KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Thursday, January 24, 2013

PROJEK IC DI SABAH - ANWAR SEDIA BERDEPAN

PETALING JAYA, 23 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan bahawa beliau terlibat dengan projek IC di Sabah, dan bersedia untuk menjawab jika inkuiri Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah itu memanggil beliau untuk memberi keterangan.

Menurut ketua pembangkang itu, sepanjang beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak pernah terlibat secara langsung dalam hal tersebut dan menamakan bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Aziz Shamsuddin, dan bekas timbalan menteri dalam negeri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, sebagai peneraju utama projek tersebut.

“Saya sedia memberi keterangan jika dipanggil, saya yakin bahawa tidak ada apa-apa dengan saya,” kata Anwar (gambar) dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini. “Saya yakin saya tidak mempunyai kaitan langsung.”

Menurut ahli parlimen Permatang Pauh itu, projek IC tidak melalui Kabinet kerana ia adalah satu ‘task force’ dibawah Dr Mahathir selaku perdana menteri pada ketika itu.

“Bahkan semasa saya memangku jawatan Perdana Menteri selama dua bulan itu, saya tidak menerima sebarang laporan apa-apa mengenai projek IC ini,” kata Anwar.

Anwar menjawab soalan wartawan mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang mengatakan terdapat beberapa pihak yang cuba mengaitkan dirinya dengan pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing dalam usaha memenangi Sabah dari tangan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada pilihan raya negeri 1994.

“Ada juga blogger Umno kata, saya perlu jawab. Yang mengarahkan ialah Perdana Menteri, dibawahnya (Tan Sri) Aziz Shamsudin dan (Tan Sri) Megat Junid, ia tidak dibincangkan di peringkat menteri, tanpa proses kabinet.

“Bagi saya ianya bukan soal warga asing mendapat warganegara, jika mereka layak dapat warganegara, itu tidak mengapa, tetapi isu yang utama ialah penipuan dan rasuah,” kata Anwar lagi.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga mengkritik Dr Mahathir kerana menggunakan alasan Tunku Abdul Rahman dalam pemberian kad pengenalan kepada penduduk Malaya tanpa mengira kaum semasa tahun 1957.

“Barangkali dia lupa, Dr Mahathir bila mengkritik Tunku Abdul Rahman, barangkali dia lupa ini adalah sebahagian dari perjanjian dalam Suruhanjaya Reid, dimana prinsip jus soli menjadikan pemastautin di Tanah Melayu sebelum 1957 sebagai warganegara,” kata Anwar lagi.

Minggu lalu, Dr Mahathir mempertahankan pemberian status warganegara kepada warga asing di Sabah dan menegaskan ia dilakukan kerana mereka berhak selain mengikut lunas undang-undang.

Bekas perdana menteri itu berkata kerajaan menerima warga asing jadi warganegara jika memenuhi syarat tertentu, malahan mereka yang berada di sana bukan satu dua hari tetapi sudah 20-30 tahun dan mereka bercakap bahasa Melayu, berhak jadi rakyat Malaysia.

Minggu lalu keterangan saksi bekas timbalan pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Nasir Sugip mendedahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengarahkan JPN menukar nama 16,000 pendatang haram di Sabah dan memberikan mereka kad pengenalan (IC).

Bekas pegawai JPN, Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil turut mendedahkan kira-kira 100,000 kad pengenalan biru diberi kepada pendatang Sabah pada tahun 1993.

Malahan, bekas pengarah JPN Sabah Ramli Kamarudin juga menuduh arwah Megat Junid memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan resit bagi membenarkan pendatang haram di Sabah mengundi dalam pilihan raya negeri pada tahun 1994.

Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat — dari 1981-2003 — telah dituduh menerajui “Projek IC”, di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka./MI

No comments:

Post a Comment