Pengerusi MPN Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman secara peribadi serta mewakili MPN amnya, mengucapkan syabas dan penghargaan kepada semua petugas dan jentera KEADILAN Pahang yang telah bekerja kuat siang dan malam sepanjang kempen di PRK P044 Permatang Pauh yang berakhir semalam.
Alhamdulillah, berkat kerja kuat dan keikhlasan semua jentera yang terlibat diakhiri dengan doa kita bersama, akhirnya Presiden kita yang disayangi Kak Wan berjaya mengekalkan Kerusi Permatang Pauh di tangan KEADILAN. Walaupun bukan satu tugas yang mudah untuk berdepan dengan seluruh jentera Umno/Bn di Permatang Pauh, namun hasil komitmen padu kita serta dibantu oleh rakan-rakan di dalam Pakatan, maka kita berjaya membuktikan bahawa memenjarakan Dato' Seri Anwar Ibrahim bukan caranya untuk menyekat arus kebangkitan rakyat.
Dato' Fauzi juga melahirkan rasa kagumnya di atas semangat juang petugas-petugas KEADILAN termasuk Wanita dan AMK yang telah melaksanakan tugas masing-masing dengan amat baik bukan sahaja di Permatang Pauh tetapi juga di Rompin. Paling membanggakan adalah apabila beberapa kawasan yang diamanahkan kepada KEADILAN Pahang telah berjaya kita kekalkan kemenangannya dan ada yang telah kita tebus kekalahan sewaktu di PRU 13 yang lalu. Tanpa usaha yang gigih dari semua jentera tidak mungkin kita mampu malakukannya.
Jika Permatang Pauh dan Rompin dijadikan iktibar, tidak mustahil KEADILAN mampu untuk terus melangkah lebih jauh terutamanya di Pahang asalkan kita berjaya mengekalkan perpaduan dan kerjasama erat seperti yang telah kita buktikan di dalam dua PRK baru-baru ini. Jadikan objektif "Tawan Pahang" satu realiti dan ianya hendaklah bermula dari sekarang.
Di kesempatan ini, KEADILAN Pahang mengucapkan Tahniah dan syabas kepada Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang telah berjaya memenangi Kerusi Parlimen Permatang Pauh walaupun ranjau serta dugaan yang dihadapinya amat getir sekali. Semoga kemenangan ini akan menyemarakkan lagi semangat "Kita Lawan" di hari-hari yang seterusnya sehingga kita berjaya menakluk Putrajaya, InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment