KLIK "STOP" UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

DENGAR RADIO KAMI?

SILA KLIK "STOP" PADA RADIO KOBAT FM UNTUK HENTIKAN SIARAN KAMI

Followers

Tuesday, September 23, 2014

AZMIN, MB SELANGOR YANG BARU - TAHNIAH DARI KEADILAN PAHANG

Sepanjang kemelut atau krisis MB Selangor beberapa bulan yang lalu, KEADILAN Pahang sentiasa konsisten dan komited dengan keputusan parti.  Bermulanya episod "Kajang Move" yang kami faham objektifnya amat penting untuk kita mula bergerak lebih aktif menuju ke Putrajaya, selepas itu peristiwa malang yang menimpa bekas MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang dipecat oleh parti, KEADILAN Pahang sentiasa berdiri teguh di bawah kepimpinan parti.

Kami percaya kesemua yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya terutama di dalam krisis MB Selangor ini.  Di dalam menghadapi saat-saat sukar sedemikian, kami merasakan tidak wajar membiarkan Ketua Umum dan Presiden menghadapinya bersendirian apatah lagi apabila di'usik' oleh rakan-rakan di dalam PR sendiri.  Hikmahnya kita sedikit sebanyak boleh menilai erti budi dan ketaatan serta setiakawan sebenar disaat kita menghadapi ujian.

KEADILAN Pahang berpendapat, perbezaan pandangan di antara pimpinan dan ahli di semua peringkat tidak seharusnya menjauhkan kita dari parti reformasi ini.  Mustahil untuk kita mendapat pemimpin yang disokong dan disukai seratus peratus dari ahli-ahli, tetapi apabila kita meletakkan keutamaan parti jauh berada di hadapan dari kepentingan individu maka kita boleh bersatu hati.  Kami percaya segala kritikan kepada pemimpin dan parti itu adalah kerana mereka terlalu sayang kepada parti ini.  

Tahniah dari KEADILAN Pahang buat Timbalan Presiden, YB Azmin Ali yang telah diberi amanah oleh Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Selangor untuk ditabalkan menjadi MB Selangor berkuatkuasa hari ini (23/9/14).  Syabas juga kepada Ketua Umum, Presiden dan semua Ahli MPP serta Adun-Adun PR di Selangor yang selama ini begitu bersabar dengan karenah dan ujian dari berbagai pihak.  Presiden jelas tenang dan kelihatan begitu ikhlas untuk menyelesaikan kemelut ini meskipun beliau adalah calon tunggal yang dicadangkan oleh PR.  Sokongan Ketua Umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan juga Presiden, Datin Seri Dr Wan Azizah kepada Timbalan Presiden, Azmin Ali seharusnya dijadikan penyuntik semangat buat beliau untuk terus berbakti kepada rakyat Selangor amnya dan parti, khasnya.

KEADILAN Pahang sentiasa mendoakan agar MB Selangor yang baru ini akan dapat meningkatkan lagi prestasi Selangor sebagai sebuah negeri termaju dan dihormati.  Kami sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama yang diperlukan demi kebaikan parti.  Musibah yang menimpa sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran dan muhasabah bersama untuk kita jadikan panduan agar kesilapan lalu tidak berulang lagi.

Tahniah dan Syabas !!




Isteri Azmin, Shamsidar Taharin menyambut kepulangan Azmin di kediaman mereka 
di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Isnin.

PETALING JAYA: Bakal Menteri Besar Selangor yang baharu, Mohamed Azmin Ali berterima kasih kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebulat suara menyokong pelantikan beliau selepas mendapat perkenan Sultan Selangor untuk memegang jawatan itu.

Beliau berkata, pilihan Sultan Sharafuddin Idris Shah itu mendapat sokongan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan pimpinan parti yang lain.

 
"Saya berterima kasih kepada presiden parti, (Datuk Seri Dr Wan Azizah) dan semua rakan-rakan pimpinan kerana parti telah sebulat suara menerima saya sebagai calon (pilihan Sultan Selangor)," katanya kepada pemberita di pekarangan ibu pejabat PKR di sini, malam Isnin.

Pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu berkuatkuasa Selasa itu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ditanya adakah ia bermaksud parti merestui pemilihan beliau itu, Azmin hanya berkata: "Parti telah sebulat suara."

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa bersyukur atas pelantikan jawatan itu selepas mendapat perkenan baginda.

"Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T pada petang ini sekitar jam 3 petang, saya telah menerima sepucuk surat dari Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor (Datuk Mohamad Munir Bani), yang memaklumkan bahawa Sultan Selangor telah memperkenankan pelantikan saya sebagai Menteri Besar Selangor mulai 23 September ini.

"Dalam surat yang sama, saya diminta untuk menghadiri majlis angkat sumpah esok pada pukul 10 pagi esok (Selasa) di Istana Alam Shah, Klang," katanya.

Menurut Azmin, beliau telah memaklumkan mengenai pelantikan itu dalam perjumpaan dengan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkembangan terakhir berhubung perkara itu.

Tambahnya, satu mesyuarat Biro Politik tergempar diadakan pada petang Isnin, disusuli dengan perjumpaan semua Adun daripada PKR, dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.

Ditanya apakah sebab-sebab pihak Istana menolak Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar baharu, Azmin berkata, perkara itu tidak dinyatakan kepada beliau.

PKR dan DAP sebelum ini hanya mengemukakan satu nama iaitu Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar untuk diserahkan kepada Sultan Selangor bagi mendapatkan perkenan baginda, manakala, PAS menyerahkan tiga nama calon.

Sebanyak tiga nama disenarai pendek dan telah menghadap Sultan Selangor dan 'ditemuduga' secara berasingan pada minggu lalu.

Selain Azmin, dua lagi calon ialah Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi. / -mstar-

No comments:

Post a Comment