KUALA LUMPUR, 17 JUN: DAP sudah mengarahkan anggotanya dari pelbagai peringkat agar turun beramai-ramai ke himpunan ‘Black 505′ 22 Jun ini di Padang Merbok, kata Pengarah Pendidikan Politik parti itu, Liew Chin Tong.
“Kami menyokong penuh himpunan ini dan akan turun beramai-ramai pada 22 Jun sebagaimana hasrat yang sudah dinyatakan pimpinan tertinggi parti.
Kami juga bersetuju dengan tiga tujuan himpunan diadakan termasuk mendesak semua anggota SPR terutama pengerusi dan timbalannya meletak jawatan kerana bersubahat menipu dalam pilihanraya,” katanya kepada Keadilandaily.
Beliau yang juga antara wakil DAP dalam jawatankuasa himpunan itu turut mencadangkan pelantikan anggota SPR baru bukan sahaja mesti dipersetujui bersama oleh Pakatan Rakyat, BN dan NGO tetapi mesti diurus sebuah jawatankuasa khas parlimen yang bebas.
Mesyuarat Pas Pusat tegaskan ahli turun Padang Merbok
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menegaskan semua anggota parti itu diharuskan hadir pada himpunan itu sebagaimana keputusan mesyuarat PAS Pusat pada 3 Jun lalu yang turut dihadiri presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Kita pasti akan turun dan arahan kepada semua ahli parti sudah dikeluarkan sebagaimana dipersetujui dalam mesyuarat PAS Pusat pada 3 Jun lalu,” katanya yang juga Timbalan Presiden PAS Pusat.
Kehadiran itu katanya sebagai tanda solidariti bersama rakyat membantah penipuan dalam PRU lalu terutama melibatkan konspirasi SPR bersama Umno-BN.
“Selamat berhimpun dan ajak seramai mungkin keluarga dan kenalan dengan berpakaian hitam pada himpunan 22 Jun ini,” katanya lagi.
Sumber: Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment