KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Tuesday, November 5, 2013

AL FATIHAH - TUAN HJ SUHAIMI SAID KEMBALI KE RAHMATULLAH

AL FATIHAH.

Dukacita KEADILAN Negeri Pahang mengumumkan berita sedih, pemergian Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR yang juga Ahli MPP, Naib Pengerusi KEADILAN Pahang merangkap Ketua Cabang K.Krau, Tuan Hj Suhaimi Said telah kembali ke Rahmatullah sekitar jam 06.00 petang tadi (05 Nov 2013 - 01 Muharram 1435H) di Hospital Temerloh.


Sebelum ini Almarhum telah mendapat rawatan di Hospital Temerloh, kemudiannya beberapa kali mendapat rawatan di HUKM, Ceras dan akhirnya kembali menerima rawatan di Hospital Temerloh di mana beliau menghembuskan nafas terakhirnya petang tadi.  Penyakit 'misteri' yang mempunyai kaitan dengan penyakit tulangnya mula serius sejurus PRU 13 yang lalu di mana Almarhum juga adalah calon KEADILAN di Dun Jenderak tetapi tewas.

Difahamkan jenazah beliau akan dibawa pulang di rumahnya di Batu 4, Jalan Maran-Temerloh dan akan disemadikan esok (06 Nov 2013).  

KEADILAN khasnya, KEADILAN Pahang khususnya merasai amat kehilangan seorang tokoh dan pejuang yang tidak pernah serik dan mengalah memperjuangkan nasib rakyat terutamanya perjuangan beliau membela nasib para peneroka Felda dan masyarakat Orang Asal.  Kata-kata beliau " Buat kerja belum tentu menang, tidak buat kerja pastinya tidak akan menang" masih utuh pada semua pimpinan KEADILAN Pahang dan akan kami jadikan azimat untuk terus memperjuangkan nasib rakyat.

Pengerusi KEADILAN Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman serta seluruh Ahli MPN, mewakili seluruh ahli KEADILAN Pahang mengucapkan Takziah kepada keluarga dan waris Almarhum Tuan Hj Suhaimi Said semoga Allah mengurniakan ketabahan dan kesabaran bagi menghadapi ujian yang berat ini.  

Marilah kita bersama mendoakan agar Roh Almarhum di tempatkan di kalangan orang-orang yang Soleh dan para pejuang Islam sebelum ini, semoga mendapat kerahmatan dari Allah Subhanahu Wataala.  
AL FATIHAH.

* Sedikit serba ringkas tentang Almarhum Tuan Hj Suhaimi Said (Petikan dari blog Biro Orang Asal PKR Pahang):



Beliau telah dilahirkan di Kg Lubok Kawah, Temerloh, Pahang pada 8.12.1944. Tempat di mana ramai pejuang Negara muncul. Misalnya Allahyarham ayahahanda beliau sendiri adalah seorang pejuang didalam Angkatan Pemuda Insaf, sayap Pemuda kepada Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Nama Lubok kawah merupakan sebuah kampong yang telah mengalami evolusi dan revolusi dalam dunia politik kerana kebanyakan penduduknya adalah pejuang-pejuang kebangsaan menuntut kemerdekaan. Akhirnya kampung ini disenarai hitam oleh kerajaan inggeris kerana kesemua penduduknya kecuali yang mempunyai anak kecil menyertai PKMM, API dan AWAS.

Sebelum menyertai Parti keadilan Rakyat, partama sekali yang beliau sertai ialah Parti Rakyat Malaysia, sebelum menyertai Parti Islam se-Malaysia dan akhirnya satu kesilapan besar menyertai UMNO. Hal ini telah diakui sendiri oleh beliau. Menurutnya UMNO hanya untuk golongan elitis dan kapitalis. Setelah Keluar daripada PRM kerana parti tersebut telah berpecah kepada dua kumpulan sebelum lumpuh disebabkan ramai ahlinya yang keluar. PRM Pahang lumpuh kerana terdapat tuduhan kepada presiden parti tersebut sebagai tali barut kerajaan,

Beliau mengakui sebagai “binatang” dalam politik kerana selepas keluar daripada PRM beliau menyertai PAS dan menumpukan kepada isu-isu felda iaitu hak pemilikan individu kepada setiap peneroka. Akhirnya ramai ahli Umno yang keluar parti dan menyertai PAS. Oleh kerana kesungguhan beliau untuk mengadakan Konvensyen Felda, akhirnya beliau ditahan dibawah ISA dan dibebaskan pada 1986 serta dibuang daerah ke Melaka.

Di Melaka beliau tidak duduk diam, beliau terus berjuang dan menubuhkan banyak cawangan cawangan PAS dan mewujudkan Pas Selatan-Selatan. Keadaan ini amat merunsing dan membimbangkan UMNO negeri Melaka. Maka sekali lagi beliau ditahan dibawah ISA dalam Operasi Lalang bersama 120 pemimpin parti pembangkang. Selepas 6 bulan kemudian beliau telah dibebaskan.

Selepas lama menyepikan diri, beliau kembali ke arena politik setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dibebaskan dan menyertai Parti Keadilan Rakyat pada di rumah rumah saudara Nizam Hamid 27 November 2007 atas pelawaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saudara Nizam Hamid dan Dr Syed Husin Ali. Kemasukan beliau dalam KEADILAN setelah Bekas Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar dan Marina Yusf tidak wujud lagi dalam parti ini.

Bermula Januari 2008, beliau memasuki Kuala Krau dan menubuhkan cabang Kuala Krau bermula ahli yang kosong hanya dibantu oleh saudara Razak Hussein, SuhaimI Abdullah dan seterusnya saudara Man Kadir (Abdul Kadir Abdul Manaf). Akhirnya ahli Keadilan cabang ini meningkat hampir 30 orang.

Sehingga kini cabang Kuala Krau mempunyai ranting-ranting di 10 buah perkampongan Orang Asal, dan di kampong-kampong tradisi Melayu yang dulunya langsung tidak boleh dihampiri seperti Kg Paya Luas, Kg Gong Halt, Kg Dato Sharif Ahmad, dan kami juga ada ranting di Felda Jenderak Utara, Kg Jenderak, Estet Sg Tekal, Tmn Seri Desa, dan keahlian PKR di DUN Jenderak kini sudah dapat mengatasi Cabang-Cabang PKR yang sudah tertegak hampir 10 tahun yang lampau. Kini kami membantu pula rakan-rakan PR khususnya PAS di Kuala Krau dengan menubuhkan ranting-ranting di Felda Jengka 22, Felda Jengka 11, Kg Matau dan Kg Rumpun Makmur.

Dikalangan Orang Asal, Haji Suhaimi Said sangat terkenal kerana sikap peramah dan marhaen selau yang berkujung ke perkampung Orang hampir setiap minggu. Menurut Kin Kasim, Ketua ranting Kampung Penderas Haji Suhaimi Said adalah salah pemimpin Jahut dan Ustaz Badrul Amin berseloroh sebagai Batin Orang Asal Malaysia. Walaupun agak lucu gelaran tersebut tetapi yang nyatakan usaha beliau telah berhasil dan telah dihargai oleh Orang Asal bahkan rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment