KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Wednesday, July 24, 2013

TUAN HJ SUHAIMI SAID BERCERITA TENTANG DATO' FAUZI....

 
Saya adalah diantara Ketua PKR peringkat cabang-cabang PKR di Pahang yang menyambut baik apabila Pusat mengumumkan Dato Fauzi Abdul Rahman sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang menggantikan Zakaria Hamid. Dan saya juga adalah diantara Ketua Cabang yang memberikan sokongan kepada Zakaria Hamid semasa beliau menjadi Pengerusi MPN Negeri.
 
Pengerusi KEADILAN Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman (MP Indera Mahkota)
Semasa Zakaria menjadi Pengerusi Negeri berbagai-bagai masalah yang pada waktu itu menghambat PKR Pahang kerana pada waktu itu PKR Pahang masih belum bertapak. Orang yang bijak-bijak sukar menghulurkan khidmat sukarela mereka kepada parti kerana belum yakin bahawa parti boleh berkembang di Pahang.  Dan Zakaria telah berusaha kearah mengembangkan parti di Pahang.

Apabila Dato Fauzi diangkat menjadi Pengerusi Negeri dan Zakaria diangkat memegang jawatan penting di peringkat Pusat, berbagai pihak mengambil sikap pro-dan-anti terhadap perlantikan Fauzi. Ada yang anti-Dato Fauzi sehingga memboikot program parti, ada yang enggan lagi bergerak didalam parti. 
 
Tuan Hj Suhaimi Said - Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pusat/Ketua Cabang PKR K.Krau
Kedua-dua golongan ini adalah kecil dan tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap perkembangan PKR Pahang. Ada golongan yang menentang Dato Fauzi tetapi setelah dibawakan dengan dialog sebenarnya mereka tidak mempunyai pegangan kukuh kenapa mereka menentang Dato Fauzi dan mereka itu berbalik menyokong pilihan PKR Pusat melantik Dato Fauzi sebagai Pengerusi PKR Negeri Pahang.

Saya hanya dapat berkenalan rapat dengan Dato Fauzi apabila Dato Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Dato Fauzi diatas suatu pentas semasa ceramah di Kuantan. Dan apabila saya selaku pengerusi Majlis mengalu-alukan Dato Fauzi sebagai seorang musuh politik saya semasa sama-sama belajar di London, Dato Fauzi datang kehadapan saya dan memeluk saya, dan selepas Majlis itu saya mengalu-alukan kehadiran Dato Fauzi dan berdoa semoga beliau boleh menyertai PKR untuk memperkukuhkan perjuangan rakyat.

Dato Fauzi memang sudah berbincang banyak kali dengan Anwar untuk menyertai PKR, dan setiap kali perbincangan itu, Fauzi belum bersedia untuk menyertai PKR walaupun sanggup memberikan sokongan kepada parti.

Maka amatlah busuk tuduhan pihak-pihak kecil di Negeri Pahang itu yang menyatakan Fauzi mahu mengambil alih pimpinan PKR Pahang sebagai syarat menyertai parti itu.

Fauzi semasa di London adalah orang kuat UMNO, sesuai dengan kedudukan arwah ayahnya, seorang Menteri Kerajaan Pusat; hanya orang-orang muda tidak mengetahui latar belakang Abdul Rahman Talib bahawa beliau bersama-sama Tan Sri Yahya, Ghafar Baba, Aishah Ghani dan pimpinan UMNO di Johor adalah anggota PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) dan kehadiran puak-puak mereka inilah yang mengubah dasar UMNO daripada HIDUP MELAYU kepada MERDEKA, dan menyebabkan begitu ramai penyokong-penyokong Merdeka menyertai UMNO apabila Tengku Abdul Rahman meniupkan semangat Merdeka.

Rahman Talib pernah ditahan oleh Inggeris untuk menjalani hukuman berat di Singapura tetapi di dalam perjalanan keretapi dari Kuala Lipis ke Singapura, Rahman Talib telah diselamatkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dan selepas itu diangkat oleh Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar menjadi orang kuat Istana Pahang dan hukuman Inggeris terhadapnya dibatalkan.

