Presiden KEADILAN yang baru-baru ini telah memenangi Kerusi Parlimen Permatang Pauh di dalam PRK P044 Permatang Pauh, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkemungkinan besar akan dipilih sebagai Ketua Pembangkang bagi menggantikan jawatan yang sebelum ini dipegang oleh suaminya, Ketua Umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan di Sungai Buluh angkara konspirasi politik terhadapnya.
Ketua Whip PAS, YB Mahfuz Omar semalam memaklumkan bahawa PAS bersetuju sebulat suara Kak Wan dipilih sebagai Ketua Pembangkang setelah DAP sendiri meminta Presiden KEADILAN itu memimpin Pakatan Rakyat di Parlimen. Ini adalah kali kedua Kak Wan dipilih sebagai Ketua Pembangkang dan ini membuktikan bahawa beliau memang berkebolehan dan berkelayakan untuk memikul amanah tersebut.
Meskipun perlantikan sebagai Ketua Pembangkang belum disahkan secara resminya, namun kami percaya Pakatan Rakyat pastinya akan sebulat suara dan senada dengan keputusan yang telah diambil oleh PAS itu. KEADILAN Pahang juga menyokong sepenuhnya pemilihan Kak Wan tanpa ragu-ragu memandangkan beliau bukan sebarang wanita biasa yang telah pun diuji mental dan fizikalnya sekian lama dan mampu bertahan dari segala serangan musuh politiknya.
Kami yakin, Kak Wan mampu menggegarkan Parlimen selepas ini dengan bantuan dari rakan-rakan dari Pakatan Rakyat yang lain untuk mengasak Umno/Bn di dalam beberapa isu hangat dewasa ini. Rata-rata rakyat menyokong Kak Wan untuk terus berada di persada politik tanahair sebagaimana yang telah dibuktikan di Permatang Pauh baru-baru ini.
Satu penghormatan tertinggi buat wanita seluruh Malaysia bagi meneruskan usaha mengubah landskap politik tanahair menjelang PRU 14 akan datang. Kami yakin dengan pemilihan Kak Wan sebagai Ketua Pembangkang akan dapat mempengaruhi kaum wanita tua dan muda untuk bersama kita di dalam Pakatan Rakyat bagi menumbangkan rejim Umno/Bn.
No comments:
Post a Comment