat termasuk di Bulan Ramadhan sekarang bagi mengenalpasti kemajuan atau masalah yang wujud di setiap Cabang. Alhamdulillah, dari semasa ke semasa laporan yang diterima amat meyakinkan bahawa setiap Cabang kini telah bersedia untuk membuktikan bahawa ramalan pihak yang menyebut Pahang tidak boleh dirampas oleh Pakatan Rakyat tidak benar samasekali.
Laporan yang diterima bukan sekadar di atas kertas malahan kita sendiri boleh lihat gerak kerja di setiap Cabang jauh berbeza dari persiapan menghadapi PRU ke 12 yang lalu. Mengulas satu artikel dari sebuah portal bahawa terdapat tokoh-tokoh ternama dari KEADILAN akan melompat parti, kami beranggapan ianya hanya sebagai `pelaris' untuk menarik minat pengunjung portal berkenaan semata-mata.
Sebelum ini, portal yang sama turut mendedahkan kononnya terdapat pemimpin PAS terlibat di dalam Lynas dan sipenulis dengan penuh yakin menyatakan terdapat bukti berbentuk dokumen untuk mengesahkan dakwaannya. Namun, sehingga kini isu tersebut senyap dan satu dokumen pun gagal dibuktikan oleh pihak berkenaan. Apatah lagi apabila tokoh yang dinamakan oleh mereka tampil menafikan dakwaan mereka malahan mencabar agar sipenulis mendedahkan bukti yang beliau ada. Ini cukup jelas menunjukkan banyak dakwaan yang dibuat terhadap pimpinan Pakatan Rakyat di negeri ini hanyalah andaian semata-mata bagi menarik minat pengunjung portal berkenaan.
Paling melucukan apabila sipenulis bercerita soal lompat parti dan menasihatkan pimpinan Pakatan Rakyat untuk istiqomah dengan perjuangan, sipenulis sendiri adalah ahli parti yang lebih awal keluar dari parti. Berbekalkan kononnya beliau seorang pejuang 'pro-rakyat', yang kadangkala tidak konsisten dengan prinsipnya, adakalanya mahu bertanding sebagai calon Bebas, di dalam masa yang sama meluahkan rasa kesal kerana PAS tidak menerima keahliannya, pada waktu yang lain menyuarakan rasa ingin 'berehat' dari politik dan terkini mahu bergiat semula di dalam politik bahkan telah mula mengintai kawasan yang mahu ditandinginya.
Terlalu banyak yang 'panas-panas' ditulis dan didedahkan oleh beliau, akhirnya yang `panas' terus suam dan sejuk. Bagi mencari populariti untuk dirinya, beliau tidak berjaya untuk menonjolkan pengaruhnya maka jalan paling mudah untuk menarik minat orang ramai adalah dengan mencipta isu-isu yang kononnya 'panas'. Begitulah juga dengan isu yang dikatakan lompat parti ini.
KEADILAN Negeri Pahang ingin mengesahkan bahawa perpaduan di dalam parti kini amat baik. Kami sedar ada usaha-usaha untuk memecah belahkan perpaduan ini menjelang PRU ke 13 nanti. Kami menasihatkan semua penyokong dan ahli di dalam Pakatan Rakyat khususnya KEADILAN sendiri agar tidak terpedaya dengan bentuk provokasi dan propaganda sedemikian rupa.
Banyak program telah diatur di setiap pelusuk negeri ini selepas kita menyambut Hari Raya Idul Fitri beberapa hari lagi. Kunjungan Naib Presiden KEADILAN, YB Nurul Izzah Anwar akan membuka tirainya dengan berkunjung ke Pahang di dalam program bersama rakyat di Muadzam Shah, Rompin, seterusnya ke Pekan, Kuantan dan Paya Besar pada 28 Ogos ini nanti. Beliau akan bersama rakyat di jamuan makan malam di bandar Kuantan, kemudiannya akan berceramah di Balok, Kuantan seterusnya pula di Taman Mahkota Aman, Batu 11, Paya Besar Butir-butir terperinci program berkenaan akan dimaklumkan kemudian.
No comments:
Post a Comment