Mana ada Menteri sehingga akhir perjuangannya tidak diberikan darjah Dato melainkan Rahman Talib lah. Ini dapat menunjukkan bahawa walaupun Rahman adalah orang UMNO, pemimpin UMNO, Menteri Pusat, tetapi beliau bukan kaki bodek, bukan kaki ampu, dan bukan kaki penjilat feudalisme.

Saya tidaklah rapat dengan Fauzi semasa saya mengaji di London. Beliau berada di dalam kelompok lain iaitu kelompok Kesatuan Melayu United Kingdom manakala saya berada di kelompok pelajar-pelajar kiri Malaysian and Singapore Students Forum (Mass Forum) yang sentiasa mempunyai dasar yang berbeza. KMUK mengambil dasar semacam pro-UMNO. Manakala MASS Forum mengambil dasar memperjuangan perpaduan kaum yang luas untuk demokrasi tulen.

Apabila Fauzi kembali ke tanah air beliau bergerak di dalam UMNO manakala saya bergerak di dalam Parti Pembangkang, tidak pernah bersamanya.

Apabila Dato Fauzi dilantik sebagai Pengerusi PKR Negeri Pahang, saya pun bukanlah menjadi pilihannya untuk menduduki jawatan yang penting didalam parti peringkat Negeri Pahang; saya berada didalam pimpinan Negeri Pahang semata-mata kerana saya adalah Ketua Cabang dan di Pahang ini, secara otomatik Ketua Cabang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PKR Pahang.

Keeratan antara saya dengan Dato Fauzi berkembang apabila Dato Fauzi selaku Pengerusi PKR Pahang dilantik secara otomatik sebagai Anggota Majlis Pimpinan Pusat. Saya telah dilantik oleh Biro Politik PKR Pusat menjadi Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR dan pada tahun kedua saya memegang jawatan itu, saya juga dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Di sana kami acap berbincang bagaimana untuk memperkukuhkan kekuatan PKR didalam rancangan Felda, dan diperingkat Negeri Pahang pula Dato Fauzi mengangkat saya sebagai Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Negeri Pahang dan PKR Pusat mengambil kaedah ini dan menjadikan Biro yang saya pegang diperingkat Pusat merangkumi hal ehwal masyarakat Felda dan Orang Asal.

Saya cukup gemar berkhidmat dibawah Dato Fauzi kerana dia akan hanya mengambil sesuatu tindakan untuk negeri setelah berbincang, khususnya dengan pengerusi-pengerusi yang berkenaan. Dan saya cukup memahami kekeciwaan Dato Fauzi kerana pegawai-pegawai yang dilantik dan diberikan tugas tidak mempunyai inisiatif sendiri untuk mengambil tindakan mengikut tugas yang dilantik.

Kadang-kadang mereka itu menghadiri mesyuarat pun tidak mahu bahkan kalau menghadiri mesyuarat pun tidak mahu melakukan tindakan-tindakan yang sepatutnya digalas oleh mereka. Bahkan terdapat dikalangan mereka itu akan hanya mahu menunjukkan muka apabila pimpinan pusat menunjukkan muka, apatah lagi kalau Dato Seri Anwar Ibrahim muncul.

Sejak beberapa bulan sebelum PRU saya tidak lagi menghadirkan diri untuk mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri dan adakalanya saya diwakili oleh Timbalan Ketua Cabang. Ada dikalangan pimpinan Negeri bertanya kenapa saya tidak lagi mahu hadir seperti dulu-dulu. Jawapan saya mudah. Ada yang kata bahawa saya tamak dengan jawatan. Oleh itu saya menyusun semula biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pahang dengan melantik orang-orang kuat PKR Pahang mengambil alih jawatan-jawatan didalam biro peringkat Pahang. Tetapi seperti kata Man Kadir. "Disinilah matinya Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Pahang kerana orang-orang itu hanya minat kepada jawatan tetapi langsung tak minat buat kerja."

Betul telahan Man Kadir itu. Sejak dipilih Pengerusi baru dan ahli-ahli jawatankuasa yang merangkumi hampir semua pimpinan utama PKR Cabang dan pimpinan Orang Asal Negeri Pahang, Biro itu terus mati dan layu, dan oleh kerana saya tidak lagi duduk di dalam Biro itu peringkat Negeri Pahang, tidak ada apa-apalah yang dapat saya lakukan.

Saya juga meletakkan jawatan saya sebagai Pengerusi 1 PKR Pahang untuk menyambut beberapa cabaran dari mereka yang mencabar saya bahawa saya terlalu banyak memegang jawatan didalam parti dengan sindiran yang lebih pedas dari pedas, ada yang mengatakan saya sudah terlalu tua dan ada yang mengatakan Haji Suhaim itu hanya sekadar merajuk, jika dipujuk pasti akan terima semula jawatan, dengan sindiran bahawa didalam parti sekarang ini, itulah yang menjadi tradisi. Letak jawatan dan apabila dipujuk akan terima kembali.

Jauh sebelum tarikh penamaan calon, saya telah menghantar notis berhenti daripada jawatan Pengerusi 1 PKR Pahang. Tetapi Dato Fauzi menyembunyikan notis saya itu dan tidak pernah mahu bentangkan didalam mesyuarat MPN, tetapi bagi saya samada Dato Fauzi terima atau pun tidak, saya sudahpun meletakkan jawatan dan mahu tengoklah orang yang suka mencabar dan menyindir saya itu supaya menjalankan kerja parti. Tak juga rupanya, hanya sekadar nak menegur tak tentu arah begitu saja. Itulah salah satu penyakit didalam parti, tidak menyukai orang yang nak buat kerja didalam parti.

Sebelum Pilihanraya saya juga meminta Dato Fauzi sebagai pengerusi Negeri supaya tidak meletakkan nama saya, kerana saya tidak mahu tohmahan mengatakan bahawa saya, Zakaria dan Haji Abas sebagai kroni pimpinan tertentu didalam parti diberikan kerusi untuk bertanding dengan mereka lupa bahawa Zakaria sememangnya sudah tidak ada kerusi untuk dipertandingkan tetapi diminta bertanding apabila kawasan Parlimen Temerloh diambil alih oleh PAS dan Nizam Abdul Hamid enggan bertanding untuk kerusi Parlimen Bera, dan Zakaria dijadikan calon sebagai bidan terjun. Dan Pahang tetap meletakkan saya sebagai calon DUN Jenderak.

Semasa PRU-13 sedang berjalan, beberapa hari sebelum mengundi, saya sudah banyak berihat daripada menjalankan kerja PRU. Masa itu saya sudah sakit, tetapi tak tergamak nak berceritakan kepada kawan-kawan bahawa saya sudah diserang oleh penyakit yang berat. Saya bimbang kalau saya memberitahu kawan-kawan, takut-takut mereka patah hati dan enggan menjalankan kerja-kerja pilihanraya.

Selepas PRU itu saya terus tidur di Bilik Gerakan parti di Kuala Krau, rasa sangat tidak bermaya. Dan apabila saya kembali ke Temerloh, badan saya bergoyang, seolah-olah mahu tumbang. Isteri saya terus bawa saya ke Klinik Sulaiman, saya dipinta oleh Klinik itu supaya berihat sejam dua dengan diberikan obat yang kuat, dan apabila badan sudah menunjukkan reaksi yang positif barulah saya diberikan rawatan, dan doktor di klinik itu terus memberikan surat rujukan untuk saya dimasukkan ke Hospital Temerloh. Saya pergi ke bahagian emergency, dan diambil temperature dan sukatan darah saya. Temperature saya sudah naik 240 lebih dan darah saya naik 26.

Saya diberikan obat mengatasi tekanan darah dan gula. Jam lebih kurang 9.00 malam, darah dan gula saya naik melampau-lampau, dan pihak emergency memutuskan supaya saya dimasukkan ke dalam wad, tetapi malangnya tidak ada wad kosong dan saya terpaksalah tinggal di wad emergency bersama-sama dengan 5, 6 orang yang lain yang kesemuanya sepatutnya dimasukkan kedalam wad tetapi tidak ada katil yang kosong.

Kesemua mereka dipinta balik dan diberikan tarikh lain untuk memasuki wad, sedangkan saya dengan seorang pesakit Cina dari Triang diminta menunggu hingga diberikan rawatan seterusnya. \ Pada jam 12.00 malam tekanan darah dan gula saya sudah tidak dapat dibaca lagi, terlalu tinggi. Selain dari obat darah tinggi, saya disuntik dengan insulin. Pada jam 2.00 pagi, darah tinggi saya turun kepada 140 atas dan 80 bawah. Hampir normal. Tetapi bacaan gula saya masih tinggi, masih belum boleh dibaca, terlalu tinggi.

Sekali lagi saya disuntik dengan insulin. Pada jam 2.00 pagi, sekali lagi saya diperiksa dan bacaan gula masih juga belum turun, dan sekali lagi saya disuntik dengan insulin.

Jam 3.00 pagi, doktor yang bertugas menyatakan bahawa saya dan Cina dari Triang itu diarahkan balik dengan opsyen bahawa kalau ada sesiapa yang menemani, kami boleh tidur diwad emergency itu, jika kami mahu. Tetapi anak saya Sufizal sudah berada disisi saya, dia mahu menemani saya dan jika perlu pulang, dia akan membawa saya pulang.

Kebetulan jam 3.00 pagi itu, tekanan darah ada 140/80 dan tekanan gula sudah turun kepada 14. Maka saya mengambil keputusan untuk pulang kerana di wad emergency itu pun tiada sesiapa lagi bertugas. Tetapi Cina Triang itu kata dia tetap mahu tidur di emergency wad itu, "Biar gua mati sinilah," katanya.

Keesukannya saya dibawa ke Dr Chan, doktor pakar di Mentakab dan mendapatkan rawatan seterusnya dari doktor itu. Melaratlah rawatan saya ke pakar urut di Jengka 12, dan rawatan tradisi di Taman Temerloh Jaya dan juga di Shah Alam.

Setakat ini belum ada rezeki lagi.

Pagi ini saya menjalani proses MRI di Hospital Temerloh untuk menentukan apakah jenis penyakit yang sebenarnya menyerang saya.

Pada 24hb Julai ini akan diketahuilah apa-apa punca penyakit saya, walaupun seorang doktor yang mengenali anak saya menyatakan bahawa jika benarlah bahawa penyakit yang sedang saya hadapi itu adalah TB Tulang, MRI juga sukar mengesaninya, tetapi daripada beberapa diagnosis akan dibuatlah andaian jika sebenar penyakit TB tulang.

Kata doktor itu, TB tulang is curable, but it takes long time to be cured.   Saya sudah berusaha, sembuh atau sebaliknya terserahlah kepada Allah swt.

Saya telah beritahu penyakit saya ini kepada Dato Fauzi, dan saya meminta supaya perletakan jawatan saya sebagai Pengerusi 1 PKR Pahang dan Ketua PKR Cabang Kuala Krau diterima supaya bolehlah pimpinan muda menggantikan tempat saya agar tidak kerugian kerana saya sendiri sudah tidak dapat menggerakkan parti.

Saya memberitahu Dato Fauzi bahawa jawatan saya selaku MPP akan saya buat keputusan beberapa bulan lagi.  Dato Fauzi menerima perletakan jawatan saya sebagai Pengerusi 1 PKR Pahang dan meminta saya menangguhkan sedikit masa lagi untuk perletakan jawatan saya di peringkat Cabang sehingga dapat ditemui pengganti saya yang sesuai.

Janji saya kepada parti bahawa saya akan memberi bantuan semampu saya kepada parti seandainya saya pulih semula dari penyakit saya. Tetapi saya tidak mahu lagi memegang apa-apa jawatan didalam parti.

Terima kasih Dato Fauzi.
 

No comments:

Post a Comment