KEADILAN Negeri Pahang mengucapkan tahniah dan syabas kepada KEADILAN Cabang Maran yang telah berjaya menjayakan Program "Rakyat Hakim Negara" bersama Ketua Pembangkang dan juga Ketua Umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu (25 Okt 2014) kelmarin.
Menyedari bukan mudah untuk menarik kehadiran orang ramai apatah lagi Maran merupakan kubu kuat Umno tambahan pula pada malam itu terdapat skrin besar di pasang berhampiran tempat ceramah di perkarangan Pejabat KEADILAN Cabang Maran yang menayangkan perlawanan Bola Sepak Separuh Akhir Kedua di antara JDT menentang Felda Utd. Maka, petugas-petugas parti telah berusaha keras dengan berbagai cara mempromosikan program pada malam itu.
Sekitar Stesyen Bas Maran gelap gelita, tandas dikunci termasuk madrasah juga tidak seperti lazimnya. Ini menunjukkan kehadiran Anwar amat menakutkan Umno kerana baru-baru ini beberapa orang ahli Umno telah dipecat kerana menganggotai KEADILAN.
Alhamdulillah, program malam tadi di luar jangkaan. Dianggarkan sekitar dua ribu orang yang hadir yang kebanyakannya lebih suka berada di dalam tempat duduk di stesyen bas yang kebetulan bertentangan dengan pentas ceramah. Meskipun gelap di situ, namun rasanya orang-orang Maran memang selesa berada di kawasan gelap. Maklumlah, masih ramai yang takut menunjukkan wajah mereka. Apa yang penting mereka hadir juga untuk mendengar amanat dari Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim sebelum beliau ditentukan samada bebas atau tidak dari pertuduhan liwat II pada 28 dan 29 Okt ini nanti.
Selain dari pimpinan negeri, Pengerusi MPN YB Dato' Fauzi Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Sdr Ahmad Nizam Hamid, Ketua-Ketua Cabang, Adun Mentakab dari DAP YB Tengku Zulpuri dan Adun Semantan dari PAS, YB Syed Hamid juga turut hadir. Adun Semambu, YB Lee Chean Chung juga turut berucap. Adun Teruntum, YB Sim Choon Siang turut serta pada malam tersebut. Kehadiran Ahli Parlimen Pandan yang juga Setiausaha Agung KEADILAN yang baru, YB Rafizi Ramli turut memanaskan pentas pada malam itu.
Anwar berucap lebih kurang satu jam selepas YB Rafizi berucap. Ucapan Anwar yang penuh semangat sentiasa mendapat tepukan dari orang ramai yang hadir. Beliau menyatakan keadilan itu mesti dituntut bukan hanya sekadar menanti dan keadilan itu bukan untuk diri beliau seorang tetapi mesti diperjuangkan untuk semua.
Rakyat yang cintakan keadilan dan hentikan kezaliman haruslah bersama-sama bersolidariti di Mahkamah Putrajaya pada 28 Oktober dan 29 Oktober ini nanti. Bagi anggota-anggota KEADILAN yang ingin turut serta ke KL pada hari berkenaan, sila serahkan nama kepada Ketua Cabang masing-masing untuk dikordinasikan.
No comments:
Post a Comment