KUALA LUMPUR 5 Julai: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan tentera Mesir menggulingkan Presiden yang dipilih oleh rakyat secara sah.
Dalam satu kenyataan, Anwar mengulas konflik terbaharu di Mesir yang menyaksikan presidennya, Mohammed Morsi digulingkan tentera, pagi semalam.“Setiap negara yang mengiktiraf demokrasi berperlembagaan mesti mengecam tindakan yang tidak berperlembagaan dan tidak demokratik dalam meraih kuasa.“Tindakan pihak tentera di Mesir merupakan satu tamparan hebat terhadap Kebangkitan Arab. Apa pun matlamat mereka, ia tidak sekali-kali menghalalkan cara.“Pemimpin yang dipilih secara demokratik menerusi pilihan raya yang bebas dan adil tidak sepatutnya diturunkan dengan cara sebegitu,” ujar Anwar dalam satu kenyataan.Morsi merupakan Presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi Jun tahun lalu selepas jutaan rakyat berhimpun di Dataran Tahrir, bagi menumbangkan Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun.Mubarak meletak jawatan sebagai Presiden Mesir selepas 18 hari menunjuk perasaan. Semasa kejatuhan beliau, rakyat dan tentera berpimpin tangan melaungkan slogan ‘rakyat dan tentera seiring bersama’.Namun, selepas setahun Morsi dipilih secara sah oleh rakyat, tentera Mesir pula bertindak menggulingkannya.Ketua angkatan tentera Andel Fattah al-Sisi pada 4 Julai lalu mengeluarkan satu deklarasi menggantung perlembangaan yang membawa kepada menyingkir Morsi.Beliau juga melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly Mansour, sebagai ketua interim negara yang berperanan sebagai Presiden sementara bagi Mesir.Puluhan rakyat Mesir dilapor terkorban diserang askar dan polis negara itu dalam himpunan di beberapa buah bandar bagi mempertahan kepimpinan Morsi.Insiden tersebut berlaku hanya beberapa jam selepas tentera Mesir mengumumkan rampasan kuasa sekaligus menggulingkan Morsi./KD
No comments:
Post a Comment