Kenyataan Media
1 September 2016
Wan Azizah, Azmin dan Muhyiddin Yassin Jelajah Negara Bongkar Kontroversi 1MDB
1 September 2016
Wan Azizah, Azmin dan Muhyiddin Yassin Jelajah Negara Bongkar Kontroversi 1MDB
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bakal menggerakkan seluruh jentera parti untuk memberikan penerangan kepada masyarakat umum di seluruh negara mengenai skandal 1MDB. Kempen ini merupakan satu siri ceramah yang dinamakan “Jelajah 1 Malaysia Dalam Bahaya (1MDB): Bohong yang tidak berpenghujung”.
Ceramah keliling negara ini mengambil semangat Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia bagi meyatukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan budaya untuk bersatu menolak kuasa pemerintah yang berterusan membohongi dan mengkhianati rakyat tanpa rasa malu lagi mutakhir ini.
Ketua Pembangkang Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin akan bergabung tenaga dan mendekati rakyat bagi menjelaskan kontroversi-kontroversi yang menyelubungi dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), secara tuntas lagi mudah untuk difahami.
Penerangan begini perlu sampai kepada rakyat memandangkan isu 1MDB adalah antara rampaian rekod terburuk kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam buku prestasi mereka yang cuba dikaburi dan diputar belit demi mempertahankan kedudukan mereka di tampuk pemerintahan negara.
Ia juga satu isyarat jelas dan lantang kepada BN yang mereka tidak akan boleh duduk bersenang lenang menindas dan membohongi rakyat selagi kontroversi 1MDB tidak ditangani dan diselesaikan dengan kemas.
Kempen yang turut membariskan tokoh-tokoh pimpinan politik setempat dan masyarakat sivil ini akan bermula di Sabak Bernam pada 2 September (Jumaat), 8:30 malam di Stadium Mini Sabak Bernam.
Ia kemudian akan menjelajah ke Melaka (25 September), Sabah (30 September), Pahang (2 Oktober) dan Perak (15 Oktober).
Berani kerana benar, takut kerana salah. Kami akan terus menyampaikan kebenaran kepada rakyat biarpun bakal berhadapan dengan sekatan dan rintangan.
Untuk maklumat lanjutan, sila rujuk www.facebook.com/Jelajah1MDB.
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
No comments:
Post a Comment