KEADILAN Negeri Pahang mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua perwakilan dari negeri ini yang telah hadir ke Kongres KEADILAN Nasional Ke 12 bertempat di Shah Alam bermula pada 20 dan 21 Mei baru-baru ini.
Tahniah juga kepada Adun Semambu, YB Lee Chean Chung selaku Pembahas mewakili KEADILAN Pahang yang telah berbahas dengan baik sekali membawa topik yang berkaitan dengan peranan media di dalam memperkuatkan parti khususnya dan Pakatan Harapan amnya.
Kongres kali ini menyerlahkan sikap dan komitmen parti bahawa perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim wajib diteruskan. Tindakan mengangkat plakad "Anwar PM Ke 7" secara spontan membuktikan bahawa imej Anwar selaku pemimpin utama dan bakal PM selepas ini tidak boleh dinafikan lagi.
Sudah tentu Umno dan media-media kawalan mereka amat tidak senang hati apabila nama Anwar terus didendangkan. Mereka mahu Anwar 'dimatikan' dan rakyat akan lupa tentang perjuangannya. Berbagai usaha dibuat untuk melaga-lagakan sesama kita agar kita lupa tentang 'reform' yang mahu dibawa oleh Anwar.
Tahniah kepada semua. Pahang akan bangkit melakar perubahan di dalam PRU14 akan datang, InsyaAllah.