Umno kini jelas hilang punca untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menghadapi PRU ke 13 yang sehingga kini amat menakutkan Najib bagi mengumumkan pembubaran Parlimen. Media kawalan Umno telah diarahkan untuk menjalankan propaganda bagi membantu Umno menghadapi asakan Pakatan Rakyat yang semakin menghimpit mereka.
Perpecahan yang berlaku di dalam Umno tidak boleh dirahsiakan lagi. Najib sedar selagi beliau tidak dapat mengatasi perpecahan yang berlaku di dalam Umno akibat perebutan untuk menjadi calon, amat merbahaya jika Parlimen dibubarkan.
Sehubungan itu, Umno terpaksa melindungi kejelikan yang berlaku di dalam parti tersebut dengan merekacipta isu yang tidak masuk akal terhadap Pakatan Rakyat. Isu Hukum Hudud dan perkauman mula dimainkan setelah mereka gagal memainkan isu fitnah seks dan moral terhadap pimpinan KEADILAN. Rakyat tidak lagi percaya kepada Umno kerana Umno terlalu banyak melakukan penipuan terhadap rakyat.
Sepertimana yang sering diperkatakan oleh Pengerusi KEADILAN Negeri Pahang, Dato' Fauzi Abdul Rahman bahawa Umno hanya mahukan tiga perkara sahaja untuk mereka menjamin kekuasaan mereka di negara ini. Pertama, Umno mahu rakyat menjadi bodoh agar mereka mudah diperdayakan dengan propaganda mereka. Kedua, Umno mahu rakyat menjadi miskin kerana dengan kemiskinan sahaja rakyat akan mudah dijadikan hamba seperti peminta sedekah. Ketiga, Umno suka melihat rakyat mejadi penakut kerana apabila rakyat penakut, maka maruah diri dan jati diri mereka akan hilang dan mudah untuk diugut.
Justeru itu, hari ini Umno kembali meniupkan sentimen perkauman dan agama. Mendakwa DAP adalah parti perkauman dan mempunyai unsur-unsur Komunis sehingga tergamak mereka mengupah orang agama untuk menjatuhkan hukum Kafir Harbi terhadap DAP. Mengapa sekarang baru Umno sedar ini semua sedangkan DAP bukanlah parti yang baru diwujudkan. DAP adalah parti yang sah dan didaftar sejak sekian lama. Ini adalah kerana Umno sedar sokongan masyarakat Cina terhadap MCA atau Gerakan semakin membimbangkan malahan paling menakutkan Umno adalah semakin ramai kaum Melayu kini menyertai DAP yang dituduh oleh Umno itu sebagai parti perkauman.
Memainkan isu kononnya Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri menolak Hukum Hudud ternyata memperlihatkan kejahilan Umno terhadap Islam. Sejak awal lagi Ketua Pembangkang telah menyatakan komitmennya untuk melaksanakan Maqasid Syariah yang bertujuan untuk memelihara kesucian Ugama Islam di dalam semua aspek pentadbiran. Oleh kerana mereka jahil terhadap pengertian Maqasid Syariah, maka mereka membuat tuduhan seumpama itu yang menunjukkan seolah-olah Umno memperjuangkan Islam.
Rakyat yang bijak dan tidak tersenarai di dalam tiga golongan yang Umno mahukan itu pasti akan menolak Umno di dalam PRU akan datang. Semakin kuat serangan mereka terhadap Pakatan Rakyat semakin rakyat tidak sabar menantikan pembubaran Parlimen.
No comments:
Post a Comment