Umno nampaknya semakin tertekan sekarang sehinggakan banyak tindak tanduk pemimpin dan para penyokong mereka tidak menampakkan bahawa parti itu bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat secara demokrasi yang sihat atau secara 'gentleman'.
Ianya berkemungkinan sudah banyak pekung salah laku dan pengkhianatan parti tersebut kepada rakyat dan negara ini terbongkar. Skandal rasuah dan penyelewengan tidak mampu disembunyikan lagi, isu Altantuya menambahkan lagi beban Umno untuk menjawabnya setelah P1 Bala muncul tiba-tiba, tragedi di Lahad Datu benar-benar membuktikan Umno gagal menjaga keselamatan negara apabila para 'pengganas' berjaya menyusup masuk ke negara ini yang dianggap oleh Menteri sebagai 'rombongan untuk berunding' yang akhirnya membawa kepada peperangan dan kehilangan nyawa beberapa anggota keselamatan kita, ditambah lagi dengan pengakuan bapa kandung Saiful Bukhari yang memohon maaf kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim serta keluarganya akibat kerja-kerja fitnah dan konspirasi anaknya di dalam kes Liwat II.
Umno tidak mampu berhujah untuk mempertahankan parti tersebut dari semua perkara ini. Umno kini hanya bergantung kepada media pencacai semata-mata untuk memperbodohkan rakyat. Tuduhan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim kononnya sebagai dalang tragedi di Lahad Datu dan memburukkan YB Tian Chua dengan tuduhan jahat tanpa diberi walau sesaat pun ruang untuk kedua-dua tokoh ini membela diri atau menjelaskan perkara sebenar di media milik kerajaan sudah cukup untuk membuktikan parti ini semakin tidak berwibawa lagi di mata rakyat.
Tindakan samseng semakin berleluasa bagi menakut-nakutkan rakyat untuk bersama Pakatan Rakyat, malangnya mereka tidak akan mampu menyekat keazaman rakyat untuk menumbangkan rejim yang zalim ini. Semakin mereka bertindak samseng, rakyat bertambah benci dan jijik dengan parti keris telanjang tanpa sarung ini.
Tindakan provokasi yang gagal menimbulkan huru-hara |
Pada petang semalam, sekumpulan perusuh yang mewakili Umno telah melontar telur, kayu dan kon lalu lintas ke ibupejabat KEADILAN di Tropicana. Peristiwa ini adalah sambungan kepada keganasan-keganasan yang dilakukan oleh Umno yang direstui pimpinan Umno. Satu sidang media akan diadakan di ibupejabat KEADILAN pagi nanti (Selasa, 12 Mac 2013) bermula jam 11 pagi mengenai perkara ini oleh Sdr Rafizi Ramli. Sdr Rafizi pagi ini akan membawa beberapa bukti lanjutan mengenai skandal balak Kerajaan Negeri Terengganu dan penjualan syarikat milik kerajaan CTRM kepada Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Itulah cara kita berhadapan dengan Umno. Mereka membawa batu, cat dan kayu untuk berhadapan dengan kita tetapi kita membawa hujah, fakta dan dokumen untuk berhadapan dengan Umno. Ternyata Najib semakin tertekan sehinggakan mencipta rekod menjadi PM yang tidak membubarkan Parlimen sehingga melebihi 5 tahun. Ketahuilah, tanda-tanda kemenangan itu hampir tiba adalah apabila semakin kuat tentangan dan dugaan yang kita hadapi. Maka, kita hendaklah terus berusaha dan bersabar menghadapi ujian dan mehnah perjuangan ini, InsyaAllah, Putarajaya bakal kita takluk nanti.
No comments:
Post a Comment